Showing posts with label Qiyadah. Show all posts
Showing posts with label Qiyadah. Show all posts

Aug 27, 2008

saya mahu..anda bagaimana?

Dalil Wajib Memberikan Wala’ & Ketaatan Kepada Allah, Rasul Dan Kepimpinan :

“Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul (nya), dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, Maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al Quran) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.”

Surah An Nisa’ : 59


Sabda Rasulullah SAW :

“Berbai’ahlah kepadaku di atas kewajipan mendengar dan taat di masa cergas dan di masa malas, sanggup berbelanja di masa susah dan senang, menjalankan kewajipan menyuruh kepada yang baik dan mencegah dari kemungkaran, bangun menyatakan agama Allah dalam semua keadaan tidak boleh dijejaskan oleh celaan orang yang mencela, dan sanggup menolong aku apabila aku tiba kepada kamu dan sanggup mempertahankan aku daripada apa yang kamu pertahankan daripadanya akan diri kamu sendiri, isteri-isteri kamu dan anak-anak kamu dan bagi kamu syurga”

riwayat Imam Ahmad

Ucapan Saiyyidina Abu Bakar rdh :

“Taatlah kepada aku selama mana aku taat kepada Allah pada memerintah kamu, sekiranya aku berbuat maksiat (melanggar perintah Allah) maka tidak wajib kamu mentaati aku”


Memberikan wala’ dan taat kepada kepimpinan jamaah adalah WAJIB SYAR’IE.

Apa yang dimaksudkan dengan wala'?


Wala’ bererti : penjaga, pemimpin, pelindung dan penyerahan.

Wala’ terkandung di dalamnya tiga unsur:

  • Kasih sayang
  • Tolong menolong
  • Persefahaman 

Konsep Wala’ yang diamalkan di dalam organisasi Islam bermaksud kesetiaan seorang Muslim kepada saudara seagamanya samada sebagai seorang ketua, pimpinan, imam atau kawan.
Secara umumnya pengertian wala’ dan taat dalam ruang lingkup Harakah Islamiyyah ialah kepatuhan dan ketaatan kepada pimpian dalam saf perjuangan Islam.


Taat

Kata Imam Hassan Al Banna rhm :

“ Apa yang aku maksudkan dengan ketaatan ialah ; mematuhi perintah dan segera melaksanakannya sama ada pada masa susah mahupun senang, dalam perkara disukai atau dibenci.”

Kepentingan Wala’ & Ketaatan

  • Wala’ dan taat membawa kepada menunaikan tugas mengikut arahan kepimpinan dan tidak bertindak sendiri tanpa pengetahuan kepimpinan sehingga menjadi kelam kabut yang boleh menimbulkan adanya kumpulan dalam parti yang mempunyai perancangan berbeza dan strategi yang berlainan yang boleh membawa kepada perpecahan.
  • Wala’ dan taat membawa penyelarasan yang baik di kalangan seluruh anggota yang tidak boleh dijejaskan dengan oleh pandangan individu yang berbeza.
  • Wala’ dan taat dapat mengimbangkan di antara sikap yang berbagai-bagai dalam organisasi, kerana ada orang yang terlalu laju, ada yang lambat dan sederhana.

Permasalahan Sekitar Wala’ & Taat

Permasalahan memberi wala’ ini sering berlaku disebabkan beberapa faktor, antaranya ialah:

  • Tidak meletakkan wala’ yang mutlak kepada Allah.
  • Tidak memahami konsep berjemaah
  • Tidak menghayati waqi’ semasa
  • Tidak mempunyai pendidikan Islam
  • Tidak ada unsur tawadhu’ ketika berjemaah
  • Tidak ada perasaan cintakan kepimpinan. 

Penyelesaian

  • Memberikan kepercayaan dan keyakinan sepenuhnya kepada kepimpinan.
  • Senantiasa meletakkan keutamaan Islam dan jamaah lebih daripada kepentingan diri sendiri.
  • Senantiasa menjadikan Al Quran, As Sunnah, Dan Sirah Rasul sebagai panduan dalam perjuangan.

Rujukan :

1.Al Quran & Al Hadith.
2.Penjelasan Sekitar Risalah At Ta’alim ; Muhammad Abdullah Al Khatib
3.‘Amal Jama’i ; Pengertian & Tuntutan; Ustaz Yahya Othman



Jun 14, 2007

Generasi pemimpin kelak..

Assalamu'alaikum..

Kebiasaannya, antara bulan Jun hingga Julai setiap tahun seluruh institusi pengajian tinggi (IPT) di negara meriah dengan kemasukan pelajar baru. Pelajar lepasan SPM, STPM mahupun pelajar kolej Matrikulasi kementerian pendidikan semestinya bergembira untuk menjejak kaki ke universiti.
Ketika ini, terkumpul semua perasaan termasuk gembira, berdebar-debar, sedih dan sebagainya di dalam hati kecil mereka.

Bagi pelajar yang berasal dari desa atau luar bandar, ada di kalangan ibu bapa yang terpaksa bergolok-gadai bagi menyediakan bekalan peralatan dan kewangan yang mencukupi untuk anak-anak mereka. Malah, anak mereka itu turut menjadi kebanggaan warga sekampung kerana terpilih menjejak kaki ke menara gading. Harapan yang menggunung diletakkan kepada anak-anak ini untuk berjaya sebagai seorang graduan suatu hari kelak.

