May 1, 2008

Keliru dengan konsep busana muslimah?

Busana muslimah? Apa tu? Jubah ke?

Sebelum itu, mari kita lihat beberapa keratan gambar untuk uji sejauh mana kefahaman kita mengenai tema busana muslimah.

Ok kah gambar ni? Pakaian dah labuh..tapi tudungnya..sesuai ke?


Bagaimana pula dengan gambar ini? Susuk tubuh badan boleh diskaun tak?


Alamak..banyak sahaja kain digunakan untuk membuat pakaian mewah ini tapi jarang sana-sini!


Lihat gambar ini? Cuba perhatikan tudung, seluar dan kakinya? katanya fesyen muslimah kontemporari ~



Yang ni pula..ok tak? tutup dah semua? boleh tarik perhatian tak?



Pening kepala? Keliru dengan konsep busana muslimah?

Itu hanyalah sekadar nama sahaja atau pun konsep. Busana atau pakaian bagi seorang muslimah atau perempuan muslim adalah pakaian yang menepati syari'at.

Bagaimana pemakaian yang mengikut syari'at?

Pakaian sopan dan menutup aurat adalah cermin seseorang itu Muslim sebenar.ISLAM tidak menetapkan bentuk atau warna pakaian untuk dipakai, baik ketika beribadah atau di luar ibadat. Islam hanya menetapkan bahawa pakaian itu mestilah bersih, menutup aurat, sopan dan sesuai dengan akhlak seorang Muslim.

ISLAM tidak menetapkan fesyen pakaian tetapi perlu mematuhi garis panduan dan menutup aurat.Di dalam Islam ada garis panduan tersendiri mengenai adab berpakaian (untuk lelaki dan wanita) iaitu:

1. Menutup aurat
AURAT lelaki menurut ahli hukum ialah daripada pusat hingga ke lutut. Aurat wanita pula ialah seluruh anggota badannya, kecuali wajah, dan tapak tangan.
Rasulullah SAW bersabda bermaksud:
“Paha itu adalah aurat.”
(Bukhari)


2. Tidak menampakkan tubuh
PAKAIAN yang jarang sehingga menampakkan aurat tidak memenuhi syarat menutup aurat. Pakaian jarang bukan saja menampak warna kulit, malah boleh merangsang nafsu orang yang melihatnya.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Dua golongan ahli neraka yang belum pernah aku lihat ialah, satu golongan memegang cemeti seperti ekor lembu yang digunakan bagi memukul manusia dan satu golongan lagi wanita yang memakai pakaian tetapi telanjang dan meliuk-liukkan badan juga kepalanya seperti bonggol unta yang tunduk.Mereka tidak masuk syurga dan tidak dapat mencium baunya walaupun bau syurga itu dapat dicium daripada jarak yang jauh.”
(Muslim)

3. Pakaian tidak ketat
TUJUANNYA adalah supaya tidak kelihatan bentuk tubuh badan

4. Tidak menimbulkan riak
RASULULLAH SAW bersabda bermaksud:
“Sesiapa yang melabuhkan pakaiannya kerana perasaan sombong, Allah SWT tidak akan memandangnya pada hari kiamat.”

Dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda bermaksud:
“Sesiapa yang memakai pakaian yang berlebih-lebihan, maka Allah akan memberikan pakaian kehinaan pada hari akhirat nanti.”
(Ahmad, Abu Daud, an-Nasa’iy dan Ibnu Majah)


5. Tidak menyerupai lelaki
MAKSUDNYA pakaian yang khusus untuk lelaki tidak boleh dipakai oleh wanita, begitu juga sebaliknya.
Rasulullah SAW mengingatkan hal ini dengan tegas menerusi sabdanya yang bermaksud:
“Allah mengutuk wanita yang meniru pakaian dan sikap lelaki, dan lelaki yang meniru pakaian dan sikap perempuan.”
(Bukhari dan Muslim)


6. Melabuhkan pakaian
CONTOHNYA seperti tudung yang seharusnya dipakai sesuai kehendak syarak iaitu bagi menutupi kepala dan rambut, tengkuk atau leher dan juga dada.
Allah berfirman bermaksud:
“Wahai Nabi, katakanlah (suruhlah) isteri-isteri dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan beriman, supaya mereka melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun dan Maha Penyayang.”
(al-Ahzab:59)





Apr 29, 2008

Dunia bagai wanita tua terbaring nazak menunggu ajal

oleh: H Fansuri

Kalau tidak salah saya, Buletin Utama pada Khamis lalu (24 April) telah menyiarkan satu laporan mengenai keadaan cuaca dan perubahan iklim di Semenanjung Tanah Melayu. Ia memberi laporan bahawa seluruh kawasan Pantai Timur akan terkena tempias perubahan cuaca dan ketidakstabilan iklim baru-baru ini.

Ada laporan akhbar yang menuliskan bahawa sekarang ini, hampir semua lautan di dunia kini berhadapan dengan masalah yang akan menjejaskan kehidupan manusia pada masa depan jika usaha tidak dilakukan untuk menanganinya mulai sekarang.

