Feb 27, 2010

[Bulan Cinta] Cintaku ..


Bismi Allah wa Alhamdu li Allah ..


قُلۡ بِفَضۡلِ ٱللَّهِ وَبِرَحۡمَتِهِۦ فَبِذَٲلِكَ فَلۡيَفۡرَحُواْ هُوَ خَيۡرٌ۬ مِّمَّا يَجۡمَعُونَ

"Dan katakanlah wahai Muhammad s.a.w.: dengan kurniaan daripada Allah dan rahmatNya maka hendaklah kamu dengan segala tersebut bergembira lebih baik daripada apa-apa yang kamu kumpulkan (harta-benda/pangkat/kedudukan) ."

Surah Yunus: 58

Yang dimaksudkan dengan بِفَضۡلِ ٱللَّهِ  ialah al-islam, sedangkan yang dimaksudkan dengan rahmat Allah adalah Rasul Allah s.a.w. Kita diperintahkan untuk bergembira dengan dua perkara terbesar ini. Rasul Allah merupakan rahmat sebagaimana bukti yang telah difirmankan Allah:

وَمَآ أَرۡسَلۡنَـٰكَ إِلَّا رَحۡمَةً۬ لِّلۡعَـٰلَمِينَ

“Dan tiadalah Kami mengutus kamu (Muhammad), melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam.”

Surah Al-Anbiya’: 107


Cinta

Inilah dia suatu rasa yang sangat ajaib, yang sangat pelik, yang merupakan kurniaan dari Allah s.w.t., dan tempatnya adalah di dalam hati. Suatu perasaan yang sangat luar biasa sehinggakan mampu mendekatkan sesuatu yang jauh, mampu menyatukan sesuatu yang mungkin sebelum ini terpisah. Jika di dalam hatinya ada cinta, sudah pasti sukar digugat. Dan semestinya cinta yang agung itu adalah cinta kepada Allah. Sementara cinta kita kepada Nabi Muhammad s.a.w. adalah tanda cinta kita kepada Allah s.w.t. kerana mencintai Rasul Allah adalah perintah daripada Allah s.w.t.

Allah s.w.t. mengurniakan rasa rindu dan cinta kepada Nabi s.a.w. kepada semua makhluk. Baik manusia, atau pun jin, bahkan haiwan, pokok-pokok, hatta benda-benda yang tidak bernyawa, semuanya cinta dan rindu kepada Nabi Muhammad s.a.w. Cinta ini adalah kurniaan dari Allah. Dengan kurniaan kecintaan ini akan membina rasa gembira dan membantu kita berjaya di dunia dan akhirat. Yang mana dengan kecintaan ini, menandakan rasa cinta kita kepada Allah.


...أحبوا الله لما يغذوكم به من نعمه وأحبوني لحب الله إياي


"Cintailah Allah s.w.t. kerana Dia telah mengurniakan kepadamu dengan kehendakNya, akan nikmat-nikmatNya, cintailah aku kerana mencintai Allah s.w.t.daku, dan cintailah keluargaku kerana mencintai aku

-Hadith riwayat At-Tirmizi-


Cinta bukan Taat 

Ada orang yang taat kepada seseorang itu bukan kerana cinta, tetapi hanya kerana dia takut diseksa, bimbang orang itu memaksa, atau pun kerana kedudukan.  Cinta itu bermula apabila lahirnya al ittiba'; ikut dan rela untuk mengikuti. Dengan cinta ini akan melahirkan rasa ketaatan, hilang segala yang keburukan. Cinta membuat kita ikut dengan rela, tetapi taat menyebabkan kita melakukan dengan terpaksa. Kelebihan cinta berbeza dengan taat.

اَلاِتِّبَاعُ : اَنْ يَتَّبِعَ الرَّجُلُ مَا جَاءَ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَاَصْحَابِهِ ثُمَّ مِنْ بَعْدِ التَّابِعِيْنَ مُخَيَّرٌ
“Ittiba’: Ialah apabila seseorang mengikuti apa yang datangnya dari Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam dan dari para sahabat baginda. Kemudian dari sesudah tabi’in adalah perkara yang pilihan”

Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: 

Tidak sempurna iman seseorang kamu sehingga aku lebih disayangi daripada kamu menyayangi kedua ibu bapamu, lebih daripada anak-anakmu dan lebih daripada manusia seluruhnya.”

ثلاث من كن فيه وجد بهن حلاوة الايمان:أن يكون الله ورسوله أحب إليه مما سواهما وأن يحب المرء لا يحبه الا لله وأن يكره أن يعود فى الكفر بعد أن أنقذه الله منه كما يكره أن يقذف فى النار".

