Bismillah wa alhamdulillah,
Bertemu dan berpisah kerana Allah
Asar petang ni tampak begitu sayu. Bermula takbiratul ihram hingga ke salam. Setiap kali rukuk dan sujud, setiap kali itu saya sengaja membiarkan tubuh lama di posisi itu, berdoa dan berzikir semahu-mahunya dalam hati.
Usai solat, saya capai kitab ma'thurat berwarna kuning, titipan ikhlas dari pasangan mempelai Ukhti Zini & Akhi Zulhairi. Hampir setahun usia perkahwinan mereka, dan selama itulah juga kitab kuning ni kekal di sisi saya. Terasa rindu semacam untuk membacanya, ayat demi ayat, walhal hampir setiap hari melaziminya. Didikan hati yang saya terima ketika pertama kali mengenali usrah adalah untuk tidak meninggalkan al-ma'thurat. Mengamalkannya samada selepas subuh atau selepas 'asar. Lebih baik kedua-duanya.
A'udzubillahi sami'il 'alim minasyshaitonirrajim...
Satu persatu ayat saya baca, setiap kali itu jugalah kenangan bersama kakak-kakak dan sahabat seusrah berliqa' di al-Irsyad untuk sama-sama membaca al-ma'thurat.
Setiap kali habis kelas petang, seboleh mungkin saya mencuri masa, berusaha untuk bersama-sama mereka dalam liqa' tersebut. Andai ada yang lewat selesai 'Asarnya, tetap mereka berkejar mahu duduk bersama, dan bukan mencipta bulatan baru atau membacanya sendiri-sendiri. Mereka yang sudah berada dalam liqa' juga sabar menanti untuk baca bersama.
Saya ingat lagi, jika bacaan kami seperti kereta api, sebahagian menjadi kepala, dan sebahagian yang lain masih di gerabak belakang, yang depan pasti menunggu agar kami dapat berjalan (membaca) beriringan. Kami sama-sama saling membetulkan andai ada yang salah menyebut. Kami jaga betul 'volume' suara agar sentiasa diparas sederhana atau kurang daripada itu. Andai ada yang terlebih 'excited', pasti ada yang menegur. Kami tak melenting. Kami terima dengan berlapang dada. Yang agak memeranjatkan, ada juga mereka di sebalik tirai biru itu yang turut 'concern' tentang nada suara kami muslimat. Sekiranya ternyaring, pasti ada yang ber'dehem'. 'Dehem' orang dulu kerana mahu menegur, nak jaga aurat dan akhlak kita, 'dehem' orang sekarang, dalam banyak keadaan, semacam mahu menguji nafsu wanita. Beza kan?
Rindunya saat itu. Saya tak nampak dah bulatan itu sekarang. Banyak yang meninggalkannya, tanpa sengaja atau sebaliknya. Mana yang ada, lebih suka membacanya nafsi-nafsi (sendiri-sendiri). Namun, tak ramai.
Sekiranya mereka tahu apa yang kita ada sekarang berpunca dari liqa' ini, pasti mereka akan buat. Sekiranya mereka tahu eratnya ukhuwwah kita kerana liqa' ini, pasti mereka tak akan tinggalkan. Ukhuwwah yang kita miliki semuanya berpunca kerana ini. Kita bertemu kerana Dia. Berpisah juga kerana Dia. Dengan sebab itu kita bertemu tak jemu, berpisah tak gelisah. Meski ada 'raining' or 'waterfall', semuanya kerana Dia.
Liqa' itu bukan liqa' biasa. Liqa' itu liqa' mahabbah. Ya, liqa' al-ma'thurat adalah liqa' cinta. Itulah bulatan gembira pertama saya. Takkan ada yang dapat menandinginya.
Once a sister, always a sister.
--------------------------------------------------------------------
Sekarang tanya diri sendiri.. kamu ada apa yang kami ada? (Tenang-tenang.. bukan provokasi, hanya suatu lontaran untuk direnung dengan mata hati)
SAHABAT yang baik, apabila dipandang wajahnya, membawa mengingati Allah, mendengarkan kata-katanya, menambahkan ilmu, terlihat gerak gerinya, meninggikan takut kepada Allah, berkawan dengannya, berjuang ke jalan Allah.
Usrah ialah keluarga
p/s: lafaz tersimpan yang sangat bermakna..