Menurut suatu kajian, antara kawasan laut yang paling teruk terjejas termasuklah Laut Utara, Laut China Selatan, Laut China Timur, Laut Caribbean, Pantai Timur Amerika Utara, Laut Mediterranean, Laut Merah, Teluk Parsi, Laut Bering dan Lautan Pasifik Barat. Bagaimanapun, kawasan yang paling kurang terjejas adalah berhampiran kutub.

Tahun lalu, ada laporan menyebut bahawa ibu kota Thailand , Bangkok bakal tenggelam dalam tempoh 15 tahun bermula sekarang. Dalam kalangan insan yang arif, 'terus mata' dan menurut sahibul riwayat, kota yang banyak mengundang padah dan masalah terhadap penduduk Melayu Muslim di Selatan Thai itu akan tenggelam dalam 15 bulan saja lagi!

Sudah tentu lautan yang akan menenggelamkan Bangkok . Hal yang sama berlaku dengan lagenda tenggelamnya bandar Atlantis, kerajaan di Tasik Chini, Pahang, kaum Nabi Nuh yang ditenggelamkan banjir besar, bangsa yang tenggelam di bawah Laut Mati serta lain-lain kerajaan yang pernah ditenggelamkan Tuhan.

GAMBARAN ibu kota Atlantis yang dibina di tengah pulau seperti
diceritakan Plato.

Pun begitu, ada juga lagenda yang menyebut Gunung Keriang pada asalnya sebuah pulau. Paras laut kemudiannya menurun sehingga wujud pendudukan manusia baru di situ. Dan, apabila paras laut surut dalam tempoh yang lama, pulau Keriang digelar sebagai gunung.

Laut amat penting kepada manusia. 70% isi bumi adalah lautan dan 30% adalah daratan. Ertinya, laut ada kemampuan untuk surut membentuk kerajaan, negara baru dan ada masa pula paras laut akan naik meningkat lalu menenggelamkan kedaulatan kerajaan lama.

Tubuh kita berasal daripada dunia ini. Ertinya, peratus air dalam tubuh lebih banyak dari daging di tubuh kita. Air di bumi yang diminum bertukar menjadi darah dalam tubuh lalu, makanan yang dicerna tercerna menjadi zat-zat protein yang bergabung menjadi bahagian daripada daging yang membalut tulang rangka kita. Demikianlah proses kehidupan.

Sakit di kulit tubuh kita adalah sakit di kulit bumi. Kulit dunia yang cedera, disiat pembangunan adalah seperti yang kita rasakan. Air sungai yang kotor bagaikan darah kita yang dicemari toksin yang dimakan daripada makanan segera atau makanan yang disembur racun buatan manusia.

Makanan pada zaman dulu, tiada unsur-unsur perubahan ini di mana segala isi kandungan genetiknya sekali pun telah pun diubah.

Dunia yang dihuni pada hari ini sebenarnya tidak wujud seperti yang dilihat pada hari ini. Perubahan iklim cuaca yang menyebabkan manusia, kerajaan berpindah randah mencari penempatan baru. Kemarau yang melanda menyebabkan sesuatu puak akan bergerak bagi mencari penempatan baru bagi meneruskan penghidupan.



Dunia bagaikan 'wanita tua' dalam peristiwa Isra' Mikraj

Dalam peristiwa Isra' Mikraj, Rasulullah telah melihat gambaran dunia seperti wanita tua yang sedang memakai perhiasan. Wanita tua ini masih cantik dengan solekan, dandanan dan perhiasannya. Tetapi, dalam tubuhnya sudah bersarang pelbagai penyakit sejak lama.

Gejala tanah runtuh di Malaysia baru-baru ini, jalan retak di Johor akibat banjir besar, pemanasan global adalah gejala yang lahir daripada kesakitan yang dialami 'wanita tua' ini sejak puluhan ribu tahun dulu ketika manusia berperang dan nazaknya makin kuat saat 'anak-anaknya' bersengketa, berlumba meletupkan nuklear, C4, water Canon, molotov.

Mungkin di bawah perut 'wanita tua' (bumi yang kerap digelar 'ibu pertiwi') di Johor itu telah ada batu-batuan yang telah mula retak, patah disimbah asid kilang yang sudah mendap, meresap jauh dalam tanah, merosakkan nadi-nadi, sendi-sendi, saraf, tulang belakang dan saraf tunjang di tubuhnya.

Dunia ini bagaikan ibu tunggal, wanita tua yang pernah jelita digilai pemuda ketika masa muda-muda dahulu. Dia mungkin sedang terbaring nazak, sambil memerhatikan gelagat insan yang masih gila berperang di hujung nyawanya. Dunia atau wanita jelita ini menjadi semakin tua lantaran karenah anak-anaknya yang sentiasa bersengketa!

Apakah proses penuaan? Menurut satu tafsiran penuaan ertinya suatu proses pengurangan air dalam tubuh badan. Makin meningkat usia, makin berkurangan air dalam tubuh kita.

Dunia kita begitu juga. Ia sudah tua dan peratus air laut berjumlah 70% itu berkurangan. Ia mungkin bukan berkurangan. Maksudnya, air yang berkualiti sejumlah 70% berkurang daripada peratus yang asalnya. Mungkin, kini cuma 30% air bersih. Dan baki 40% adalah air yang tidak berkualiti, tidak dirawat dengan sempurna, air keruh di Sungai Kelang dan Sungai Gombak dan lain-lain limpahan kekotoran di sungai-sungai lain di dunia!