متفق عليه


Tiga perkara di mana sesiapa mempunyainya, maka dengannya (tiga perkara tersebut) dia akan merasai kemanisan iman. (Pertama): seseorang itu menjadikan ALLAH dan RasulNya sebagai yang paling dicintainya, (Kedua): tidak mencintai seseorang melainkan keranaNya, (Ketiga): dan membenci untuk kembali kekufuran sepertimana dia tidak suka untuk dicampakkan ke dalam neraka."


Seluruh Daripada Kejadian Cintakan Rasul Allah s.a.w.

Dikisahkan oleh Jabir r.a. dalam hadith Bukhari bahawa,

“Nabi Muhammad s.a.w. selalu berkhutbah di atas mimbar dan bersandar pada sebatang pohon tamar ketika menyampaikan khutbah Jumaat. Saidina Abu Bakar kemudiannya mencadangkan agar dibina mimbar yang baru untuk memudahkan dan memberi keselesaan kepada nabi untuk bersandar. Nabi s.a.w. bersetuju dan sebuah mimbar yang terdiri dari 3 anak tangga dibangunkan.

Ketika Nabi s.a.w. duduk di atas mimbar yang baru untuk berkhutbah, serta merta terdengar suara seperti bayi yang sedang menangis. Ia didengari oleh jama'ah yang hadir keseluruhannya. Nabi s.a.w. pergi ke mimbar lamanya dan mendapati pelepah kurma tersebut sedang menangis dan bertanya kenapa ia menangis. Pelepah tamar tersebut mengatakan ia menangis kerana ia rindu dan cinta kepada Rasul Allah; tidak mahu berpisah dengan Nabi.  Nabi s.a.w. bertanya kepada pelepah tamar apa yang ia inginkan untuk memujuknya? Adakah kamu ingin sesuatu yang bermanfaat yang nantinya akan dimakan oleh makhluk-makhluk lain, atau kamu inginkan demikian- demikian, atau kamu ingin bersama aku masuk ke syurga? Pelepah tamar itu menjawab 'aku ingin dekat denganmu ya Rasul Allah'.

Sedangkan makhluk yang tidak mempunyai akal dan tidak mempunyai perasaan pun tahu rindu dan cinta luar biasa kepada nabi s.a.w. Bagaimana dengan kita yang mempunyai perasaan, mempunyai akal, umat nabi Muhammad yang sepatutnya cinta kepada baginda Nabi Muhammad s.a.w.? Kenapa tidak kita benar-benar cinta kepada Nabi?

Timbul rasa cinta kepada baginda Nabi s.a.w., rasa cinta yang bukan sekadar cinta, tapi terlahir al-ittiba': mengikuti jejak baginda, menjadikan Nabi sebagai contoh dalam kehidupan kita. Dan sebagai tanda cinta ini, kita lakukan perkara yang menggembirakan Nabi. Gembirakan hati Nabi dengan melaksanakan sunnah Rasul Allah s.a.w.

"Kehidupanku ini adalah baik bagi kamu, kamu dapat berbicara dan aku juga dapat berbicara dengan kamu, sedangkan matiku juga baik untuk kamu. Dan ketika aku mati nanti, segala perbuatanmu akan dikhabarkan kepadaku. Sekiranya baik perbuatan kamu, maka aku akan memuji kepada Allah (alhamdulillah), tetapi jika aku dapati ada perbuatan buruk dalam amalan kamu, maka aku akan mohonkan keampunan daripada Allah untuk kamu"

-Hadith-


Kurniaan Allah kepada Semua Umat Manusia

"Rasulullah merindui umat akhir zaman"

Suasana di majlis pertemuan itu hening sejenak. Semua yang hadir diam membatu. Mereka seperti sedang memikirkan sesuatu. Lebih-lebih lagi Saidina Abu Bakar. Itulah pertama kali dia mendengar orang yang sangat dikasihi melafazkan pengakuan demikian.

Seulas senyuman yang sedia terukir dibibirnya pun terungkai. Wajahnya yang tenang berubah warna. "Apakah maksudmu berkata demikian wahai Rasulullah? Bukankah kami ini saudara-saudaramu? " Saidina Abu Bakar bertanya melepaskan gumpalan teka-teki yang mula menyerabut fikiran.

"Tidak, wahai Abu Bakar. Kamu semua adalah sahabat-sahabatku tetapi bukan saudara-saudaraku (ikhwan)," suara Rasulullah bernada rendah.

