Sep 21, 2009

Cerita Lebaran kali ini

Saya tak nonton tv petang tu walaupun ia terpasang kuat. Sibuk membantu ibu dan kakak di dapur. Masih sibuk-sibuk dengan persiapan untuk juadah berbuka puasa dan hidangan 1 syawal nanti. Entahkan esok atau pun lusa.. masih lagi berteka teki. Kami plan, sekiranya esok raya, untunglah dah masak awal kerana ibu kerja malam, makanya, kakitangan di rumah ni pasti berkurangan. Namun, jika esok masih ramadhan, untung juga. Boleh kami menjenguk bazaar ramadhan. Puasa kali ini, belum sempat lagi menjenguk mana-mana bazaar di kluang. Terfikir juga nak cari sehelai lagi baju raya buat ‘ada-ada’.

Seloroh aunty dalam telefon lewat zohor tadi, “kalau esok raya, nak pergi tandas pun kena fikir dua kali..”. 

Aunty tak balik kluang raya ni. Kerja malam, sama macam ibu. Kakak, adik, sama je.. ~_~ Berkhidmat untuk masyarakat. Moga hati-hati itu ikhlas memberi. Ya Allah, ganjarilah mereka dengan kebaikan setimpal dengan pengorbanan yang mereka lakukan.

Selesai berbuka puasa dan bersolat maghrib. Sambil-sambil mengemas meja makan, akak dan yang lain menunggu pengumuman di tv. Saya pula di belakang, sibuk mengacau rendang. Malas berebut remote control dengan awish. Kalau si kecik tu balik kluang, jangan haraplah nak tengok rancangan pilihan sendiri. Semua rancangan yang terpapar di skrin tv itu semuanya pilihan dia. Biasalah, kalau dah tarikh lahir sebelah-sebelah ni, surelah tak ngam. Huhu. Aunty otomen ni pasrah je lah ye~

Sayup-sayup terdengar takbir dari surau berhampiran. Alhamdulillah, syawal dah. Syukur Allah permudahkan ramadhan kali ini. Banyak yang tidak dapat diulangi seperti ramadhan sebelum-sebelum ni, tapi alhamdulillah, Allah permudahkan yang lain. Meskipun ia tidak dilalui dengan orang yang sama, tapi tetap bersyukur kerana Dia mengeratkan saya dengan yang baru. Ini jugalah buat pertama kalinya saya ber’ramadhan’ di bait hanan bersama penghuni-penghuninya.

Selepas isya’ dan bertakbir, along dan kak ita hantar ibu ke kerja. Saya dan kakak sambung mengemas rumah. Mengeluarkan pinggan mangkuk, menyusun kuih raya dsb. sambil menjaga awish yang dah tertidur kepenatan kat atas tu. Sementara di luar rumah, anak-anak jiran sibuk membakar mercun satu demi satu. Seronok betul mereka bermain. Debam debum, kuat betul bunyi, mengalahkan alunan takbir raya dari al-ikram. Awish yang tadinya tidur lena, keluar terpisat-pisat, mencari-cari orang untuk dipeluk. Takut barangkali dengan dentuman mercun yang membingit.

“..Kring..kring..”

Ibu call, minta dihantar sedikit baki biskut daging juadah berbuka tadi untuk dijamu pada ‘anak-anak’ di UKK. Sayang betul Mak Mi kat ‘anak-anak’, teman sekerjanya. Saya dan kakak pun bersiap. Alang-alang dah keluar, boleh la ke bazaar. Balik nantilah baru tenggek ayam kat dapur. Yang lain semua dah siap masak. Tinggal rendang ayam je..


Bazaar Ramadhan di Kluang.. manusia dalam gambar ni tak sepadat suasana malam raya tu


Ya Rabbi, ramainya manusia kat bazaar. Masing-masing tak melepaskan peluang membeli di saat-saat akhir kerana tahu barang-barang di bazaar akan dijual dengan harga lelong dan pastinya murah-murah belaka. Suasana sendat dan padat! Puas menjenguk dari hujung ke hujung, akhirnya kami pulang dengan tangan kosong. Tiada yang menarik. Pakaian yang dijual umpama langsir ‘day’. Jarang dan nipis-nipis belaka. Allah, makin teruk citarasa dunia fesyen kini.

