Nov 15, 2009

Erti Hidup Pada Memberi

Hamdan thoiyyiban mubarakan fiihi ‘ala kulli hal

Hari ini genap umur saya 22 tahun 1 bulan 18 hari..

Saya tidak tahu sempat atau tidak umur saya mencecah usia tua. Tidak perlu berfikir jauh, usia saya mencecah 22 tahun 1 bulan 18 hari 1 saat sekalipun saya tidak tahu samada saya dapat lalui atau tidak. Itu rahsia Dia. Allah lebih mengetahui.

Meletakkan diri bersama Golongan Kanan


Selalu saya bertanya sendiri, apa yang saya nak persembahkan pada Allah jika nyawa bercerai dari jasad nanti, bila tiba masanya saya perlu kembali kepada Allah Pencipta saya? Mampukah saya meletakkan diri sekelompok dengan mereka-mereka dalam golongan kanan.


وَأَصۡحَـٰبُ ٱلۡيَمِينِ مَآ أَصۡحَـٰبُ ٱلۡيَمِينِ (٢٧) فِى سِدۡرٍ۬ مَّخۡضُودٍ۬ (٢٨) وَطَلۡحٍ۬ مَّنضُودٍ۬ (٢٩) وَظِلٍّ۬ مَّمۡدُودٍ۬ (٣٠) وَمَآءٍ۬ مَّسۡكُوبٍ۬ (٣١) وَفَـٰكِهَةٍ۬ كَثِيرَةٍ۬ (٣٢) لَّا مَقۡطُوعَةٍ۬ وَلَا مَمۡنُوعَةٍ۬ (٣٣) وَفُرُشٍ۬ مَّرۡفُوعَةٍ (٣٤) إِنَّآ أَنشَأۡنَـٰهُنَّ إِنشَآءً۬ (٣٥) فَجَعَلۡنَـٰهُنَّ أَبۡكَارًا (٣٦) عُرُبًا أَتۡرَابً۬ا (٣٧) لِّأَصۡحَـٰبِ ٱلۡيَمِينِ (٣٨) ثُلَّةٌ۬ مِّنَ ٱلۡأَوَّلِينَ (٣٩) وَثُلَّةٌ۬ مِّنَ ٱلۡأَخِرِينَ (٤٠) وَأَصۡحَـٰبُ ٱلشِّمَالِ مَآ أَصۡحَـٰبُ ٱلشِّمَالِ (٤١) فِى سَمُومٍ۬ وَحَمِيمٍ۬ (٤٢) وَظِلٍّ۬ مِّن يَحۡمُومٍ۬ (٤٣) لَّا بَارِدٍ۬ وَلَا كَرِيمٍ (٤٤) إِنَّہُمۡ كَانُواْ قَبۡلَ ذَٲلِكَ مُتۡرَفِينَ (٤٥) وَكَانُواْ يُصِرُّونَ عَلَى ٱلۡحِنثِ ٱلۡعَظِيمِ (٤٦) وَكَانُواْ يَقُولُونَ أَٮِٕذَا مِتۡنَا وَكُنَّا تُرَابً۬ا وَعِظَـٰمًا أَءِنَّا لَمَبۡعُوثُونَ (٤٧)


Alangkah bahagianya golongan kanan itu. Berada diantara pohon bidara yang tidak berduri. Dan pohon pisang yang bersusun-susun (buahnya). Dan naungan yang terbentang luas. Dan air yang tercurah. Dan buah-buahan yang banyak. Yang tidak berhenti (buahnya) dan tidak terlarang mengambilnya. Dan kasur-kasur yang tebal lagi empuk. Sesungguhnya Kami menciptakan mereka (bidadari-bidadari) dengan langsung. Dan Kami jadikan mereka gadis-gadis perawan. Penuh cinta lagi sebaya umurnya. (Kami ciptakan mereka) untuk golongan kanan. (Yaitu) segolongan besar dari orang-orang terdahulu. (Dan segolongan besar pula dari orang-orang yang kemudian.)
(Surah al-Waqi’ah: 27 – 47)

Saya merasa tidak layak untuk ke SyurgaNya. Namun untuk ke neraka, saya tidak sanggup sama sekali. Saya takut dan gerun pada seksaan Allah.

Hidup untuk menyembah Dia

Tidak banyak masa yang tinggal. Saya harus memaknakan nikmat kesempatan yang Allah berikan. Nur yang Allah berikan tidak boleh dipersia-siakan begitu sahaja. Saya tahu kenapa saya diciptakan; saya sedar tujuan saya dihidupkan atas muka bumi; saya yakin ke mana saya perlu tuju.

