Aug 16, 2008

Ditakdirkan sebegitu

Dengan kalam Allah saya mulai untuk perkongsian kali ini.. (saya perlu 'kekuatan' untuk kongsikannya di sini)

Setiap apa yang kita lalui atas muka bumi ini, apa yang telah terjadi, apa yang sedang terjadi, dan apa yang akan terjadi semuanya telah ditentukan oleh Allah.

Tidak ada sesuatu bencana yang terjadi di bumi dan tidak ada pula yang terjadi pada diri kamu melainkan itu ada dalam kitab sebelum Kami laksanakan berlakunya. Bahawasanya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. Yang dimaksudkan dengan kitab di sini ialah lohmahfuz.

-surah al-Hadid: 2-

Lebih jelas dikatakan di sini bahawa setiap sesuatu itu telah ditakdirkan oleh Allah terlebih dahulu. Suratannya telah tercatat di Lohmahfuz. Itulah yang dinamakan sebagai qadak dan qadar Allah. Allah jualah yang menentukan jalan hidup seorang hamba.

Dan kalau Allah menghukum manusia kerana kezaliman mereka, nescaya tidak ditinggalkan di muka bumi makhluk yang hidup, tetapi Allah memberi mereka janji hingga waktu yang ditetapkan. Maka apabila tiba ajalnya, maka tidak ada seorang pun yang dapat mengundurkannya dan juga tidak ada yang dapat mendahulukannya.

-surah an-Nahl: 61-

Katakanlah (wahai Muhammad): Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah Pelindung yang menyelamatkan kami dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakal. 

-surah at-Taubah: 51-

Allah perintahkan nabi-Nya, Muhammad supaya memberitahu kepada orang fakir yang tidak percaya kepada takdir Allah bahawa sesuatu nasib yang menimpa manusia itu telah ditakdirkan oleh Allah sebelumnya, tidak akan dapat dielak lagi. Kerana itu, setiap orang perlu berserah kepada Allah sepenuhnya dan menerima dengan rela di atas takdir yang telah ditentukan.

Dan tiadalah sesuatupun dari makhluk-makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat dia disimpan. Semuanya itu tersurat di dalam Kitab (Luh Mahfuz) yang nyata (kepada malaikat-malaikat yang berkenaan).

-surah Hud: 6-

Allah yang memberi rezeki manusia, memberi makanannya dan menetapkan berapa lama mereka akan hidup di dunia. Manusia hanya menjalani takdir itu. Kepandaian manusia hanya menanam, memasukkan benih dalam tanah hingga tumbuhan hidup subur dan boleh dimakan. Namun hakikat yang menghidupkan tumbuh-tumbuhan yang sebenar adalah Allah jua, manusia tidak mempunyai keupayaan untuk menghidupkannya.

Bahawasanya setiap kita dihimpunkan kejadiannya dalam perut ibunya selama 40 hari berupa nutfah (air mani), kemudian bertukar menjadi segumpal darah, lalu menjadi segumpal daging. Lalu dikirimkan kepadanya malaikat dan ditiupkan padanya roh. Diperintahkan malaikat itu supaya mencatatkan empat perkara, iaitu rezekinya, ajalnya, pekerjaannya dan untung buruk atau untung baik.

-Daripada Abdullah bin Masud, sabda Rasulullah s.a.w.-

Demi Allah yang tidak ada Tuhan selain-Nya, sesungguhnya seseorang daripada kamu boleh beramal serupa amalan penduduk syurga, sehingga jarak antaranya dan syurga hanya sehasta lagi, tetapi suratan takdirnya mendahuluinya, lalu dia melakukan perbuatan penghuni neraka menyebabkan dia masuk ke sana. Dan sesungguhnya salah seorang daripada kamu ada yang beramal dengan amalan ahli neraka, sehingga jarak antaranya dan neraka hanya sehesta tetapi, suratan takdirnya mendahului dia, lalu dia beramal seperti amalan penduduk syurga dan dia akhirnya dimasukkan ke syurga.

-Riwayat Bukhari dan Muslim-

Percayalah kepada takdir kamu, kerana ia membolehkan kita menerima qadak dan qadar yang telah ditetapkan dengan rela hati dan selaut kesabaran. Tidak ada yang boleh menyanggah ketetapan Allah yang sememangnya mahukan setiap hamba itu reda dengan ketentuan-Nya. Perlunya  reda tatkala menerima ketetapan Allah itu bertujuan supaya manusia jangan bersedih hati atas sesuatu yang hilang dan jangan pula terlalu gembira dan sombong diri dengan apa yang diperoleh. Ia anugerah Allah. Allah tidak suka orang yang sombong dan membanggakan diri.

(Kamu diberitahu tentang itu) supaya kamu tidak bersedih hati akan apa yang telah luput daripada kamu dan tidak pula bergembira (secara sombong dan bangga) dengan apa yang diberikan kepada kamu dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri.

