Feb 27, 2010

[Bulan Cinta] Cintaku ..


Bismi Allah wa Alhamdu li Allah ..


قُلۡ بِفَضۡلِ ٱللَّهِ وَبِرَحۡمَتِهِۦ فَبِذَٲلِكَ فَلۡيَفۡرَحُواْ هُوَ خَيۡرٌ۬ مِّمَّا يَجۡمَعُونَ

"Dan katakanlah wahai Muhammad s.a.w.: dengan kurniaan daripada Allah dan rahmatNya maka hendaklah kamu dengan segala tersebut bergembira lebih baik daripada apa-apa yang kamu kumpulkan (harta-benda/pangkat/kedudukan) ."

Surah Yunus: 58

Yang dimaksudkan dengan بِفَضۡلِ ٱللَّهِ  ialah al-islam, sedangkan yang dimaksudkan dengan rahmat Allah adalah Rasul Allah s.a.w. Kita diperintahkan untuk bergembira dengan dua perkara terbesar ini. Rasul Allah merupakan rahmat sebagaimana bukti yang telah difirmankan Allah:

وَمَآ أَرۡسَلۡنَـٰكَ إِلَّا رَحۡمَةً۬ لِّلۡعَـٰلَمِينَ

“Dan tiadalah Kami mengutus kamu (Muhammad), melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam.”

Surah Al-Anbiya’: 107


Cinta

Inilah dia suatu rasa yang sangat ajaib, yang sangat pelik, yang merupakan kurniaan dari Allah s.w.t., dan tempatnya adalah di dalam hati. Suatu perasaan yang sangat luar biasa sehinggakan mampu mendekatkan sesuatu yang jauh, mampu menyatukan sesuatu yang mungkin sebelum ini terpisah. Jika di dalam hatinya ada cinta, sudah pasti sukar digugat. Dan semestinya cinta yang agung itu adalah cinta kepada Allah. Sementara cinta kita kepada Nabi Muhammad s.a.w. adalah tanda cinta kita kepada Allah s.w.t. kerana mencintai Rasul Allah adalah perintah daripada Allah s.w.t.

Allah s.w.t. mengurniakan rasa rindu dan cinta kepada Nabi s.a.w. kepada semua makhluk. Baik manusia, atau pun jin, bahkan haiwan, pokok-pokok, hatta benda-benda yang tidak bernyawa, semuanya cinta dan rindu kepada Nabi Muhammad s.a.w. Cinta ini adalah kurniaan dari Allah. Dengan kurniaan kecintaan ini akan membina rasa gembira dan membantu kita berjaya di dunia dan akhirat. Yang mana dengan kecintaan ini, menandakan rasa cinta kita kepada Allah.


...أحبوا الله لما يغذوكم به من نعمه وأحبوني لحب الله إياي


"Cintailah Allah s.w.t. kerana Dia telah mengurniakan kepadamu dengan kehendakNya, akan nikmat-nikmatNya, cintailah aku kerana mencintai Allah s.w.t.daku, dan cintailah keluargaku kerana mencintai aku

-Hadith riwayat At-Tirmizi-


Cinta bukan Taat 

Ada orang yang taat kepada seseorang itu bukan kerana cinta, tetapi hanya kerana dia takut diseksa, bimbang orang itu memaksa, atau pun kerana kedudukan.  Cinta itu bermula apabila lahirnya al ittiba'; ikut dan rela untuk mengikuti. Dengan cinta ini akan melahirkan rasa ketaatan, hilang segala yang keburukan. Cinta membuat kita ikut dengan rela, tetapi taat menyebabkan kita melakukan dengan terpaksa. Kelebihan cinta berbeza dengan taat.

اَلاِتِّبَاعُ : اَنْ يَتَّبِعَ الرَّجُلُ مَا جَاءَ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَاَصْحَابِهِ ثُمَّ مِنْ بَعْدِ التَّابِعِيْنَ مُخَيَّرٌ
“Ittiba’: Ialah apabila seseorang mengikuti apa yang datangnya dari Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam dan dari para sahabat baginda. Kemudian dari sesudah tabi’in adalah perkara yang pilihan”

Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: 

Tidak sempurna iman seseorang kamu sehingga aku lebih disayangi daripada kamu menyayangi kedua ibu bapamu, lebih daripada anak-anakmu dan lebih daripada manusia seluruhnya.”

