Sepetang saya habiskan masa berfikir tentang thiqah (kepercayaan). Bagaimana ia terwujud? Apa implikasi dengan perlaksanaannya? Apa natijahnya sekiranya dikhianati?
Apa itu Thiqah?
Thiqah adalah sifat yang diberikan kepada seseorang atas keperibadian mulia yang dimilikinya dan kemampuannya untuk menjalankan tugas dakwahnya. Thiqah dalam amal dakwah mengakibatkan seseorang itu dipercayai untuk melakukan tugas, diterima pendapat dan kata-katanya, serta dihormati keperibadiannya.
Bagaimana Terwujudnya Thiqah?
Thiqah wujud apabila terpancar dari keperibadian seseorang itu segala nilai-nilai murni hasil dari penghayatannya terhadap Islam dan perjuangannya. Di antara nilai-nilai ini, yang paling penting ialah keikhlasan, amanah dan jujur dalam semua hal.
Jika sedikit sahaja orang tahu bahawa kita ini tidak ikhlas, amanah atau jujur, orang tidak akan lagi mempercayai kata-kata kita, mentaati perintah kita, menghormati keperibadian kita. Akibat paling buruk dari situasi ini ialah berleluasanya fitnah, tohmah dan hilangnya hak ukhuwwah.
Perlu difahami bahawa thiqah juga adalah natijah dari ikatan hati antara manusia. Membina keikhlasan, amanah dan kejujuran bukan satu perkara yang mudah bagi kita. Ia menuntut satu mujahadah yang panjang dan sukar. Mengikat hati-hati manusia juga bukan satu perkara yang mudah.
Fahami Perlaksanaannya yang Tidak Menunggu Sempurna
Thiqah, tiada wujudnya sekiranya tiada yang mahu mempercayai, yang juga tiada perlaksanaannya andai tiada yang mahu dirinya dipercayai.
Tidak kiralah siapa jua kamu, antara sedar mahupun tidak, kita memang terikat dengan persoalan thiqah. Thiqah adalah status yang perlu dmiliki oleh semua orang. Tidak kira samada dia adalah pemimpin atau pengikut. Kewujudan thiqah membolehkan pemimpin dihormati dan ditaati oleh pengikutnya sementara pengikut pula akan diberi kepercayaan untuk menjalankan tanggungjawab dakwahnya. Thiqah jugalah yang memastikan kemesraan antara seorang sahabat dengan sahabat yang lain.
SINI:
Kadang-kadang kita mahu orang percayakan kita. Yakin dengan kemampuan yang kita ada. Tapi bila mereka enggan, kita kecewa dan mengatakan mereka ini teruk.
SANA:
Kadang-kadang kita susah nak percaya kat orang. Khuatir andai dikhianati. Kerana bila kita dah mula percaya, sekali mereka khianat, sampai bila-bila kita tak mahu lagi percaya.
Eh kamu marah pada siapa tu? Bukankah dia itu manusia, sama seperti kamu? Kalau kamu kata kamu lemah, yang seringkali melakukan kesalahan, dia juga begitu. Dia juga lemah seperti kamu kerana dia itu manusia. Sama seperti kamu.
Apabila bertembung kedua belah pihak ini, saya buntu untuk membantu. Mana yang perlu saya sokong, mana yang perlu saya raikan? Di sebelah sini, saya nampak di mana salahnya, tapi di mana maruahnya andai saya raikan pihak sebelah sana dengan menyokong apa yang digeramkan? Di sebelah sana, kamu perlu faham mereka juga manusia lemah seperti kamu. Tidak langsung terlepas daripada mencipta kekurangan.
Untuk pihak yang di sebelah SINI:
Jangan kamu pandang mereka itu lemah. Mereka sangat kuat. Mereka gagah melawan nafsu untuk meletak thiqah pada dirimu. Mereka nampak kamu lemah, tapi mereka masih percaya kepada kamu. Mereka meletakkan kepercayaan dengan harapan dan keyakinan bahawa kamu boleh dan mahu berubah menjadi yang lebih baik. Mereka juga mengharapkan dirimu dapat menjadi sahabat yang memahami, kakak/abang yang prihatin, suami yang melengkapi, ibubapa yang penyayang, pemimpin yang membimbing, guru yang mendidik, majikan yang berwibawa; pokoknya, yang bijak bertoleransi.
