Showing posts with label Tazkirah. Show all posts
Showing posts with label Tazkirah. Show all posts

Sep 23, 2014

Harta [Cik Samad vs. Cik Abu]

Bismillah wa alhamdulillah..




Cik Samad: Kau suka harta, Bu? (tanya Samad kepada kawannya, Abu)

Cik Abu: Aihh, siapa yang tak suka? Gila kau tak suka! Aku kalau ada harta, uishh.. senang..senang.. (Abu berseloroh sambil membayangkan dirinya diselubungi kemewahan)

Cik Samad: Seronok kan? (Samad bersinis)

Cik Abu: ... (tersenyum lebar sambil terus hanyut mengelamun)

Cik Samad: Tapi kau jangan lupa, itu bukan milik kita.

Cik Abu: Aihh mana boleh! (bentak Abu yang kehairanan) Aku dah penat-penat kerja, usaha itu ini nak dapatkan harta, senang-senang kau kata bukan aku punya! (tambah si Abu..walhal kemewahan tadi hanyalah dalam angan-angan mak jeninnya sahaja)

Cik Samad: Harta tu Allah punya. Allah bagi pinjam kat kita. (terang si Samad)

Cik Abu: ... (krik..krik..krik..krik.. bunyi cengkerik)

Setiap dari kita pasti suka pada harta, kekayaan, kemewahan dan yang sewaktu dengannya. Ada yang direzekikan untuk merasainya, ada yang hanya boleh bermimpi dan berangan-angan.

Semua harta yang kita ada, tak kira dalam apa bentuk sekalipun, semuanya milik Allah. Oleh itu, jangan terlalu sayang dengan harta, dikhuatiri kita akan terjebak dalam wabak TAMAK & ANGKUH.

Kalau nak periksa samada kita ni sayang harta atau tak, senang sahaja. Apabila barang/duit kita hilang atau rosak, kita boleh redha atau meraung kesedihan? Cuba ingat balik respon diri kita sebelum-sebelum ni.

Punca barang atau harta kita hilang boleh disebabkan beberapa faktor:

1. Allah nak uji kita
2. Bukan milik kita
3. Punca harta tersebut adalah dari jalan yang salah/haram

Allah pinjamkan kita harta untuk kita bersyukur. Sedikit atau banyak semua Allah yang tentukan. Bersyukurlah dengan apa yang kita ada. Belum tentu jika kita kaya, kita akan memberi (menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan). Allah tahu apa yang terbaik kepada kita. Cukuplah dengan apa yang kita ada, cukup untuk keperluan kita dan keluarga. Jika ada lebih, ringankan tangan untuk tolong orang lain.



- a short pencil is better than a long memory -


Apr 7, 2014

Banyak cakap vs. Membebel

Bismillah wa Alhamdulillah ..
 
3 kategori seseorang yang banyak cakap:
  1. banyak cakap untuk berpesan-pesan, mengingatkan
  2. banyak cakap tetapi intipatinya adalah keluhan
  3. banyak cakap yang menjurus ke arah bersangka-sangka
 
Banyak cakap BUKAN membebel
 
Golongan hawa khususnya kaum ibu selalu dilabelkan suka membebel. Dikatakan sentiasa menyuruh anak buat itu, buat ini, jangan buat itu, jangan buat ini.. Ini bukan bebelan. Ini adalah kategori banyak cakap yang dibolehkan.
 
Banyak cakap yang dibolehkan adalah percakapan untuk mengingatkan, pesan-memesan dan nasihat-menasihati. Ini diharuskan dalam Islam, kerana manusia sangat berkeperluan untuk sentiasa dingatkan, dipesan untuk tidak buat ini, buat yang itu dan sebagainya.
 