"Kami juga ikhwanmu, wahai Rasulullah," kata seorang sahabat yang lain pula. Rasulullah menggeleng-gelangkan kepalanya perlahan-lahan sambil tersenyum. Kemudian baginda bersuara:

"Saudaraku ialah mereka yang belum pernah melihatku tetapi mereka beriman denganku sebagai Rasul Allah dan mereka sangat mencintaiku. Malahan kecintaan mereka kepadaku melebihi cinta mereka kepada anak-anak dan orang tua mereka."

Pada ketika yang lain pula, Rasulullah menceritakan tentang keimanan ‘ikhwan’ baginda: "Siapakah yang paling ajaib imannya?" tanya Rasulullah.

"Malaikat," jawab sahabat.

"Bagaimana para malaikat tidak beriman kepada Allah, sedangkan mereka sentiasa hampir dengan Allah," jelas Rasulullah. Para sahabat terdiam seketika. Kemudian mereka berkata lagi, " Para nabi."

"Bagaimana para nabi tidak beriman, sedangkan wahyu diturunkan kepada mereka."

"Mungkin kami," celah seorang sahabat.

"Bagaimana kamu tidak beriman, sedangkan aku berada ditengah-tengah kamu," pintas Rasulullah menyangkal hujah sahabatnya itu.

"Kalau begitu, hanya Allah dan Rasul-Nya sahaja yang lebih mengetahui," jawab seorang sahabat lagi, mengakui kelemahan mereka.

"Kalau kamu ingin tahu siapa mereka? Mereka ialah umatku yang hidup selepasku. Mereka membaca Al Quran dan beriman dengan semua isinya. Berbahagialah orang yang dapat berjumpa dan beriman denganku. Dan tujuh kali lebih berbahagia orang yang beriman denganku tetapi tidak pernah berjumpa denganku," jelas Rasulullah.

"Aku sungguh rindu hendak bertemu dengan mereka", ucap Rasulullah lagi setelah seketika membisu. Ada berbaur kesayuan pada ucapannya itu.

Begitulah nilaian Tuhan. Bukan jarak dan masa yang menjadi ukuran. Bukan bertemu wajah itu syarat untuk membuahkan cinta yang suci. Pengorbanan dan kesungguhan untuk mendambakan diri menjadi kekasih kepada kekasih-Nya itu, diukur pada hati dan buktikan dengan kesungguhan beramal dengan Sunnahnya.



Bersungguh-sungguhlah menjadi kekasih kepada kekasih Allah itu, wajarlah bagi kita untuk mengikis cinta-cinta yang lain. Cinta yang dapat merenggangkan hubungan hati kita dengan baginda Rasulullah.



Sungguh telah cukup bagiku kepuasan dan ketenanganku bahawa Penciptaku Maha Mengetahui segala permintaanku dan usahaku

Maka doa-doa dan jeritan hatiku sebagai saksiku atas kefakiranku (dihadapan kewibawaanMu)

Maka demi rahsia kefakiranku (dihadapan kewibawaanMu) aku selalu mohon (padaMu) disaat kemudahan dan kesulitanku

Aku adalah hamba yang kebanggaanku adalah dalamnya kemiskinanku dan besarnya kesungguhan (padaMu)

Sungguh telah cukup bagiku kepuasan dan ketenanganku bahawa penciptaku Maha Mengetahui segala permohonan dan usahaku

Wahai Tuhanku wahai yang memiliki diriku, Engkau Maha Mengetahui bagaimana keadaanku

Dan dari segala yang memenuhi hatiku dari kegundahan dan kesibukanku (hingga terlupakan dari mengingatiMu)

Maka hulurkanlah bagiku kasih sayang dari Mu wahai Raja dari segenap para Raja

Wahai yang Maha Pemurah dzatNya, tolonglah aku, dengan pertolongan yang datang sebelum datang kemampuanku dalam bersabar

Sungguh telah cukup bagiku kepuasan dan ketenanganku bahawa penciptaku (Allah) mengetahui segala permohonan dan usahaku

Wahai Dzat Yang Maha cepat mendatangkan pertolongan, temukan kami dengan pertolongan dari Mu yang mendatangi kami dengan segera

Pertolongan yang merobohkan segala kesulitan, dan mendatangkan segala yang kami harap harapkan

Wahai dzat Yang Maha Dekat, wahai dzat Yang Maha Menjawab segala rintihan, wahai dzat Yang Maha Mengetahui, wahai dzat Yang Maha Mendengar

Sungguh aku telah benar-benar meyakini akan kelemahan dan ketidakmampuanku, akan kerendahanku (kekurangan) dan akan keluluhanku

Sungguh telah cukup bagiku kepuasan dan ketenanganku bahawa penciptaku dzat maha Mengetahui segala permohonan dan usahaku