-Surah al-Hadid: 23-

Menyelusurinya lagi, takdir terbahagi kepada beberapa bahagian, di antaranya ialah takdir yang ada dalam pengetahuan Allah, di mana Allah telah mengetahui apa akan terjadi sama ada di dunia atau akhirat tidak ada yang tersembunyi, biarpun ia belum berlaku. Allah Maha Mengetahui atas segala sesuatu.

Dialah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi, kemudian Dia menuju dengan kehendakNya ke arah (bahan-bahan) langit, lalu dijadikannya tujuh langit dengan sempurna dan Dia Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. 

-Surah al-Baqarah: 29-

Takdir seperti ini tidak akan berubah yang diistilahkan sebagai qadak mubram ataupun takdir yang pasti.

KeputusanKu itu tidak dapat diubah atau ditukar ganti dan Aku tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hambaKu.

-Surah Qaf: 29-

Namun suatu perkara yang perlu diingat, walaupun takdir atau ketentuan untuk makhluk itu telah dituliskan pada lohmahfuz, ini tidak bermakna kita tidak perlu berusaha. Hanya goyang kaki menunggu ketetapan. Jangan malas duhai sahabat. Kerana takdir ini masih menerima perubahan, kerana ada takdir yang tertulis di situ yang sudah tetap dan ada takdir yang belum diputuskan (takdir muallaq).

Dalam sebuah hadis daripada Sayyidina Ali, beliau ada berkata, pada satu hari baginda duduk. Di tangannya ada satu batang kayu yang digunakan untuk menggores-gores. Baginda mengangkat kepalanya lalu berkata: Setiap daripada kamu yang bernyawa telah ditetapkan tempatnya di syurga atau neraka. Lalu bertanya para sahabat: Kalau demikian, apa perlunya kita beramal ya Rasulullah. Adakah lebih baik kita bertawakal sahaja.

Mendengarkan kata-kata sedemikian rupa baginda bersabda: Jangan! Beramallah, setiap orang akan dipermudahkan oleh Allah kepada jalan yang telah ditetapkan oleh-Nya.

Sebagai contoh, seseorang itu menurut takdir akan mati ketika berumur 69 tahun, tetapi kalau ia sentiasa menjaga kesihatan dan berubat apabila sakit, umurnya ditambah menjadi 10 tahun lagi.

Allah menghapuskan apa jua yang dikehendakiNya dan Dia juga menetapkan apa jua yang dikehendakinya dan (ingatlah) pada sisiNya ada "Ibu segala suratan".

-Surah ar-Ra'd: 39-

Dalam tafsir al-Qurtubi, semua takdir Tuhan yang telah tertulis di lohmahfuz boleh dihapus oleh Allah dengan kehendakNya. Bagaimana? Melalui doa dan perbuatan baik.

Tidak boleh diubah takdir kecuali doa, dan tidak ada yang boleh menambah umur kecuali perbuatan baik.

-Hadith Tarmizi-

Sayyidina Omar al-Khattab ketika tawaf di Kaabah menangis sambil berdoa: Ya Allah, andainya Engkau takdirkan daku termasuk dalam lingkungan orang yang berbahagia, maka tetapkan daku di situ, tetapi andainya Engkau telah mentakdirkan daku termasuk dalam golongan orang yang celaka juga orang yang berdosa, maka hapuskanlah takdir itu dan masukkanlah daku dalam golongan orang yang berbahagia dan memperoleh keampunan. Engkau menghapus apa yang Engkau kehendaki dan menetapkan apa yang telah Engkau kehendaki dan pada sisi-Mu Ummul Kitab.

Dalam membicarakan usaha dan takdir ketentuan Allah, setiap orang mempunyai tugas masing-masing. Takdir itu adalah masalah iktikad atau kepercayaan. Allah memerintahkan kita supaya percaya kepada takdir. Manusia tidak tahu apa yang telah dan akan ditakdirkan untuk kita. Allah sendiri pun tidak pernah memberitahu apakah kita termasuk dalam golongan orang baik-baik, orang kaya atau miskin selalu, biarpun puas berusaha di sepanjang hari termasuk ketika bulan Ramadan.

Apa yang kita ketahui ialah adanya perintah daripada Allah dan rasulnya supaya kita beriman kepada Allah dan beramal saleh sambil berdoa supaya dijauhkan daripada seksa. Beramal dan berusaha bukan bererti melawan takdir, tetapi termasuk juga dalam takdir.

Manusia yang rajin bekerja senang hidupnya. Itu adalah takdir Allah. Dan apabila manusia yang banyak wang hasil daripada ketekunan bekerja itu menghabiskan semua wangnya ia menyebabkannya miskin. Itu pun tetap takdir Tuhan.

Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa apa yang pada diri mereka.

-Surah Ar Ra’d: 11-

Oleh itu, jangan berhenti berusaha!

-------------------------------------------------------------

Sejambak tahniah buat naqibah saya atas konvokasinya baru-baru ini. Mabruk ya ukhti habibati~


p/s: merasai perasaannya walaupun tiada di sana. Anyway, syukran jiddan to kak aina a.k.a. miss pooh~ kerana mengabadikannya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...