"..berpesan-pesan dengan kebenaran, dan berpesan-pesan dengan kesabaran"
 
 
Sementara itu, kategori banyak cakap yang dilarang dalam islam adalah keluhan dan bersangka-sangka. Seseorang akan mengeluh apabila melihat orang lain lebih dari dirinya, tidak kiralah dalam apa bentuk sekalipun, golongan ini sentiasa merasa dengki dan iri hati dengan kejayaan orang lain. Perbuatan ini sangat bahaya. Mengeluh sebenarnya boleh membuka ruang kepada syaitan untuk masuk dalam diri dan menguasai pemikiran kita. Apabila mengeluh, seseorang itu akan cenderung untuk membebel. Setiap hamburan kata-kata yang dilontarkan semuanya kosong, tiada isi, tiada arah tuju. Setakat melepaskan rasa geram, marah, dan sakit hati, tanpa didasari oleh akal fikiran yang waras. Apabila seseorang membebel, dia akan bercakap terus-terusan tanpa berfikir baik buruk kata-kata yang terkeluar dari mulutnya.
 
Duhai hati,
jangan mengeluh, jangan bersangka-sangka. Ini hanya perbuatan yang akan membinasakan dirimu.
 
Bertenanglah duhai hati.. Nikmat Allah ini sangat luas. Cuma adakalanya Allah datangkan ujian supaya kita ingat kepadaNya. Maka cara mengubati jiwa yang suka mengeluh adalah dengan bersyukur. Apabila rasa nak mengeluh, laju-laju lafazkan:
 
"Alhamdulillah.. Alhamdulillah.. Alhamdulillah.. "
 
Siapa yang banyak cakap, akan banyak salahnya,
Apabila banyak salah, akan bertambah-tambah dosanya,
Apabila banyak dosa, semakin tinggi peluangnya ke neraka.
 
Allah menciptakan manusia ini dengan watak masing-masing. Belajarlah berlapang dada. Sentiasa bersyukur dengan setiap ujian yang Allah datangkan kepada kita. Ujian dan dugaan itu merupakan cara Allah nak bentuk diri kita jadi lebih kuat, dan yang paling penting itu adalah tanda Allah sentiasa ingat kita!
 
 
Teruskan bercakap.. selagi ianya baik untuk diri kita dan orang lain.
 
Moga dibukakan pintu hidayah seluas-luasnya untuk diri saya dan anda semua.
 
Semoga Allah lindungi kita daripada azab api neraka dengan keredhaanNya.
 
Allahumma amen!~
 

Jun 15, 2012

Memberi kerana Sayang

Bismillah wa alhamdulillah.

Salam saiyyidul ayyam ya usrati~

Bagaimana dengan pagi sahabat-sahabat? Diizinkan untuk menghiasi sepertiga malam? Subuh berjama'ah atau cuma bersendirian? Selesai dengan al-Kahfi? Semoga dipermudahkan oleh Allah untuk mengamalkannya.

Sabda Rasulullah s.a.w.:

"Barangsiapa yang membaca Surah Al-Kahfi pada hari Jumaat. Maka Allah akan meneranginya dengan cahaya dari Jumaat yang dia baca kepada Jumaat yang berikutnya."

(H.R. Baihaqi)





Saya ingin kongsikan sesuatu menarik buat bacaan dan penghayatan semua. Tidak cukup sekadar dibaca, tapi ini perlu dihayati agar difahami dan mudah diimplimentasi dalam tindakan.

Seorang sahabat bertanya Abu Nawas:

"Wahai Abu Nawas, apakah yang paling berNILAI?"


Abu Nawas menjawab :

"NASIHAT"

Sahabatnya bertanya lagi :
"Jika begitu, apa pula yang paling TIDAK BERNILAI?"

Abu Nawas sekali lagi menjawab,
"NASIHAT"

Sahabatnya HAIRAN,,
"Bagaimana sesuatu itu menjadi paling BERNILAI dan juga paling TIDAK BERNILAI?
Engkau tentu silap."

Abu Nawas lalu berkata :
"Aku tidak silap, sahabatku...
Suatu NASIHAT yang diIKUTI, akan menjadi perkara yang paling BERNILAI; dan
jika NASIHAT itu TIDAK DIIKUTI, ia akan menjadi perkara yang paling TIDAK BERNILAI...
Bergantung padamu mengambil NASIHAT itu."





