Labels:

Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) hari ini telah menyerahkan memorandum bantahan kepada Pusat Setempat Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal) di Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan. Malaysiakini

Pengerusi Helwani GAMIS, saudari Mala Abdullah selepas pertemuan sejam dengan wakil Puspal mengesahkan KPKKW pada awalnya telahpun menimbangkan untuk tidak meneruskan konsert itu dengan alasan tidak sesuai dengan sambutan hari kemerdekaan pada 31 Ogos dan membawa nilai buruk kepada akhlak rakyat Malaysia. Bagaimanapun, kerajaan membenarkan semula konsert setelah menetapkan prasyarat dan peraturan kepada penganjur agar ia tidak menjejaskan budaya dan penerapan nilai yang tidak baik di kalangan anak-anak muda khususnya dalam bulan kemerdekaan ini.

Lihat gambar dan video
Lihat di TV Pas

Lihat juga


Labels:

KUALA LUMPUR, 20 OGOS, 10 am : Sekretariat Hal Ehwal Wanita (HELWANI) Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) pada awal pagi tadi telah menyerahkan memorandum bantahan penganjuran konsert Avril Lavigne kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berhubung penganjuran konsert tersebut. Memorandum itu diserahkan oleh saudari Rafidah Jannah Salleh selaku Naib Presiden 1 GAMIS kepada wakil Datuk Bandar, Ezriq Razak jam 10.25 pagi tadi. Rafidah juga menjelaskan, Helwani juga telah menerima sokongan membantah konsert itu diadakan daripada mufti kerajaan Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid, Jumaat lalu. 


Saudari Rafidah juga menegaskan bahawa konsert itu tidak perlu diadakan dalam bulan kemerdekaan atau di luar bulan kemerdekaan, apatah lagi bagi menghormati kehadiran Ramadhan al-Mubarak. GAMIS tidak menyalahkan konsert itu diadakan tetapi artis yang mengisi konsert tersebut hendaklah ditapis oleh kerajaan atau mana-mana pihak yang membawa artis tersebut.

Labels:

InsyaAllah tibalah bulan yang dinanti-nantikan, bulan Ramadhan; bulan agung, penuh barakah yang di dalamnya terkandung Lailatul Qadar, malam yang lebih baik dari seribu bulan. Setiap amalan fardhu diberikan ganjaran 70 kali ganda, manakala amalan-amalan sunat pula dikurniakan pahala seperti ibadat fardhu.

Marilah kita sama-sama renungi persiapan yang perlu dilakukan untuk mempersiapkan diri menyambut bulan penuh barakah ini.

PERSIAPAN RUHIYAH (SPIRITUAL)

Banyakkan ibadah sunat seperti:
  • Solat sunat – Amalkan solat-solat sunat rawatib, solat hajat.
  • Qiyamullail - Serikan dengan tahajjud, solat taubat, solat hajat, solat witir dll.
  • Membaca al-Qur’an - Perbanyakkan dan bolehlah ditambah hafazan juga ya!
  • Berzikir - Al-ma’tsurat, zikir selepas solat, sebelum tidur dan pada setiap ketika, mudah-mudahan setiap saat dalam zikruLlah.
  • Berdoa - doa orang berpuasa sangat mustajab. Perbanyakkanlah berdoa untuk kebaikan diri dan umat Islam yang lain, khususnya yang sedang ditimpa kesulitan dan musibah. Antara masa-masa mustajab berdoa - sewaktu bersahur dan berbuka, dan di sepertiga malam (qiyamullail)

Oh ya! Apatah lagi ibadat wajib, sama-sama kita sempurnakan dari segi keikhlasan niatnya, tepat pada waktunya dan khusyu’nya, InsyaAllah.

PERSIAPAN FIKRIYAH

Mendalami ilmu, beramal dan berkongsi dengan orang di sekitar, khususnya dalam ilmu berkaitan ibadah ramadhan. Banyak orang yang berpuasa tidak menghasilkan apa-apa kecuali lapar dan dahaga. Ini berlaku kerana puasanya hanya pada nama, dan tidak dilandasi dengan ilmu yang cukup. Amal tanpa ilmu mahupun ilmu tanpa amal adalah suatu yang sia-sia.

PERSIAPAN MENTAL

Tingkatkan kekuatan mental dengan melatih diri melawan tarikan duniawi yang berlebih-lebihan agar ibadat tidak terganggu. Berpada-padalah membuat persediaan berbuka puasa dan menyambut hari raya. Seharusnya, ibadah puasa Ramadhan dilakukan secara maksima dari awal hingga akhirnya.

PERSIAPAN FIZIKAL DAN MATERIAL

Seseorang muslim tidak akan mampu untuk berpuasa dengan maksima sekiranya fizikalnya sakit. Oleh itu, kita dituntut menjaga kesihatan fizikal serta menjaga kebersihan.

