Oct 5, 2010

Untuk Kamu

Bismillah wa alhamdulillah~


jom praktis~




Islam tidak membebankan seseorang dengan sesuatu yang ia tidak mampu tanggungi. Maka saranan Rasulullah itu cukup akrab dengan kita semua.

Jika kita tidak mampu dan tidak pandai berkata-kata, kita bisa berdakwah tanpa kata-kata. Dakwah yang diiringi tanpa kata-kata adalah qudwah hasanah (keteladanan). Dan ini adalah cara yang lebih praktik dan meyakinkan. Ianya berlaku secara langsung, realiti dan nyata tanpa ada kepura-puraan. Dan cara ini lebih mudah membuat hati orang tertarik dan percaya. Baginda Rasulullah SAW adalah teladan kita, firman Allah SWT.

"Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah suri teladan yang baik bagimu."
(Al-Ahzab: 21)

Imam As-Syahid Hasan Al-Banna telah menyatakan,

"Kitab yang terletak di perpustakaan sedikit yang membacanya, tetapi seorang muslim sejati adalah 'kitab terbuka' yang semua orang membacanya. Ke mana saja ia pergi, ia adalah 'dakwah yang bergerak.”

Maka kita sendiri adalah dakwah. Hiasi diri dengan keindahan Islam maka tatkala orang melihat kita, mereka akan melihat Islam itu indah.



p/s: Kalau orang dulu, sanggup bersusah-payah membawa Islam demi kita, kenapa kita pentingkan diri tak mahu bersusah-payah demi generasi yang akan datang?

Bersahabat dengan Istikarah

Bismillah wa alhamdulillah ..

Cuba bayangkan kamu berhadapan dengan konfik memilih 7 urusan yang semuanya berlangsung dalam satu hujung minggu yang sama? dan 7 perkara ini masing-masing melibatkan kos dan jarak tertentu; dijalankan di lokasi dan sasaran audience yang berbeza.


Apa yang kamu akan buat?
  1. tutup mata, tutup telinga. Teruskan hidup seperti biasa
  2. Melebihkan kepentingan diri berbanding yang lain
  3. Memilih jalan mengutamakan orang lain dan memudaratkan diri sendiri
  4. Mengadakan pertimbangan, memilih jalan yang menguntungkan diri sendiri, agama, orang lain, kehidupan kini dan akan datang.
Mana yang kamu pilih?




Jernihkan minda itu

Matlamat kehidupan manusia bukan sekadar untuk makan, berseronok, mengejar perhiasan dan kesenangan hidup, sebaliknya Allah menyerahkan kepada manusia dengan satu tanggungjawab yang jauh lebih mulia iaitu memimpin manusia ke arah jalan yang benar, membimbing manusia ke arah jalan yang baik dan memancarkan cahaya Islam ke seluruh dunia.

Firman Allah s.w.t:

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): inilah Jalanku, aku dan orang-orang yang menurutku, menyeru manusia umumnya kepada agama Allah dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata. Dan aku menegaskan maha suci Allah (dari segala iktiqad dan perbuatan syirik); dan bukanlah aku dari golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain”
(Yusuf : 108)

Tugas kita adalah untuk menyeru manusia kepada agama Allah. Jangan kita jadi orang yang tidak berbuat apa-apa untuk agama Allah, jangan jadi orang yang begitu bersemangat untuk mencari kesalahan dan kesilapan orang lain tetapi tidak berbuat apa-apa untuk memperbaiki kesilapan tersebut.

Jadilah orang yang sentiasa menginsafi segala kekurangan diri, berusaha memperbaikinya dan bersedia memberikan bimbingan kepada orang lain ke arah kebaikan. Justeru, kita seharusnya benar-benar memahami matlamat kehidupan kita supaya kita lebih bersedia melaksanakannya dengan penuh keazaman dan ketabahan, kita harus sedar, jalan untuk mengajak orang lain bagi melaksanakan kebaikan dan mencegah daripada perbuatan bertentangan dengan Islam bukanlah sesuatu yang mudah, sebab itu ianya memerlukan keazaman dan ketabahan yang tinggi. Apa pun kita tidak ada pilihan, kerana itulah jalan yang dilalui oleh junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w., para sahabah dan salafus soleh. Mereka telah membuktikan bahawa kepayahan itu akhirnya membuahkan kejayaan yang gemilang, kejayaan dan kegemilangan yang pernah mereka gapai bukanlah sesuatu yang datang dengan mudah, tetapi melalui jalan dakwah yang telah diajarkan oleh Rasulullah s.a.w.


Utamakan yang Lebih Perlu

Al Syeikh Yusuf al-Qardhawi mengertikan fiqh al-Aulawiyat itu meletakkan suatu pertempatan dengan adil. Segala jenis hukum hakam, amal dan nilai-nilai dalam Islam oleh terikat dengan fiqh Al Aulawiyat ia harus didasarkan kepada prinsip mengutamakan suatu perkara ke atas suatu perkara yang lain. Justeru itu, suatu yang kurang penting tidak wajib dipentingkan. Apa yang wajar didahulukan hendaklah diketengahkan suatu yang wajar dikemudiankan hendaklah dikemudiankan, perkara yang kecil tidak wajar dibesar-besarkan, sementara perkara yang penting tidak wajar dipermudah-mudahkan. Dengan kata lain, tiap-tiap suatu hendaklah diletakkan pada tempatnya secara berimbangan.