وَمَا خَلَقۡتُ ٱلۡجِنَّ وَٱلۡإِنسَ إِلَّا لِيَعۡبُدُونِ


Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. 
(Surah adz-Dzariyat: 56)



Sebenarnya tiada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya. Dialah yang menjadikan kamu dari bahan-bahan bumi, serta menghendaki kamu memakmurkannya.
(Surah Hud: 61)


وَإِذۡ قَالَ رَبُّكَ لِلۡمَلَـٰٓٮِٕكَةِ إِنِّى جَاعِلٌ۬ فِى ٱلۡأَرۡضِ خَلِيفَةً۬‌ۖ قَالُوٓاْ أَتَجۡعَلُ فِيہَا مَن يُفۡسِدُ فِيہَا وَيَسۡفِكُ ٱلدِّمَآءَ وَنَحۡنُ نُسَبِّحُ بِحَمۡدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَ‌ۖ قَالَ إِنِّىٓ أَعۡلَمُ مَا لَا تَعۡلَمُونَ 
Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi. Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?. Tuhan berfirman: Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya.
(Surah al-Baqarah: 30)


Saya perlu sedar, tidak kira saya sakit, saya sibuk dengan pelajaran, saya sibuk dengan perniagaan, saya sibuk dengan urusan keluarga, mahu tidak mahu saya perlu meletakkan urusan dakwah itu dalam jadual harian saya. Allah dan beri 24 jam sehari. Saya perlu pastikan setiap hari, masa yang bergerak, ada hak-hak Allah dan hak-hak manusia yang saya kena tunaikan. Kerana saya perlu tau saya bukanlah sesiapa atas muka bumi ni. Tiada nilai langsung tanpa nikmat dan kasih sayang dari Allah. Saya perlu malu pada Allah yang dari awal lagi telah beli saya siap-siap. Saya hamba Dia. Kepada Dia juga saya akan kembali esok.


إِنَّ ٱللَّهَ ٱشۡتَرَىٰ مِنَ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ أَنفُسَهُمۡ وَأَمۡوَٲلَهُم بِأَنَّ لَهُمُ ٱلۡجَنَّةَ‌ۚ يُقَـٰتِلُونَ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ فَيَقۡتُلُونَ وَيُقۡتَلُونَ‌ۖ وَعۡدًا عَلَيۡهِ حَقًّ۬ا فِى ٱلتَّوۡرَٮٰةِ وَٱلۡإِنجِيلِ وَٱلۡقُرۡءَانِ‌ۚ وَمَنۡ أَوۡفَىٰ بِعَهۡدِهِۦ مِنَ ٱللَّهِ‌ۚ فَٱسۡتَبۡشِرُواْ بِبَيۡعِكُمُ ٱلَّذِى بَايَعۡتُم بِهِۦ‌ۚ وَذَٲلِكَ هُوَ ٱلۡفَوۡزُ ٱلۡعَظِيمُ
Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan Syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual belinya itu dan (ketahuilah bahawa) jual beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar. 
(Surah at-Taubah: 111)


Bersyukur nikmat Allah beri

Kehidupan yang saya lalui dahulu, sekarang dan akan datang, semuanya adalah kenikmatan dari Allah. Segala apa yang saya alami, kesedihan, kegembiraan, kesakitan, kejayaan semuanya bukan tertakluk pada usaha saya semata-mata. Semuanya kerana nikmat Allah memberi dengan kasih sayang. Acapkali kita terlupa. Sangka kita, semuanya datang berkat usaha kita yang tidak putus-putus. Ya, hukum alam membenarkan itu terjadi. Tetapi hakikatnya semua itu tetap berpunca dari Allah. Dia lebih mengetahui apa yang terbaik untuk hambaNya. Sebagai hamba, perkara yang perlu saya dan kita semua lakukanlah adalah bersyukur. 


وَلَقَدۡ ءَاتَيۡنَا لُقۡمَـٰنَ ٱلۡحِكۡمَةَ أَنِ ٱشۡكُرۡ لِلَّهِ‌ۚ وَمَن يَشۡڪُرۡ فَإِنَّمَا يَشۡكُرُ لِنَفۡسِهِۦ‌ۖ وَمَن كَفَرَ فَإِنَّ ٱللَّهَ غَنِىٌّ حَمِيدٌ۬
Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepada Luqman, hikmat kebijaksanaan, (serta Kami perintahkan kepadanya): Bersyukurlah kepada Allah (akan segala nikmatNya kepadamu) dan sesiapa yang bersyukur maka faedahnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji. 
(Surah al-Luqman: 12)