Aku masih tetap berdiri di gerbangMu, maka kasihanilah aku yang masih terus menunggu

dan di lembah anugerah kasih sayangMu aku berdiam maka abadikanlah keadaanku ini

Maka bersangka baik padaMu adalah hal yang mesti bagiku, sangka baik atasMu adalah pakaianku dan janjiku

dan hal itulah (bersangka baik padaMu) yang menjadi penenang hatiku, dan selalu (aku selalu sangka baik padaMu) menemaniku sepanjang siang dan malam

Sungguh telah cukup bagiku kepuasan dan ketenanganku bahawa penciptaku Maha Mengetahui segala permohonan dan usahaku

Segala kebutuhan dalam diriku wahai Penciptaku maka selesaikanlah, wahai dzat yang sebaik-baik yang menyelesaikan

Dan tenangkanlah rohku dan sanubariku dari gelodak dan gemuruhnya (nafsu, kemarahan, kesedihan, kebingungan, dan penyakit penyakit hati)

Agar hatiku dan rohku selalu dalam ketenteraman dan kedamaian dalam apa-apa yang telah Engkau redhai

Maka kegembiraan dan kebahagiaan menjadi keadaanku selalu, dan menjadi lambang kehidupanku dan selubung (pakaian) iaitu sifat perhiasanku

Sungguh telah cukup bagiku kepuasan dan ketenangan bahawa Penciptaku Maha Mengetahui segala permohonan dan usahaku.

Riwayat Abu As Sheikh dari Abu Zarr:

Apabila Allah kasihkan seseorang hambaNya Ia akan membuka hatinya menjadikan ia cinta kepada Allah, kemudian ia akan mempunyai keyakinan yang teguh.
Dengan itu ia akan berhati-hati dalam hidupnya agar tidak terjebak dalam dosa dan terhindar dari penyakir hati seperti hasad, takabbur, ria, ujub, dendam marah dan sebagainya. Kesan dari ini ia akan bercakap benar sahaja. Seterusnya ia akan mempunyai mata yang dapat melihat dan memahami keagungan Allah; telinga yang cintakan nasihat yang benar.

وقال صلى الله عليه وسلم: "ان الله تعالى يقول يوم القيامة:أين المتحابون بجلالى؟ اليوم أظلهم فى ظلى يوم لا ظل إلا ظلى"
رواه مسلم

Sesungguhnya Allah s.w.t. berfirman pada hari Kiamat kelak: "Manakah golongan yang saling cintai mencintai sesama dengan (sebab) keagunganNya. Hari ini Aku akan naugi mereka pada naunganKu pada hari yang tiada naungan padanya"

-Hadith riwayat Imam Muslim-


p/s: jangan tinggalkan urusan dakwah kerana ia paling menggembirakan baginda Nabi s.a.w. kerana ini jalannya ..

Feb 23, 2010

Masa dan Perubahan

Bismi Allah wa Alhamdulillah ..

Masa terus berdetik laju. Sahabat-sahabat ramai yang akan mengikuti jejak langkah senior-senior. Ada yang akan bekerja, sambung belajar, berkahwin dan sebagainya. Saya sendiri insya-Allah akan mengikuti jejak langkah mereka setahun dari sekarang. Tapi apa yang saya risaukan adalah sekiranya kami menjadi anak pokok yang rosak bahana serangan tumbuhan liar dan lalang-lalang yang bermaharajalela di kawasan taklukan mereka.

Saya lihat segelintir (dan mungkin ramai) daripada mereka yang tenggelam dalam kesibukan kerja dan rumah tangga. Ada sahabat yang marah apabila saya mengatakan ada segelintir yang tidak lagi 'memurnikan' kehidupan seharian mereka dengan aktiviti dakwah. Berkahwin dengan lelaki/ wanita soleh bukan segala-galanya. Tetapi penerusan dakwah itu yang perlu. Bukankah baitul muslim itu bermatlamatkan penerusan perjuangan menegakkan Islam?

Saya yakin ramai yang akan berkecil hati dengan tulisan saya. Tetapi inilah hakikatnya. Saya sendiri sangat takut dengan apa yang akan berlaku kepada saya pada masa hadapan andai Allah tambahkan nikmat umur untuk saya rasai tetangga tertib amal yang seterusnya.


Ya Allah, ini adalah ujian daripadaMu. Selamatkanlah kami dalam setiap ujian yang Engkau datangkan kepada kami. Istiqamahkanlah kami di atas jalanMu.

Ya Allah, tetapkanlah kakiku di jalanMu ..

Feb 19, 2010

[Bulan Cinta] Hikmah

Bismillah wa alhamdulillah..