Kawan-kawan, kehidupan di universiti bukan suatu yang mudah diharungi. Universiti adalah medan untuk kawan-kawan belajar tentang makna kehidupan yang diwarnai asam garam, jerih payah, pahit manis, jatuh bangun, kejayaan dan kegagalan.

Di kampus, mahasiswa dituntut mendisplinkan diri. Universiti adalah tempat golongan terpelajar ini untuk mengurus diri secara bijak. Mereka perlu mengetahui kaedah-kaedah dan juga cara untuk mengurus masa, kewangan, diri, tekanan yang dihadapi dan mengurus aktiviti pembelajaran dengan bijak serta tenang.

Kawan-kawan, di sini nanti akan terjawab, adakah mahasiswa itu akan hanyut dalam arus dunia kampus serta terbuai bagaikan lalang ditiup angin atau mampu berdiri dengan prinsip pegangan serta pendirian (stand) sendiri walaupun kadang kala perlu melawan arus perdana?

Perkara asas yang perlu kawan-kawan ketahui sebelum menjejak kali ke menara gading adalah kaedah pembelajarannya adalah sangat berbeza dengan alam sekolah. Di universiti pelajar perlu lebih berdikari dan banyak mencari dengan kreativiti sendiri. Ini jauh berbeza dengan sekolah yang mana pelajar banyak “disuap” dan diberikan tunjuk ajar sepenuhnya oleh guru. Corak pembelajaran adalah berasaskan kuliah yang disampaikan kepada sejumlah pelajar. Maka agak mustahil tumpuan pensyarah dapat diberikan sepenuhnya kepada mana individu.

Ramai mahasiswa yang mengalami “culture shocked” kerana tidak dapat menyesuaikan diri dengan keadaan baru ini. Bukan hanya corak pembelajaran yang berbeza, malah suasana persekitaran dan sikap teman sekampus yang pelbagai ragam.

Kawan-kawan akan berhadapan dengan penularan budaya hedonisme (budaya hiburan) dalam kehidupan di kampus. Antaranya sikap suka berfoya-foya, enjoy dan berhibur secara berlebihan tanpa kawalan, akhirnya merencatkan proses pembelajaran.

Dalam hal ini, kawan-kawan perlu bijak memilih rakan sebagai teman seperjuangan sewaktu menuntut ilmu. Kawan-kawan mesti bijak membezakan ‘penawar kasturi’ yang akan memberi wangian kepada kita dengan ‘peniup api’ yang akan memberikan percikan api yang mengotorkan dan menyakitkan.

Oleh itu, kawan-kawan perlu menyusun dan membuat perancangan demi menjamin kejayaan kelak. Perancangan itu adalah jambatan masa kini untuk sampai ke masa depan. Rancanglah waktu dan peluang yang ada di universiti dengan sebaik mungkin. Sikap sambil lewa dan malas harus dikikis segera bagi mempercepatkan perjalanan ke gerbang kejayaan.

Selain itu, budaya keilmuan perlu disematkan dan dihayati dalam kehidupan seharian. Buku yang mengandungi ilmu bermanfaat perlu dijadikan teman seharian. Tempoh empat hingga lima tahun di universiti adalah waktu yang amat berharga bagi mencari hikmah dan ilmu sebanyak mungkin untuk bekalan bagi meneruskan perjalanan hidup seterusnya.

Di samping itu, kawan-kawan juga harus bijaksana dalam mengendalikan emosi, khususnya apabila terjebak dengan kancah percintaan. Jangan sekali-kali ‘hanyut’ dalam alam percintaan yang tiada penghujung dan bermatlamat. Letakkan kayu ukur dalam memenuhi tuntutan fitrah insani itu kepada nilai syarak.

Paling penting, kawan-kawan sekalian perlulah memperbetulkan persepsi terhadap tujuan kehadiran di universiti. Niat hendaklah betul dan ikhlas semata-mata kepada Allah s.w.t. Jadikan ubudiyah (ibadah) kepada Allah sebagai tujuan utama.

Universiti di mana kawan-kawan belajar sewajarnya dijadikan medium yang penting ke arah membina peribadi insan soleh iaitu mahasiswa yang boleh memahami tuntutan agama ke atas dirinya. Namun, pembinaan ini harus meliputi dan seimbang dalam semua fakulti keinsanan iaitu rohani, jasmani dan fikiran. Kemudian disusuli dengan amal yang istiqamah (berterusan) sehingga terbentuk mahasiswa yang berperibadi unggul.

Mahasiswa yang dimaksudkan unggul itu ialah mereka yang sihat aqidah, kukuh akhlak, luas pemikiran, kuat tubuh badan, mampu mencari sara hidup, tepat ibadah, bermujahadah (bersungguh-sungguh) terhadap dirinya, menjaga waktu, tersusun rapi segala urusannya serta berguna kepada orang lain.

Sumber: Majalah Haluan
Hasil tulisan Brother Hamzah
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...