وَقُل لِّلۡمُؤۡمِنَـٰتِ يَغۡضُضۡنَ مِنۡ أَبۡصَـٰرِهِنَّ وَيَحۡفَظۡنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبۡدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنۡهَا‌ۖ وَلۡيَضۡرِبۡنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَىٰ جُيُوبِہِنَّ‌ۖ وَلَا يُبۡدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا لِبُعُولَتِهِنَّ أَوۡ ءَابَآٮِٕهِنَّ أَوۡ ءَابَآءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوۡ أَبۡنَآٮِٕهِنَّ أَوۡ أَبۡنَآءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوۡ إِخۡوَٲنِهِنَّ أَوۡ بَنِىٓ إِخۡوَٲنِهِنَّ أَوۡ بَنِىٓ أَخَوَٲتِهِنَّ أَوۡ نِسَآٮِٕهِنَّ أَوۡ مَا مَلَكَتۡ أَيۡمَـٰنُهُنَّ أَوِ ٱلتَّـٰبِعِينَ غَيۡرِ أُوْلِى ٱلۡإِرۡبَةِ مِنَ ٱلرِّجَالِ أَوِ ٱلطِّفۡلِ ٱلَّذِينَ لَمۡ يَظۡهَرُواْ عَلَىٰ عَوۡرَٲتِ ٱلنِّسَآءِ‌ۖ وَلَا يَضۡرِبۡنَ بِأَرۡجُلِهِنَّ لِيُعۡلَمَ مَا يُخۡفِينَ مِن زِينَتِهِنَّ‌ۚ وَتُوبُوٓاْ إِلَى ٱللَّهِ جَمِيعًا أَيُّهَ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ لَعَلَّكُمۡ تُفۡلِحُونَ

Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka atau saudara-saudara mereka atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam atau hamba-hamba mereka atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.
- Surah an-Nur:31 -

وَقَرۡنَ فِى بُيُوتِكُنَّ وَلَا تَبَرَّجۡنَ تَبَرُّجَ ٱلۡجَـٰهِلِيَّةِ ٱلۡأُولَىٰۖ وَأَقِمۡنَ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتِينَ ٱلزَّڪَوٰةَ وَأَطِعۡنَ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۚ ۥۤ إِنَّمَا يُرِيدُ ٱللَّهُ لِيُذۡهِبَ عَنڪُمُ ٱلرِّجۡسَ أَهۡلَ ٱلۡبَيۡتِ وَيُطَهِّرَكُمۡ تَطۡهِيرً۬ا

Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang Jahiliah zaman dahulu dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya. Sesungguhnya Allah (perintahkan kamu dengan semuanya itu) hanyalah kerana hendak menghapuskan perkara-perkara yang mencemarkan diri kamu wahai "AhlulBait" dan hendak membersihkan kamu sebersih-bersihnya (dari segala perkara yang keji).
- Surah al-Ahzab:33 -



Jalan penuh dengan kereta. Walaupun banyak kedai dan pasaraya dah tutup, tetapi orang ramai tak juga susut. Hmm begini rupanya suasana di bandar pada malam-malam raya. Inilah pertama kali kami berada di bandar ketika malam raya. Kalau tak kerana ibu kerja malam, sudah tentu kami berada di rumah, ‘buat apa yang patut’ sambil bertukar-tukar cerita hingga ke pagi. Jarang sekali kami sekeluarga tidur di malam raya. Lain sungguh cerita malam raya syawal kali ini..