Juma'at mubaraqah~

Jalan-jalan pagi saya hari ni adalah sekitar email-email lama yang berkampung meriah di peti inbox. Sengaja saya rajinkan diri melihat apa sahaja yang dihantar teman-teman. Lama saya berjalan sehinggalah terjumpa sesuatu yang menarik untuk ditatap bersama. Jom tengok~

SOALAN:
Dulu saya pernah meminta nasihat daripada seorang lelaki. Dia juga ingin mencari seorang lelaki soleh untuk saya. Kami selalu berhubung melalui telefon dan e-mel. Dia juga meminta biodata dan ingin tahu perwatakan saya. Sekarang, saya terkesan dengan setiap percakapannya. Dia pernah menyatakan dia menyayangi saya kerana ALLAH. Bolehkah seorang lelaki yang bukan mahram menyatakan sebegitu kepada saya? Bagaimanakah cara untuk saya menyelesaikan perkara ini?

JAWAPAN:
Tidak patut bagi mana-mana lelaki menyatakan hal ini kepada mana-mana wanita yang bukan mahram (individu yang boleh dinikahi) dengannya. la boleh menyumbang kepada fitnah hati kerana terpikat dengan kata-kata tersebut. Perbuatan seperti ini dilakukan oleh kebanyakan lelaki dengan niat yang baik, harapan dan istiqamah. Tetapi ia adalah cara yang salah dan haram disisi agama.

Sabda Rasulullah s.a.w., "Dosa adalah apa yang terdapat di dada kamu dan kamu benci jika diketahui oleh manusia."

Hadis riwayat Muslim: 4632

Lelaki tersebut mesti menyembunyikan perkara ini daripada orang lain. Usaha untuk mencari jodoh yang baik amat digalakkan. Usaha ini akan dinilai oleh ALLAH. Tetapi janganlah kamu mengambarkan perwatakan kamu secara berlebihan padanya.

Sabda Rasulullah s.a.w., "Tidak boleh bagi seorang wanita bercampur dengan wanita lain, kemudian menceritakan halnya kepada suaminya seolah-olah suaminya dapat melihatnya sendiri."

Hadis riwayat Muslim: 5240

Kamu boleh mengambarkan perwatakan kamu sekadar apa yang diizinkan syarak jika dia ingin melamar kamu, iaitu muka dan tapak tangan. Tapi ini dikhususkan bagi lelaki yang benar-benar ingin menikahi kamu. Lelaki tersebut pula perlu meminta nasihat orang yang berilmu atau orang tengah untuk melihat wanita yang ingin dilamar tanpa pengetahuannya (wanita tersebut).

Selain itu, kami nasihatkan agar kamu memutuskan hubungan dengan lelaki tersebut. Pohonlah keampunan daripada ALLAH di atas segala yang berlaku. Berwaspadalah ketika bermuamalat (bergaul). Jauhkanlah diri daripada fitnah yang boleh menjauhkan kamu daripada rahmat ALLAH. Untuk makluman kamu, wanita adalah fitnah bagi kaum lelaki. Oleh itu, jagalah peribadi kamu sebagai wanita solehah agar tidak menyebabkan orang lain terjebak dalam dosa.

Sabda Rasulullah s.a.w., "Tidak aku tinggalkan selepasku fitnah yang paling dahsyat ke atas lelaki melainkan fitnah wanita.”

Hadis riwayat al-Bukhari: 4706 dan Muslim: 4923

Sabda Rasulullah s.a.w., “Dunia adalah sesuatu yang segar dan manis, ALLAH melantik kamu sebagai khalifah untuk melihat sejauh mana kamu boleh lakukan. Takutilah fitnah yang ada pada dunia dan takutilah fitnah yang ada pada wanita. Sesungguhnya fitnah pertama bagi Bani Israel ialah wanita.”

Hadis riwayat Muslim: 4925

(Sumber islamonline. net)

Sengaja saya kongsikannya di sini supaya saya sendiri dapat remind & refresh diri tentang perkara ini di samping untuk tazkirah sahabat-sahabat juga. Kebetulan, baru semalam saya bersembang lama dengan sahabat saya tentang seorang sahabat kami yang diuji masalah ikhtilat. Sanggup berhabis-habisan untuk orang yang tersayang; rela mati andai ditinggalkan.. Na'udzubillahi min zalik. Moga ada cahaya hidayah untuknya.

Susah ke mencari cinta sehingga bila datang untuk pertama kalinya terus melonjak riang, seolah-olahnya yakin si dia adalah teman sehidup semati? 

Ada yang bila bercouple sampai kering poketnya. Dijolinya sampai terlupa ada benda lain yang perlu diutamakan. Prihatin seolah-olah telah sah sebagai suami isteri. Perlu 'dilaporkan' bila ke sana ke mari. 'Cekal'nya mereka sanggup berkorban tatkala belum tiba masanya. Sanggup membuat itu dan ini sedangkan tiada ikatan nikah diantaranya yang me'wajib'kan mereka melunaskan hak tersebut.

