Feb 24, 2011

Saya OK, anda OK

Bismillah wa alhamdulillah

liqa' muslimat yang sentiasa dalam hati

Mengimbau kenangan seawal saya memasuki alam kampus suatu ketika dahulu. Seusia yang masih mentah saya dilantik untuk menjadi penolong ketua biro yang mana bertindak sebagai naqibah kepada ahli biro, khususnya dalam liqa' muslimat.

Siapa yang berani bercakap berhadapan dengan mereka yang baru dikenali, sebaya dan ada yang lebih senior, dan mungkin lebih berilmu? Oh hampir sahaja mematahkan separuh keyakinan ketika itu.

Melihat kepada taklifan yang sangat besar diusia yang masih muda belia, tidak mematahkan semangat walau sedikit pun. Saya fokuskan minda kepada matlamat yang ingin dicapai. Saya melihat kekurangan itu sebagai suatu cabaran yang akhirnya bertukar menjadi suatu peluang. Pastinya bukan suatu yang mudah. Pelukan iltizam yang tinggi dan minda yang sentiasa terfokus kepada objektif. Memotivasikan diri itu teramat sangat perlu.

Tiada siapa yang akan merasakan dirinya layak untuk mengepalai mana-mana liqa'. Masing-masing pasti akan berfikir panjang,

"saya kurang itu.."

"saya tidak pandai.."

"saya tak mampu.."

"saya tak layak.."

dan sebagainya.

Kembara saya ke Shah Alam suatu ketika dahulu, menemukan saya dengan seorang motivator yang menceritakan tentang empat posisi dalam kehidupan manusia.

1. Saya ok, anda ok

Kita positif terhadap diri kita dan orang lain

2. Saya ok, anda tidak ok

Kita positif terhadap diri, tetapi memandang rendah (negatif) terhadap orang lain.

3. Saya tidak ok, anda ok

Sangat positi terhadap orang lain, dan negatif kepada diri sendiri

4. Saya tidak ok, anda tidak ok

Negatif terhadap diri sendiri dan orang lain


Sekarang saya ingin bertanya, kamu ingin pegang posisi yang mana?

Memilih yang ketiga, menunjukkan anda seorang yang 'care'. Terlalu memandang tinggi orang lain, menyuruh mereka berbuat baik, namun membiarkan diri sendiri terus-terusan di takuk lama. Cuba 'meyakinkan' diri anda memang lemah. Redha tak kena tempat.

Nak pilih yang kedua, bukti anda pentingkan diri sendiri. Berhempas pulas membaikkan diri tanpa kisah orang sekeliling 'kebuluran'.

Bagaimana pula dengan keempat? Posisi ini menjadikan diri anda lesu. Tiada usaha untuk mempositifkan diri, juga tiada langkah membaikkan orang lain. Memandang rendah terhadap orang lain, dalam masa yang sama 'memaksa' diri menerima diri seadanya. Semacam membiarkan adunan yang lembut yang masih boleh dibentuk, dibiar mengeras dalam bekas adunan.

Posisi yang terbaik yang saya mahu diri saya dan anda semua pilih adalah posisi pertama. Saya ok, anda pun turut ok. Berusaha membaikkan diri dan tidak lupa mengajak orang lain juga berbuat baik.

Saya tidak mahu kita setakat PILIH, kita perlu praktik supaya bertukar kepada JADI. Jika sekarang anda berada di posisi kedua, ketiga dan keempat, belum terlambat lagi untuk mengubahnya kepada posisi yang pertama. Yang penting, usaha :)

إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوۡمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُواْ مَا بِأَنفُسِہِمۡ‌ۗ
Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri..
[Surah ar-Ra'd: 11]

Alhamdulillahi barokatillah~ dengan izinNya saya memilih untuk berada di posisi pertama sampai bila-bila. Saya OK, anda OK! Dengan kerana itu, perasaan ingin 'bersama-sama tahu' perlahan-lahan menyelubungi hati hingga memberanikan saya memulakan langkah dengan mengadakan pertemuan pertama, yang akhirnya berjaya mengekalkan konsistensi kelangsungannya dari minggu ke minggu.