Bila ada orang menasihatimu
bukan bermaksud mereka lebih baik
bukan bermakna mereka lebih 'alim
bukan bererti mereka menunjuk pandai

Tetapi semata-mata kerana mereka itu 
menyayangimu dan mereka menginginkan 
yang terbaik buat dirimu

Kerana dirimu begitu berharga!~



p/s: Kita adalah seperti kepingan-kepingan puzzle


Feb 24, 2011

Saya OK, anda OK

Bismillah wa alhamdulillah

liqa' muslimat yang sentiasa dalam hati

Mengimbau kenangan seawal saya memasuki alam kampus suatu ketika dahulu. Seusia yang masih mentah saya dilantik untuk menjadi penolong ketua biro yang mana bertindak sebagai naqibah kepada ahli biro, khususnya dalam liqa' muslimat.

Siapa yang berani bercakap berhadapan dengan mereka yang baru dikenali, sebaya dan ada yang lebih senior, dan mungkin lebih berilmu? Oh hampir sahaja mematahkan separuh keyakinan ketika itu.

Melihat kepada taklifan yang sangat besar diusia yang masih muda belia, tidak mematahkan semangat walau sedikit pun. Saya fokuskan minda kepada matlamat yang ingin dicapai. Saya melihat kekurangan itu sebagai suatu cabaran yang akhirnya bertukar menjadi suatu peluang. Pastinya bukan suatu yang mudah. Pelukan iltizam yang tinggi dan minda yang sentiasa terfokus kepada objektif. Memotivasikan diri itu teramat sangat perlu.

Tiada siapa yang akan merasakan dirinya layak untuk mengepalai mana-mana liqa'. Masing-masing pasti akan berfikir panjang,

"saya kurang itu.."

"saya tidak pandai.."

"saya tak mampu.."

"saya tak layak.."

dan sebagainya.

Kembara saya ke Shah Alam suatu ketika dahulu, menemukan saya dengan seorang motivator yang menceritakan tentang empat posisi dalam kehidupan manusia.

1. Saya ok, anda ok

Kita positif terhadap diri kita dan orang lain

2. Saya ok, anda tidak ok

Kita positif terhadap diri, tetapi memandang rendah (negatif) terhadap orang lain.

3. Saya tidak ok, anda ok

Sangat positi terhadap orang lain, dan negatif kepada diri sendiri

4. Saya tidak ok, anda tidak ok

Negatif terhadap diri sendiri dan orang lain


Sekarang saya ingin bertanya, kamu ingin pegang posisi yang mana?

Memilih yang ketiga, menunjukkan anda seorang yang 'care'. Terlalu memandang tinggi orang lain, menyuruh mereka berbuat baik, namun membiarkan diri sendiri terus-terusan di takuk lama. Cuba 'meyakinkan' diri anda memang lemah. Redha tak kena tempat.

Nak pilih yang kedua, bukti anda pentingkan diri sendiri. Berhempas pulas membaikkan diri tanpa kisah orang sekeliling 'kebuluran'.

Bagaimana pula dengan keempat? Posisi ini menjadikan diri anda lesu. Tiada usaha untuk mempositifkan diri, juga tiada langkah membaikkan orang lain. Memandang rendah terhadap orang lain, dalam masa yang sama 'memaksa' diri menerima diri seadanya. Semacam membiarkan adunan yang lembut yang masih boleh dibentuk, dibiar mengeras dalam bekas adunan.

Posisi yang terbaik yang saya mahu diri saya dan anda semua pilih adalah posisi pertama. Saya ok, anda pun turut ok. Berusaha membaikkan diri dan tidak lupa mengajak orang lain juga berbuat baik.

Saya tidak mahu kita setakat PILIH, kita perlu praktik supaya bertukar kepada JADI. Jika sekarang anda berada di posisi kedua, ketiga dan keempat, belum terlambat lagi untuk mengubahnya kepada posisi yang pertama. Yang penting, usaha :)

إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوۡمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُواْ مَا بِأَنفُسِہِمۡ‌ۗ
Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri..
[Surah ar-Ra'd: 11]

Alhamdulillahi barokatillah~ dengan izinNya saya memilih untuk berada di posisi pertama sampai bila-bila. Saya OK, anda OK! Dengan kerana itu, perasaan ingin 'bersama-sama tahu' perlahan-lahan menyelubungi hati hingga memberanikan saya memulakan langkah dengan mengadakan pertemuan pertama, yang akhirnya berjaya mengekalkan konsistensi kelangsungannya dari minggu ke minggu.



