Bismillah wa alhamdulillah,
Boleh saya tanya, apakah beza antara kasih sayang ibu kepada anak dan kasih sayang anak kepada ibu?
Doa ibu kepada anak:
"Ya Allah, dengan air mataku ini, aku bermohon kepadaMu, Engkau sembuhkanlah anakku dan janganlah Engkau cabut nyawanya. Aku sangat sayang kepadanya. Aku sangat rindu kepadanya. Susah rasanya bagiku untuk hidup tanpa anakku ini. Terngiang-ngiang suaranya kedengaran di telingaku memanggil-manggil aku ibunya.
Ya Allah, aku redha nyawaku Engkau ambil sebagai ganti asalkan Engkau hidupkan anak kesayanganku. Engkaulah yang Maha segala hal, berkat kebesaranMu ya Allah, terimalah doaku ini.."
Doa anak kepada ibu:
"Ya Allah, seandainya mati itu lebih baik untuk ibu, maka Engkau matikanlah ibuku. Aku tidak sanggup melihat penderitaannya. Ya Allah, aku akan redha dengan pemergiannya.. amin."
Ada beza tak?
Sewaktu anak sakit, dalam keadaan yang sangat teruk, badan hancur, hatta dah tinggal nyawa-nyawa ikan sekalipun, ibu bapa akan tetap mendoakan semoga anaknya diselamatkan dan dipanjangkan umur.
Tetapi anak-anak yang dikatakan 'baik' pada hari ini akan mendoakan agar ibu atau bapanya yang sakit agar segera diambil oleh Allah, padahal ibu bapa itu baru sakit. Mereka meminta pada Allah agar segera mematikan ibu atau bapanya kerana kononnya tak sanggup melihat 'penderitaan' ibu bapanya.
Setiap manusia hanya mempunyai seorang ibu dan seorang ayah sahaja di muka bumi ini. Kasih sayang ibu angkat atau ibu tiri tidak akan sama dengan kasih sayang ibu kandung. Walau sejahat mana sekalipun anak-anak, ibu tidak pernah sisihkan anak-anaknya dan sentiasa akan menerima kita walau dalam apa jua keadaan sekalipun. Persoalannya, adakah kita juga seperti itu?
Walau siapa pun kita, walau sehebat manapun kita, walau berjaya setinggi langit pun, tetapi tanpa doa dan restu si ibu yang melahirkan kita, maka tiadalah keberkatan hidup.
Credit: majalah at-Taqwa
Memang rezeki saya untuk memiliki majalah ini. Alhamdulillah Allah gerakkan hati insan budiman tu untuk jual majalah ini kepada saya. Allah nak berikan hidayah kepada saya melalui insan budiman dan juga artikel-artikel dalam majalah ini.
Semoga saya dan sahabat-sahabat semua direzekikan Allah untuk berbakti kepada kedua ibu bapa dan ahli keluarga kita sehingga hujung nafas kita. Merekalah perantara kita memperoleh pahala. Ada depan mata, tapi banyak kita tak sedar.