Jangan lupa untuk bersyukur. Jangan hanya pada lisan sahaja, sahabat-sahabat. Tidak cukup tu. Bukan bersyukur namanya jika di lidah menitipkan lafaz hamdalah, namun dari gerak tubuh tidak menzahirkan langsung rasa kesyukuran. Saya selalu mengingatkan diri saya dan para usrati. Nak bersyukur perlu syukur betul-betul. Bukan hanya dilidah tapi kena memaknakan kalimah kesyukuran itu dalam perilaku kita. Nikmat telinga, kita gunakan dengan cara mendengar kata-kata hikmah yang mengajak kepada kebaikan, bukan dengar orang mengata mengeji; nikmat mata, kita gunakan untuk lihat kejadian-kejadian ciptaan Allah, bukan menonton benda bukan-bukan; nikmat mulut, kita gunakan untuk mengajak orang kepada kebaikan, bukan meraikan orang mengumpat. Sama juga dengan nikmat-nikmat yang lain. Allah beri nikmat, kita bersyukur dengan menggunakan kenikmatan itu ke jalan yang diredhaiNya, jalan yang dapat mendekatkan diri kita kepadaNya, jalan yang membuat kita sentiasa berfikir tentangNya. Barulah kena dengan gaya orang bersyukur.

Ilmu untuk diberi dan dikongsi bukan untuk diterima lalu disimpan sepi


Saya tidak mahu sibuk mencari kesalahan orang lain sehingga lupa memperbetulkan diri yang sedia ada salah.

Saya tidak mahu hanya melakukan pengislahan diri, sehingga terlupa menarik sama orang di sekeliling dari terjunam ke genggaman zabaniah.


Sesiapa yang dilantik menjadi pemimpin kepada manusia maka dia hendaklah mengajar dirinya terlebih dahulu sebelum mengajar orang lain. Dan dia hendaklah memperelokkan setiap tindak tanduknya seharian sebelum memperelokkan dengan lidah. Dan sesiapa yang mengajar dirinya sendiri serta memperelokkannya lebih layak untuk mendapat kemuliaan daripada mereka yang mengajar dan memperelokkan manusia yang lain.
(Saidina Ali bin Abi Thalib)

“Seseorang yang mempunyai kerabat semasa di dunia, tetapi di akhirat apabila mereka bertemu kerabatnya mereka berkata: Sesungguhnya engkau bukan kaum kerabatku, jika engkau kaum kerabatku mengapa semasa aku melakukan maksiat di dunia dahlu engkau hanya berdiam diri, sikit pun engkau tidak mencegah aku daripada melakukan maksiat itu.”

Ilmu itu lebih baik daripada harta. Ilmu menjaga engkau dan engkau menjaga harta. Ilmu itu penghukum (hakim) dan harta terhukum. Harta itu kurang apabila dibelanjakan tapi ilmu bertambah bila dibelanjakan.
(Saidina Ali bin Abi Talib)


Saya tidak boleh pentingkan diri. Ilmu yang ada tidak guna sekiranya hanya diguna pakai seorang diri. Ilmu yang ada untuk dikongsi, disebar-sebarkan supaya yang mendengar mendapat manfaat dan yang bercakap juga turut termanfaat sama. Telinga yang bercakap lagi dekat dari telinga yang mendengar. Sekurang-kurangnya, dengan bercakap saya dapat mengingatkan diri saya apa yang saya lupa.

Berlumba-lumba memaknakan rasa memberi

Pengorbanan seorang insan bernama Ahmad Khariri al-Hadi Md Yusop (gambar), menjentik hati saya supaya jangan berputus asa dalam memberi. Jangan mudah mengalah andai pemberian tidak disambut seperti mana yang kita mahukan. Sedangkan Nabi ada yang tidak berpengikut, apatah lagi kita sekadar manusia biasa yang cuba untuk berdakwah. Hidayah bukan kita yang beri. Semua yang melibatkan hati, ianya adalah urusan Allah. Jangan berputus asa.

Baginda s.a.w. bersabda kepada al-Asyaj: 

"Hendaklah anda memiliki dua sifat terpuji yang kedua-duanya amat disukai Allah SWT, iaitu sifat sabar dan tenang (dalam bertindak)."
(Hadis Sohih riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Ramai orang berlumba-lumba mahu memberi. Saya pun nak juga. Apa yang saya ada saya nak beri kepada sesiapa sahaja yang saya mampu. Saya mahu memberi sebanyak-banyaknya sebelum Allah tarik nikmat nafas itu daripada saya. Terlalu banyak hak manusia yang perlu saya tunaikan, begitu juga orang lain terhadap saya. Kembalikan hak saya. Tunaikan. Tegur saya jika saya salah, capai tangan saya jika saya terjatuh, tarik saya jika saya naik tinggi melangit, ingatkan saya andai saya lupa untuk memberi sebanyak-banyaknya.

Hidup biarlah berbakti, walaupun tidak dipuji



p/s: Saya mahu memberi apa jua yang saya ada sebelum saya ditarik peluang merasai nikmat hidup bernafas.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...