Ben Halpern, saintis di Pusat Analisis Ekologi dan Sentisis Kebangsaan di Universiti California , Santa Barbara telah menyebut dalam satu kajian bersama pasukannya tentang lautan. Menurutnya, ada dua hal yang tak terduga mutakhir ini mengenai lautan kita.

"Pertama, setiap sudut lautan di dunia sedah terjejas akibat sekurang-kurangnya satu kegiatan manusia. Kedua, lebih 40 peratus lagi terjejas akibat pelbagai kegiatan yang mereka lakukan. Lautan kita tidak berada dalam keadaan yang baik," katanya.

Sementara itu, seorang penyelidik lain pula mendedahkan bahawa kadar oksigen di dalam air cetek di sepanjang pantai Oregon menurun hingga ke paras kosong untuk kali pertama pada 2006. Bagaimana hidupan laut ini akan bernafas di dalamnya? Jikalau tiada hidupan laut yang berzikir kepada Tuhan, nescaya dunia ini akan kiamat.



Dunia ini diwariskan kepada manusia untuk menjaganya. Disebutkan di dalam al-Qur'an:

"Aku (Allah) ingin menciptakan atas bumi ini seorang Khalifah."

Lihat bagaimana Allah meletak diriNya sebagai pihak pertama, dunia pihak kedua dan manusia pihak ketiga.

Jadi, siapa yang paling hampir dan rapat kepada Allah antara bumi dan manusia? Kita dapat merumuskan pendirian bahawa bumi itulah yang paling dekat kepadaNya berbanding manusia itu sendiri. Sejauh manakah kita memelihara dunia yang dilihat Rasulullah sebagai wanita tua ini?

Adakah kita memeliharanya sebagai isteri tercinta, atau wanita pelacur, wanita simpanan dan wanita jalang
? Prof Dr Syed Hossein Nasr dalam sebuah karyanya yang pernah saya baca menyebutkan manusia hari ini menggunakan dunia serta sumbernya seperti melayan seorang pelacur dan bukannya isteri.

Seorang suami akan menjaganya setelah menikmati isterinya. Tapi, dunia hari ini telah dinilai sebagai wanita lacur di mana khazanahnya dipunggah untuk dinikmati dan hampas kekotoran telah disepahkan tanpa tanggungjawab.

Tidak mustahil bahawa suatu masa nanti wanita pelacur ini akan bangkit memberontak dengan caranya yang tersendiri. Siapa yang jatuhkan menteri kesihatan Chua Soi Lek? Siapakah Altantuya dari Monggolia? Siapa Sufiah pelajar Oxford yang pernah meniti laluan sejarah gemilang?

Mereka pada asalnya kaum baik, tetapi telah dibentuk oleh keadaan yang pincang, sistem yang musnah dan memusnahkan dan akhirnya mereka bangkit dan keluar memberontak dengan cara yang tersendiri. Jangan salahkan mereka. Mereka tak bersalah. Bukan salah ibu mengandung. Salahkan bapanya (penguasa) yang tidak memakai 'sarung'!

Pemberontakan perempuan ini sama seperti pemberontakan dunia sebagai wanita tua kita, iaitu bumi atau dunia atau alam buana yang pernah kita zaliminya sejak sekian lama. Bencana besar bakal melanda!

Kata sahibul riwayat, negara kita akan tertimpa bencana besar. Apabila saya sambungkan sanad riwayat ini kepada teman-teman, saya diketawakan. Apabila diajukan kepada orang tua di Bukit Tembaga, jawapannya, "Kena sedia dengan amalan, jangan hebahkan."

Kata sahibul riwayat lain, adapun amalan itu adalah 44 kali bacaan al-Fatihah 3 kali Jumaat, (selepas solat Jumaat) secara berjemaah. Demikian kaifiatnya guna merawat roh alam yang sakit in secara alternatif. Wallahu 'Alam. Oleh kerana kita berasal daripada tanah, dunia kita menderita penyakit yang sama dengan kita. Dunia tidak ditimpa penyakit ketika dunia dihuni dinosaur dan haiwan-haiwan purba yang tidak banyak menggunakan senjata kimia.

Setiap haiwan ada satu senjata. Tapi, manusia berbekalkan satu senjata, iaitu akalnya, dia boleh mencipta scud, tomahawk, kapal selam perang daripada Perancis dan ribuan senjata lagi. Dalam perang antara Habil dan Qabil itulah darah pertama jatuh atas nama dendam, sakit dan iri hati. Darah tertumpah atas niat jahat ini membuatkan dunia mula bergetar.

Darah yang tumpah kerana kecelakaan jalan raya, penyembelihan haiwan untuk makanan tak termasuk dalam sebab yang boleh menyebabkan dunia bergetar. Lafaz talak misalnya, menurut satu riwayat boleh menggoncangkan tiang Arasy.

Demikian 'hebatnya' manusia! Setiap perlakuan manusia yang buruk dapat menyebabkan porak-poranda di dunia ini. Kali terakhir nazaknya berakhir dengan kiamat di mana dunia tidak lagi dapat menanggung segala kebejatan akhlak yang timbul akibat perang manusia.