Allah S.W.T berfirman :

'Dan Allah telah meninggikan langit dan meletakkan neraca keadilan, supaya kamu jangan melampaui batas tentang neraca itu, dan tegakkanlah timbangan itu dengan adil dan janganlah kamu mengurangi neraca itu.
(Surah Ar Rahman, Ayat 7-9)

Apabila berhadapan dengan dua atau lebih suruhan agama, maka yang terbaik ialah melaksanakan kesemua suruhan tersebut. Apabila tidak mampu melaksanakan keseluruhan suruhan agama yang berbeza-beza hukumnya antara harus, sunat dan wajib, maka dahulukanlah yang wajib, kemudian yang sunat dan seterusnya yang harus.


Berbicara dengan Tuhan

Setiap urusan yang kita hadapi berpunca dari perancangan Allah yang Maha Agung. Setiap urusan itu adalah ujian untuk kita hadapinya. Kehidupan kita penuh dengan misteri. Sinonim dengan kata-kata bahawa hidup itu adalah ujian. Kita tidak akan tahu apa yang bakal berlaku pada masa hadapan. Ia adalah rahsia Allah yang disimpan rapi. Kita tidak tahu hakikat perkara yang berlaku. Seringkali kita merasakan sesuatu perkara itu baik tetapi sebenarnya tidak. Allah Maha Besar. Allah Maha Mengetahui. Dia lebih tahu pa yang terbaik untuk makhlukNya. Cuma kita acapkali lalai memahami hikmahnya.

Kita selalu gagal dalam memilih perkara yang tepat untuk diurusi terlebih dahulu. Walaupun kita diberikan akal dan kebijaksanaan, namun sebagai manusia, kelebihan itu terbatas. Kita tidak akan terlepas daripada melakukan kesalahan. Kepandaian kita yang berakal memerlukan petunjuk dari ALLAH S.W.T. Nabi Muhammad s.a.w. mengajar kita supaya beristikharah, sebagaimana yang dijelaskan dalam hadis yang diriwayatkan Imam Bukhari:

"Apabila salah seorang antara kamu mahu melakukan sesuatu, beliau perlu mengerjakan solat sunat dua rakaat. Kemudian berdoa; Ya ALLAH, aku memohon kebaikan darimu dgn ilmumu. Aku memohon keampunan darimu dgn kekuasaanmu. Aku memohon kepadamu daripada anugerahmu yang agung. Sesungguhnya engkau maha kuasa, sedangkan aku tidak berkuasa. Engkau maha mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui. Engkau zat yang maha mengetahui perkara ghaib. Ya ALLAH, apabila engkau mengetahui urusan ini baik untukku dalam agamaku, di dunia dan akhirat, maka tentukan untukku, mudahkan jalannya dan berkati aku dalamnya. Apabila engkau mengetahui urusan ini buruk untukku dalam agamaku, di dunia dan akhirat, jauhkan ia daripadaku dan jauhkan diriku daripadanya. Tentukan untukku apa pun yang terbaik dan kemudian redhai aku dengannya."

Kita beristikharah supaya kita memiliki kemampuan yang luar biasa. Kemampuan yang tidak terjangkau oleh akal manusia iaitu kebolehan mendapatkan petunjuk secara langsung dari ALLAH S.W.T. Oleh yang demikian, kita dapat melaksanakan segala perkara sesuai dengan perintah ALLAH dan akhirnya berkesudahan dengan baik... insha-Allah.

"Ya Allah, aku memohon petunjuk daripadaMu dengan ilmuMu dan
aku memohon ketentuan daripadaMu dengan kekuasaanMu
dan aku memohon daripadaMu akan limpah kurniaanMu yang besar.
Sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa sedangkan aku tidak berkuasa
dan Engkau Maha Mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui
dan Engkaulah Yang Maha Mengetahu segala perkara yang ghaib.

Ya Allah, seandainya Engkau mengetahui
bahawasanya urusan ini adalah baik bagiku
pada agamaku, kehidupanku dan kesudahan urusanku
sama ada cepat atau lambat,
takdirkanlah ia bagiku
dan permudahkanlah serta berkatilah bagiku padanya
dan seandainya Engkau mengetahui
bahawa urusan ini mendatangkan keburukan bagiku
pada agamaku, kehidupanku dan kesudahan urusanku
sama ada cepat atau lambat,
maka jauhkanlah aku daripadanya
dan takdirkanlah kebaikan untukku
dalam sebarang keadaan sekalipun
kemudian redhailah aku dengannya".



Adakanlah pertimbangan sesuai dengan hukum Allah. Namun jika masih buntu dalam memilih, rujukilah orang-orang mukmin.

"Dan berbincanglah dengan mereka (para sahabat) dalam urusan itu (peperangan, ekonomi, politik dll). Apabila kamu telah membulatkan tekad, bertawakallah kepada Allah".

Tidak akan menyesal sesiapa yang bertanyakan penciptanya dan berbincang dengan orang-orang mukmin kemudian berhati-hati dalam menangani persoalannya.



Jangan jadi orang yang pentingkan diri sendiri.

Jangan jadi orang yang menzalimi diri sendiri.

Hidup kita bertuhankan Allah yang Satu.


Sedarlah, syahadah yang kita lafazkan didatangkan sekali dengan tanggungjawab terhadap pengakuan yang dilakukan. Semuanya siap dalam 1 pakej! Setiap hari, setiap saat, pasti, kita akan berhadapan dengan pelbagai pilihan. Seni dalam membuat pertimbangan. Beristikharahlah selagi kamu masih mampu bernafas. Istikharahlah dalam setiap pekerjaanmu.


1, 2, 3, 4, yang kamu pilih adalah .. ?


dan 7 itu masih tetap dalam istikharahku~


p/s: cerita itu di tangan manusia..nak buat atau sebaliknya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...