Mar 7, 2008

ayuh laksanakan tanggungjawab!

Pada 8hb Mac ini, rakyat Malaysia akan keluar mengundi. Dalam kesibukan pilihan raya ini, timbullah di kalangan kaum Muslimin di Malaysia pelbagai pandangan mengenai urusan ini. Fatwa dan pandangan terdengar di sana-sini mengenai pilihan raya dan hukum melibatkan diri dengannya. Ada yang mewajibkannya, dengan menggunakan pelbagai dalil bagi menggalakkan rakyat untuk keluar mengundi dan ada yang mengharamkannya kerana mengikut dakwaan mereka perkara ini tidak pernah ada pada zaman Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam. Bagi menjawab persoalan mengenai hukum melibatkan diri dengan proses pilihan raya, kami akan membawa/menjelaskan realiti pilihan raya itu sendiri yakni pilihan raya yang diamalkan dalam sistem demokrasi sekarang ini dan seterusnya menjelaskan dalil-dalil syarak mengenainya.

Adapun
hukum asal pilihan raya dalam Islam adalah mubah (harus). Ini kerana ‘pilihan raya’ (intikhab) yang dijalankan dalam Islam, sebagaimana yang berlaku pada zaman Rasulullah hanyalah (bertujuan) untuk memilih wakil bagi mewakili kaum masing-masing (waktu itu Aus dan Khazraj), manakala pada zaman Khulafa’ Rasyidin, intikhab dilakukan untuk memilih Khalifah itu sendiri dan juga untuk memilih wakil dalam Majlis Syura (Majlis Umat). Perlu difahami dan dibezakan di sini fungsi Majlis Ummat adalah untuk muhasabah pemimpin dan musyawarah antara mereka serta memberi masukan/input kepada pemerintah. Majlis Syura ini bukannya majlis untuk membuat/menggubal undang-undang atau merubah undang-undang. Ia berbeza sama sekali dengan realiti pilihan raya yang ada dalam sistem demokrasi sekarang.

Bertolak dari sini, kita mestilah memahami dan membezakan realiti intikhab di masa Rasulullah dengan realiti intikhab dalam sistem demokrasi yang ada sekarang. Untuk mengetahui hukum syarak mengenai masalah pilihan raya sekarang, kita perlulah mengkaji terlebih dahulu realitinya (tahqiq al-manath). Yang pertama sekali, kita mestilah faham perbezaan di antara ‘pilihan raya’ dan ‘demokrasi’ itu sendiri.
Pilihan raya tidak sama dengan demokrasi dan demokrasi tidak sama dengan pilihan raya. Pilihan raya hanyalah salah satu cara/uslub dalam sistem demokrasi untuk memilih wakil (bukan memilih pemimpin). Manakala demokrasi pula adalah sebuah sistem pemerintahan di mana hak membuat undang-undang berada di tangan manusia. Hukum pilihan raya adalah berbeza dengan hukum demokrasi. Hukum demokrasi jelas haram dalam Islam berdasarkan nas-nas yang qath’i.

Seperkara lagi yang perlu difahami dan dibezakan adalah ‘suara majoriti’. Suara majoriti tidak sama dengan demokrasi dan tidak sama dengan pilihan raya. Suara majoriti tidak salah untuk diambil dalam membuat sesuatu keputusan yang bersifat mubah (harus), contohnya majoriti bersetuju melantik A sebagai pemimpin atau majoriti bersetuju untuk pergi ke suatu tempat dengan menaiki bas. Namun suara majoriti akan menjadi haram apabila yang disepakati adalah bertentangan dengan hukum syarak. Contohnya majoriti bersetuju untuk merejam penzina dengan 6 kali sebatan, atau majoriti bersetuju untuk memenjarakan seorang pencuri, atau majoriti bersetuju untuk menghalalkan sistem perbankan riba. Dalam aspek menggubal undang-undang, suara majoriti juga menjadi haram walaupun yang dipersetujui (secara majoriti) adalah suatu yang bertepatan dengan hukum syarak. Contohnya majoriti bersetuju untuk gubal undang-undang bahawa solat itu wajib atau puasa itu wajib atau riba itu haram. Ini kerana kewajipan solat dan puasa dan keharaman riba adalah datang dari Allah sebagai Zat Pembuat undang-undang. Jadi, tidak kira sama ada majoriti bersetuju atau tidak, solat tetap wajib dan riba tetap haram. Ia bukan untuk disetujui atau diundi oleh manusia. Ia (hukum syarak) adalah untuk dilaksanakan oleh manusia. Manusia tidak ada sebesar zarah pun hak untuk mencadangkan, apatah lagi menggubal dan mengundi hukum Allah untuk diluluskan secara majoriti.