Untuk pihak sebelah SANA:
Jangan kamu pandang mereka itu kuat. Mereka berada di SINI kerana sokongan dan thiqah yang kamu berikan. Mereka menerima tanggungjawab itu kerana tahu kamu ada bersama-sama untuk membantu. Bantulah mereka untuk melaksanakan amanah THIQAH yang kamu berikan. Jangan kamu letakkan pengharapan tinggi menggunung kerana belum tentu dia mampu untuk mendakinya. Selagi mana dia itu bergelar manusia, selagi itulah dia terdedah untuk melakukan kesilapan. Dia tidak akan sempurna sampai bila-bila. Dia mengharapkan kamu dapat menjadi sahabat yang setia, adik-adik yang mengambil berat, isteri yang menerima seadanya, anak-anak yang pengasih, anak buah yang membantu, pelajar yang menghormati, pekerja yang berdedikasi; yang juga bijak bermu’amalah.
Formula Membunuh Thiqah
Membina dan memperolehi thiqah bukan satu usaha yang mudah. Thiqah menuntut satu pembayaran harga yang tinggi untuk memperolehinya. Ia begitu mudah untuk hilang dari kita. Ia hanya memerlukan:
sedikit kesilapan dari kita + sedikit buruk sangka dari orang lain + fitnah ke atas kita
maka hilanglah apa yang telah dibina selama ini dengan harga yang mahal.
Sekali thiqah hilang, sukar untuk diperolehi semula dan jika ini berlaku, yang pertama sekali perlu disalahkan ialah diri kita sendiri.
Maka bertolak ansurlah.. yang SANA jangan hanya memandang langit, yang SINI jangan hanya menunduk ke bumi. Kamu berdua perlu bekerjasama untuk mencipta sinergi, yang saling lengkap melengkapi. Barulah kena adab hidup bermasyarakat.
يَـٰٓأَيُّہَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَـٰكُم مِّن ذَكَرٍ۬ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَـٰكُمۡ شُعُوبً۬ا وَقَبَآٮِٕلَ لِتَعَارَفُوٓاْۚ إِنَّ أَڪۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَٮٰكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ۬
Wahai manusia sesungguhnya Kami telah menjadikan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan.Lalu Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan berpuak-puak supaya kamu berkenal-kenalan, bersaudara mara.Sesungguhnya orang yang paling mulia dikalangan kamu disisi Allah ialah orang yang bertaqwa.Sesungguhnya Allah itu maha mengetahui lagi maha bijaksana.
- surah al hujuraat: 13 -
Bagi pejuang dakwah, thiqah adalah sesuatu yang terlalu bernilai untuk dikorbankan kerana tanpanya bagaimana orang akan menerima ajakannya kepada Islam dan bagaimana organisasinya akan diterima oleh umum.
Peliharalah thiqah orang terhadap kita, berilah thiqah kepada mereka yang berhak dan layak. Jauhilah dari mencabuli kehormatan orang yang kita rasa sukar untuk meletakkan thiqah padanya lagi. Kembalikan thiqah itu pada tempatnya. Jangan kamu perlecehkan haknya. Thiqah itu diberi bersama-sama tanggungjawab untuk mentaati. Thiqah itu diterima bersama-sama amanah untuk memberi.
Jika ia adalah suatu yang remeh yang tidak mahu kamu pedulikan, pindah saja ke planet lain, hidup sendirian kamu di sana. Kerana Allah ciptakan hambaNya berjama’ah.
"Islah Nafsak, Wad'u Ghairak"
Perbaikilah (iman, taqwa serta pengetahuan) dirimu, dan (pada masa yang sama jangan kau lupa) berdakwahlah kepada selainmu...