ثلاث من كن فيه وجد بهن حلاوة الايمان:أن يكون الله ورسوله أحب إليه مما سواهما وأن يحب المرء لا يحبه الا لله وأن يكره أن يعود فى الكفر بعد أن أنقذه الله منه كما يكره أن يقذف فى النار".

متفق عليه


Tiga perkara di mana sesiapa mempunyainya, maka dengannya (tiga perkara tersebut) dia akan merasai kemanisan iman. (Pertama): seseorang itu menjadikan ALLAH dan RasulNya sebagai yang paling dicintainya, (Kedua): tidak mencintai seseorang melainkan keranaNya, (Ketiga): dan membenci untuk kembali kekufuran sepertimana dia tidak suka untuk dicampakkan ke dalam neraka."


Seluruh Daripada Kejadian Cintakan Rasul Allah s.a.w.

Dikisahkan oleh Jabir r.a. dalam hadith Bukhari bahawa,

“Nabi Muhammad s.a.w. selalu berkhutbah di atas mimbar dan bersandar pada sebatang pohon tamar ketika menyampaikan khutbah Jumaat. Saidina Abu Bakar kemudiannya mencadangkan agar dibina mimbar yang baru untuk memudahkan dan memberi keselesaan kepada nabi untuk bersandar. Nabi s.a.w. bersetuju dan sebuah mimbar yang terdiri dari 3 anak tangga dibangunkan.

Ketika Nabi s.a.w. duduk di atas mimbar yang baru untuk berkhutbah, serta merta terdengar suara seperti bayi yang sedang menangis. Ia didengari oleh jama'ah yang hadir keseluruhannya. Nabi s.a.w. pergi ke mimbar lamanya dan mendapati pelepah kurma tersebut sedang menangis dan bertanya kenapa ia menangis. Pelepah tamar tersebut mengatakan ia menangis kerana ia rindu dan cinta kepada Rasul Allah; tidak mahu berpisah dengan Nabi.  Nabi s.a.w. bertanya kepada pelepah tamar apa yang ia inginkan untuk memujuknya? Adakah kamu ingin sesuatu yang bermanfaat yang nantinya akan dimakan oleh makhluk-makhluk lain, atau kamu inginkan demikian- demikian, atau kamu ingin bersama aku masuk ke syurga? Pelepah tamar itu menjawab 'aku ingin dekat denganmu ya Rasul Allah'.

Sedangkan makhluk yang tidak mempunyai akal dan tidak mempunyai perasaan pun tahu rindu dan cinta luar biasa kepada nabi s.a.w. Bagaimana dengan kita yang mempunyai perasaan, mempunyai akal, umat nabi Muhammad yang sepatutnya cinta kepada baginda Nabi Muhammad s.a.w.? Kenapa tidak kita benar-benar cinta kepada Nabi?

Timbul rasa cinta kepada baginda Nabi s.a.w., rasa cinta yang bukan sekadar cinta, tapi terlahir al-ittiba': mengikuti jejak baginda, menjadikan Nabi sebagai contoh dalam kehidupan kita. Dan sebagai tanda cinta ini, kita lakukan perkara yang menggembirakan Nabi. Gembirakan hati Nabi dengan melaksanakan sunnah Rasul Allah s.a.w.

"Kehidupanku ini adalah baik bagi kamu, kamu dapat berbicara dan aku juga dapat berbicara dengan kamu, sedangkan matiku juga baik untuk kamu. Dan ketika aku mati nanti, segala perbuatanmu akan dikhabarkan kepadaku. Sekiranya baik perbuatan kamu, maka aku akan memuji kepada Allah (alhamdulillah), tetapi jika aku dapati ada perbuatan buruk dalam amalan kamu, maka aku akan mohonkan keampunan daripada Allah untuk kamu"

-Hadith-


Kurniaan Allah kepada Semua Umat Manusia

"Rasulullah merindui umat akhir zaman"

Suasana di majlis pertemuan itu hening sejenak. Semua yang hadir diam membatu. Mereka seperti sedang memikirkan sesuatu. Lebih-lebih lagi Saidina Abu Bakar. Itulah pertama kali dia mendengar orang yang sangat dikasihi melafazkan pengakuan demikian.

