Oct 19, 2007

Eid Mubarak..Taqabalallahu minna waminkum


alhamdulillah..diam tak diam dah 8 Syawal dah hari ni. Bermakna dah 8 hari berlalu setelah kita berjaya merentasi segala dugaan dan cabaran Ramadhan al-Mubarak. Moga tarbiyyah Ramadhan tahun ni dapat membentuk peribadi kita sebagai Muslimin dan Muslimah sejati yang menjadi asas kepada pembentukan Ummah yang cemerlang.

Hari raya AIDILFITRI adalah hari raya FITRAH. Hari umat Islam meraikan kemenangan setelah sebulan berada dalam Madrasah Ramadhan.

Pada pagi Syawal tersebut, banyak sangat perkara sunat yang boleh kita laksanakan. Pertamanya, bangun awal dan laksanakan ibadah qiamullail. Kemudian, setelah menunaikan Solat Subuh, pergi menziarahi pusara. Bukan 'orang hidup' sahaja yang perlu dilawat, tetapi mereka yang telah 'kembali kepada tanah' juga perlu diziarahi supaya kita ingat akan kematian.


Sekembali dari pusara, bersihkan badan setelah ziarah pusara dan mandi sunat sempena menyambut ketibaan bulan Syawal.

"Nawaitul ghusla min yaumi 'idilfitri sunnatan lillahi ta'ala"
Sahaja aku mandi pada hari raya fitrah sunat kerana Allah Ta'ala

Setelah segar, sarungkan pakaian yang hebat lagi cantik ke tubuh. Hijab auratmu dari pandangan manusia bernafsu. Sunat bagi MUSLIMIN untuk memakai haruman yang wangi. Dah siap berpakaian semua, alas perut dengan menjamu sedikit makanan sebelum berkonvoi ke masjid. Ajak sefamili sama-sama ke masjid menunaikan Solat Sunat Aidilfitri.

Sampainya di masjid, dirikan Solat Sunat Tahiyyatul Masjid. Selesai solat janganlah berborak kosong. Seeloknya, sambil menunggu jemaah lain sampai, isi masa yang ada dengan bertakbir, bertahmid dan bertasbih.



Tiba masanya, laksanakan Solat Sunat Aidilfitri.

"Usolli sunnata 'aidilfitri rak'ataini lillahi ta'ala"
Sahaja aku sembahyang sunat hari raya fitrah dua raka'at kerana Allah Ta'ala

Setelah sempurna menunaikan solat, hayati pula dua khutbah yang disampaikan oleh imam. Kemudian sebelum pulang, saling bersalam-salaman sesama para jemaah sambil berselawat puji-pujian buat junjungan mulia Nabi Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wassalam.

Balik sahaja dari masjid, ahli keluarga saling bermaaf-maafan. Masa ni lah kesempatan yang ada untuk saling bermaafan (walaupun tak semestinya pada hari raya) tapi bagi ahli keluarga yang tinggal jauh, ni lah kesempatan yang terbaik. Cumanya, jangan asyik tunggu raya baru nak bermaafan sebab kita tak tau bila nafas kita akan terhenti.

Bagi yang besar saat ni sangat bermakna kerana kita tahu nilai berjabat salam kemaafan yang dihulurkan. Namun bagi si kecil, saat ini juga 'bermakna' buat mereka. Sebabnya masa inilah mereka akan dapat duit raya!

Masa menjamu selera pula, jangan lupa mulakan dengan doa sebelum makan.


Kemudian, jangan lupa untuk bersedekah dan menziarahi sanak saudara, kaum keluarga dan jiran tetangga. Sekali lagi, masa ‘emas’ bagi si kecil, sambil bersorak,

"boleh collect duit raya ye aunty!"

Insya-Allah sampai masanya si kecil ni akan faham semuanya.

Dah sakan beraya, jangan lupa ibadah puasa enam. Sunat bagi setiap muslim untuk mengerjakan puasa 6 hari dalam bulan Syawal. Besar ganjarannya ibadah puasa enam ni.

Nabi Muhammad saw. bersabda:
"Barangsiapa berpuasa Ramadhan kemudian diikuti dengan puasa 6 hari dalam bulan Syawal, maka orang itu seolah-olah berpuasa setahun penuh."

Biasanya 2 Syawal dah mula nampak muslim berpuasa sunat. Puasa 6 boleh dilakukan mulai 2 Syawal hingga 7 Syawal secara berterusan tapi boleh juga dilakukan pada mana-mana 6 hari dalam bulan tersebut. Bagi mereka yang baru mula berjinak-jinak dengannya, disunatkan memulakan puasa pada hari Isnin kerana Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wassalam dilahirkan pada hari Isnin.

Sama-sama kita ambil peluang ini untuk berpuasa 6 hari di bulan Syawal. Sebagaimana yang kita ketahui, setiap amalan sunat merupakan 'agen penampal' bagi mana-mana kekurangan dalam amalan fardhu kita.

Rebutlah peluang selagi kita bernyawa, selain dapat pahala puasa setahun, kita juga dapat perbaiki kekurangan dalam ibadah puasa bulan Ramadhan. Walaupun madrasah Ramadhan pergi meninggalkan kita tanpa menjanjikan pertemuan semula, harapnya setiap latihan ibadah yang kita sepanjang Ramadhan seperti puasa, solat sunat, sedekah, tadarus al-Quran, qiamullail dapat diteruskan dalam bulan-bulan lain.



"Ya Allah, masukkanlah kami ke dalam golongan orang yang merindui Ramadhan
kerana kami sedar di syurga terdapat sebuah pintu bernama Ar-Rayyan
yang tidak boleh dimasuki oleh sesiapa
kecuali orang yang berpuasa sahaja."

"Ya Allah, kami juga sedar bahawa puasa merupakan benteng terkuat dari azab neraka.
Oleh itu jadikanlah kami orang yang rajin mengerjakan puasa wajib dan sunatnya.
Kau peliharakanlah kami dari azab api neraka yang tidak mampu bagi kami untuk menanggungnya... "

Amin~


AIDILFITRI bukan hari raya BUDAYA, AIDILFITRI adalah hari raya AGAMA (Cukuplah sekadar diraikan dengan sederhana cuma)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...