Manusia Dicipta Sebaik-baiknya, Lengkap, Sesuai dengan Keadaannya
لَقَدۡ خَلَقۡنَا ٱلۡإِنسَـٰنَ فِىٓ أَحۡسَنِ تَقۡوِيمٍ۬ (٤) ثُمَّ رَدَدۡنَـٰهُ أَسۡفَلَ سَـٰفِلِينَ (٥) إِلَّا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ فَلَهُمۡ أَجۡرٌ غَيۡرُ مَمۡنُونٍ۬ (٦)
Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya). (4) Kemudian (jika dia panjang umur sehingga tua atau menyalahgunakan kelengkapan itu), Kami kembalikan dia ke serendah-rendah peringkat orang-orang yang rendah, (5) Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, maka mereka beroleh pahala yang tidak putus-putus.
(Surah at-Tin: 4 - 6)
Allah kurniakan kita jasad yang sangat cantik. Kemudian Allah tiupkan roh ke dalamnya, supaya jiwa itu hidup dan menyembahNya. Jika jasad itu mati, kita tahu ia perlu dimandikan, dikafankan kemudiannya dikebumikan. Tapi jika yang mati itu adalah minda, apa yang kita akan buat dan apa kesannya? Jika jasad mati, orang ramai tahu yang mereka perlu gali kubur untuk uruskan si mati. Namun bagi orang yang mindanya mati, kesannya sangat besar. Dia akan menjadi beban kepada masyarakat. Laknat Allah boleh turun kepada masyarakat dengan kehadiran dirinya.
Seperti dalam klip video yang saya kongsikan di sini, ia juga merupakan salah satu kesan daripada ‘kematian’ minda. Ternyata jika minda tidak lagi berfungsi mengikut acuannya, tidak kenal diri, tidak kenal Penciptanya, tentu sahaja dia tidak dapat bezakan yang mana baik dan yang mana buruk, najis-najis (spt:dadah, arak dll.) lebih mulia daripada kasih sayang ibu bapa.
Usrati, yang halal itu jelas, dan yang haram itu juga jelas. Tentu sahaja Allah tidak mengharamkan sesuatu melainkan ia boleh membawa kemudaratan yang besar kepada kita. Jika Allah kata yang itu haram, jangan sekali-kali kita cuba nak dekat, buruk akibatnya.
Minda; Allah hadiahkan kepada manusia, dimuliakan sehingga diletakkan di atas. Kita sedia maklum bahawa Allah tidak mencipta manusia sahaja sahaja untuk biasa-biasa. Mulianya Allah, jahilnya kita. Bila mana Allah ciptakan sesuatu, pasti Dia akan datangkan sekali panduannya. Begitu juga dengan minda, ada peraturan dan undang-undang mengenai cara-cara untuk gunakannya. Allah datangkan manualnya melalui Al-Quran, petunjuk sepanjang zaman. Semua dah tersedia, tinggal kita sahaja membuat pilihan. Mahu atau tidak? Jawapan di tangan masing-masing.
Ketahuilah, sesungguhnya di dalam jasad itu ada segumpal daging, apabila dia baik maka baiklah seluruh jasad, dan apabila dia buruk maka buruklah seluruh jasad. Ketahuilah, ia adalah hati.
Allah berfirman:
أَفَلَمۡ يَسِيرُواْ فِى ٱلۡأَرۡضِ فَتَكُونَ لَهُمۡ قُلُوبٌ۬ يَعۡقِلُونَ بِہَآ أَوۡ ءَاذَانٌ۬ يَسۡمَعُونَ بِہَاۖ فَإِنَّہَا لَا تَعۡمَى ٱلۡأَبۡصَـٰرُ وَلَـٰكِن تَعۡمَى ٱلۡقُلُوبُ ٱلَّتِى فِى ٱلصُّدُورِ
"Oleh itu, bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya dengan melihat kesan-kesan yang tersebut mereka menjadi orang-orang yang ada hati yang dengannya mereka dapat memahami atau ada telinga yang dengannya mereka dapat mendengar? (Tetapi kalaulah mereka mengembara pun tidak juga berguna) kerana keadaan yang sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada.”