Buta betul cinta manusia sampai terlupa cinta Allah yang lebih hakiki. Allah sahaja selayaknya dicintai. Hak yang paling agung untuk diwajibtunaikan. Bertanyalah kepada diri, sudah lunaskah hutang yang satu ini?


إِنَّ رَبَّكُمُ ٱللَّهُ ٱلَّذِى خَلَقَ ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَٱلۡأَرۡضَ فِى سِتَّةِ أَيَّامٍ۬ ثُمَّ ٱسۡتَوَىٰ عَلَى ٱلۡعَرۡشِ يُغۡشِى ٱلَّيۡلَ ٱلنَّہَارَ يَطۡلُبُهُ ۥ حَثِيثً۬ا وَٱلشَّمۡسَ وَٱلۡقَمَرَ وَٱلنُّجُومَ مُسَخَّرَٲتِۭ بِأَمۡرِهِۦۤ‌ۗ أَلَا لَهُ ٱلۡخَلۡقُ وَٱلۡأَمۡرُ‌ۗ تَبَارَكَ ٱللَّهُ رَبُّ ٱلۡعَـٰلَمِينَ

Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah Yang Menciptakan langit dan bumi dalam enam masa lalu Dia bersemayam di atas Arasy; Dia melindungi malam dengan siang yang mengiringinya dengan deras (silih berganti) dan (Dia pula Yang Menciptakan) matahari dan bulan serta bintang-bintang, (semuanya) tunduk kepada perintahNya. Ingatlah, kepada Allah jualah tertentu urusan menciptakan (sekalian makhluk) dan urusan pemerintahan. Maha Suci Allah Yang Mencipta dan Mentadbirkan sekalian alam.

Surah al-A'raf: 54


Jangan gusar sahabat-sahabat. Allah Maha Esa. Allah tahu apa yang terbaik. Bila kita kenal dan faham petunjuk dari Allah, sudah tentu kita akan tahu cintaNya.


إِنَّ فِى ٱخۡتِلَـٰفِ ٱلَّيۡلِ وَٱلنَّہَارِ وَمَا خَلَقَ ٱللَّهُ فِى ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَٱلۡأَرۡضِ لَأَيَـٰتٍ۬ لِّقَوۡمٍ۬ يَتَّقُونَ

Sesungguhnya pada pertukaran malam dan siang silih berganti dan pada segala yang dijadikan oleh Allah di langit dan di bumi, ada tanda-tanda (yang menunjukkan undang-undang dan peraturan Allah) kepada kaum yang mahu bertakwa.

Surah Yunus: 6

loving someone for the sake of Allah (SWT). means not being oppressive, by being faithful to the full meaning of our religion beyond the literal that guides us, by learning to appreciate others regardless of their circumstances, sharing in our fortune/misfortune, by avoiding arrogance and telling lies. Until we can love all of creation for the sake of Allah, then we will never really understand the true meaning of tawheed - fi sabilillah


p/s: serahkan saja urusan hati pada Allah ..

Feb 11, 2010

KIS - teaser

Bismi Allah wa alhamdu li Allah


ingin menjadi yang halal bukannya sukar ..


Nantikan kemunculannya.. Boleh didapatkan melalui:

  • ahli/ wakil tanzim Institusi Usrah
  • Sudut bacaan di Masjid al-Irsyad


Koleksi terhad! Dapatkan naskah peribadi anda sekarang :)



p/s: fitrah yang menguji iman ..

Feb 10, 2010

Hari untuk Kekasih Hatiku

Bismi Allah wa alhamdu li Allah ..




  وَلَا تَقۡرَبُواْ ٱلزِّنَىٰٓ‌ۖ إِنَّهُ ۥ كَانَ فَـٰحِشَةً۬ وَسَآءَ سَبِيلاً۬ 

Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)

Surah al-Isra': 32


Allah tidak melarang atau mengeluarkan sesuatu perintah larangan tanpa memberikan solusi yang baik. Cantiknya Islam, ketika Allah melarang hambaNya mendekati zina (couple etc.), Allah menunjukkan cara yang lebih baik iaiti ta'aruf. Kemudiannya, saat Allah melarang hambaNya berbuat zina, Allah sediakan alternatif lain iaitu pernikahan.

Hebatnya Allah jahilnya kita. Allah lebih tahu apa yang kita tidak tahu. Jadinya, jangan bodoh sombong!