Jika kita jelas tujuan kita memulakan langkahan,
kita jelas apa yang hendak kita capai,
maka kita sukar untuk berputus asa


Kita dicipta dengan istimewa, diberikan pula kejadian yang istimewa, dengan tujuan hidup yang juga istimewa, dan kita akan pulang untuk menuju yang Teristimewa, yakni Allah Yang Maha Agung.

Bersama-samalah mengajak mereka di sekeliling kita juga menyedari hakikat ini. Seperti perkongsian saya dalam entri Erti Hidup Pada Memberi, memberi itu lebih baik dari menerima.

Sesungguhnya pelaburan saham terhebat yang boleh kita lakukan, adalah pada menumpahkan ilmu, pengalaman, nasihat, bimbingan, dan panduan kepada mereka yang lebih muda (atau mereka yang memerlukan).

Kongsikan, jangan tamak. Tak luak ilmu itu andai sama-sama beramal.

Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dari jendela
bilik penginapan saya sepanjang kembara di sana


p/s: berusaha bersama-sama pulang ke syurga..

Feb 14, 2011

14 Februari

Bismillah wa alhamdulillah~


empat belas ..


Ada yang sedang menyambut Hari Kekasih ke hari ini? Untuk yang telah halal, tiada masalah. Bagi yang belum ada ikatan yang sah itu, tidak kiralah yang bakal ke akan ke.. jangan lagi ye :) Esok dah bertaut akadnya, sambutlah macam mana nak sambut sekalipun. Bukan mengajak kalian meraikan hari memperingati valentine tu.. tapi menyeru semua sekali belajar menghargai pasangan, yang disambut tangannya, yang digenggam jari jemarinya tatkala sah diijab kabulkan itu. Kalau boleh, setiap hari pun perlu hargai keberadaan mereka di sisi.

Menghargai mereka sebagai tanda rasa bersyukur. Bersyukur merupakan kualiti hati yang paling penting. Hati dan akal yang sentiasa bersyukur akan diterjemahkan dalam gerak laku tubuh. Dengan bersyukur, kita akan merasa cukup dengan apa yang kita ada. Dalam bicara Ustaz Hasrizal, ada berkongsi:

Kurangkan SEPATUTNYA dalam hidup ini. SEPATUTNYA adalah sesuatu yang diperlukan untuk kita menetapkan matlamat, tetapi ia juga boleh menjadi racun yang memusnahkan kehidupan berumah tangga tatkala SEPATUTNYA menjadi sesuat yang dipertahankan
melebihi APA YANG PATUT


Jangan meletakkan banyak jangkaan, kerana dari jangkaan itulah yang kemudiannya berubah menjadi kekecewaan


antara tujuan dan keperluan


Menerima mereka tanpa perlu 'itu' dan 'ini'. Mengasihi seadanya. Bercintalah tanpa syarat!~

Menilai kebaikan pada kebaikan itu dengan iman




Hari ini juga hari ulang tahun kelahiran insan istimewa; ayahanda tercinta. Selamat hari lahir ayah~

Dikau sentiasa dalam doa~

Setiap nafas yang dihembus
Setiap degupan jantung
Aku selalu memikirkanmu

Di kala penuh ketakutan dengan badai kehidupan
Ku bersyukur adanya kamu


Juga untuk ukhti yang disayangi sentiasa, sanah helwah ya nawwar wafaa~

Semoga menjadi seorang muslimah solehah dan sihat, sentiasa berada dalam rahmatNya. Semoga pertambahan umur seiring dengan timbunan amal.

teristimewa~

Saya terbaca dekat blog sahabat:

"usia hanyala angka. yang penting adalah apa yang ditimba selama kita hidup. Sebenarnya setiap manusia hanya hidup 3 hari. Hari ini, semalam dan esok. Semalam adalah semalam. Contohnya jika berumur 24tahun, 23tahun yang lepas adalah hari semalam.siapa kita pada hari ini adalah apa yang kita decide untuk buat pada hari ini.sebab kita ada hari ini sahaja. Hari semalam sudah tiada untuk kita putar balik. Hari esok? Belum tentu lagi ada untuk kita..."