Sungai-sungai di negara seperti pembuluh darah, urat-urat berselirat di dalam tubuh yang menjadi laluan darah selama ini. Tuhan mencipta sistem peredaran darah yang mengalir, mengaut sampah-sarap, mengangkut toksin di seluruh tubuh dan kemudian dihembuskan keluar sebagai karbon dioksida. (Bilakah sungai kota yang coklat akan jernih kembali?)

Merah darah yang semakin pudar itu akan kembali cerah dan segar warna merahnya saat ia bergabung dengan oksigen. Ini kitaran sungai darah di mana putaran itu menyebabkan darah sentiasa mengalir lancar dan tidak tersekat pula oleh sekatan-sekatan di liang-liang urat yang kerap tersumbat dengan semak-samun lemak dan lain-lain unsur.

Jika manusia sakit, maka doktor, tabib, pawang dan dukun itulah yang dirujukkan sebagai sandaran penawarnya. Tetapi, jika alam buana ini menderita kesakitan, kepada siapa yang kita majukan pertolongan, bantuan dan pengharapan?

Siapakah doktor, tabib, dukun dan pawang yang dapat menyembuhkan derita sekali gus merawar 'kesihatan dunia kini?

'Rawatan alternatif' kepada dunia?

Akhir-akhir ini timbul istilah 'rawatan alternatif' yang mana cara merawat bersandarkan kepada getaran, aura, cakra dan lain-lain unsur yang tidak dapat dicerap penglihatan mata kasar. Alam kita mungkin dapat dirawat dengan kaedah itu di samping kaedah yang boleh dicapai pancaindera seperti hubungan kerjasama sejagat menangani 'global warming'.

Di Bali, beberapa bulan lalu telah diadakan Sidang Kemuncak tentang Pemanasan Global dan Al-Gore yang pernah berlawan dengan Bush di Amerika telah menjadi juara di dalam sidang kemuncak tersebut. Beberapa resolusi telah pun dicapai. Itu kerja manusia Barat.

Mungkin usaha manusia Barat ini boleh dianggap sebagai doktor atau tabib yang mencari penawar untuk tubuh, raga, alam kasar. Tapi, rawatan ini bukan untuk penyembuhan roh, jiwa. Jika tubuh terluka, maka penawarnya bersifat zat yang boleh dipegang. Tetapi, jiwa, roh yang terluka, terkoyak, penawarnya bersifat ghaib yang tidak dapat dicapai indera.

Di mana usaha manusia Timur yang mana nenek moyang mereka dahulu terkenal dengan sifat mesra alam? Penyembuhan mereka ini dapat menumpukan kepada roh, jiwa. Di sini kita melihat peninggalan kesan jejak warisan terdahulu untuk menyembuhkan bumi ini.

Islam misalnya mendidik kita bagaimana cara meminta hujan guna merawat kegersangan bumi yang tidak subur. Akal tidak dapat memikirkan bagaimana hubungan solat sunat ini dapat menyeru awan dan hujan kemudiannya akan turun.

Inilah rawatan alternatif kepada alam ini. Al-Gore dan ahli-ahli dalam Sidang Kemuncak Pemanasan Global tak akan pernah terfikir dan terjangkau akan kaedah rawatan alternatif seumpama ini. Pada Barat, bumi ini kering dan tiada roh yang hidup menaungi bumi ini.

Tapi, kita percaya bahawa alam ini punya roh tersendiri yang menghidupkan dan apabila ia pergi, maka kering dan gersanglah di sesebuah bumi itu dan apabila ia meninggalkan keseluruhan bumi, maka tamatlah usia bumi ini. Peristiwa ini dikenali sebagai kiamat.

Setiap pokok ada roh sendiri yang mana pada malam-malam mereka akan pergi beramai-ramai menuju ke suatu tempat. Nenek moyang kita menyedari akan hal ini. Sebab itulah mereka tersasar memuja semangat padi, kononnya agar semangat itu tidak melarikan diri.

Sehinggalah Islam tiba dan mengasuh mereka supaya sujud kepada Allah; tuan punya roh tumbuh-tumbuhan dan tanam-tanaman ruji dan sebagainya, maka nenek moyang kita pun terlepas bebas daripada amalan khurafat tersebut.

Dalam tubuh kita begitulah juga. Ada beberapa anggota yang lumpuh menjelang hari tua seperti kaki, tangan. Ada beberapa tempat di bumi ini telah kering, gersang, lumpuh atau 'mogok', enggan bekerja seperti biasa untuk menumbuhkan pohonan hijau merendang.

Jadi jangan kita fikir manusia sahaja yang pandai mogok dan berpiket. Bumi kita ini akan mogok (tidak mahu bekerja seperti biasa) dan pandai berpiket juga. Dan ia tidak perlukan permit polis untuk berpiket. Ketika itu, segala macam kekuasaan di dunia ini akan hancur melebur, malah PBB pun tidak mampu berbuat apa-apa. Hanya tinggal berputih mata.