Agama Islam tak melarang sesuatu perbuatan kalau perbuatan itu tak merosak jiwa. Tidak pula menyuruh, kalau seruan itu tak membawa selamat dan bahagianya jiwa.


Muamalah Cara Kita

Lelaki dan perempuan tidak boleh bergaul terlalu rapat sehingga menjadi teman karib, adik angkat, abang angkat dan sebagainya. Lelaki tidak boleh menghampiri perempuan, dan perempuan tidak boleh menghampiri lelaki sesuka hati tanpa sebab.

Islam membenarkan apabila adanya keperluan dan tujuan yang benar-benar perlu. Seperti contoh, ditugaskan mengadakan perbincangan dalam kumpulan yang besar yang melibatkan lelaki dan perempuan atau perlu berbincang mengenai sesuatu yang penting. Untuk berbual kosong dan bergurau senda tanpa tujuan tertentu adalah tidak boleh sama sekali. Apatah lagi untuk saling meluahkan perasaan dan sebagainya. Cukuplah kaum sejenis menjadi teman karib dan tempat berbincang masalah.

A: Awak suka saya? Saya suka awak ..

B: Awak suka saya? Saya pun suka awak ..

Syaitan: Yes! Dua turun (kena tipu). Lepas ni, mari kita tengok siapa yang kena~

(pandai-pandailah baca ikut gaya bahasa masing-masing)


Hikmah Dilarang Dekati Zina


Allah nak pelihara kehormatan diri kita dan keluarga

Allah nak jaga kesucian zuriat manusia

Allah nak jauhkan manusia daripada maksiat

Allah mahu elakkan manusia saling bergaduhan

Allah nak cegah manusia daripada hidup bebas tanpa panduan

Allah melarang kerana mahu tunjukkan hikmahnya untuk kita faham. Allah dah gariskan batasnya melalui al-Quran. Jika melangkah melangkauinya, tunggulah sahaja janji Allah di Akhirat kelak.


Jangan meringan-ringankan urusan agama




Info Menarik!

Jika dibelek kembali memori mengaji agama dulu, hukuman bagi penzina yang belum berkahwin adalah sebatan 100 kali manakala rejam sehingga mati bagi orang yang sudah berkahwin. 

Merujuk fakta sains, badan manusia boleh mengeluarkan sel-sel darah putih atau antibiotik yang dapat melawan penyakit di bahagian tulang belakang, berhampuran sum-sum tulang manusia. Bagi lelaki yang belum berkahwin, selain sebagai suatu amaran, hikmah diberikan hukuman sedemikian adalah apabila kesakitan yang dirasai kesan daripada sebatan itu tadi akan dapat menghasilkan beribu-ribu sel antibiotik yang mana dapat melawan virus HIV jika virus itu ada dalam badan pelaku zina.

Sementara bagi penzina yang telah berkahwin, hikmah di'hadiah'kan rejaman sehingga mati adalah kerana tubuhnya hanya dapat menghasilkan 10 sel antibodi sahaja. Bermakna, jika disebat 1000 kali sekalipun, tubuhnya tetap hanya akan menghasilkan 10 sel antibodi yang mana tidak akan dapat mematikan virus HIV. Oleh yang demikian, melalui hukuman ini, virus HIV tidak akan dapat merebak dan menjangkiti masyarakat sekeliling.



Andainya manusia tahu

Untuk apa dirinya diciptakan

Pasti saban waktu

Dia kan sujud berteleku tafakur kepada Khaliqnya

 

Kiranya seorang perempuan tahu untuk siapa hatinya dikhaskan

Kepada siapa yang lebih berhak tentu dia akan menghadiahinya

Bak intan terpilih secantik ukirannya

 

Tak tersentuh dek sebarang makhluk

Tak terjamah walau sekelumit

Khusus untuk dia

Yang telah dipertemukan

Buat  kali pertama

 

Pasti ia akan dinobatkan

Oleh seluruh isi alam

Bagai bidadari suci yang setia

Menanti sang kekasih

Dan itulah selayaknya.


Sebelum kita terlintas untuk ber'couple', fikir-fikirkan samada kita bersedia dan mampu atau tidak berhadapan dengan kepanasan bara neraka?


وَلَا تَقۡفُ مَا لَيۡسَ لَكَ بِهِۦ عِلۡمٌ‌ۚ إِنَّ ٱلسَّمۡعَ وَٱلۡبَصَرَ وَٱلۡفُؤَادَ كُلُّ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ كَانَ عَنۡهُ مَسۡـُٔولاً۬

Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.

Surah al-Isra': 36




Kita tidak boleh mencintai orang lain sebelum mencintai diri sendiri, kita tidak boleh mencintai diri sendiri sebelum kita mencintai Allah s.w.t.


p/s: Ya Allah, selamatkanlah kami dalam setiap ujian yang Engkau datangkan ..

