Dec 18, 2009

Tazkirah pertama di pagi 1 Muharam 1431H

Subuh 1 Muharam 1431H. 

 ١٤٣١

Musim-musim imtihan begini, saya lebih seronok habiskan masa saya di al-Irsyad. Tidak kisahlah berteman atau tidak, saya akan pastikan jasad dan rohani saya hadir ke sana. Jika ketika duduk di hostel dulu, hampir setiap malam saya di sana tidak kira musim imtihan atau tidak, hujan atau panas, berteman atau bersendirian, kegirangan atau kesyahduan, saya pasti ada di situ.

Tersenyum mengingat kenangan seketika dulu dan impian yang dicipta tanpa sengaja ..

Seronok betul hari ini. Subuh 1 Muharam 1431H saya di al-Irsyad. HSH2! Bertemankan sahabat-sahabat yang disayangi, serta adik-adik yang dikasihi, kami bermalam di situ. Seronok bila sesekali dapat bertemu muka beriktikaf bersama; sama-sama duduk bertemu lutut menghayati bait-bait al-ma’thurat dan jika bernasib baik, mungkin ada yang menawar diri untuk bertazkirah dan ada juga yang meminta untuk ditazkirah :)

Hari ini giliran cik iqa bertazkirah. Mulanya sedikit teragak-agak, kurang keyakinan. Tapi bila dah mula, tak mahu pula berhenti :) Bicaranya sekitar paparan berita harian mengenai anak gadis 14 tahun yang dirogol lima orang lelaki serentak. Lebih teruk lagi, aksi-aksi itu dirakam dengan menggunakan telefon bimbitnya (gadis 14 tahun) sendiri.

Beristighfar panjang kami...

Kebejatan masalah sosial, akhlak dan pemikiran manusia semakin meruncing lagi merungsingkan. Segala kesan daripada strategi dan pelan atur musuh-musuh Islam sedang menunjukkan impak maksimanya. Makanan, minuman, pemakaian, permainan, rancangan TV dan filem yang dipertontonkan, pergaulan tanpa batasan, tutur bicara, semuanya telah rosak. Misi mereka hampir menemui sasarannya. Manusia jauh dari Tuhan; Allah yang satu. Iman mereka ditelanjangkan sedikit demi sedikit hingga tiada apa lagi yang tinggal. Hanya jasad sahaja yang bernyawa tanpa jiwa seorang hamba. 

Mana perginya pengakuan “sami’na wa atho’na” kita sebagai seorang muslim?

Manusia memang berani. Masakan tidak, Allah dah datangkan pelbagai tanda agar manusia insaf. Tapi hanya segelintir sahaja yang mengambil pengajaran. Selainnya masih lagi mencipta mimpi-mimpi sendiri. Bermegah-megah dengan dosa yang dicipta. Tenggelam dibawa arus dunia yang melalaikan. 


وَيُرِيكُمۡ ءَايَـٰتِهِۦ فَأَىَّ ءَايَـٰتِ ٱللَّهِ تُنكِرُونَ 

Dan Dia memperlihatkan kepada kamu tanda-tanda kebesaranNya dan kekuasaanNya (melalui Rasul-rasulNya dan pada makhluk-makhluk yang dijadikanNya); maka di antara tanda-tanda kesempurnaan Allah, yang mana satu, yang kamu ingkari

Surah al-Mu’min: 81


Saya takut. Izinkan saya menegur diri dan sahabat-sahabat. Bukakan minda, lapangkan dada. Saya bukan manusia sempurna. Tapi kita boleh berusaha mencipta sempurna. Kita manusia, hamba yang dicipta, terikat dengan peraturan, kerana mati kita untuk kembali kepada Dia.

Janji, jangan ulangi dosa semalam. 


 

Ya Allah, lindungilah kami semua daripada bala bencana dan azab api nerakaMu. Kurniakanlah kami hati-hati yang merindukan keamanan dan ketenangan dalam kehidupan berlandaskan Islam. Bantulah kami menghadapi hamba-hambaMu yang enggan menerima jalan Islam yang benar, dan berikanlah kami kekuatan, ketabahan serta kesabaran.

 

Ya Allah, bantu kami tepati janji kami ..


Kebejatan = kerosakan

Sami’na wa atho’na = aku dengar dan aku patuh

 

p/s: sebenarnya ketika saya menulis ‘perkongsian’ ini, dah masuk 6 Muharam 1431H dah. Ada orang dah siap menulis isi tapi tak tahu tajuknya. Ada orang lain pula dah terfikir tajuk menarik tapi isinya masih samar-samar lagi. Saya pula tajuk dah tahu lama tapi isinya tak sempat nak diterjemahkan kepada perkataan sementelah ada perkara lain yang lebih aula.

Moga bermanfaat 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...