Nov 24, 2009

Minda Mati? [I]

kematian~


Hamdan Thoiyyiban Mubarakan Fiihi ‘Ala Kulli Hal..

 

Tidak tergambar betapa besarnya rahmat dan kasih sayang yang Allah curahkan pada hamba-hambaNya bila mana setiap kali kita buka mata, bangkit dari tidur, kita masih mampu bernafas, berada dalam keadaan sihat, dan yang paling utama sekali, kita masih lagi diberikan kesempatan merasai nikmat iman dan islam, membuat kita bangkit tunaikan solat walaupun mengantuk dan keletihan. Itulah nikmat rasa bertuhan.. Bersyukurlah~

 

Maha suci Allah meletakkan minda itu di atas iaitu di bahagian kepala kita. Diletakkan di atas untuk dimuliakan dan dimanfaatkan mengikut acuan yang ditetapkan olehNya melalui al-Quran.

 

"apabila Allah ciptakan akal, Allah perintahkan akal memaling ke arahNya. Allah berfirman kepada akal, 'wahai akal, siapakah engkau dan siapakah Aku?', Akal menjawab, 'Engkaulah Tuhanku dan aku hambaMu'

 

"Mula-mula sekali makhluk yang dijadikan Allah ialah akal. Allah berfirman kepada akal; 'Menghadaplah kepada-Ku.' Akal pun mengadap. Kemudian Allah berfirman lagi: 'Membelakangilah.' Akal pun menurut perintah-Nya. Kemudian Allah berfirman lagi: 'Demi kemuliaan dan kebesaran-Ku, tidak Aku jadikan makhluk yang lebih mulia daripada engkau. Dengan engkau Aku mengambil dan dengan engkau Aku memberi. Dengan engkau Aku memberi pahala dan dengan engkau Aku menyeksa (orang yang derhaka)."

(Riwayat At-Tabrani dari Abi Umamah)


Peranan akal

 

Usrati, Allah beri kita akal untuk kita jaga. Dengan akal lah Allah membezakan kita manusia daripada makhluk-makhluk ciptaan Allah yang lain. Dengan akal, kita boleh kenal musush-musuh kita. Siapa musuh kita? Adakah saya musuh kamu? Atau kamu itu musuh saya? Harapnya tiada antara kita yang mengeluarkan nama teman-teman sebagai salah seorang daripada musuh-musuh kita. Bicara perkongsian saya tempoh hari juga mengharapkan tiada nama-nama manusia yang terkeluar semasa soalan ini diajukan :) Jadi siapa musuh kita?

 

Dunia yang melalaikan. Kenapa dunia itu musuh kita? Dunia ini hebat. Hebat dengan makanan-makanan yang melazatkan, wanita-wanita yang cantik, tempat-tempat yang indah, bangunan-bangunan pencakar langit, pusat membeli belah yang merata, pusat-pusat hiburan yang menarik minat pengunjung, kemudahan-kemudahan teknologi yang kian maju, semuanya itu indah dan sangat memikat hati. Namun kena ingat. Siapa yang datangkan semua itu? Semestinya Allah. Dan bila kita melupakan hakikat itu, lupa merafakkan kesyukuran pada Yang Maha Esa, kita akan jadi manusia yang lalai.. menganggap ini adalah sebagai syurga dunia; dunia adalah segala-galanya.

 

ٱعۡلَمُوٓاْ أَنَّمَا ٱلۡحَيَوٰةُ ٱلدُّنۡيَا لَعِبٌ۬ وَلَهۡوٌ۬ وَزِينَةٌ۬ وَتَفَاخُرُۢ بَيۡنَكُمۡ وَتَكَاثُرٌ۬ فِى ٱلۡأَمۡوَٲلِ وَٱلۡأَوۡلَـٰدِ‌ۖ كَمَثَلِ غَيۡثٍ أَعۡجَبَ ٱلۡكُفَّارَ نَبَاتُهُ ۥ ثُمَّ يَہِيجُ فَتَرَٮٰهُ مُصۡفَرًّ۬ا ثُمَّ يَكُونُ حُطَـٰمً۬ا‌ۖ وَفِى ٱلۡأَخِرَةِ عَذَابٌ۬ شَدِيدٌ۬ وَمَغۡفِرَةٌ۬ مِّنَ ٱللَّهِ وَرِضۡوَٲنٌ۬‌ۚ وَمَا ٱلۡحَيَوٰةُ ٱلدُّنۡيَآ إِلَّا مَتَـٰعُ ٱلۡغُرُورِ