Ada bumi yang mogok kerana perbuatan insan seperti operasi 'bumi hangus' yang dibuat oleh tentera Jepun dalam serangan mereka dahulu. Ada belahan bumi yang mogok hingga menyebabkan penduduknya terpaksa berpindah ke tempat lain.

Insan jahat (penghuni neraka) bagaikan virus dan bakteria yang akan berperang bersama insan kamil (ahli syurga) seumpama antibiotik dalam tubuh kita. Maka, bumi telah bersedia untuk mogok dan berpiket menantikan saat itu.

Adapun punca kenapa dunia ini bergolak adalah kerana penghuni neraka dan syurga telah berkongsi hidup yang sama di dunia ini. Sebab itu di akhirat nanti mereka akan dipisahkan antara syurga dan neraka sekali gus akan menghalang mereka daripada bertembung.

Dunia oh dunia! Dunia ini akan selamat dan berjaya diselamatkan oleh mereka yang kuat dan ikhlas bernafas, jujur menjalani kehidupannya sebagai insan kami manusia sempurna. Dunia bergolak bukan kerana ia didiami oleh haiwan, tapi ia hancur kerana perutnya telah melahirkan manusia berperangai haiwan. Bukan salah ibu mengandung!

Apr 21, 2008

rapuhnya nilai akhlak manusia kini

oleh : Ustaz Zainudin Hashim

Islam satu-satunya agama (cara hidup) yang diperakui oleh Allah SWT yang diperuntukkan sesuai dengan fitrah semula jadi manusia serta makhluk yang lain.

Islam yang menjadi mercu tanda kegemilangan di zaman Rasulullah s.a.w, kemudian disambung oleh para sahabat nabi, setelah itu diperpanjangkan oleh sistem pemerintahan Islam seperti pemerintahan Bani Umaiyah, 'Abbasiyyah sehinggalah ke era pemerintahan Islam 'Othmaniyyah di Turki.

Matlamat utama penubuhan negara Islam tersebut adalah untuk merealisasikan tuntutan agama menerusi al-Quran dan Sunnah Nabi Muhammad s.a.w.

Tetapi matlamat tersebut lenyap dengan berakhirnya negara Islam di Turki yang jatuh ke tangan British menerusi pengkhianat Islam iaitu Mustafa Kamal Atarturk. Di mana beliau menjadi dalang untuk melihat Islam dikikis dari bumi Turki.

Ini bermakna umat Islam hari ini di seluruh dunia kehilangan kepimpinan Islam dan mereka amat dahagakan kepimpinan tersebut, kerana teori barat ataupun isme ciptaan manusia yang sudah lama bertapak sejak puluhan malah ratusan tahun tidak mampu menjadikan manusia sebagai insan yang bertamaddun dalam segenap tindak-tanduk mereka.

Ini dapat dilihat kerakusan manusia dalam pentas dunia, meragut ribuan nyawa yang tidak berdosa, seolah-olah menggambarkan pihak yang kuat dan lantang menguasai yang lemah.



Kekuatan teknologi dan senjata nuklear menentukan segala-galanya, pengguguran bom di bumi Hiroshima dan Nagasaki membuktikan tindakan yang kejam.

Pencabulan Israel pada awal 80an di Sabra dan Shatila yang mengorbankan banyak nyawa, serangan Soviet Union (sekarang Russia) dan yang terkini serangan kuasa besar Amerika Syarikat ke atas bumi Afghanistan kononnya memerangi pengganas, sehingga ke hari ini Amerika tidak mampu mengemukakan sebarang bukti yang nyata bahawa Osama Bin Laden bertanggung-jawab memusnahkan bangunan Pusat Dagangan Dunia (WTC) dan Pentagon yang dikenali dengan peristiwa 11 september.

Peristiwa 11 September itu, seolah-olah dilihat sebagai batu loncatan buat Amerika untuk bertindak atas slogan hak asasi manusia. Akibatnya orang tua, wanita, kanak-kanak serta harta benda awam musnah hasil bedilan bom tercanggih Amerika. Ini juga menggambarkan seolah-olah bumi Afghanistan medan raptai segala ciptaan nuklearnya.

Amerika yang dianggap dunia sebagai sebuah negara maju dalam segenap bidang hidup, antaranya pencapaian teknologi maklumat, ekonomi,hiburan dan lain-lain, namun tidak mampu membendung jenayah di wilayah Amerika yang berlaku setiap detik seperti yang dilaporkan oleh Polis Antarabangsa (Interpol).

Hollywood yang mengaut keuntungan luar biasa hasil penjualan filem, dilihat sebagai salah satu faktor yang menyumbang kepada terhakisnya nilai akhlak di kalangan manusia sama ada Islam dan bukan Islam. Sumbangannya itu tidak terbatas hanya kepada negara barat sahaja, malah menembusi pasaran Asia termasuklah Malaysia yang tidak terkecuali kerana Malaysia dianggap salah sebuah negara yang berpotensi dalam segala hal.

Kita tidak lupa rosaknya akhlak remaja di negara kita khasnya, adalah hasil hiburan yang mudah diperolehi, bermula di pawagam, pub-pub, internet, video-video lucah dan sebagainya yang memberi saham ke arah keruntuhan moral.