Jika kita jelas tujuan kita memulakan langkahan,
kita jelas apa yang hendak kita capai,
maka kita sukar untuk berputus asa


Kita dicipta dengan istimewa, diberikan pula kejadian yang istimewa, dengan tujuan hidup yang juga istimewa, dan kita akan pulang untuk menuju yang Teristimewa, yakni Allah Yang Maha Agung.

Bersama-samalah mengajak mereka di sekeliling kita juga menyedari hakikat ini. Seperti perkongsian saya dalam entri Erti Hidup Pada Memberi, memberi itu lebih baik dari menerima.

Sesungguhnya pelaburan saham terhebat yang boleh kita lakukan, adalah pada menumpahkan ilmu, pengalaman, nasihat, bimbingan, dan panduan kepada mereka yang lebih muda (atau mereka yang memerlukan).

Kongsikan, jangan tamak. Tak luak ilmu itu andai sama-sama beramal.

Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dari jendela
bilik penginapan saya sepanjang kembara di sana


p/s: berusaha bersama-sama pulang ke syurga..

Dec 29, 2010

3 in 1

Bismillah wa alhamdulillah..

Saya ke Petronas malam tadi dengan adinda yang paling muda :) pusing-pusing dalam Mesra seminit dua sementara menunggu tangki minyak penuh, mencari andai ada barang-barang 'best' kegemaran saya. Tak jumpa makhluk kuning tu, tapi saya tertarik dengan yang lain. Ada minuman unik - Hot-Can!

hitam itu menawan~

Produk baru saya kira kerana serasanya tak pernah jumpa di mana-mana setakat ni. Pembantu kedai membenarkan telahan saya. Diberitahukan bahawa produk itu baru sahaja sampai dan tiada lagi yang membelinya. Mana tidaknya, untuk minum setin air coklat/teh/kopi/mocha panas, anda perlu membayarnya dengan harga RM7.50! Semahal minum teh di hotel-hotel mewah. Aduh..mengucap panjang sebentar~

Tapi, yang menariknya tentang air ini, hanya perlu melakukan 3 langkah mudah; tekan-goncang-tunggu.


Tekan
Terbalikkan tin, cabut pelekat yang menutup bahagian bawah tin tersebut, dan tekan butang ditengah-tengahnya.


Goncang
Goncangkan tin selama 20 saat


Tunggu
Pastikan tin ditegakkan semula. Tunggu selama 3 minit, dan kemudian enjoy~ :D



Sangat menarik! Siap ada indicator untuk pastikan air tersebut betul-betul panas dan 'sempurna' untuk diminum :)

Benar-benar berasap tin minuman tersebut. Pakcik di Mesra kata kalau kami membelinya, kami menjadi pembeli pertama! (Huu bagi kami fikir dulu~)


Itu cerita 3 in 1 Hot-Can

Untuk menjadi MUSLIM sebenarnya kita juga boleh mendapatkan pakej 3 in 1 dengan mudah. 3 perkara dengan hanya 1 perbuatan.

Acapkali kita bertembung dengan pelbagai mehnah dan tribulasi. Ujian datang silih berganti sampai terkadangnya kita seakan berputus asa dengan kehidupan. Sebagai manusia, kita perlu akui dengan penuh sedar bahawa setiap perkara yang Allah datangkan kepada kita adalah demi kebaikan dan setiapnya hanya boleh dilalui dengan bantuan dan kekuatan daripada Allah.

Kita berdoa banyak-banyak daripada Allah dan dirikan solat hajat tanpa putus. Kita pohon daripada Allah ..

Allah Ya Aziz, Allah Ya Qawwi, Allah Ya Matin
Allah Yang Maha Hebat, Allah Yang Maha Perkasa, Allah Yang Maha Kuat

Supaya Allah memberi kita kekuatan demi kekuatan demi kekuatan untuk kita berhadapan dengan musuh-musuh islam atau apa jua ujian yang Allah bentangkan depan mata.