Siapa kita di hari esok (andai ada nikmat untuk kita).. tepuk dada tanya iman. Jangan tanya selera, kerana ia sentiasa menginginkan kepada nafsu yang mudah benar terdorong kepada keburukan.


Maghrib nanti, masuk 12 rabi'ul awwal 1432H.

12 Rabiul Awal
merupakan tarikh yang bersejarah yang mana saban tahun umat Islam seluruh dunia sama-sama menyambut hari kelahiran putera bertuah yang telah merubah peradaban dunia. Nabi Muhammad; begitulah nama indah, suri teladan sepanjang zaman, yang telah menunjukkan sifat keperibadian dan akhlak yang terpuji semenjak kecil lagi.


pecinta agung itu telah mati
tetapi cintanya harum hingga ke detik ini

inna lillahi wa inna ilaihi roji'un~

إِنَّ ٱللَّهَ وَمَلَـٰٓٮِٕڪَتَهُ ۥ يُصَلُّونَ عَلَى ٱلنَّبِىِّۚ يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ صَلُّواْ عَلَيۡهِ وَسَلِّمُواْ تَسۡلِيمًا
Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.
[Surah al-Ahzab:56]

Tidak seperti kebiasaan, bersama-sama ibu, ayah, kakak dan nenek, suatu ketika dahulu, ke SK Lelaki Bandar untuk mendengar ceramah maulid. Cuti umum kali ini, saya dan sahabat-sahabat mengambil kesempatan yang ada untuk berkonvoi ke destinasi baru, berjumpa dan bersilaturrahim dengan kelompok manusia yang baru. Tidak lama di sana.. namun apa yang mampu saya harapkan..

semoga Allah redha~



p/s: bercakap mengenai ijab kabul, mungkin ada yang rasa dah 'sampai' tahap WAJIB kahwin. Tapi ketahuilah.. pernikahan bukan suatu bentuk penyelesaian. Ia adalah suatu yang lebih besar.

Feb 12, 2011

Sepintas lalu

Bismillah wa alhamdulillah~

Semalam saya type ini di FB:

aduhai.. ramai pula yang salah sangka walaupun dengan tambahan 'p/s' tu ye. macam-macam!~ Tahniah ana & suami! Moga majlis berjalan lancar.

barakallahu lakuma wa baraka 'alaikuma wa jama'a bainakuma fil khair wa rozakakuma zurriyatan toiyyibata tanfaul Islam wal muslimin~

yang jauh sudahlah dekat
sudah dekat bersalam-salaman
kami berdoa semoga berkat
menempuh kehidupan dalam aman

amat garang datuk bentara
musuh melanggar habis dibenam
dulu seorang kini berdua
hidup bersama susah senang

Tiada banyak yang sempat dikongsikan untuk entry kali ini, dengan emosi yang masih diselubungi imtihan. Coretan untuk cny pun masih tertangguh dalam peti besi (draft). Semalam berbicara di telefon bersama adinda yang jauh nun di KB, sempat dia bertanya:

"akak, bila nak update.."

Huu serba salah dibuatnya. Perasaan itu memujuk rayu untuk dibebaskan tanpa sekatan!

Cahaya Hati saya titipkan untuk usrati sekalian. Semoga ada hati yang dapat ditenangkan, ada jiwa yang dapat ditenteramkan.

Allah Engkau dekat
penuh kasih sayang
takkan pernah Engkau biarkan hambaMu menangis
kerana kemurahanMu
kerana kasih sayangMu






p/s: saya sangat merindukan sahabat-sahabat saya! Moga antunna sentiasa dipayungi rahmat Allah >:D<

Feb 4, 2011

Cuti CNY

Bismillah wa alhamdulillah~

Selamat hari cuti!~ :D

Cuti cny minggu sudah memang sangat bermakna. Untuk pertama kali saya rasa, saya bertandang ke rumah orang non-muslim semasa cny. Bukan tak mahu, tapi tak berkesempatan. Tapi kali ini lain. Bersungguh-sungguh saya ingin pergi beraya, siap diselitkan dalam agenda harian supaya tidak terlupa. Mungkin sebab perasaan rindu menggunung itu membuatkan fizikal bergerak mengatur langkah ke destinasi yang diharapkan. Sesuatu perkara yang dibuat atas rasa 'mahu' pasti mudah menukarnya menjadi 'mampu' kan :) Dorongan hati!~

Plan asalnya ingin berkonvoi bersama, ala-ala mini reunion. Oh harapan~

Siangnya, selepas bersarapan, saya sekeluarga ke rumah makcik di Kg. Bentong (Kluang). Banjir di kluang tempoh hari turut menjejaskan kawasan kediamannya.