Pilihan raya yang dijalankan dalam sistem demokrasi hakikatnya adalah merupakan pemilihan wakil untuk ke Parlimen/DUN untuk menggubal undang-undang. Dengan kata lain ia adalah pemilihan ahli-ahli majlis tasyri' yakni majlis yang akan membuat undang-undang. Jadi, majlis perwakilan (wakil Parlimen atau wakil DUN), fungsi utama mereka (apabila menang) adalah berada dalam majlis tasyri' untuk membuat undang-undang. Autoriti majlis ini adalah untuk menggubal undang-undang, meminda dan menghapuskannya dengan suara majoriti. Inilah tahqiq al-manathnya. Oleh yang demikian (setelah jelas akan realitinya), maka barulah hukum syarak bagi realiti ini digali untuk diselesaikan. Sehubungan itu, kami akan menjelaskan hukum syarak mengenai penyertaan di dalam pilihan raya dan juga kedudukan mereka yang berdalil dengan suara majoriti dalam sistem demokrasi ini.

Pilihan raya hakikatnya merupakan suatu bentuk perwakilan (wakalah). Oleh itu, ia haruslah mematuhi semua syarat-syarat dan rukun akad wakalah agar akad ini menjadi akad yang sah di sisi syarak.

Wakalah melibatkan beberapa aspek yakni
(i) ijab dan kabul
(ii) pihak yang diwakili (muwakkil) 
(iii) pihak yang menjadi wakil (wakil)
(iv) perkara yang harus dilakukan oleh wakil dalam urusan perwakilan ini dan 
(v) bentuk (sighah) perwakilan tersebut.


Majlis perwakilan, berdasarkan peruntukan di dalam perlembagaan di kebanyakan negeri kaum Muslimin (di Malaysia di kenali sebagai Parlimen dan DUN), bertanggungjawab menjalankan beberapa fungsi utama. Antaranya adalah menggubal undang-undang, melantik ketua negara atau membatasi calon-calon ketua negara, memberikan kepercayaan penuh kepada pemerintah (dalam urusan pemerintahan), mengesahkan pelbagai undang-undang, persetujuan dan perjanjian serta mengawasi dan memuhasabah pemerintah negara.

Adapun mengenai penggubalan undang-undang, ia merupakan aktiviti yang tidak dibolehkan (haram) bagi seorang Muslim untuk melakukannya, tidak kira sama ada ia terlibat secara langsung dalam penggubalan ataupun terlibat dalam pengundian (sokong atau tidak), meskipun undang-undang yang digubal itu ‘selari’ dengan hukum Islam yang mulia (sebagaimana dijelaskan di atas). Ini adalah kerana, ketika hukum Islam diambil dan dirujuk, ia didasari dengan dalil syarak yang terpancar dari aqidah Islam yang diwahyukan Allah. Seseorang Muslim tidak dibolehkan membuat undang-undang, tetapi kewajiban mereka hanyalah untuk menerima dan menerapkan syariat Allah sahaja dan bukan yang lain, tidak kira sama ada ia dipersetujui secara majoriti atau tidak. Hukum Allah (apatah lagi hukum kufur) bukan untuk dibuat, diundi dan diluluskan dengan majoriti. Oleh itu, hak untuk membuat undang-undang (hukum) hanyalah terletak pada Allah semata-mata. Tidak ada sesiapapun yang berhak meletakkan dirinya setara dengan Allah ‘Azza wa Jalla dalam membuat undang-undang.