Perkara pertama yang perlu kita lakukan untuk mendapatkan bantuan, kekuatan daripada Allah s.w.t. adalah dengan BERTAUBAT. Dengan bertaubat kita dapat pakej 3 dalam 1 iaitu yang pertama, Allah ampunkan dosa kita, yang keduanya Allah bagi nikmat, dan yang ketiga Allah tambah kekuatan atas kekuatan yang telah kita ada.

وَيَـٰقَوۡمِ ٱسۡتَغۡفِرُواْ رَبَّكُمۡ ثُمَّ تُوبُوٓاْ إِلَيۡهِ يُرۡسِلِ ٱلسَّمَآءَ عَلَيۡڪُم مِّدۡرَارً۬ا
وَيَزِدۡڪُمۡ قُوَّةً إِلَىٰ قُوَّتِكُمۡ وَلَا
تَتَوَلَّوۡاْ مُجۡرِمِينَ
Dan wahai kaumku! Mintalah ampun kepada Tuhan kamu, kemudian kembalilah taat kepadaNya, supaya Dia menghantarkan kepada kamu hujan lebat serta menambahkan kamu kekuatan di samping kekuatan kamu yang sedia ada dan janganlah kamu membelakangkan seruanku dengan terus melakukan dosa!

(Surah Hud: 52)

Makanya dengan itu saya menyeru-nyeru diri saya dan sahabat-sahabat juga adik-adik untuk kita terus bertaubat kepada Allah s.w.t.

Life is the journey
Sometimes you face an impossible situation
You can't do this on your own
The greatest lie that we have believing today is that
you need to do this life alone

That's a lie!


God is a personal God

you can talk to Him
you can pray with Him

Talk to Him

Share your heart with Him
"Lord, here I am, please help me"


No matter who you are
No matter what you are going through

That God knows it

He is with you
and He is gonna pull you through

-Nick Vujicic-



يَعۡلَمُ مَا بَيۡنَ أَيۡدِيهِمۡ وَمَا خَلۡفَهُمۡ‌ۗ وَإِلَى ٱللَّهِ تُرۡجَعُ ٱلۡأُمُورُ
Dia mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka dan kepada Allah jualah kembalinya segala urusan.
(Surah al-Hajj: 76)


وَلِرَبِّكَ فَٱصۡبِرۡ
Dan bagi (menjalankan perintah) Tuhanmu, maka hendaklah engkau bersabar (terhadap tentangan musuh)!
(Surah al-Muddaththir: 7)



فَٱذۡكُرُونِىٓ أَذۡكُرۡكُمۡ وَٱشۡڪُرُواْ لِى وَلَا تَكۡفُرُونِ
Oleh itu ingatlah kamu kepadaKu (dengan mematuhi hukum dan undang-undangKu), supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan dan bersyukurlah kamu kepadaKu dan janganlah kamu kufur (akan nikmatKu).
(Surah al-Baqarah: 152)



Tidak sukar untuk hidup berlandaskan agama Allah


Ya Allah, please ease our way, don't let us befallen down far away from You






p/s: ia berjaya menarik minat saya untuk membeli kerana ianya sungguh unik! Untuk menikmatinya..setahun sekali mungkin :D

Dec 27, 2010

Life is Like a Cup of Coffee

Bismillah wa alhamdulillah..

Hujung minggu sudah, diberikan peluang bermusafir bersama kakanda dan adinda yang dikasihi (fillah) ke Shah Alam. Meskipun di awalnya agak berat melangkah dek kerana istikharah yang tidak menunjukkan jalannya, namun saya percaya, langkahan kaki yang terdorong untuk menaiki bas itu membuktikan ia perancangan yang terbaik dari Allah.

Dan natijahnya..

Fantastic!

Wonderful!

Never better!

Syukur alhamdulillah.. banyak yang ingin dikongsikan. Untuk permulaan, jom hayati video di bawah :)


kehidupan itu indah apabila dimengertikan~

p/s: sambung nanti :)

Oct 5, 2010

Bersahabat dengan Istikarah

Bismillah wa alhamdulillah ..

Cuba bayangkan kamu berhadapan dengan konfik memilih 7 urusan yang semuanya berlangsung dalam satu hujung minggu yang sama? dan 7 perkara ini masing-masing melibatkan kos dan jarak tertentu; dijalankan di lokasi dan sasaran audience yang berbeza.