Aidilfitri Lambang Kesatuan Umat

Selepas jemput ibu dari tempat kerja, kami bersiap-siap untuk ke al-ikram, solat raya di sana. Susut bilangan jama’ah kali ini. Ramai yang pulang ke kampung mungkin. Seronok khutbah kali ini. Meskipun ia disampaikan berdasarkan teks yang disediakan, tapi suara yang menyampaikannya itu yang saya rindu-rindukan. Ketegasannya cukup dihormati. Tabik springlah imam Sudin! ^_^

Antara input yang dikongsikan untuk kita ingat, hadam dan amal adalah untuk memaknakan aidilfitri dengan sebaik-baiknya. Aidilfitri bukanlah cuti peristiwa yang kita raikan dengan menghabiskan masa menonton tv dari pagi santap ke malam. Aidilfitri juga bukan hari kita mengqadha’ kembali masa makan. Bukan juga masa untuk melepaskan diri dari hiruk pikuk ibu kota dengan ‘mengukur katil’ 24 jam.

Aidilfitri adalah simbolik kepada kesatuan dan perpaduan kita sesama masyarakat. Ia perlu dihidupkan dengan saling berkunjung antara satu sama lain. Inilah masanya untuk kita mengeratkan silaturrahim, baik sesama ahli keluarga, sanak saudara, jiran tetangga, tidak kira umur, tidak kira bangsa dan budaya. Ini juga masanya untuk kita mengambil peluang menjernihkan segala kekeruhan, menguntum senyuman, menghulur tangan untuk saling bermaafan. 

Rasulullah s.a.w. bersabda, Allah s.w.t. berfirman:

“Orang yang berkasih sayang kerana Allah, orang yang saling berziarah kerana Aku (Allah), orang yang saling berbelanja membelanja kerana Aku(Allah), orang yang saling berhubungan kerana Aku(Allah), mereka semua berhak mendapat kasih sayangKu (Allah)”
(Riwayat Ahmad)

Ini barulah raya namanya!

Terima kasih Imam Sudin kerana mengingatkan kami .. apa lagi? Sesi praktikal bermula!


Syawal dan kemeriahan

Syawal ini tak cukup kalau kita nak meriahkan hanya dengan bunga api yang berdentum dentam, tak lengkap juga jika hanya dengan lagu-lagu raya yang mengasyikkan. Syawal pasti meriah jika kita meneranginya dengan ‘cahaya’ itu. Bukan cahaya pelita yang kita pasang berderet-deret masa malam 7 likur itu yang saya maksudkan di sini. Tetapi cahaya ini adalah cahaya mardhatillah yang ternyala dengan semangat ukhuwwah dan ziarah sambil bertakbir yang terpalit keinsafan dan kesedaran. 

Kita bukan hanya menunggu dikunjung, tapi kita juga perlu berkunjung. Lagi cantik apabila ada sesi tukar-menukar juadah raya. Tak dapat banyak, sikit pun jadilah. Kebiasaannya, sejak malam raya lagi kami sesama jiran dah bertukar-tukar juadah. Istimewanya kali ini, kami dapat 2 putik buah mangga. Hehe terima kasih pakcik Mat.

Aktiviti beraya rumah ke rumah kali ini terpaksa dilewatkan. Atok beraya bersama aunty di Muar. Ibu pula kerja malam. Kami banyak habiskan masa melayan tetamu dan beraya ke rumah jiran-jiran berhampiran sahaja. Raya ketiga nanti barulah bergerak jauh sikit since ibu pun dah habis kerja malam. Tak sabar nak pergi beraya. Awish pun semangat. Semangat menantikan duit raya. Tidak mengapalah, walaupun belum mengerti apa-apa, tapi kami akan pastikan praktis itu sudah dibiasakan sejak dari kecil supaya dia tahu amalan ini bukan untuk mengumpul duit raya semata-mata. Dia perlu dikenal-kenalkan dengan sanak saudara dan jiran tetangga. Biar dia tahu siapa datuk nenek, berapa ramai sepupu dia, tahu latar belakang dan salah silah keturunan. Saya dan adik beradik juga tak ketinggalan, inilah masa paling sesuai untuk berkumpul bersama sanak saudara yang jarang-jarang jumpa. Mahu berkenalan dengan yang tak kenal. Moga lama-kelamaan akan terbentuk kemesraan di situ. Inilah misi terbesar yang dibawa tahun ke tahun.