Fenomena ini merisaukan semua pihak, lebih-lebih lagi para ibu-bapa yang telah banyak mengeluarkan wang semata-mata untuk melihat agar anak mereka menjadi insan yang berguna pada satu hari nanti.

Tetapi dalam masa yang sama, mereka lupa persekitaran yang ada tidak mampu menjamin suasana yang baik. Kerana persekitaran itu dicipta oleh penguasa, pemerintah atau pemimpin. Sehubungan dengan itu, Islam telah menyatakan sikapnya iaitu "Rakyat bergantung kepada agama/pegangan pemimpin mereka".

Justeru, umat Islam khasnya di segenap pelusuk dunia, mesti bersedia untuk kembali kepada ajaran Islam tulen, iaitu mendalami ilmu Islam seperti Usuluddin dan Syari'ah, sejarah Islam seperti sejarah hidup Rasulullah s.a.w, para nabi, para sahabat, para 'ulamak serta tokoh-tokoh Islam.

Ini kerana semua maklumat tersebut dapat membantu daya tahan dalaman seseorang muslim, malah dapat menghilangkan krisis keyakian umat Islam terhadap agama mereka sendiri.

Mar 25, 2008

Dapatan d arena




iklan ni comel sungguh.. sambil-sambil itu, cuba fikirkan apa nilai yang boleh kita dapat darinya..renung-renungkanlah~

Mar 11, 2008

Kenalilah politik

Bila ditanya.."Boleh ceritakan sedikit mengenai politik?"

Saudari A : "Politik?? No komen~ "

Saudara B : "Tak tau laa.. malas nak ambil tau. Buat serabut kepala je."

Saudara C : "Macam-macam hal dalam politik. Entah mana satu aku nak percaya entah. Lantak diorang lah!"

Saudari D : "Saya tak nak masuk campur. kan ada AUKU.. kang tak pasal-pasal kene tangkap.. naya aku."

Inilah keadaannya segelintir mahasiswa/mahasiswi bila ditanya mengenai politik. Takut benar dengan perkataan politik.

KENALILAH POLITIK


JIKA sebelum ini jarang orang berminat bercakap mengenai politik, melainkan golongan yang terbabit secara langsung dengannya, keadaan adalah sebaliknya, malah remaja juga berminat mengetahui senarionya. Meskipun bukannya 100% mengambil peduli, namun hal ini dah cukup baik. Masih ada lagi golongan berkesedaran.

Di rumah bersama seisi keluarga, minum bersama teman di warung atau restoran, mengisi masa terluang di pejabat, malah di jalanan, topik perbualan mengenai politik tidak ditinggalkan. Sering juga diperkatakan bahawa politik itu kotor. Tetapi, hakikatnya orang yang terbabit dengan politik yang melakukan onak sehingga dikatakan kotor.

Penyalahgunaan kuasa, politik wang, maki hamun dan skandal seks menyebabkan politik dipalit kekotoran.

Tetapi, bagaimana Islam melihat politik dan pilihan raya itu sendiri. Nabi Muhammad s.a.w ketika mengembangkan Islam turut menggunakan politik.

Kamus Dewan Edisi Tiga, "
politik" bermaksud ilmu cara pemerintahan, ilmu siasah dan ilmu kenegaraan; kedua, segala sesuatu berkenaan pemerintahan sesebuah negara atau hubungannya dengan negara lain dan ketiga, kelicikan, muslihat atau tipu muslihat.


Takrifan itu membuktikan makna politik amat luas, bukan saja merujuk kepada pengetahuan dan kebijaksanaan mentadbir negara, malah membawa maksud tipu muslihat.

Jadi, tidak hairan ada pihak menggunakan muslihat tersendiri untuk mendapatkan pengaruh dan gelaran yang diidamkan, kerana politik itu sendiri dari satu sudut dikatakan muslihat.

Penolong Pengarah Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Zamihan Mat Zin, berkata politik ialah keupayaan manusia mengurus sesuatu, mengikut disiplin ditetapkan.

Beliau berkata, manusia sudah lama berpolitik malah di kalangan nabi termasuk Rasulullah s.a.w, baginda turut berpolitik.

"Nabi Muhammad s.a.w dari muda mempunyai kebijaksanaan termasuk berniaga sehingga Khadijah tertarik padanya, manakala Nabi Nuh a.s ada kepandaian mengemudikan bahtera.

"Nabi Yusuf pernah dilantik menteri dan Nabi Musa pernah berdoa supaya saudaranya, Nabi Harun menjadi pembantunya dalam gerak kerja dakwah," katanya.

Beliau turut mengungkap nas dari
surah Thahaa, ayat 29, bermaksud:

"Dan, jadikanlah bagiku, seorang penyokong dari keluargaku."

Dalam Islam, urusan membabitkan pelantikan pemimpin bukan perkara sampingan atau main-main, malah ia menjadi topik khusus dalam pewarisan Nabi Muhammad s.a.w bagi memastikan agama dan politik dunia terpelihara. Justeru itu, katanya, menjadi kewajipan bagi umat Islam melantik pemimpin bagi memastikan Islam dan umatnya terbela dan apabila dilantik mesti ditaati.