Apa yang kamu akan buat?
  1. tutup mata, tutup telinga. Teruskan hidup seperti biasa
  2. Melebihkan kepentingan diri berbanding yang lain
  3. Memilih jalan mengutamakan orang lain dan memudaratkan diri sendiri
  4. Mengadakan pertimbangan, memilih jalan yang menguntungkan diri sendiri, agama, orang lain, kehidupan kini dan akan datang.
Mana yang kamu pilih?




Jernihkan minda itu

Matlamat kehidupan manusia bukan sekadar untuk makan, berseronok, mengejar perhiasan dan kesenangan hidup, sebaliknya Allah menyerahkan kepada manusia dengan satu tanggungjawab yang jauh lebih mulia iaitu memimpin manusia ke arah jalan yang benar, membimbing manusia ke arah jalan yang baik dan memancarkan cahaya Islam ke seluruh dunia.

Firman Allah s.w.t:

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): inilah Jalanku, aku dan orang-orang yang menurutku, menyeru manusia umumnya kepada agama Allah dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata. Dan aku menegaskan maha suci Allah (dari segala iktiqad dan perbuatan syirik); dan bukanlah aku dari golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain”
(Yusuf : 108)

Tugas kita adalah untuk menyeru manusia kepada agama Allah. Jangan kita jadi orang yang tidak berbuat apa-apa untuk agama Allah, jangan jadi orang yang begitu bersemangat untuk mencari kesalahan dan kesilapan orang lain tetapi tidak berbuat apa-apa untuk memperbaiki kesilapan tersebut.

Jadilah orang yang sentiasa menginsafi segala kekurangan diri, berusaha memperbaikinya dan bersedia memberikan bimbingan kepada orang lain ke arah kebaikan. Justeru, kita seharusnya benar-benar memahami matlamat kehidupan kita supaya kita lebih bersedia melaksanakannya dengan penuh keazaman dan ketabahan, kita harus sedar, jalan untuk mengajak orang lain bagi melaksanakan kebaikan dan mencegah daripada perbuatan bertentangan dengan Islam bukanlah sesuatu yang mudah, sebab itu ianya memerlukan keazaman dan ketabahan yang tinggi. Apa pun kita tidak ada pilihan, kerana itulah jalan yang dilalui oleh junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w., para sahabah dan salafus soleh. Mereka telah membuktikan bahawa kepayahan itu akhirnya membuahkan kejayaan yang gemilang, kejayaan dan kegemilangan yang pernah mereka gapai bukanlah sesuatu yang datang dengan mudah, tetapi melalui jalan dakwah yang telah diajarkan oleh Rasulullah s.a.w.


Utamakan yang Lebih Perlu

Al Syeikh Yusuf al-Qardhawi mengertikan fiqh al-Aulawiyat itu meletakkan suatu pertempatan dengan adil. Segala jenis hukum hakam, amal dan nilai-nilai dalam Islam oleh terikat dengan fiqh Al Aulawiyat ia harus didasarkan kepada prinsip mengutamakan suatu perkara ke atas suatu perkara yang lain. Justeru itu, suatu yang kurang penting tidak wajib dipentingkan. Apa yang wajar didahulukan hendaklah diketengahkan suatu yang wajar dikemudiankan hendaklah dikemudiankan, perkara yang kecil tidak wajar dibesar-besarkan, sementara perkara yang penting tidak wajar dipermudah-mudahkan. Dengan kata lain, tiap-tiap suatu hendaklah diletakkan pada tempatnya secara berimbangan.

Allah S.W.T berfirman :

'Dan Allah telah meninggikan langit dan meletakkan neraca keadilan, supaya kamu jangan melampaui batas tentang neraca itu, dan tegakkanlah timbangan itu dengan adil dan janganlah kamu mengurangi neraca itu.
(Surah Ar Rahman, Ayat 7-9)

Apabila berhadapan dengan dua atau lebih suruhan agama, maka yang terbaik ialah melaksanakan kesemua suruhan tersebut. Apabila tidak mampu melaksanakan keseluruhan suruhan agama yang berbeza-beza hukumnya antara harus, sunat dan wajib, maka dahulukanlah yang wajib, kemudian yang sunat dan seterusnya yang harus.


