Aug 13, 2009

Mujahid Mujahidah Kecil

Hari-hari yang berlalu semalam cukup bermakna. Saya dikelilingi oleh mujahid-mujahidah kecil. Hilai tawa mereka masih terngiang-ngiang kat telinga. Suara kecil mereka yang comel bak upin ipin cukup menghiburkan. Dari anak buah, sepupu-sepupu, anak cikgu, hinggalah ke kanak-kanak setaman permainan (adik-adik kecil yang menceriakan taman permainan di kawasan perumahan setiap petang).. berlari-lari keseronokan..

Ceria rasanya ..

Mujahid Mujahidah Kecil

Si kecil ini adalah anugerah dan amanah Allah swt. Mereka adalah jantung hati dan penyejuk mata kita. 


Harta benda dan anak pinak itu, ialah perhiasan hidup di dunia.
(Surah al-Kahf: 46)


Seorang penyair berkata:


Anak-anak adalah jantung hati kita yang berjalan di atas permukaan bumi.
Jika angin kencang bertiup ke arah mereka, aku sudah tidak dapat melelapkan mata.


Merekalah penerus zuriat keturunan kita selepas kematian kita. Mereka penenang hati, kerehatan minda dan ketenangan jiwa kita. Mereka; dengan pertolongan Allah, adalah penyandar yang sentiasa menyokong dan memberikan kekuatan kepada kita. Mereka juga menjadikan dada kita lapang dan merealisasikan cita-cita agama dan dunia.

Oleh itu, si kecil ini hendaklah sentiasa dididik sebagaimana dikatakan orang “hendaklah kamu mendidik anak-anak kamu sebaiknya kerana mereka dijadikan untuk suatu zaman yang berlainan dengan zaman kamu.

Fasihah Huda

Puteri Nur Zarith Sofia

Suatu Manhaj yang Baik

Sayyidina Ali menyarankan:


Hendaklah engkau bermain dengan anak engkau pada 7 tahun pertama. Ajarkanlah adab sopan kepadanya pada 7 tahun kedua. Bersahabatlah dengannya pada 7 tahun ketiga. Kemudian engkau boleh membiarkannya selepas itu.


Ia adalah satu manhaj yang tidak memerlukan kepada manhaj lain yang diimport dari luar atau diambil daripada seseorang yang sebenarnya meletakkan racun di dalam madu. Islam telah menetapkan suatu cara yang paling ideal untuk mendidik anak-anak semenjak awal kedatangan seseorang anak ke dunia, iaitu dengan kita disuruh untuk mengalunkan suara azan pada telinga kanannya dan iqamat pada telinga kirinya, kemudian memilih nama yang paling baik baginya.

Kemudian si ayah dituntut untuk melakukan aqiqah untuk anaknya yang baru dilahirkan sebagai menunjukkan rasa syukur kepada Allah swt. Di samping itu, ia juga sebagai mengisytiharkan dan merayakan kedatangan seorang muslim yang baru dan kehadiran seorang pemuda atau pemudi yang akan menjulang panji masa depan lalu ia berhak untuk disambut oleh semua orang dengan mengatakan:

“Semoga anak anda diberkati, kerana anda mensyukuri Allah Tuhan Pemberi dan semoga anda dikurniakan kebaikannya sehingga ia meningkat remaja.”

Kemudian kita sempurnakan perjalanan pendidikan anak-anak dengan mengajarkannya adab sopan dalam masa 7 tahun, dan seterusnya menjadikannya sebagai kawan 7 tahun selepas itu.

Muhammad Darwish Haikal

Muhammad Zarif Irfan



Cinta Semulajadi

Cinta paling indah yang diciptakan oleh Allah pada diri manusia ialah cintakan anak-anak, kerana mereka adalah sebahagian daripada diri seseorang ayah, bukti kasih sayang yang terdapat di dalam hati si ayah dan lainnya.

Saksikanlah pemandangan indah berikut:

Rasulullah SAW pernah mengucup Sayyidina Hasan bin Ali sedang al-Aqra‘ bin Habis duduk di sisi baginda. al-Aqra‘ berkata: “Aku mempunyai 10 orang anak. Tidak pernah aku mengucup seorang pun daripada mereka.” Lalu Rasulullah SAW memandang kepadanya seraya bersabda yang bermaksud:



“Sesiapa yang tidak mengasihi, tidak akan dikasihi.”


Lihatlah kepada hikmat nabawi ini. Baginda SAW menjadikan kucupan sebagai bukti kasih sayang dan tidak melakukannya sebagai tanda kekerasan dan ketiadaan kasih sayang. Perkara yang sama juga turut diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari: Seorang Arab Badwi berkata kepada Nabi SAW: “Adakah engkau mengucup dan mencium anak-anak kecilmu? Kami tidak pernah mengucup atau mencium anak-anak kecil kami.” 


Lalu Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Aku tidak mempunyai apa-apa bagi engkau, kerana Allah swt telah mencabut perasaan kasih sayang daripada hati engkau.”


Ini perlu dilakukan agar hati si anak kecil terbuka untuk menerima adab sopan dan pengajaran selepas itu dengan penuh perasaan kasih sayang.

Bermain dan Bersenda Gurau

Pada suatu hari, Jabir r.a. masuk menemui Nabi SAW dalam keadaan baginda SAW merangkak di atas kedua tangan dan kaki baginda, sementara Hasan dan Husain berada di atas belakang baginda SAW seraya baginda bersabda yang bermaksud:


“Sebaik-baik unta ialah unta kamu ini, dan sebaik-baik penunggang ialah kamu berdua.”