Seulas senyuman yang sedia terukir dibibirnya pun terungkai. Wajahnya yang tenang berubah warna. "Apakah maksudmu berkata demikian wahai Rasulullah? Bukankah kami ini saudara-saudaramu? " Saidina Abu Bakar bertanya melepaskan gumpalan teka-teki yang mula menyerabut fikiran.

"Tidak, wahai Abu Bakar. Kamu semua adalah sahabat-sahabatku tetapi bukan saudara-saudaraku (ikhwan)," suara Rasulullah bernada rendah.

"Kami juga ikhwanmu, wahai Rasulullah," kata seorang sahabat yang lain pula. Rasulullah menggeleng-gelangkan kepalanya perlahan-lahan sambil tersenyum. Kemudian baginda bersuara:

"Saudaraku ialah mereka yang belum pernah melihatku tetapi mereka beriman denganku sebagai Rasul Allah dan mereka sangat mencintaiku. Malahan kecintaan mereka kepadaku melebihi cinta mereka kepada anak-anak dan orang tua mereka."

Pada ketika yang lain pula, Rasulullah menceritakan tentang keimanan ‘ikhwan’ baginda: "Siapakah yang paling ajaib imannya?" tanya Rasulullah.

"Malaikat," jawab sahabat.

"Bagaimana para malaikat tidak beriman kepada Allah, sedangkan mereka sentiasa hampir dengan Allah," jelas Rasulullah. Para sahabat terdiam seketika. Kemudian mereka berkata lagi, " Para nabi."

"Bagaimana para nabi tidak beriman, sedangkan wahyu diturunkan kepada mereka."

"Mungkin kami," celah seorang sahabat.

"Bagaimana kamu tidak beriman, sedangkan aku berada ditengah-tengah kamu," pintas Rasulullah menyangkal hujah sahabatnya itu.

"Kalau begitu, hanya Allah dan Rasul-Nya sahaja yang lebih mengetahui," jawab seorang sahabat lagi, mengakui kelemahan mereka.

"Kalau kamu ingin tahu siapa mereka? Mereka ialah umatku yang hidup selepasku. Mereka membaca Al Quran dan beriman dengan semua isinya. Berbahagialah orang yang dapat berjumpa dan beriman denganku. Dan tujuh kali lebih berbahagia orang yang beriman denganku tetapi tidak pernah berjumpa denganku," jelas Rasulullah.

"Aku sungguh rindu hendak bertemu dengan mereka", ucap Rasulullah lagi setelah seketika membisu. Ada berbaur kesayuan pada ucapannya itu.

Begitulah nilaian Tuhan. Bukan jarak dan masa yang menjadi ukuran. Bukan bertemu wajah itu syarat untuk membuahkan cinta yang suci. Pengorbanan dan kesungguhan untuk mendambakan diri menjadi kekasih kepada kekasih-Nya itu, diukur pada hati dan buktikan dengan kesungguhan beramal dengan Sunnahnya.



Bersungguh-sungguhlah menjadi kekasih kepada kekasih Allah itu, wajarlah bagi kita untuk mengikis cinta-cinta yang lain. Cinta yang dapat merenggangkan hubungan hati kita dengan baginda Rasulullah.



Sungguh telah cukup bagiku kepuasan dan ketenanganku bahawa Penciptaku Maha Mengetahui segala permintaanku dan usahaku

Maka doa-doa dan jeritan hatiku sebagai saksiku atas kefakiranku (dihadapan kewibawaanMu)

Maka demi rahsia kefakiranku (dihadapan kewibawaanMu) aku selalu mohon (padaMu) disaat kemudahan dan kesulitanku

Aku adalah hamba yang kebanggaanku adalah dalamnya kemiskinanku dan besarnya kesungguhan (padaMu)

Sungguh telah cukup bagiku kepuasan dan ketenanganku bahawa penciptaku Maha Mengetahui segala permohonan dan usahaku

Wahai Tuhanku wahai yang memiliki diriku, Engkau Maha Mengetahui bagaimana keadaanku