Berbicara dengan Tuhan

Setiap urusan yang kita hadapi berpunca dari perancangan Allah yang Maha Agung. Setiap urusan itu adalah ujian untuk kita hadapinya. Kehidupan kita penuh dengan misteri. Sinonim dengan kata-kata bahawa hidup itu adalah ujian. Kita tidak akan tahu apa yang bakal berlaku pada masa hadapan. Ia adalah rahsia Allah yang disimpan rapi. Kita tidak tahu hakikat perkara yang berlaku. Seringkali kita merasakan sesuatu perkara itu baik tetapi sebenarnya tidak. Allah Maha Besar. Allah Maha Mengetahui. Dia lebih tahu pa yang terbaik untuk makhlukNya. Cuma kita acapkali lalai memahami hikmahnya.

Kita selalu gagal dalam memilih perkara yang tepat untuk diurusi terlebih dahulu. Walaupun kita diberikan akal dan kebijaksanaan, namun sebagai manusia, kelebihan itu terbatas. Kita tidak akan terlepas daripada melakukan kesalahan. Kepandaian kita yang berakal memerlukan petunjuk dari ALLAH S.W.T. Nabi Muhammad s.a.w. mengajar kita supaya beristikharah, sebagaimana yang dijelaskan dalam hadis yang diriwayatkan Imam Bukhari:

"Apabila salah seorang antara kamu mahu melakukan sesuatu, beliau perlu mengerjakan solat sunat dua rakaat. Kemudian berdoa; Ya ALLAH, aku memohon kebaikan darimu dgn ilmumu. Aku memohon keampunan darimu dgn kekuasaanmu. Aku memohon kepadamu daripada anugerahmu yang agung. Sesungguhnya engkau maha kuasa, sedangkan aku tidak berkuasa. Engkau maha mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui. Engkau zat yang maha mengetahui perkara ghaib. Ya ALLAH, apabila engkau mengetahui urusan ini baik untukku dalam agamaku, di dunia dan akhirat, maka tentukan untukku, mudahkan jalannya dan berkati aku dalamnya. Apabila engkau mengetahui urusan ini buruk untukku dalam agamaku, di dunia dan akhirat, jauhkan ia daripadaku dan jauhkan diriku daripadanya. Tentukan untukku apa pun yang terbaik dan kemudian redhai aku dengannya."

Kita beristikharah supaya kita memiliki kemampuan yang luar biasa. Kemampuan yang tidak terjangkau oleh akal manusia iaitu kebolehan mendapatkan petunjuk secara langsung dari ALLAH S.W.T. Oleh yang demikian, kita dapat melaksanakan segala perkara sesuai dengan perintah ALLAH dan akhirnya berkesudahan dengan baik... insha-Allah.

"Ya Allah, aku memohon petunjuk daripadaMu dengan ilmuMu dan
aku memohon ketentuan daripadaMu dengan kekuasaanMu
dan aku memohon daripadaMu akan limpah kurniaanMu yang besar.
Sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa sedangkan aku tidak berkuasa
dan Engkau Maha Mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui
dan Engkaulah Yang Maha Mengetahu segala perkara yang ghaib.

Ya Allah, seandainya Engkau mengetahui
bahawasanya urusan ini adalah baik bagiku
pada agamaku, kehidupanku dan kesudahan urusanku
sama ada cepat atau lambat,
takdirkanlah ia bagiku
dan permudahkanlah serta berkatilah bagiku padanya
dan seandainya Engkau mengetahui
bahawa urusan ini mendatangkan keburukan bagiku
pada agamaku, kehidupanku dan kesudahan urusanku
sama ada cepat atau lambat,
maka jauhkanlah aku daripadanya
dan takdirkanlah kebaikan untukku
dalam sebarang keadaan sekalipun
kemudian redhailah aku dengannya".



Adakanlah pertimbangan sesuai dengan hukum Allah. Namun jika masih buntu dalam memilih, rujukilah orang-orang mukmin.

"Dan berbincanglah dengan mereka (para sahabat) dalam urusan itu (peperangan, ekonomi, politik dll). Apabila kamu telah membulatkan tekad, bertawakallah kepada Allah".

