Apr 7, 2014

Banyak cakap vs. Membebel

Bismillah wa Alhamdulillah ..
 
3 kategori seseorang yang banyak cakap:
  1. banyak cakap untuk berpesan-pesan, mengingatkan
  2. banyak cakap tetapi intipatinya adalah keluhan
  3. banyak cakap yang menjurus ke arah bersangka-sangka
 
Banyak cakap BUKAN membebel
 
Golongan hawa khususnya kaum ibu selalu dilabelkan suka membebel. Dikatakan sentiasa menyuruh anak buat itu, buat ini, jangan buat itu, jangan buat ini.. Ini bukan bebelan. Ini adalah kategori banyak cakap yang dibolehkan.
 
Banyak cakap yang dibolehkan adalah percakapan untuk mengingatkan, pesan-memesan dan nasihat-menasihati. Ini diharuskan dalam Islam, kerana manusia sangat berkeperluan untuk sentiasa dingatkan, dipesan untuk tidak buat ini, buat yang itu dan sebagainya.
 
"..berpesan-pesan dengan kebenaran, dan berpesan-pesan dengan kesabaran"
 
 
Sementara itu, kategori banyak cakap yang dilarang dalam islam adalah keluhan dan bersangka-sangka. Seseorang akan mengeluh apabila melihat orang lain lebih dari dirinya, tidak kiralah dalam apa bentuk sekalipun, golongan ini sentiasa merasa dengki dan iri hati dengan kejayaan orang lain. Perbuatan ini sangat bahaya. Mengeluh sebenarnya boleh membuka ruang kepada syaitan untuk masuk dalam diri dan menguasai pemikiran kita. Apabila mengeluh, seseorang itu akan cenderung untuk membebel. Setiap hamburan kata-kata yang dilontarkan semuanya kosong, tiada isi, tiada arah tuju. Setakat melepaskan rasa geram, marah, dan sakit hati, tanpa didasari oleh akal fikiran yang waras. Apabila seseorang membebel, dia akan bercakap terus-terusan tanpa berfikir baik buruk kata-kata yang terkeluar dari mulutnya.
 
Duhai hati,
jangan mengeluh, jangan bersangka-sangka. Ini hanya perbuatan yang akan membinasakan dirimu.
 
Bertenanglah duhai hati.. Nikmat Allah ini sangat luas. Cuma adakalanya Allah datangkan ujian supaya kita ingat kepadaNya. Maka cara mengubati jiwa yang suka mengeluh adalah dengan bersyukur. Apabila rasa nak mengeluh, laju-laju lafazkan:
 
"Alhamdulillah.. Alhamdulillah.. Alhamdulillah.. "
 
Siapa yang banyak cakap, akan banyak salahnya,
Apabila banyak salah, akan bertambah-tambah dosanya,
Apabila banyak dosa, semakin tinggi peluangnya ke neraka.
 
Allah menciptakan manusia ini dengan watak masing-masing. Belajarlah berlapang dada. Sentiasa bersyukur dengan setiap ujian yang Allah datangkan kepada kita. Ujian dan dugaan itu merupakan cara Allah nak bentuk diri kita jadi lebih kuat, dan yang paling penting itu adalah tanda Allah sentiasa ingat kita!
 
 
Teruskan bercakap.. selagi ianya baik untuk diri kita dan orang lain.
 
Moga dibukakan pintu hidayah seluas-luasnya untuk diri saya dan anda semua.
 
Semoga Allah lindungi kita daripada azab api neraka dengan keredhaanNya.
 
Allahumma amen!~
 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...