Jun 8, 2013

Saya bukan Cinderella

Bismillah wa alhamdulillah,

Kalau saya kata, "saya cinderella", pasti ramai yang akan ketawa, termuntah, dan mungkin sebahagiannya akan pengsan! Sebab itulah saya tak pernah mengaku saya ini Cinderella. 

Siapa cinderella?



Dia adalah seorang wanita mulia, taat dan rajin bekerja, namun tidak mampu membebaskan dirinya dari cengkaman kejam ibu dan adik beradik tirinya, sehinggalah dia diselamatkan oleh 'prince charming', si putera raja yang kacak dan gagah perkasa.

Persoalannya, adakah kita seperti cinderella?

Bukan. Kita bukan cinderella. Semua yang diciptakan Allah ada keistimewaan tersendiri. Kita adalah hak Allah. Segala yang kita lakukan adalah semata-mata untuk mendapatkan redha Allah. Allah juga tidak pernah menafikan hak hamba-hambaNya.

Kita juga tidak perlu sehingga nak tunggu si prince charming datang selamatkan kita dari mati keracunan. Kalau si dia datang, maka bersyukurlah. Jika tak datang? Maka 'matilah kita diracun oleh orang sihir yang jahat'. 

Ramai yang berdoa agar dikurniakan suami yang beriman untuk membimbing dirinya ke jalan yang lebih baik, nak suami yang berharta agar dirinya tidak perlu bersusah payah bekerja mencari wang sara diri, dan banyaklah lagi doa-doa yang mengharapkan kesempurnaan dari sebelah pihak sahaja.

Tak salah mendoakan yang terbaik. Tiada siapa dapat menolak keinginan untuk mendapatkan kesempurnaan. Tapi kan lebih baik jika kita yang mencipta kesempurnaan itu terlebih dahulu. Didik diri kita menjadi baik, berakhlak dan berusaha menjadi wanita muslimah yang hebat. Sekiranya kita hebat, insya-Allah kita pasti akan dapat yang hebat juga. Itu kan janji Allah. Selagi kita berharap pada suami, kita tak akan menjadi isteri yang hebat.

Bagaimana nak jadi wanita hebat? Persiapkanlah diri dengan 'kelengkapan'.

May 30, 2013

Pahala depan mata

Bismillah wa alhamdulillah, 



Boleh saya tanya, apakah beza antara kasih sayang ibu kepada anak dan kasih sayang anak kepada ibu?

Doa ibu kepada anak:

"Ya Allah, dengan air mataku ini, aku bermohon kepadaMu, Engkau sembuhkanlah anakku dan janganlah Engkau cabut nyawanya. Aku sangat sayang kepadanya. Aku sangat rindu kepadanya. Susah rasanya bagiku untuk hidup tanpa anakku ini. Terngiang-ngiang suaranya kedengaran di telingaku memanggil-manggil aku ibunya.

Ya Allah, aku redha nyawaku Engkau ambil sebagai ganti asalkan Engkau hidupkan anak kesayanganku. Engkaulah yang Maha segala hal, berkat kebesaranMu ya Allah, terimalah doaku ini.."

Doa anak kepada ibu:

"Ya Allah, seandainya mati itu lebih baik untuk ibu, maka Engkau matikanlah ibuku. Aku tidak sanggup melihat penderitaannya. Ya Allah, aku akan redha dengan pemergiannya.. amin."

Ada beza tak?

Sewaktu anak sakit, dalam keadaan yang sangat teruk, badan hancur, hatta dah tinggal nyawa-nyawa ikan sekalipun, ibu bapa akan tetap mendoakan semoga anaknya diselamatkan dan dipanjangkan umur.

Tetapi anak-anak yang dikatakan 'baik' pada hari ini akan mendoakan agar ibu atau bapanya yang sakit agar segera diambil oleh Allah, padahal ibu bapa itu baru sakit. Mereka meminta pada Allah agar segera mematikan ibu atau bapanya kerana kononnya tak sanggup melihat 'penderitaan' ibu bapanya.

Setiap manusia hanya mempunyai seorang ibu dan seorang ayah sahaja di muka bumi ini. Kasih sayang ibu angkat atau ibu tiri tidak akan sama dengan kasih sayang ibu kandung. Walau sejahat mana sekalipun anak-anak, ibu tidak pernah sisihkan anak-anaknya dan sentiasa akan menerima kita walau dalam apa jua keadaan sekalipun. Persoalannya, adakah kita juga seperti itu?

Walau siapa pun kita, walau sehebat manapun kita, walau berjaya setinggi langit pun, tetapi tanpa doa dan restu si ibu yang melahirkan kita, maka tiadalah keberkatan hidup.

Credit: majalah at-Taqwa


Memang rezeki saya untuk memiliki majalah ini. Alhamdulillah Allah gerakkan hati insan budiman tu untuk jual majalah ini kepada saya. Allah nak berikan hidayah kepada saya melalui insan budiman dan juga artikel-artikel dalam majalah ini.

Semoga saya dan sahabat-sahabat semua direzekikan Allah untuk berbakti kepada kedua ibu bapa dan ahli keluarga kita sehingga hujung nafas kita. Merekalah perantara kita memperoleh pahala. Ada depan mata, tapi banyak kita tak sedar.