Tidak akan menyesal sesiapa yang bertanyakan penciptanya dan berbincang dengan orang-orang mukmin kemudian berhati-hati dalam menangani persoalannya.



Jangan jadi orang yang pentingkan diri sendiri.

Jangan jadi orang yang menzalimi diri sendiri.

Hidup kita bertuhankan Allah yang Satu.


Sedarlah, syahadah yang kita lafazkan didatangkan sekali dengan tanggungjawab terhadap pengakuan yang dilakukan. Semuanya siap dalam 1 pakej! Setiap hari, setiap saat, pasti, kita akan berhadapan dengan pelbagai pilihan. Seni dalam membuat pertimbangan. Beristikharahlah selagi kamu masih mampu bernafas. Istikharahlah dalam setiap pekerjaanmu.


1, 2, 3, 4, yang kamu pilih adalah .. ?


dan 7 itu masih tetap dalam istikharahku~


p/s: cerita itu di tangan manusia..nak buat atau sebaliknya.

Jun 17, 2010

Masalah sebagai Batu Loncatan



Bismillah wa alhamdulillah..

Setiap manusia yang bernyawa pasti berhadapan dengan pelbagai masalah. Tidak kira sama ada dia kaya atau pun miskin, tua atau pun muda, bodoh atau pun bijak, baik atau pun jahat, cantik atau pun hodoh, semuanya akan berhadapan dengan masalah. Sebenarnya masalah itu sendiri adalah paksaan yang Allah kenakan kepada manusia bagi memajukan diri. Kemajuan bermula daripada masalah. Yang membezakan kita adalah cara mana kita mengatasi masalah tersebut.

Bijaknya Allah kerana dia tahu sifat sebenar makhluk ciptaanNya. Apabila senang, manusia mudah berasa senang lenang dan malas berusaha. Apabila mendapat kesusahan dengan masalah, barulah mahu bergerak mencari jalan keluar. Inilah punca kenapa Allah beri masalah kepada manusia.


Dahulu, kalau bergerak beramai-ramai sejauh perjalanan kita malam ini mungkin mengambil masa sehingga dua tiga bulan berjalan kaki. Jadi, ini semua masalah kepada orang zaman dahulu. Bagi orang zaman dahulu yang terlalu mudah berpuas hati, malas berusaha dan cuba buat tidak tahu dengan masalah yang dihadapi bagi perjalanan sebegini, mereka tidak dapat apa-apa melainkan terus mendapat susah dan menyusahkan orang lain.

Dengan bertafakur dan melupakan masalah, masalah itu tetap ada dan tidak hilang. Bagi yang mahu bangun menghadapi masalah, dia berusaha memperbaiki dan membina sesuatu bagi mempermudahkan dirinya dan orang di sekelilingnya. Hasilnya, tercipta kereta, kereta api, kapal terbang dan pelbagai kenderaan lain bagi menyelesaikan masalah untuk bergerak. Masalah tadi memudahkan jutaan manusia lain.

-Imran Haaz-


Makanya, masalah yang diberikan kepada manusia adalah paksaan supaya manusia memajukan diri, keluar daripada kesusahan menuju kesenangan.

Andai kita mengaku kita Muslim, berpegang pada sistem Islam sebagai ad-Deen, apabila datang MASALAH, kita perlu HADAPInya tidak kira seberat mana masalah itu. Kita perlu hadapi masalah dengan HATI yang TABAH dan TENANG serta berSYUKUR atas ujian Allah, kemudian kita akan berUSAHA untuk BANGKIT dan SELESAIkan masalah itu.

Bukan cara Islam apabila kita mencari jalan lari daripada masalah (escapism) apabila sedang menghadapi masalah.



وَٱسۡتَعِينُواْ بِٱلصَّبۡرِ وَٱلصَّلَوٰةِ‌ۚ وَإِنَّہَا لَكَبِيرَةٌ إِلَّا عَلَى ٱلۡخَـٰشِعِينَ

"Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan solat, dan sesungguhnya solat itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk"

Surah al-Baqarah: 45



p/s: hanya kamu yang mengenali tempat kamu sendiri ..
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...