(Surah al-Hajj: 46)
Allah telah menjadikan anggota badan untuk tunduk kepada hati, taat terhadap apa yang diputuskannya, mengamalkannya sesuai dengan keadaannya, maka apabila hati itu baik, baik pulalah jasad dan apabila ia buruk, maka buruklah jasad.
Bila minda hidup, hati hidup, jiwa juga pasti hidup.
Urgensi zikir bagi hati
Cara paling asas untuk segarkan kembali minda yang lesu adalah dengan sentiasa mengingati Allah. Kembalikan rasa diri kita bertuhan. Terbitkan rasa hati rindu kepada yang Maha Esa. Hati kita tak ubah seperti sebuah besi; tumpul apabila lama tak bertemu asahan, berkarat dek lama bercampur dengan udara lembab. Hati umpama tanaman hijau yang memerlukan air untuk kekal ayu. Sedangkan manusia si pemilik hati selalu sahaja dikelilingi oleh musuh. Nafsu amarah yang selalu membawa kepada kehancuran, begitu juga dengan nafsu dan syaitan yang selalu mengiringinya dan selalu siap sedia menggodanya bila ada peluang. Ini semua tidak akan berlaku jika hati kita tidak lalai dari mengingatiNya. Kelalaian merupakan pintu yang membolehkan syaitan masuk ke dalam hati kita dengan mudah. Oleh yang demikian, bentengkan hati kita dengan memperbanyakkan zikir kepada Allah swt.
“Zikir bagi hati bagaikan air bagi ikan, maka bagaimanakah keadaan ikan apabila berpisah dari air?”
-Imam Ibn Taimiyah-
“Carilah kenikmatan iman pada tiga hal; dalam solat, zikr dan membaca Al Qur’an. Jika kamu mendapatkannya (maka beruntunglah kamu) jika tidak maka ketahuilah bahawa pintu kebaikan telah tertutup.”
- Imam Hasan Al Basri-
Zikir tiada had batasannya. Boleh sahaja dimana-mana pada bila-bila. Ia kehidupan bagi hati. Sebesar apapun beban yang dipikul, insya-Allah akan terasa ringan jika kita selalu ingat Allah kerana kita yakin Allah tidak datangkan ujian diluar kemampuan hambaNya. Kita akan merasa aman dari segala bentuk kegelisahan dan kejahatan makhlukNya.
ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَتَطۡمَٮِٕنُّ قُلُوبُهُم بِذِكۡرِ ٱللَّهِۗ أَلَا بِذِڪۡرِ ٱللَّهِ تَطۡمَٮِٕنُّ ٱلۡقُلُوبُ
(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan "zikrullah". Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia.
(Surah ar-Ra’d: 28)
Mudah kan hanya dengan berzikir sahaja kita boleh sentiasa ingat Allah? Ok kita up lagi. Mahu lebih ingat Allah, kita dirikan solat. Ini bukan solat biasa-biasa. Ini solat 5 waktu sehari semalam yang bertemakan ‘solat mencegah kemungkaran’.
وَأَقِمِ ٱلصَّلَوٰةَۖ إِنَّ ٱلصَّلَوٰةَ تَنۡهَىٰ عَنِ ٱلۡفَحۡشَآءِ وَٱلۡمُنكَرِۗ وَلَذِكۡرُ ٱللَّهِ أَڪۡبَرُۗ وَٱللَّهُ يَعۡلَمُ مَا تَصۡنَعُونَ
“...dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya) dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.”
(Surah al-Ankabut: 45)
Saya selalu ingatkan diri, setiap masa setiap ketika, kita perlu berbicara dengan tuhan khususnya ketika solat. Medium utama penghubung kita dengan Allah, Pencipta kita. Fahami setiap bacaan dan doa didalam solat, faham maknanya. Takbir, i’tidal, ruku' dan sujud dengan tawadhu. Bertasyahud dengan penuh pengharapan dan memberi salam dengan keikhlasan.