"Wahai orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan rasul dan kepada ulil-amri (pemimpin) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berselisih dalam sesuatu perkara, maka kembalikanlah ia kepada Allah dan Rasul-Nya jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya."
(an-Nisa: 59)

Zamihan berkata, Nabi Muhammad s.a.w sudah menggambarkan ada pemerintah yang memerintah dengan baik dan pemerintah yang buruk.

"Apabila pemerintah baik, Nabi kata kamu kena dengar dan apabila pemerintah yang buruk, disuruh kita menghindarinya. Itulah juga dinamakan politik," katanya.

Beliau berkata, kewajipan umat Islam ke atas pelantikan pemerintah adalah fardu kifayah seperti jihad dan menuntut ilmu.

"Tidak salah menggunakan sistem demokrasi walaupun asalnya dari barat, sebab ada kebaikannya.

"Walaupun ada yang kata tiada demokrasi dalam Islam, tetapi Islam tidak menafikan manfaat demokrasi.

"Malah, sistem pilihan raya seperti sekarang ini juga tidak mengongkong syariat Islam daripada terlaksana.

"Hari ini kerajaan melaksanakan pelbagai sistem Islam, seperti ekonomi Islam dan pendidikan Islam. Itu semua lanjutan sistem demokrasi.

"Jika ada yang mengatakan kena ketepikan pilihan raya dan kembali kepada sistem syura seperti zaman awal Islam, masalahnya kini tiada sistem khalifah. Bagaimana mahu kembali kepada cara itu, sebab sistem khalifah itu sendiri tidak ada.

"Kita tidak mampu kembali kepada sistem itu, tetapi kita kena ada cita-cita ke arah itu dan oleh kerana demokrasi menjadi latar belakang pemerintahan sistem negara, jadi tidaklah mengapa untuk menjadikannya wahana dalam pemerintahan dan orang Islam diberikan hak memilih.

"Walaupun dalam Islam tidak dinyatakan secara khusus penegasan membuang undi untuk memilih pemimpin, masih ada nas mengenai prinsip asas dalam surah al-Maidah supaya bantu membantu hal kebajikan dan bertaqwa serta melarang daripada melakukan dosa dan pencerobohan.

"Dalam konteks Malaysia yang dinilai pengundi ialah calon atau ideologi politik. Mengundi asalnya adalah harus, tetapi jika calon yang baik menjadi sunat malah wajib pula, sebaliknya calon jahat hukumnya haram disokong," katanya.

Beliau juga menjelaskan beberapa kriteria yang sewajarnya tersemat pada diri pemimpin, iaitu
orang yang adil mempunyai ilmu mendalam, sempurna pancaindera dan tidak mengalami kecacatan (jika cacat seperti buta mudah ditipu orang), berpandangan terbuka, berwibawa dan berani mengemukakan pendapat, bijak, tegas dan dari keturunan mulia.

"Tetapi janganlah kerana politik timbul sengketa, sehingga anak berbalah dengan bapa, putus persahabatan dan suami isteri sampai bercerai.



"Dalam kempen juga kena ada etika, seperti bercakap benar, apabila berjanji ditunaikan, apabila diberikan amanah tidak khianat, apabila berselisih faham tidak melangkaui had, tidak mengadu domba dan menabur fitnah," katanya.

Sumber: Metro 24/02/08

Ulasan:

Cukup menarik tulisan di atas dengan menggabungkan perbincangan tentang ‘Politik, Demokrasi dan Khalifah’. Ada pun tentang istilah politik dan demokrasi, ini adalah istilah biasa, namun istilah ‘Khilafah’ yang baru bagi sesetengah orang, nampaknya semakin diminati dan difahami oleh umat Islam. Ada yang suka dengan politik dan tidak kurang juga yang membenci politik. Semuanya bergantung kepada pemahaman makna politik yang mereka fahami. Inilah ragam pemikiran manusia termasuklah umat Islam kita hari ini.

Ketika demam pilihan raya umum ke-12 semakin kuat, pelbagai tulisan berkenaan politik, demokrasi dan Islam telah menjadi tajuk pilihan untuk diperbincangkan. Saat inilah, para ulama dan ilmuan akan diperguna dan diperkuda sepenuhnya oleh kerajaan untuk menulis tentang ‘politik’ bagi mengulas dan menyokong apa jua yang kerajaan telah lakukan selama ini. Bagi ulama dan ilmuan yang cintakan glamor, pangkat, kedudukan, harta dunia dan ingin dipandang mulia oleh kerajaan (bukannya oleh Allah), maka saat ini jugalah mereka akan cuba muncul untuk menjadi ‘jaguh’ mempertahankan apa jua yang kerajaan lakukan, khususnya dalam aspek menerangkan kepada rakyat bahawa apa yang kerajaan lakukan semua tidak pernah bertentangan dengan Islam.