Allah berfirman:

“…hanya Allah jualah yang menetapkan hukum…..” [TMQ Al-an’aam (6) :57]

“Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya”
[TMQ Al-Nisa’ (4):65]

“Dan janganlah kamu berdusta dengan sebab apa yang disifatkan oleh lidah kamu: "Ini halal dan ini haram", untuk mengada-adakan sesuatu yang dusta terhadap Allah; sesungguhnya orang-orang yang berdusta terhadap Allah tidak akan berjaya”
[TMQ Al-nahl (16) :116]


Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam juga bersabda kepada Adi bin Hatim,

“Tidakkah mereka itu menghalalkan bagi mereka apa yang telah diharamkan (oleh Allah) dan mengharamkan apa yang telah dihalalkan?, dan Adi berkata, ‘ya’, maka Rasulullah berkata, ‘Maka mereka itu telah menyembah (rahib dan pendeta) mereka”

Peristiwa ini berlaku ketika Rasulullah membacakan ayat di bawah kepadanya.

“Mereka menjadikan pendita-pendita dan rahib-rahib (ahli-ahli agama) mereka sebagai tuhan-tuhan selain dari Allah"
[TMQ Al-Taubah (9) :31]

Hakikatnya, Majlis Perwakilan (Parlimen/DUN) ini adalah majlis yang hanya menjadikan demokrasi Barat sebagai ikutannya. Ia menjadikan prinsip ‘kedaulatan di tangan rakyat’ sebagai prinsip utama. Prinsip ini meletakkan rakyat (manusia) sebagai satu-satunya institusi yang boleh menentukan hukum ke atas benda dan perbuatan, sama ada baik atau buruk. Manusia yang diwakilkan itu (wakil rakyat)lah yang berhak menentukannya, dan ia (undang-undang) hanya ditentukan semudah dengan suara majoriti. Apa yang dilihat oleh majoriti (wakil) rakyat sebagai buruk, maka buruklah ia dan apa yang dilihat oleh majoriti (wakil) rakyat sebagai baik, maka baiklah ia. Prinsip ini dijadikan sebagai autoriti yang tertinggi dalam demokrasi, sistem kufur yang bertentangan seratus peratus dengan Al-Quran dan Sunnah.

Adapun dalam memberikan kepercayaan kepada pemerintahan sekular yang tidak berhukum dengan apa yang diturunkan Allah, memilih pemimpin negara serta mengesahkan pelbagai undang-undang, perjanjian dan persetujuan, seorang Muslim tidak dibolehkan terlibat dengannya. Seorang Muslim tidak boleh meletakkan kepercayaan kepada pemerintah yang memerintah dengan selain dari hukum Allah. Seorang Muslim juga tidak boleh terlibat dalam mengesahkan apa-apa perjanjian yang dibuat atas dasar kufur kerana ini akan menyebabkan kaum kuffar diberikan jalan-jalan untuk menguasai negeri kaum Muslimin. Dalam hal ini,

Allah berfirman:

“...dan Allah tidak sekali-kali akan memberi jalan kepada orang-orang kafir untuk (menguasai) orang-orang yang beriman”
[TMQ Al-Nisa’ (4) :141]

Mengenai fungsi mengawasi negara dan memuhasabah para pemerintah, ini merupakan suatu kewajiban syarak ke atas kaum Muslimin dalam menjalankan tanggungjawab amar ma’ruf nahi mungkar. Ini adalah merupakan hak dan kewajiban majlis perwakilan untuk menjalankannya. Oleh itu (untuk hak dan tanggungjawab ini dijalankan oleh seseorang ahli majlis perwakilan), terdapat syarat-syarat syar’i yang perlu dipenuhi sekiranya seseorang ingin mencalonkan dirinya untuk pilihan raya (majlis perwakilan) pada hari ini. Pencalonan hendaklah berpandukan kepada syarat –syarat ini, namun ia (syarat-syarat ini) tidak boleh dijadikan sebagai kebenaran (untuk pencalonan) secara mutlak.