Berwudhu - membasuh anggota daripada tujuh perkara :-
- Bertaubat
- Menyesali dosa yang telah dilakukan
- Tidak tergila-gila oleh dunia
- Tidak mencari/mengharap pujian orang (riya')
- Tinggalkan sifat berbangga
- Tinggalkan sifat khianat dan menipu
- Meninggalkan sifat dengki
Siap berdiri dengan penuh kewaspadaan untuk mendirikan solat:-
- Saya sedang berhadapan dengan Allah
- Syurga di sebelah kananku
- Neraka di sebelah kiriku
- Malaikat Maut berada di belakangku, dan
- Saya bayangkan pula saya seolah-olah berdiri di atas titian 'Sirathal mustaqim' dan menganggap bahawa solat saya kali ini adalah solat terakhir
- kemudian berniat dan bertakbir dengan baik
Tanamkan azam untuk berubah ke arah yang lebih baik. Azam penting bagi manusia. Jika kita tahu dengan jelas akan sesuatu matlamat, kita akan berazam untuk mencapainya. Dengan azam kita akan sentiasa pandang kehadapan. Kita perlu jadi bangsa yang berpijak di tanah, tetapi berimpian hingga ke langit!
Di akhirnya, kita jangan lupa untuk berefleksi. Bermuhasabah. Hisablah diri kita sebelum kita dihisab di akhirat Allah.
Bersambung.. (cerita ini masih jauh lagi, sejauh perancangan saya untuk hidup sebagai hamba Allah)
Tahun baru
Hari ini 30 Dzulhijjah 1430H. Berapa detik sahaja lagi kita perlu berikan lambaian perpisahan kepada 1430H dan mengucapkan selamat datang kepada 1431H. Masa terus berlalu mengikut putaran alam. Manusia si pemakmur bumi adalah isinya, bahan bicaranya, agen perubah yang akan mewarnai perjalanan masa. Namun seperti biasa, kemunculan awal muharam dipandang sepi, sesepi kawasan perkuburan dan ketibaan tahun baru masihi dinanti-nantikan dengan penuh keghairahan.
Setiap ‘hari ini’ yang Allah datangkan penuh dengan muatan pengajaran yang terpahat dalam lipatan sejarah, penuh pengorbanan, penuh pengertian yang mampu menyirna dan menerangi alam kehidupan. Setiap hari akan ada penghijrahan, setiap penghijrahan menuntut perubahan, dan setiap perubahan memerlukan pengorbanan. Manusia dahulu dihormati, digeruni, dan disegani. Manusia sekarang dihina, dibenci, dan dicaci-maki. Seakan pahlawan yang hilang keperwiraannya. Dimana ketangkasannya apabila agama dihina, dicaci maki? Hanya geram tetapi menunduk sepi. Semuanya berlalu tanpa jawapan yang pasti.
Elok benar perancangan musuh Islam. Sehingga kita hilang sensitiviti kepada agama sendiri, hilang rasa cinta yang menebal kepada Allah dan rasulNya yang merupakan kunci utama kekuatan dan kekebalan Islam itu sendiri. Semuanya enak dan leka dibuai gelombang ‘isme-isme’.
Pengkatifan minda
Tidak banyak masa yang tinggal. Sampai bila mahu begini? Aktifkan minda. Hakikatnya minda kita punyi kekuatan yang cukup hebat. Kaji, teroka, dan kukuhkan kehebatan yang ada.
إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوۡمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُواْ مَا بِأَنفُسِہِمۡۗ
“...Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri...”
(Surah ar-Ra’d: 11)
Tahun baru dengan keazaman yang baru. Jadilah hamba Allah yang berkualiti dengan kekudusan hati yang tidak berbelah bahagi kepada Allah swt. Gunakan nikmat yang diberi untuk mencari kebahagiaan yang hakiki. Sentiasalah bersedia menerima dan memberi. Moga hidup diredhai. Doakan kami yang akan mula berimtihan hujung minggu ini.
Bila saya tengok gambar ni, saya teringat sahabat saya. Moga keceriaan dan kebahagiaan yang hakiki sentiasa bersamanya walau dimana sahaja dia berada. Doakan kami yang sedang berimtihan :)
p/s: be different and make a difference!