Menabunglah sebelum bertemunya Ramadhan untuk dijadikan bekalan ibadah Ramadhan. Idealnya seorang muslim akan menabung sebelum tibanya Ramadhan. Apabila Ramadhan tiba, dia dapat beribadah secara khusus dan tidak berlebihan dalam mencari harta atau kegiatan lain yang dapat mengganggu kekhususan ibadah puasa. Harta juga dapat disedekahkan atau diinfakkan pada jalan kebaikan.

Jadi, marilah kita memulakan momentum ibadat kita dari sekarang. Bagi yang sudah memulakannya, alhamdulillah. Bagi yang belum, ayuh, kita mulakan sekarang!

اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِي رَجَبٍ وَشَعْبَانٍ وَبَلِّغْنَا رَمَضَانَ
“Ya Allah berkahilah hidup kami di bulan Rajab dan Syaaban dan sampaikanlah kami hingga bulan ramadhan”.

WAllahua’lam.

p/s: ramai yang terus menderita menjelang Ramadhan duhai sahabat. keamanan-keamanan mencabar minda bertawadhuk, mengapa embargo ke atas wilayah yang miskin, ke atas jiwa yang tidak memimpikan istana, hanya ingin merdeka. bahagia diabaikan oleh kuasa-kuasa yang mampu mengubah keadaan...Ramadhan menjadi segan silu untuk diraikan.

Labels:

Dalil Wajib Memberikan Wala’ & Ketaatan Kepada Allah, Rasul Dan Kepimpinan :

“Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul (nya), dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, Maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al Quran) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.”

Surah An Nisa’ : 59


Sabda Rasulullah SAW :

“Berbai’ahlah kepadaku di atas kewajipan mendengar dan taat di masa cergas dan di masa malas, sanggup berbelanja di masa susah dan senang, menjalankan kewajipan menyuruh kepada yang baik dan mencegah dari kemungkaran, bangun menyatakan agama Allah dalam semua keadaan tidak boleh dijejaskan oleh celaan orang yang mencela, dan sanggup menolong aku apabila aku tiba kepada kamu dan sanggup mempertahankan aku daripada apa yang kamu pertahankan daripadanya akan diri kamu sendiri, isteri-isteri kamu dan anak-anak kamu dan bagi kamu syurga”

riwayat Imam Ahmad

Ucapan Saiyyidina Abu Bakar rdh :

“Taatlah kepada aku selama mana aku taat kepada Allah pada memerintah kamu, sekiranya aku berbuat maksiat (melanggar perintah Allah) maka tidak wajib kamu mentaati aku”


Memberikan wala’ dan taat kepada kepimpinan jamaah adalah WAJIB SYAR’IE.

Apa yang dimaksudkan dengan wala'?


Wala’ bererti : penjaga, pemimpin, pelindung dan penyerahan.

Wala’ terkandung di dalamnya tiga unsur:

  • Kasih sayang
  • Tolong menolong
  • Persefahaman 

Konsep Wala’ yang diamalkan di dalam organisasi Islam bermaksud kesetiaan seorang Muslim kepada saudara seagamanya samada sebagai seorang ketua, pimpinan, imam atau kawan.
Secara umumnya pengertian wala’ dan taat dalam ruang lingkup Harakah Islamiyyah ialah kepatuhan dan ketaatan kepada pimpian dalam saf perjuangan Islam.


Taat

Kata Imam Hassan Al Banna rhm :

“ Apa yang aku maksudkan dengan ketaatan ialah ; mematuhi perintah dan segera melaksanakannya sama ada pada masa susah mahupun senang, dalam perkara disukai atau dibenci.”

Kepentingan Wala’ & Ketaatan

  • Wala’ dan taat membawa kepada menunaikan tugas mengikut arahan kepimpinan dan tidak bertindak sendiri tanpa pengetahuan kepimpinan sehingga menjadi kelam kabut yang boleh menimbulkan adanya kumpulan dalam parti yang mempunyai perancangan berbeza dan strategi yang berlainan yang boleh membawa kepada perpecahan.
  • Wala’ dan taat membawa penyelarasan yang baik di kalangan seluruh anggota yang tidak boleh dijejaskan dengan oleh pandangan individu yang berbeza.
  • Wala’ dan taat dapat mengimbangkan di antara sikap yang berbagai-bagai dalam organisasi, kerana ada orang yang terlalu laju, ada yang lambat dan sederhana.

Permasalahan Sekitar Wala’ & Taat

Permasalahan memberi wala’ ini sering berlaku disebabkan beberapa faktor, antaranya ialah:

  • Tidak meletakkan wala’ yang mutlak kepada Allah.
  • Tidak memahami konsep berjemaah
  • Tidak menghayati waqi’ semasa
  • Tidak mempunyai pendidikan Islam
  • Tidak ada unsur tawadhu’ ketika berjemaah
  • Tidak ada perasaan cintakan kepimpinan. 