awish ber'salam raya' dengan atok
teruja dengan upin & ipin - rambut pun dah hampir sama

Selepas bersolat raya, bermaaf-maafan dan menikmati juadah yang tersedia, kami ke pusara angah, moyang, tok van dan tok tam. Bukan hanya yang hidup perlu dikunjung, mereka yang pergi meninggalkan kita juga harus diziarahi. Mengunjungi pusara mereka menyedarkan kita akan fitrah penciptaan manusia. Setiap yang hidup pasti akan mati. Kita datang dari Allah, dan kepada Dia kita kembali.


كُلُّ نَفۡسٍ۬ ذَآٮِٕقَةُ ٱلۡمَوۡتِ‌ۗ وَإِنَّمَا تُوَفَّوۡنَ أُجُورَڪُمۡ يَوۡمَ ٱلۡقِيَـٰمَةِ‌ۖ فَمَن زُحۡزِحَ عَنِ ٱلنَّارِ وَأُدۡخِلَ ٱلۡجَنَّةَ فَقَدۡ فَازَ‌ۗ وَمَا ٱلۡحَيَوٰةُ ٱلدُّنۡيَآ إِلَّا مَتَـٰعُ ٱلۡغُرُورِ

Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari Neraka dan dimasukkan ke Syurga maka sesungguhnya dia telah berjaya dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.
- Surah al-Imran:185 -


كُلُّ نَفۡسٍ۬ ذَآٮِٕقَةُ ٱلۡمَوۡتِ‌ۗ وَنَبۡلُوكُم بِٱلشَّرِّ وَٱلۡخَيۡرِ فِتۡنَةً۬‌ۖ وَإِلَيۡنَا تُرۡجَعُونَ

Tiap-tiap diri akan merasai mati dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan.
- Surah al-Anbiya’:35 -


Frust juga awish. Bukan sebab tak nak ikut pergi sekali, tapi tak faham siapa yang telah 'pergi'. Nanti aunty cerita dalam kereta dalam perjalanan balik nanti ye.

Saban tahun inilah aktiviti rutin kami. Elemen ini perlu dihidupkan zaman berzaman. Inilah erti kemeriahan yang sebenar dalam kita ber’Aidilfitri.
promote awish ke promote bunting belakang tu (hehe.. sambil menyelam minum air~)

Syawal kali ini juga meriah kerana jatuh pada bulan September. Ada kejutan rupanya di pagi Syawal. Syukur alhamdulillah.. Moga keimananku, amalanku, ketaqwaanku, kesihatanku bertambah-tambah baik selari dengan umur yang semakin banyak. Banyak lagi yang perlu saya lunaskan di dunia. Moga masih ada kesempatan untuk menyempurnakan semuanya sebelum jasad pulang ke tanah dan roh dipanggil menghadap Tuannya. 
tadaa~ dulu kek pulut.. sekarang cup cakes pooh! wink2*
awish dapat Ben 10 .. melebar senyum!

Buat insan-insan yang lahirnya juga sebulan dengan saya ( u know i know la~ :) ), sanah helwah saya ucapkan. Moga rahmat, maghfirah dan mawaddah sentiasa membaluti tubuhmu sepanjang perjalananmu mengembara di penjara dunia. 




Teristimewa buat sahabiah-sahabiah yang menanti di Melaka. Jemput datang ke Bait Hanan di No 12, Jalan Melawis 3, Taman Melawis pada hari Sabtu 26 Sept. Jangan lupa ye..

Oh ye, telefon bimbit saya dah tiada. Ada kekangan sedikit untuk kita berkomunikasi. Jika sesat, atau mahu bertanya lokasi rumah, boleh hubungi penghuni-penghuninya yang lain ye.


p/s: jom buat yang enam tu ..
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...