Syarat-syarat tersebut adalah:-


(1) Dia mestilah mengisytiharkan dengan jelas dan lantang (tidak cukup dengan niat dan tidak dibolehkan berpura-pura) bahawa ia menolak sistem kapitalisme Barat dan kesemua sistem kufur.

(2) Dia mestilah mengisytiharkan bahawa fungsinya di Parlimen (jika menang) adalah untuk mengubah sistem kufur dan menggantikannya dengan sistem Islam.

(3) Dia akan berkempen hanya dengan apa yang diambil dari Al-Quran dan Sunnah Rasul.

(4) Dia mestilah mengisytiharkan bahawa dia akan menggunakan Parlimen sebagai platform untuk berdakwah kepada Islam.

(5) Dia tidak akan masuk dalam pencalonan (parti) sekular, mahupun bekerjasama dengan mereka, kerana mereka ini adalah penyokong kepada sistem kufur.

(6) Dia tidak dibolehkan merapatkan diri dengan badan Eksekutif dan Judikatif (dengan mereka yang menerapkan (hukum) serta mereka yang terlibat dengan perundangan) dan memasukkan namanya sebagai calon untuk tujuan bermanis muka dengan badan-badan ini yang merupakan sandaran bagi mereka yang berlaku zalim.


Allah swt berfirman,

“Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim maka (kalau kamu berlaku demikian), api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan” [TMQ Hud:113]

(7) Bahawa kempennya di sepanjang waktu pencalonannya ini bertujuan agar umat manusia memahami objektif-objektif yang telah disebutkan di atas.


Berdasarkan apa yang telah kami jelaskan, kami berpandangan bahawa sebahagian besar dari fungsi ahli-ahli majlis perwakilan melibatkan perkara-perkara yang diharamkan ke atas mereka untuk melakukannya. Ini termasuklah fungsi menggubal undang-undang yang bertolak belakang dari Al-Quran dan Sunnah, fungsi melantik ketua negara yang tidak berhukum dengan hukum Allah, memberikan kepercayaan kepada pemerintah yang memerintah dengan hukum yang bukan diturunkan oleh Allah dan mengesahkan pelbagai perjanjian dan persetujuan yang dibina atas dasar kufur, membolehkan pihak kuffar untuk menguasai kaum Muslimin. Mana-mana calon yang dicalonkan sebagai ahli Parlimen atau DUN untuk menjalankan fungsi-fungsi ini sesungguhnya telah berdosa dan kaum Muslimin tidak dibolehkan untuk membantu mereka, memilih mereka mahupun mengucapkan tahniah kepada mereka sekiranya mereka berjaya.

Bagaimanapun, terdapat satu fungsi dari fungsi-fungsi ahli majlis perwakilan yang diperintahkan oleh syarak. Dan bagi menjalankan fungsi ini, dibolehkan seorang Muslim untuk terlibat di dalam pilihan raya. Namun begitu, ia hanya dibolehkan sekiranya pencalonan ini berpandukan syarat-syarat yang telah ditetapkan di atas. Fungsi ini adalah fungsi memuhasabah pemerintah dan negara sekiranya ia menjalankan perkara yang menyalahi hukum syarak. Malah, ahli majlis perwakilan wajib menjadikan Parlimen sebagai platform dalam usaha untuk menghancurkan sistem, perlembagaan dan undang-undang yang dibina di atas asas kekufuran. Parlimen juga mesti dijadikan sebagai platform untuk mengingatkan manusia bahawa kewujudan undang-undang dan negara yang diasaskan atas dasar ini merupakan suatu kemungkaran, bahkan ia merupakan ibu kepada segala kemungkaran yang ada dan oleh itu ia wajib dihapuskan dan dibina di atasnya Daulah Islam yang akan berhukum dengan hukum Allah secara kaffah. Daulah yang dimaksudkan ini adalah Daulah Khilafah Rasyidah yang didirikan atas jalan kenabian.