Justeru, makna dan amalan ‘politik’ di dalam sistem Demokrasi yang ada saat ini (yang mana ianya lahir dari pemikiran kufur) telah di interpretasi sebagai sesuatu yang tidak bertentangan dengan Islam. Malah di katakan boleh diambil kerana mengandungi kebaikan. Kecetekan ilmu tentang politik dan demokrasi menyebabkan umat Islam terjerumus ke lembah maksiat kerana mengambil sistem yang kufur ini. Cahaya telah tertutup dari mereka hingga mereka tidak nampak bahawa dengan demokrasilah, manusia pada hari ini, sama ada sedar ataupun tidak telah mengambil hak Allah SWT untuk membuat undang-undang yang akibatnya menjadi biang keladi kepada pelbagai masalah yang menimpa seluruh dunia umat Islam pada hari ini. Sedangkan hak untuk membuat undang-undang itu hanyalah milik Allah SWT semata-mata dan bukannya hak manusia.

Adalah suatu yang naif adanya dakwaan bahawa kerajaan telah melaksanakan pelbagai sistem Islam hasil dari keberlangsungan sistem Demokrasi yang telah diterapkan. Ketidakjelasan tentang apa dan bagaimanakah sistem ekonomi dan sistem pendidikan dalam Islam menyebabkan pujian melambung diberi kepada kerajaan kerana dikata telah melaksanakan ekonomi dan pendidikan Islam? Kita hairan dalam keadaan bank yang berasaskan riba masih terus dibiarkan beroperasi, tempat-tempat maksiat (kilang arak, tempat judi, bursa saham dan yang lain-lainnya) yang masih diberikan lesennya diperbaharui setiap tahun, Malaysia dikatakan telah mengamalkan ekonomi Islam. Ini belum kira lagi sistem Islam yang lain yang tidak pernah berjalan seperti hudud, qisas, takzir, mukhalafat, jizyah, jihad, sistem pergaulan dan banyak lagi, semua ini merupakan bukti jelas tentang sistem yang berjalan sekarang semuanya adalah sistem kufur yang jelas-jelas bertentangan dengan Islam.

Ya memang benar bahawa pilihan raya adalah satu uslub yang mubah untuk digunakan bagi memilih pemimpin. Tetapi perlu kita fahami bahawa pilihan raya di dalam sistem demokrasi bukanlah digunakan untuk memilih pemimpin. Pilihan raya di bawah sistem demokrasi adalah satu cara untuk memilih wakil (bukan pemimpin) untuk dihantar ke Parlimen atau Dewan Undang Negeri (DUN) untuk membuat undang-undang!!! Inilah kedudukan sebenarnya – di mana proses yang berlaku ini adalah suatu proses di mana manusia telah mengambil hak Allah sebagai Pembuat Hukum (undang-undang) bagi manusia.

Bagaimana dengan sistem Khilafah? Ya Sistem Khilafah saat ini telah tiada semenjak diruntuhkan pada 3 Mac 1924 oleh Mustafa Kamal Attartuk seorang agen British. Dengan hilangnya Sistem Khilafah ini bukan bermakna umat Islam boleh mengambil sistem-sistem lain untuk diterapkan, namun kewajipan umat Islam saat ini adalah untuk menegakkan kembali sistem yang telah hilang ini. Caranya bukanlah dengan mengambil demokrasi, tapi dengan berusaha untuk merubah atau menukar sistem demokrasi kufur ini kepada sistem Khilafah. Bukankah Rasulullah telah menunjukkan caranya – selama 13 tahun perjuangan baginda di Mekah sehingga tertegaknya Daulah Islam Madinah – inilah yang wajib kita contohi. Belum sampaikah masanya hawa-hawa nafsu yang ada itu tunduk kepada perintah Allah SWT, bukannya tunduk kepada pemimpin sekular dalam rangka ingin mengampu mereka untuk mendapat sedikit upah dan jawatan?

Mar 10, 2008

Dah terang lagi bersuluh

Tamatnya PRU 12. Semuanya sudah selesai. Rakyat Malaysia sudah menjalankan kewajipan mereka dan rakyat juga sudah bersuara. Segalanya jelas kini.

Parlimen

BN : 140
BA : 82 - (PAS-23),(KeADILan-31), (DAP-28)
Jumlah kerusi : 222

Dewan Undangan Negeri (Dun)

*Dun Perlis : BN (14), PAS (1) jumlah kerusi = 15
*Kedah : BN (14), PAS (16), KeADILan (4), DAP (1), Bebas (1) = 36
*Kelantan : BN (6), PAS (38), KeADILan (1); = 45
*Terangganu : BN (24), PAS (8); = 32
*Pulau PInang : BN (11), PAS (1), DAP (19), KeADILan (9), = 40
*Perak : BN (28), PAS (6), DAP (18), KeADILan (7), = 59
*Pahang : BN (37), PAS (2), DAP (2),Bebas (1), = 42
*Negeri Sembilan : BN (21), PAS (1), DAP (10),KeADILan (4); = 36
*Melaka : BN (23), PAS (0), DAP (5), = 28
*Johor : BN (50), PAS (2), DAP (4); = 56
*Sarawak : BN (30), DAP (1) = 31
*Sabah : BN (59), DAP (1) = 60

Mar 8, 2008

Peperangan bermula!

08.03.2008 - 8 Mac 2008  Pilihan Raya Umum ke-12

Segalanya akan terjawab hari ini.

Sekali lagi..Selamat Mengundi khusus buat Pengundi-Pengundi sekalian~

moga KEBENARAN dapat menumpaskan
KEBATILAN.





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...