Alangkah indahnya pemandangan tersebut. Alangkah baiknya jika kita dapat mempelajarinya. Keadaan ini tidaklah merendahkan kedudukan dan martabat seseorang bahkan sebaliknya ia meninggikan kedudukan dan martabatnya. Apabila anak-anak membesar dalam keadaan tersebut, mereka menjadi seperti sahabat dan rakan baik kepada ibubapa mereka. Mereka akan sentiasa berterus terang kepada ibubapa mereka tentang segala permasalahan yang mereka hadapi, lalu memudahkan ibubapa untuk menyelesaikan masalah tersebut. Manakala ibubapa yang meletakkan batu penghalang di antara mereka dengan anak-anak, sudah pasti tidak munasabah jika mereka ingin agar anak-anak mereka berterus terang dengan mereka tentang permasalahan yang dihadapi.

Ambillah pengajaran daripada hakikat kebenaran ini.

Umar Memecat Pegawai Yang Keras Hatinya

Adakah seseorang yang tidak berjaya mendidik anaknya akan berjaya mendidik orang lain? Begitu juga, jika seseorang tidak berjaya memandu rumahtangganya, bagaimana dia akan berjaya memandu orang lain, bahkan bagaimana mungkin dia boleh menjadi orang yang dipertanggungjawabkan dengan sesuatu tanggungjawab sedangkan dia telah cuai terhadap tanggungjawab pertama yang diamanahkan oleh Allah kepadanya? Hakikat ini dapat dilihat dengan jelas melalui satu peristiwa yang berlaku kepada Sayyidina ‘Umar r.a.:

Pada suatu hari, seorang gabenor beliau masuk berjumpa dengan beliau. Pada ketika itu, Umar sedang bermain-main dengan beberapa orang anaknya. Keadaan tersebut seolah-olah diingkari oleh gabenornya itu, lalu Umar berkata: “Apakah yang engkau lakukan dengan ahli keluarga engkau?” Gabenor itu menjawab: “Apabila aku masuk, semua orang akan diam.” Umar berkata kepadanya: “Hendaklah engkau meletakkan jawatan. Jika engkau tidak berlemah lembut terhadap keluarga dan anak-anak engkau, sudah pasti engkau tidak akan berlemah lembut terhadap umat Muhammad SAW.”

Subhanallah! Hanya kerana dia tidak berlemah lembut terhadap anak-anaknya?!

Alangkah ramainya daripada kalangan kita yang patut dipecat daripada jawatannya?

Pisahkan Antara Mereka di Tempat Tidur

Kaedah ini merupakan antara kaedah pendidikan Nabi SAW yang paling indah. Ia bermaksud bahawa anak-anak lelaki dan anak-anak perempuan masing-masing mesti dididik dengan cara yang tersendiri yang mesti diambil kira oleh ibubapa.

Anak-anak lelaki tidak sepatutnya dibiasakan masuk atau bertemu dengan tetamu perempuan. Mereka hendaklah sentiasa berdamping dengan si ayah terutamanya untuk pergi ke masjid bagi mendirikan sembahyang fardu berjamaah. Mereka juga hendaklah ditanam semenjak kecil lagi bahawa sifat-sifat lelaki dan tanggungjawabnya adalah berbeza dengan perempuan. Si ayah hendaklah mengambil kira tentang perkara ini terutamanya ketika zaman remaja dengan menyediakan pakaian dan wangian yang sesuai dengan mereka. Si ayah juga hendaklah sentiasa mendekatkan dirinya dengan anak-anak lelaki, banyak keluar dengan mereka dan sentiasa menemani mereka.

Begitu juga dengan anak perempuan. Mereka tidak dibenarkan untuk biasa keluar menemui para tetamu lelaki bahkan hendaklah ditanam di dalam minda mereka bahawa perbuatan tersebut adalah suatu keaiban. Mereka juga hendaklah dilatih untuk tidak menanggalkan pakaian mereka di hadapan adik beradik lelaki atau di hadapan ayah mereka sendiri. Mereka juga hendaklah diajar dengan adab-adab sopan yang baik dan perasaan malu semenjak kecil lagi. Si ayah atau ibu janganlah membelikan pakaian yang singkat atau pendek untuk anak-anak perempuan mereka. Mereka juga hendaklah menyediakan segala keperluan anak-anak perempuan mereka terutamanya ketika mereka menghampiri umur baligh. Anak-anak perempuan hendaklah lebih dekat dengan ibu mereka, kerana ibu merekalah yang sepatutnya menerangkan segala perkara berkaitan dengan kewanitaan dan membelai mereka sehingga mereka berjaya sampai ke daratan keamanan dan keselamatan.

Kewajipan Praktikal

  • Sentiasa memperbaharui niat dan tekad untuk memberikan pendidikan yang baik kepada anak-anak agar proses tersebut dikira sebagai sebahagian daripada amalan kebaikan anda.
  • Panggillah anak-anak anda dengan panggilan yang paling mereka sukai dan manjakan mereka semasa kecil tetapi tidak melampaui batas.
  • Seronokkanlah mereka dengan bercerita kepada mereka tentang kisah-kisah yang menarik dengan memberikan penumpuan kepada pengajaran dan iktibar yang boleh diambil.
  • Sentiasa membawa anak-anak anda berkelah dan keluar rumah begitu juga untuk ke masjid.
  • Selalulah mengucapkan kata-kata yang memberikan perangsang kepada mereka.
  • Jawab segala soalan dan permasalahan yang mereka kemukakan dan hadapi.
  • Sentiasalah berbincang dengan mereka dan ajarkanlah mereka untuk selalu berbincang dengan orang lain dan untuk tidak bersifat diktator.
  • Akhirnya, anda hendaklah sentiasa berdoa untuk kebaikan mereka.

Membesarlah duhai mujahid mujahidah, moga kelak dikau akan dapat mewarisi rantaian perjuangan ini ..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...