Jan 22, 2010

Hikmah subuh hari

Bismillah alhamdulillah..

Peluang beriadah pagi ini saya manfaatkan sebaiknya meskipun tiada yang meneman. Seawal matahari terbit saya dah bergerak keluar dari rumah. Melihat jalan yang sibuk .. dengan ibu bapa menghantar anak-anak ke sekolah, bergegas ke tempat kerja. Kadang-kadang seronok juga melihat gelagat mereka. Berlumba-lumba nak cepat walaupun tahu nun di hadapan, berderet-deret kereta menunggu giliran. Si anak pula masih lagi terpisat-pisat matanya kengantukan. Alahai adik..

Sampai di tempat biasa, suasana tenang sahaja. Tidak ramai orang hari ini. Hari minggu barangkali. Ada yang sibuk ke kelas, dan mungkin ada yang sibuk uruskan anak-anak dan mungkin juga ada yang sedang bersiap-siap mahu ke tempat kerja.

Seperti biasa, untuk memudahkan perjalanan, saya biasakan dengan kalimah tahmid; memuji Allah atas nikmat peluang bernafas sekali lagi atas muka bumi tuhan yang serba mencabar ini. Dalam hati, terbit juga rasa takut kerana kali ini saya berjalan seorang diri. Tapi saya yakin Allah ada, pelindung yang terbaik. 


إِنَّ ٱللَّهَ لَهُ ۥ مُلۡكُ ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَٱلۡأَرۡضِ‌ۖ يُحۡىِۦ وَيُمِيتُ‌ۚ وَمَا لَڪُم مِّن دُونِ ٱللَّهِ مِن وَلِىٍّ۬ وَلَا نَصِير

 

Sesungguhnya Allah jualah Yang Menguasai segala alam langit dan bumi; Dia menghidupkan dan mematikan dan tidaklah ada bagi kamu selain dari Allah sesiapa pun yang menjadi pelindung dan juga yang menjadi penolong. 

- Surah at-Taubah: 116 -

 

Saya abaikan perasaan tu, dan terus sahaja berjalan. Hari ini jauh sedikit, sampai ke tempat yang saya dah lama tak pergi. Teringat detik pertama kali saya menjejakkan kaki ke situ. Lama dulu. Lucu juga akhir-akhir ini saya suka mengimbau kenangan dulu-dulu. Terlalu banyak untuk dikenangkan, dan banyak juga ingin dilupakan. Indah tarbiyyah yang Allah bentangkan buat hambaNya yang kerdil. Menggunung hikmah untuk dimengertikan. Misteri yang terungkai hanya dengan bantuan iman dan taqwa. 

 

 

Dalam perjalanan pulang, saya melazimi kalimah tasbih. Terlalu kagum dengan keindahan alam ciptaan Allah. Serba indah belaka. Di separuh jalan, langkah saya terhenti melihat sekumpulan monyet. Berayun-ayun dari dahan pokok ke tiang elektrik. Ada juga yang mundar-mandir di tepi jalan. Mata saya tertumpu pada seekor monyet yang laju berlari. Saya amati betul-betul sehinggalah saya tersedar bahawa monyet tu tempang. Satu daripada kaki belakangnya kudung. Peristiwa tadi buat saya terfikir sehingga ke pagar bait hanan. 

Maha suci Mu ya Allah.. meskipun kejadiannya sebegitu rupa, tapi seolahnya ia langsung tidak menghiraukan kecacatan yang ada, sebaliknya gigih berusaha untuk mendapatkan makanan.

Itu halnya dengan si monyet. Bagaimana kita?

Allah ciptakan kita sesempurna mungkin.    فِىٓ أَحۡسَنِ تَقۡوِيمٍ۬ , dalam bentuk yang sebaik-baiknya. Cukup semuanya dengan tambahan akal sebagai bonus. Kalau monyet yang tempang boleh berlari, takkan kita yang cukup anggota hanya mahu duduk goyang kaki?

Ada juga saya dengar-dengar sekarang bicara manusia tentang manusia; menyamakan manusia dengan binatang. Tapi melihatkan peristiwa pagi tadi membuatkan saya terfikir, binatang pun lebih baik dari manusia.  

 

وَلَقَدۡ ذَرَأۡنَا لِجَهَنَّمَ ڪَثِيرً۬ا مِّنَ ٱلۡجِنِّ وَٱلۡإِنسِ‌ۖ لَهُمۡ قُلُوبٌ۬ لَّا يَفۡقَهُونَ بِہَا وَلَهُمۡ أَعۡيُنٌ۬ لَّا يُبۡصِرُونَ بِہَا وَلَهُمۡ ءَاذَانٌ۬ لَّا يَسۡمَعُونَ بِہَآ‌ۚ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ كَٱلۡأَنۡعَـٰمِ بَلۡ هُمۡ أَضَلُّ‌ۚ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمُ ٱلۡغَـٰفِلُونَ

 

Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk Neraka Jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.

- Surah al-A'raf: 179 -

 

Allah berikan sebaik-baiknya kepada manusia. Seharusnya manusia lebih baik dari binatang dalam hal ketaatan. Namun, apa yang terjadi di depan mata dan di dada-dada akhbar; baik yang dilaporkan mahupun yang tidak, manusia lebih buruk dari haiwan.

Di mana kepatuhan manusia kepada Allah swt?

Saya, kamu, dia, dan mereka juga manusia. Berhempas-pulaslah mencari redhaNya. 

 

Hikmah subuh hari yang perlu direnungi oleh mereka yang berakal.

 

p/s:bukan semudah makan kacang untuk seseorang yang ditegur menerima apa yang ditegur

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...