Labels:

Bismillah wa alhamdulillah,
 
Tengahari tadi saya menerima kiriman pesanan ringkas dari sahabat:


 
"Parlimen dah bubar"

Tidak semena-mena hati saya berdebar-debar. Teruja menjadi antara pengundi muda gamaknya. Yelah baru pertama kali nak merasa mengundi untuk memilih pemimpin negara! Pengalaman mengundi yang saya ada hanyalah semasa pilihanraya kampus. Sudah semestinya mengundi di IPTS sangat berbeza berbanding di IPTA. Makanya, ini merupakan kesempatan untuk saya merasai pengalaman baru, andai Allah mengizinkannya.
 
Dalam keterujaan ini, ada perasaan lain yang sangat menggusarkan. Tengok suasana sekeliling yang hangat 'berperang bendera' sana sini dah cukup mendebarkan.

Siapa yang bakal kita pilih?

Siapa pula yang bakal terpilih?



Firman Allah yang dipetik dari surah ali-Imran, ayat ke-26:
 
 
قُلِ ٱللَّهُمَّ مَـٰلِكَ ٱلۡمُلۡكِ تُؤۡتِى ٱلۡمُلۡكَ مَن تَشَآءُ وَتَنزِعُ ٱلۡمُلۡكَ مِمَّن تَشَآءُ وَتُعِزُّ مَن تَشَآءُ وَتُذِلُّ مَن تَشَآءُ‌ۖ بِيَدِكَ ٱلۡخَيۡرُ‌ۖ إِنَّكَ عَلَىٰ كُلِّ شَىۡءٍ۬ قَدِيرٌ
 
Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
  
 
Allah مَـٰلِكَ ٱلۡمُلۡكِ . Allah yang mempunyai, memiliki, dan berkuasa secara mutlak ke atas kerajaan kesemuanya. Tiada siapa pun yang dapat merampasnya dari Allah s.w.t. Oleh kerana itu, Allah تُؤۡتِى , akan memberikan kerajaan kepada sesiapa yang dikehendakiNya. dan Allah juga وَتَنزِعُ , berkuasa mencabut kerajaan dari sesiapa yang dikehendakiNya. Allah berkuasa mutlak untuk mentadbir kerajaanNya. Tiada sesiapa yang boleh mengubah sistem kerajaan Allah s.w.t..
 
Allah berhak memuliakan atau menghina kepada sesiapa yang dikehendakiNya, samada dalam keadaan diberi kerajaan atau ditarik kerajaan darinya oleh Allah. Tidak semestinya jika dia diberikan kerajaan maka dia akan dimuliakan, dan tidak bermakna andai dicabut darinya kerajaan itu, dia menjadi hina. Hal ini kerana, Allah melihat kepada sikap seseorang dalam memiliki kerajaan tersebut: sikap ketika diberi dan sikap ketika dicabut.
 
Hukuman kepada si zalim adalah orang zalim
 
Tanggungjawab memimpin adalah sangat besar dan berat. Oleh yang demikian, berhati-hatilah dalam memimpin. Jangan berlaku zalim semasa melaksanakan amanah (berkuasa) dan semasa ditarik kuasa darinya. Allah berkuasa menjatuhkan hukuman ke atas orang yang zalim dengan menghantarkan orang zalim yang lain untuk menghukumnya. Ini merupakan suatu bentuk penghinaan ke atas kedua-duanya. Allah akan membalas orang yang zalim dengan kezaliman.
 
Siapa pemimpin kita adalah terletak kepada bagaimana diri kita terhadap Allah
 
Allah akan mendatangkan pemimpin kepada kita bergantung kepada sikap kita terhadap Allah. Bagaimana sikap kita terhadap Allah, begitulah juga Allah akan pilihkan pemimpin untuk kita. Jika kita derhaka kepada Allah, maka Allah akan datangkan pemimpin yang zalim. Semuanya terletak kepada diri kita. Adakah kita baik kepada Allah, untuk terselamat dari pemimpin yang zalim? atau adakah kita menjadi sebab Allah hantarkan pemimpin yang zalim?
 


Semuanya mengikut pilihan kita. Ayuh perbaiki cara pandang kita terhadap Allah dan RasulNya. Percantikkan sikap kita terhadap Allah s.w.t. Pertingkatkan amalan mahmudah (amal kebaikkan), dan biarkan mazmumah (amal keburukkan) tercicir jauh dari hati dan jasad kita. Mari laksanakan tanggungjawab kita untuk mengundi. Semoga Allah meletakkan pemimpin yang terbaik untuk kita.


p/s: Pilihlah pemimpin yang boleh menjaga dunia mengikut cara Allah sepenuhnya.

p/s2: saya berangan untuk berkempen, menyebarkan kesedaran mengundi kepada yang muda-mudi. Di sana ada kolaborasi antara muslim dan yang bukan. Juga ada SPR berkongsi pengetahuan. Bolehkah ia bertukar menjadi suatu yang realiti?
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...