Kemudian, kami mohon izin berundur sebentar untuk ke walimah cucu kepada guru ngaji (yang ajar baca al-quran) saya, Allahyarhamah Tok Minah.

Pulang dari walimah, dengan ditemani akak tersayang, kami pergi ziarah guru kesayangan saya, Puan Cheong Nuan. Kenapa 'kesayangan'? Sebab beliau garang tapi sweet! :D Beliau mengajar saya ketika di sekolah rendah (STM2). Seperkara yang menarik ketika zaman bersekolah rendah dahulu, untuk pertama kalinya, batch kami (1994-1999) ada kelas yang diajar Bahasa Cina! Dan saya adalah salah seorang murid yang 'disedut' keluar dari kelas lain untuk berada dalam kelas berkenaan. Oh bertuahnya!~ tapi janganlah nak ajak berbicara bahasa cina dengan saya sekarang, sudah kelupaan.. tinggal beberapa patah sahaja yang masih diingat..huu~ :( Kebolehan tidak akan bertukar menjadi kelebihan andai tidak dipraktiskan sebaiknya kan :)

Practice makes better!

Hampir sejam kami mencari rumah beliau. Huu gara-gara 'gps' yang sangat 'membantu'. Terima kasih daun keladi ye encik Qusyairi! Berpusing-pusing jauh sehingga akhirnya kami kembali ke tempat di mana kami bermula..oh sungguh haru dibuatnya. Dan akhirnya Cikgu Cheong datang jemput di hujung jalan.

Janji terlaksana!~

Setelah berbual lama hampir ke maghrib, kami pun minta diri. Meskipun cuma sebentar, kerinduan itu terubat. Insya-Allah akan bertandang lagi bila berkesempatan.

Ada orang mungkin takut untuk bertandang ke rumah mereka yang berlainan agama, khuatir dengan apa yang bakal dihidangkan; makanan, minuman, cawan atau gelas yang digunakan, pinggan dan sebagainya. Jangan terlalu bimbang, mereka kini lebih sensitif dan peka. Di rumah Cikgu Cheong misalnya, beliau menghidangkan kami dengan minuman berkotak (air kotak), buah oren, juga makanan-makanan yang berpaket seperti biskut dan sebagainya. Mereka tahu apa yang orang islam boleh makan dan apa yang tidak boleh, mengalahkan orang kita sendiri yang 'buat-buat lupa' apa yang boleh dan apa yang tidak boleh.

Memetik kata-kata Dr.Yusuf al-Qardhawi, menyebut bahawa jika kaum bukan islam memulakan ucapan selamat Hari Raya mereka kepada kita, maka kita juga harus membalas ucapan yang serupa kepada mereka, kerana ini tidak lebih daripada hanya mewujudkan rasa simpati antara satu sama lain. Ia tidak bermakna bahawa kita telah merelakan agama dan kepercayaan terhadap Isa Maryam sebagai tuhan dan lain-lain pemujaan.

Islam tidak melarang kita berbuat baik terhadap ahli kitab yang tidak bermusuh dengan kita. Kita harus berbuat baik kepada mereka, sebagaimana mereka berbuat baik kepada kita.


لَّا يَنۡهَٮٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ لَمۡ يُقَـٰتِلُوكُمۡ فِى ٱلدِّينِ وَلَمۡ يُخۡرِجُوكُم مِّن دِيَـٰرِكُمۡ أَن تَبَرُّوهُمۡ وَتُقۡسِطُوٓاْ إِلَيۡہِمۡ‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُقۡسِطِينَ

Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu) tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.
(Surah al-Mumtahanah:8)


Sebarkan agama dengan penuh kasih sayang~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...