Apr 4, 2013

Mengundi untuk pertama kali

Bismillah wa alhamdulillah,
 
Tengahari tadi saya menerima kiriman pesanan ringkas dari sahabat:


 
"Parlimen dah bubar"

Tidak semena-mena hati saya berdebar-debar. Teruja menjadi antara pengundi muda gamaknya. Yelah baru pertama kali nak merasa mengundi untuk memilih pemimpin negara! Pengalaman mengundi yang saya ada hanyalah semasa pilihanraya kampus. Sudah semestinya mengundi di IPTS sangat berbeza berbanding di IPTA. Makanya, ini merupakan kesempatan untuk saya merasai pengalaman baru, andai Allah mengizinkannya.
 
Dalam keterujaan ini, ada perasaan lain yang sangat menggusarkan. Tengok suasana sekeliling yang hangat 'berperang bendera' sana sini dah cukup mendebarkan.

Siapa yang bakal kita pilih?

Siapa pula yang bakal terpilih?



Firman Allah yang dipetik dari surah ali-Imran, ayat ke-26:
 
 
قُلِ ٱللَّهُمَّ مَـٰلِكَ ٱلۡمُلۡكِ تُؤۡتِى ٱلۡمُلۡكَ مَن تَشَآءُ وَتَنزِعُ ٱلۡمُلۡكَ مِمَّن تَشَآءُ وَتُعِزُّ مَن تَشَآءُ وَتُذِلُّ مَن تَشَآءُ‌ۖ بِيَدِكَ ٱلۡخَيۡرُ‌ۖ إِنَّكَ عَلَىٰ كُلِّ شَىۡءٍ۬ قَدِيرٌ
 
Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
  
 
Allah مَـٰلِكَ ٱلۡمُلۡكِ . Allah yang mempunyai, memiliki, dan berkuasa secara mutlak ke atas kerajaan kesemuanya. Tiada siapa pun yang dapat merampasnya dari Allah s.w.t. Oleh kerana itu, Allah تُؤۡتِى , akan memberikan kerajaan kepada sesiapa yang dikehendakiNya. dan Allah juga وَتَنزِعُ , berkuasa mencabut kerajaan dari sesiapa yang dikehendakiNya. Allah berkuasa mutlak untuk mentadbir kerajaanNya. Tiada sesiapa yang boleh mengubah sistem kerajaan Allah s.w.t..
 
Allah berhak memuliakan atau menghina kepada sesiapa yang dikehendakiNya, samada dalam keadaan diberi kerajaan atau ditarik kerajaan darinya oleh Allah. Tidak semestinya jika dia diberikan kerajaan maka dia akan dimuliakan, dan tidak bermakna andai dicabut darinya kerajaan itu, dia menjadi hina. Hal ini kerana, Allah melihat kepada sikap seseorang dalam memiliki kerajaan tersebut: sikap ketika diberi dan sikap ketika dicabut.
 
Hukuman kepada si zalim adalah orang zalim
 
Tanggungjawab memimpin adalah sangat besar dan berat. Oleh yang demikian, berhati-hatilah dalam memimpin. Jangan berlaku zalim semasa melaksanakan amanah (berkuasa) dan semasa ditarik kuasa darinya. Allah berkuasa menjatuhkan hukuman ke atas orang yang zalim dengan menghantarkan orang zalim yang lain untuk menghukumnya. Ini merupakan suatu bentuk penghinaan ke atas kedua-duanya. Allah akan membalas orang yang zalim dengan kezaliman.
 
Siapa pemimpin kita adalah terletak kepada bagaimana diri kita terhadap Allah
 
Allah akan mendatangkan pemimpin kepada kita bergantung kepada sikap kita terhadap Allah. Bagaimana sikap kita terhadap Allah, begitulah juga Allah akan pilihkan pemimpin untuk kita. Jika kita derhaka kepada Allah, maka Allah akan datangkan pemimpin yang zalim. Semuanya terletak kepada diri kita. Adakah kita baik kepada Allah, untuk terselamat dari pemimpin yang zalim? atau adakah kita menjadi sebab Allah hantarkan pemimpin yang zalim?
 


Semuanya mengikut pilihan kita. Ayuh perbaiki cara pandang kita terhadap Allah dan RasulNya. Percantikkan sikap kita terhadap Allah s.w.t. Pertingkatkan amalan mahmudah (amal kebaikkan), dan biarkan mazmumah (amal keburukkan) tercicir jauh dari hati dan jasad kita. Mari laksanakan tanggungjawab kita untuk mengundi. Semoga Allah meletakkan pemimpin yang terbaik untuk kita.


p/s: Pilihlah pemimpin yang boleh menjaga dunia mengikut cara Allah sepenuhnya.

p/s2: saya berangan untuk berkempen, menyebarkan kesedaran mengundi kepada yang muda-mudi. Di sana ada kolaborasi antara muslim dan yang bukan. Juga ada SPR berkongsi pengetahuan. Bolehkah ia bertukar menjadi suatu yang realiti?
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...