 

Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya) samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; Akhirnya ia menjadi hancur bersepai dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa) di akhirat ada azab yang berat (di sediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan dunia itu) dan (ada pula) keampunan besar serta keredaan dari Allah (disediakan bagi orang-orang yang mengutamakan akhirat) dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.

(Surah ah-Hadid: 20)

 

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلنَّاسُ إِنَّ وَعۡدَ ٱللَّهِ حَقٌّ۬ۖ فَلَا تَغُرَّنَّكُمُ ٱلۡحَيَوٰةُ ٱلدُّنۡيَاۖ وَلَا يَغُرَّنَّكُم بِٱللَّهِ ٱلۡغَرُورُ

 

Wahai umat manusia, sesungguhnya janji Allah (membalas amal kamu) adalah benar; maka janganlah kamu diperdayakan oleh kemewahan hidup di dunia dan janganlah Syaitan yang menjadi sebesar-besar penipu itu berpeluang menyebabkan kamu terpedaya dengan (kemurahan) Allah (lalu kamu lalai dan menderhaka).

(Surah al-Fatir: 5)


Menurut Imam Ahmad, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: 

"Jangan kamu bersenang-lenang dalam kemewahan kerana sesungguhnya hamba Allah bukan orang yang bersenang-senang saja." 

(Hadis riwayat Abu Naim daripada Muaz bin Jabal)


Syaitan itu musuh kita

 

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱدۡخُلُواْ فِى ٱلسِّلۡمِ ڪَآفَّةً۬ وَلَا تَتَّبِعُواْ خُطُوَٲتِ ٱلشَّيۡطَـٰنِ‌ۚ إِنَّهُ ۥ لَڪُمۡ عَدُوٌّ۬ مُّبِينٌ۬

 

Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.

(Surah al-Baqarah: 208)



Syaitan dah berjanji dengan Allah untuk goda anak cucu cicit keturunan Adam sehingga sesat. Dia goda kita, dia pujuk kita. Cuba check balik setiap inci perbuatan kita. Kita pergi berfoya-foya, kalau ibu ayah marah, kita tipu sikit-sikit (kononnya bohong sunat). Bagi yang ber’couple’ pula, kita nak pegang sikit-sikit.. mula-mula hujung jari. Syaitan ni akan menggoda kita sehabis-habisnya. Dia pujuk kita buat daripada sekecil-kecil benda hinggalah sebesar-besar perkara. Membunuh, meninggalkan solat, berjudi dan sebagainya. Semuanya kerana akal gagal berperanan dalam mengenal pasti semua tindak tanduk itu adalah pujuk rayu dari syaitan laknatullah.

 

Teringat saya tayangan video yang dikongsikan semasa Klinik Solat tempoh hari. Imam berkata pada makmumnya untuk merapatkan saff, jangan bagi ada ‘kelompongan’.. nanti syaitan dengan lori-lorinya masuk! (iklan sebentar~)

 

إِنَّ ٱلشَّيۡطَـٰنَ لَكُمۡ عَدُوٌّ۬ فَٱتَّخِذُوهُ عَدُوًّاۚ إِنَّمَا يَدۡعُواْ حِزۡبَهُ ۥ لِيَكُونُواْ مِنۡ أَصۡحَـٰبِ ٱلسَّعِيرِ

 

Sesungguhnya Syaitan adalah musuh bagi kamu, maka jadikanlah dia musuh (yang mesti dijauhi tipu dayanya); sebenarnya dia hanyalah mengajak golongannya supaya menjadi dari penduduk Neraka. (Surah al-Fatir: 6)


Iblis pandai memujuk rayu untuk menyesatkan manusia. Dia boleh datang pada bila-bila masa, dari atas, bawah, kiri dan kanan, malah dapat memasuki badan kita, berjalan di dalam badan kita seperti mengalirnya darah, bersembunyi dalam hati dan menginap dalam akal manusia.

