Selamat hari lebaran
Minal ‘aideen wal faaizeen
Mari bersalam-salaman
Saling bermaaf-maafan
Ikhlaskanlah diri mu
Sucikanlah hati mu
Sebulan berpuasa
Jalankan perintah agama
Selamat hari lebaran
Minal ‘aideen wal faaizeen
Mari mengucapkan syukur
Ke hadirat Illahi
Kita berkumpul semua
Bersama sanak saudara
Tak lupa kawan semua
Jumpa di hari bahagia
................................................................
Lagu ini berkumandang bersama puluhan lagi koleksi lagu raya yang mana saya rasakan seperti memaksa-maksa diri untuk mewujudkan kegairahan menyambut lebaran. Dipaksa-paksa sedih bagi apa yang hilang dan tak tercapai. Dipaksa-paksa gembira bagi hasil mahsul sebuah Hari Raya.
Tetapi apa yang mengasak fikiran saya ialah ungkapan "Minal 'Aideen wal Faaizeen" itu. Bukan sahaja ungkapannya dalam bahasa Arab, malah maknanya juga saya pasti tidak mudah difahami dengan sekadar menyebutnya di atas lisan. Fahamkah artis-artis yang beraya lebih awal dari kita itu akan maksud ungkapan berkenaan? Maksud saya, adakah mereka merakam program Hari Raya ketika kita masih bertatih puasa. Fahamkah setiap mereka yang melakar kata-kata ini pada sebahagian 160 karakter sms 'Aidilfitri, atau kad raya itu sendiri?
Atau ia hanya ungkapan kosong tanpa makna!
Seperti Assalamu'alaikum yang gersang dari rasa sebuah do'a, atau Insya-Allah yang hanya kosmetik untuk cadangan memungkiri janji!
Fenomena kata-kata tanpa makna ini memang sudah lama wujud, sudah lama berlaku. Kerana itulah agaknya Imam Hasan al-Banna sering memulakan ceramahnya dengan menyebut:
"Aku alu-alukan kalian dengan alu-aluan Islam, alu-aluan yang asalnya di sisi Allah penuh kebaikan dan keberkatan, manusia menyebutnya sebagai adat, sedangkan kita menyebutnya sebagai ibadat, Assalamu'alaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh"
Ungkapan Minal 'Aideen wal Faaizeen
Ungkapan "minal 'aideen wal faaizeen" itu adalah suatu ungkapan yang sangat besar.
Kita mengucapkan tahniah atas kejayaan kita memenuhi tuntutan Ramadhan, melepasi proses Tarbiyahnya dan akhirnya kita melambai senja Ramadhan yang menyinsing dengan suatu diri yang tinggi.
Tinggi kerana kita telah menundukkan nafsu. Nafsu itu seperti api. Kecil menjadi lawan, tatkala besar menjadi lawan.
Manusia terhijab dari melihat kebesaran Allah, apabila nafsu terbiar mengganas jadi ammarah. Nafsu yang menipu kita bahawa kita sepatutnya makan lebih dari yang sepatutnya. Nafsu juga menyebabkan kita bercakap lagha, berkata lucah, mengamuk dan marah-marah, malah bergaduh dan bertelagah.
Semua itulah yang diajar Ramadhan agar kita mengatasinya. Kawal diri supaya tidak dikawal nafsu.
Bila nafsu diajar mengenal batas sempadan, barulah diri mengikut piawaian. Dan piawaian itulah yang dinamakan sebagai fitrah. Ramadhan melatih manusia menundukkan nafsu, agar dirinya kembali kepada piawaian, kembali kepada Fitrah!
Mereka inilah golongan 'Aideen; golongan yang pulang dan kembali kepada Fitrah.
Mereka Itulah Golongan Berjaya
Mereka yang berjaya menyerlahkan kembali fitrah diri yang selama ini terkurung dalam perangkap nafsu dan kejahilan, mereka inilah golongan yang sukses. Golongan berjaya iaitu golongan Faaizeen!
"Sesungguhnya berjayalah orang yang membersihkan dirinya dari belenggu nafsu."[91:9]
Golongan ini berjaya mengawal dirinya, lantas tidak lagi dikawal oleh dorongan nafsu. Dia sudah merdeka dengan kemerdekaan yang hakiki. Mereka inilah golongan yang berjaya yang kita sebutkan sebagai golongan Faaizeen.
Cermin Diri
Maka cerminlah keadaan diri kita semua. Apakah kita telah kembali kepada fitrah diri yang sebenar selepas Ramadhan ini? Seandainya tidak, ungkapan-ungkapan itu hanyalah sebagai satu ejekan. Mengejek diri sendiri yang jelik, kerana menyarungkan pakaian sutera pada 'tunggul' manusia yang tiada nilai dan harganya.
Moga kita ini benar-benar kembali kepada fitrah sebelum kita kembali kepada Allah; Pencipta yang satu. Kerana itu sahajalah erti sebuah faaizeen.
p/s: selamat hari raya 'Aidilfitri..kullu 'aam wa antum bikhair~