Seseorang yang ingin menjalankan fungsi yang mulia ini tidaklah perlu merasa terkilan sekiranya tidak berjaya menjadi ahli Parlimen tersebut kerana sesungguhnya, platform untuk menjalankan fungsi ini (dakwah kepada Islam) terdapat di mana-mana dan tidak hanya terbatas di Parlimen sahaja. Bahkan dengan menjadi ahli Parlimen, seorang Muslim itu mungkin akan berubah akibat pelbagai godaan, peluang dan kekayaan yang tersedia, lantas mengganggu konsistensi dan keikhlasannya dalam menjalankan dakwah hanya untuk Allah Subhanahu wa Ta’ala, bukan untuk mendapat habuan dunia.

Wahai kaum Muslimin!

Sesungguhnya Islam mewajibkan ke atas kita untuk muhasabah para pemerintah dan mengubah mereka melalui jalan yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah Sallallahu ’alaihi wa Sallam, yakni dengan peperangan pemikiran (sira’ul fikr) dan penentangan politik (kifah siyasi) sekiranya hukum yang dijalankan adalah selain dari hukum Allah. Sekiranya ini tidak kita lakukan, maka pastilah situasi kita akan menjadi semakin buruk dan Allah akan menghukum kita di dunia dan akhirat. Sesungguhnya mengubah keadaan (kaum Muslimin) sekarang bukanlah suatu yang mustahil, seperti mana yang kerap digembar-gemburkan oleh mereka yang jahil, pengecut dan dalam kesesatan. Mengubah suasana ini merupakan suatu yang mampu dilakukan oleh umat Islam sekiranya umat ini bertawakal kepada Allah dan menjalankan apa yang telah diwajibkanNya ke atas kaum Muslimin. Janganlah rasa putus asa menyelubungi diri kita sehingga kita berdiam diri dengan sistem kufur yang mendominasi saat ini. Janganlah kita membiarkan segala ilusi (bahawa kita tidak akan dapat berubah) ini mengalihkan pandangan kita dari berusaha untuk mengubah situasi umat dan melanjutkan kehidupan Islam serta menyebarkan Islam ke seluruh dunia melalui Daulah Khilafah yang akan menyatukan seluruh kaum Muslimin. Umat ini, Insya Allah akan disatukan di bawah seorang pemimpin dan kibaran bendera Islam yang satu di mana negeri-negeri kaum Muslimin yang bertaburan akan disatukan dan umat Islam akan dibebaskan dari ketidakadilan sistem kufur yang rosak kepada keadilan Islam. Maka akan wujudlah negara yang satu, Khilafah Rasyidah, yang menerapkan Islam dan menegakkan jihad sehinggalah Islam mendominasi dan mengatasi segala din (cara hidup) yang lain.

“Kepada pentadbiran Allah jualah kembali segala urusan, sebelum berlakunya dan sesudah berlakunya; dan pada ketika berlakunya (kemenangan Rom) itu, orang-orang yang beriman akan bergembira - dengan kemenangan yang diberi Allah. Ia memberi kemenangan kepada sesiapa yang dikehendakiNya, dan Dialah jua yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani. Demikian dijanjikan Allah. Allah tidak pernah mengubah janjiNya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat yang sebenarnya)”
[TMQ Al-Rum (30):5-6]









p/s : tinggal beberapa jam sahaja lagi, selamat mengundi buat semua~ semoga selamat pergi selamat kembali =)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...