Feb 8, 2010

Jangan jadi manusia robot!

Para da'ie ..

Saya merujuk kepada manusia keseluruhannya termasuk diri saya. Manusia yang mana jelas faham siapa dirinya, matlamat dan tujuan diciptakan dirinya, dan tahu ke mana dia akan kembali. Bukan sekadar mereka yang berada di lane agama sahaja, tetapi semua sekali.

Semua manusia ada peranan masing-masing. Setiap kejadian yang Allah ciptakan, semuanya berbeza-beza dan punyai kelebihan dan kekurangan tersendiri. Namun, apabila semuanya digabungkan, pastinya ia akan terarah kepada kesempurnaan. Bukankah kita ini saling lengkap melengkapi?

 

Wahai du’at ..

Jangan jadi robot yang perlu ditekan punat ‘on’ kemudian berfungsi. Apabila kuasanya lemah, ia kembali berhenti pegun seperti asalnya. Jangan menjadi haiwan tunggangan yang kena disebat baru bergerak. 

Jangan tunggu berada di medan selesa, baru hendak berdakwah. Menjadi manusia yang faham bukanlah suatu kebanggaan kerana bersamanya teriring sekali amanah yang perlu diusahakan sebaiknya. Terlalu banyak pengorbanan hingga terkadangnya mendatangkan keluhan keletihan dan menguji kesabaran dengan berbagai alasan dan cabaran yang datang.

Jangan pula menafikan nikmat faham yang kita ada. Murnikannya. Jangan hanya dipendam lalu hilang dibawa butir-butir dosa yang kita cipta tak kira masa.

Tapi inilah janji Allah. Manusia diberikan hidup bernafas bukan untuk disia-siakan. 

Kita bukan selama-lamanya kekal bernafas di dunia. Umur kita bertambah menuju kematian. Ayuh percepatkan langkah. Manfaatkan masa yang ada sebaiknya. Berlari mengejar kemuliaan akhirat.

 

ثُمَّ خَلَقۡنَا ٱلنُّطۡفَةَ عَلَقَةً۬ فَخَلَقۡنَا ٱلۡعَلَقَةَ مُضۡغَةً۬ فَخَلَقۡنَا ٱلۡمُضۡغَةَ عِظَـٰمً۬ا فَكَسَوۡنَا ٱلۡعِظَـٰمَ لَحۡمً۬ا ثُمَّ أَنشَأۡنَـٰهُ خَلۡقًا ءَاخَرَ‌ۚ فَتَبَارَكَ ٱللَّهُ أَحۡسَنُ ٱلۡخَـٰلِقِينَ (١٤) ثُمَّ إِنَّكُم بَعۡدَ ذَٲلِكَ لَمَيِّتُونَ (١٥) ثُمَّ إِنَّكُمۡ يَوۡمَ ٱلۡقِيَـٰمَةِ تُبۡعَثُونَ (١٦)

Kemudian Kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah beku lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging; kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang; kemudian Kami balut tulang-tulang itu dengan daging. Setelah sempurna kejadian itu Kami bentuk ia menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya. Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik Pencipta. (14) Kemudian, sesungguhnya kamu sesudah itu akan mati. (15) Kemudian sesungguhnya kamu akan dibangkitkan hidup semula pada hari kiamat. (16)

Surah al-Mu’minun

 

Setelah sedemikian sering saya bermuhasabah, apakah ada manfaat daripada penulisan saya ini? Apakah ada manusia yang berubah daripada seruan saya ini? Apakah ada kebaikan daripada dakwah alam maya saya ini, atau bahkan lebih banyak keburukan, lagi membina semangat permusuhan, yang merupakan kebalikan daripada niat dan tujuan asal saya menulis?

 Maka kembalilah tegar wahai daie Islam, lantaran ahdaf(tujuan) kita bukanlah kemasyhuran, pujian mahupun penghargaan.

 

“Kami menulis ini bukan kerana tidak ada pekerjaan, dan bukan pula kerana ada yang mau membacanya. Kami menulis kerana kami merasa ada nasihat yang harus kami sampaikan kepada ikhwah pengemban dakwah, sebagai satu bentuk partisipasi kami dalam ‘perjalanan’ yang diberkati ini. Perjalanan menegakkan dien dan meninggikan panji-panjinya.” - Dr. Abdullah Azzam, “Nasehat-nasehat Rasulullah SAW Penawar Lelah Pengemban Dakwah”

 


Saya juga bertanyakan diri saya... adakah ia bermanfaat atau hanya tercetus kerana emosi?


p/s: jiwa lenguh ..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...