Dan dari segala yang memenuhi hatiku dari kegundahan dan kesibukanku (hingga terlupakan dari mengingatiMu)

Maka hulurkanlah bagiku kasih sayang dari Mu wahai Raja dari segenap para Raja

Wahai yang Maha Pemurah dzatNya, tolonglah aku, dengan pertolongan yang datang sebelum datang kemampuanku dalam bersabar

Sungguh telah cukup bagiku kepuasan dan ketenanganku bahawa penciptaku (Allah) mengetahui segala permohonan dan usahaku

Wahai Dzat Yang Maha cepat mendatangkan pertolongan, temukan kami dengan pertolongan dari Mu yang mendatangi kami dengan segera

Pertolongan yang merobohkan segala kesulitan, dan mendatangkan segala yang kami harap harapkan

Wahai dzat Yang Maha Dekat, wahai dzat Yang Maha Menjawab segala rintihan, wahai dzat Yang Maha Mengetahui, wahai dzat Yang Maha Mendengar

Sungguh aku telah benar-benar meyakini akan kelemahan dan ketidakmampuanku, akan kerendahanku (kekurangan) dan akan keluluhanku

Sungguh telah cukup bagiku kepuasan dan ketenanganku bahawa penciptaku dzat maha Mengetahui segala permohonan dan usahaku

Aku masih tetap berdiri di gerbangMu, maka kasihanilah aku yang masih terus menunggu

dan di lembah anugerah kasih sayangMu aku berdiam maka abadikanlah keadaanku ini

Maka bersangka baik padaMu adalah hal yang mesti bagiku, sangka baik atasMu adalah pakaianku dan janjiku

dan hal itulah (bersangka baik padaMu) yang menjadi penenang hatiku, dan selalu (aku selalu sangka baik padaMu) menemaniku sepanjang siang dan malam

Sungguh telah cukup bagiku kepuasan dan ketenanganku bahawa penciptaku Maha Mengetahui segala permohonan dan usahaku

Segala kebutuhan dalam diriku wahai Penciptaku maka selesaikanlah, wahai dzat yang sebaik-baik yang menyelesaikan

Dan tenangkanlah rohku dan sanubariku dari gelodak dan gemuruhnya (nafsu, kemarahan, kesedihan, kebingungan, dan penyakit penyakit hati)

Agar hatiku dan rohku selalu dalam ketenteraman dan kedamaian dalam apa-apa yang telah Engkau redhai

Maka kegembiraan dan kebahagiaan menjadi keadaanku selalu, dan menjadi lambang kehidupanku dan selubung (pakaian) iaitu sifat perhiasanku

Sungguh telah cukup bagiku kepuasan dan ketenangan bahawa Penciptaku Maha Mengetahui segala permohonan dan usahaku.

Riwayat Abu As Sheikh dari Abu Zarr:

Apabila Allah kasihkan seseorang hambaNya Ia akan membuka hatinya menjadikan ia cinta kepada Allah, kemudian ia akan mempunyai keyakinan yang teguh.
Dengan itu ia akan berhati-hati dalam hidupnya agar tidak terjebak dalam dosa dan terhindar dari penyakir hati seperti hasad, takabbur, ria, ujub, dendam marah dan sebagainya. Kesan dari ini ia akan bercakap benar sahaja. Seterusnya ia akan mempunyai mata yang dapat melihat dan memahami keagungan Allah; telinga yang cintakan nasihat yang benar.

وقال صلى الله عليه وسلم: "ان الله تعالى يقول يوم القيامة:أين المتحابون بجلالى؟ اليوم أظلهم فى ظلى يوم لا ظل إلا ظلى"
رواه مسلم

Sesungguhnya Allah s.w.t. berfirman pada hari Kiamat kelak: "Manakah golongan yang saling cintai mencintai sesama dengan (sebab) keagunganNya. Hari ini Aku akan naugi mereka pada naunganKu pada hari yang tiada naungan padanya"

-Hadith riwayat Imam Muslim-


p/s: jangan tinggalkan urusan dakwah kerana ia paling menggembirakan baginda Nabi s.a.w. kerana ini jalannya ..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...