 

Nabi Muhammad s.a.w bersabda maksudnya:

 

"Sesungguhnya syaitan (iblis) berjalan pada manusia di pembuluh darah (semua yang boleh dilalui darah)." 

(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)


Apabila dia ada di hati, kita boleh jadi was-was dan khuatir untuk melakukan perkara-perkara kebaikan, malah membenci kebaikan dan gemar kepada yang salah. Sebab dia akan mengaburkan mata kita supaya melihat yang baik itu buruk lagi pelik, dan yang salah itu baik lagi mulia. Sekiranya dia berjaya bersarang di akal, manusia menjadi lupa diri, hanya pentingkan kepentingan diri sendiri dan mengabaikan kebajikan orang di sekeliling. Semuanya untuk diri, orang lain biar mereka fikir sendiri!

 

Tatkala dia meraja dalam anggota badan kita, kita semakin gemar akan kemungkaran, lupa kepada Allah. Buat yang dilarang, tinggalkan apa yang diperintah.

 

Usrati yang disayangi, nafsu itu juga musuh kita. Nafsu yang Allah jadikan dalam diri kita bukan dicipta saja-saja. Nafsu boleh menyebabkan manusia bertindak di luar batasan andai diri kita tidak dapat mengawal nafsu tersebut. Kita yang perlu memandu nafsu tersebut, bukan sebaliknya.  

 

وَمَآ أُبَرِّئُ نَفۡسِىٓ‌ۚ إِنَّ ٱلنَّفۡسَ لَأَمَّارَةُۢ بِٱلسُّوٓءِ إِلَّا مَا رَحِمَ رَبِّىٓ‌ۚ إِنَّ رَبِّى غَفُورٌ۬ رَّحِيمٌ۬

 

"Dan tiadalah aku berani membersihkan diriku; sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan, kecuali orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanku (maka terselamatlah dia dari hasutan nafsu itu). Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."

(Surah Yusuf: 53)


Nafsu jika berkawan baik dengan syaitan, iman dan akal akan diketepikan. Nafsu bukan dicipta untuk memusnahkan manusia. Nafsu itu juga nikmat dari Allah. Ia kena ada dalam diri kita. Kalau tak ada nafsu, kita tak jadi manusia. Allah jadikan makhluk yang ada akal tetapi tak ada nafsu bernama malaikat. Allah jadikan makhluk yang tiada akal tetapi ada nafsu, bernama haiwan. Dan Allah jadikan makhluk yang ada akal dan nafsu bernama manusia. Nafsu ini perlu di’geng’kan dengan akal dan iman. Barulah selari dengan tujuan penciptaannya. Dengan nafsu, kita rajin beribadah; dengan nafsu, kita rajin menuntut ilmu, dengan nafsu juga kita seronok memberi! Pimpin nafsu itu, jangan bagi syaitan culik dia dari kita.

 

Siapa lagi musuh kita? Manusia yang macam syaitan! Ini bahaya. Manusia sebegini yang akan mempengaruhi kita menurut perintah syaitan dan meninggalkan suruhan Allah. Jika kita gagal mengenalpasti mereka, tidak mustahil kita boleh berkawan dengan mereka. Hati-hati usrati dalam mencari teman dan sahabat. Carilah teman dan sahabat yang boleh mendekatkan kita kepada Allah, menambah rasa kasih dan sayang kita kepada Sang Pencipta.

 

.. bersambung ..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...