Penyelesaian

  • Memberikan kepercayaan dan keyakinan sepenuhnya kepada kepimpinan.
  • Senantiasa meletakkan keutamaan Islam dan jamaah lebih daripada kepentingan diri sendiri.
  • Senantiasa menjadikan Al Quran, As Sunnah, Dan Sirah Rasul sebagai panduan dalam perjuangan.

Rujukan :

1.Al Quran & Al Hadith.
2.Penjelasan Sekitar Risalah At Ta’alim ; Muhammad Abdullah Al Khatib
3.‘Amal Jama’i ; Pengertian & Tuntutan; Ustaz Yahya Othman



Labels:

Apa yang dimaksudkan dengan khauf?

Khauf bererti takut akan Allah s.w.t. , rasa gementar dan gerun akan kekuatan dan kebesaran Allah s.w.t. serta takutkan kemurkaanNya dengan mengerjakan segala perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya.

Kuat dan lemah khauf ini bergantung kepada keyakinan seseorang pada Allah s.w.t. Dan selain khauf yang disebabkan takut pada hukuman sebagaimana di atas, ada pula khauf yang disebabkan oleh kerana takut akan kebesaran dan keagungan sesuatu. Jika manusia itu memahami begitu banyak maksiatnya yang akan dihadapkan pada ke-Maha Agungan Allah s.w.t , maka akan timbullah rasa takut. Maka orang yang paling tinggi khaufnya adalah yang paling mengetahui dirinya dan penciptanya, firman Allah s.w.t :

"Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu"

-QS Faathir : 28-

Impak dari khauf yang besar adalah jika seseorang sudah benar pemahamannya, maka mulailah rasa khauf masuk dalam hatinya dan nampak pucat wajahnya, tangis, gementar dan kemudian meninggalkan maksiat, lalu komitmen dalam ketaatan, dan bersungguh-sungguh dalam beramal.
Khauf ada yang berlebihan, moderat dan kurang. Khauf yang seimbang akan membuatkan seseorang sentiasa waspada, hati-hati (wara'), bertaqwa, bermujahadah, berfikir, berzikir, menjaga kesihatan fizikal dan kebersihan akal. Bagi khauf yang kurang pula, akan menyebabkan seseorang tidak meninggalkan maksiat yang dilakukan. Dan yang paling teruk, bagi yang berlebihan akan mengakibatkan rasa putus asa dan berpaling dari taat!
Keutamaan khauf disebutkan dalam hadis Nabi SAW:
"Berfirman ALLAH SWT : Demi Keagungan dan Kekuasaan-KU tidak mungkin berkumpul 2 rasa takut dalam diri hambaku dan tidak akan berkumpul 2 rasa aman. Jika ia merasa aman pada-KU di dunia maka akan aku buat takut ia di hari kiamat, dan jika ia takut pada-KU di dunia maka akan aman ia di akhirat."
-HR. Ibnu Hibban 2494)-
1. Takutnya para Malaikat
"Mereka merasa takut kepada Rabb-nya, dan mereka melakukan apa-apa yang diperintahkan ALLAH."
-An-Nahl : 50-
2. Takutnya Nabi SAW.
"Bahwa Nabi SAW jika melihat mendung atau pun angin maka segera berubah pucat wajahnya, berkata A'isyah ra : Ya Rasulullah, orang-orang jika melihat mendung dan angin bergembira karena akan datangnya hujan, maka mengapa anda cemas? Jawab beliau SAW : Wahai A'isyah, saya tidak dapat lagi merasa aman dari azab, bukankah kaum sebelum kita ada yang diazab dengan angin dan awan mendung, dan ketika mereka melihatnya mereka berkata : Inilah hujan yang akan menyuburkan kita.
-HR. Bukhari 6/167 dan Muslim 3/26-
Dan dalam hadith lain disebutkan bahwa Nabi SAW jika sedang shalat terdengar di dadanya suara desis seperti air mendidih dalam tungku, karena tangisnya. 

3. Khauf-nya shahabat ra.
Abubakar ra sering berkata : Seandainya saya hanyalah buah pohon yang dimakan. Umar ra sering berkata : Seandainya aku tidak pernah diciptakan, seandainya ibuku tidak melahirkanku. Abu 'Ubaidah ibnal Jarraah ra berkata : Seandainya aku seekor kambing yang disembelih keluargaku lalu mereka memakan habis dagingku. Berkata Imraan bin Hushain ra : Seandainya aku menjadi debu yang tertiup angin kencang. 

Demikianlah Khauf para Malaikat, Nabi-nabi, ulama dan auliya', maka kita perlu berlebih kali ganda takut dibandingkan dengan mereka. Mereka takut bukan kerana dosa, tapi kerana kesucian hati dan kesempurnaan ma'rifah. Sementara kita pula telah dikalahkan oleh kekerasan hati dan kebodohan. Hati yang bersih akan bergetar karena sentuhan kecil, sementara hati yang kotor tak berguna baginya nasihat dan ancaman.
Oleh yang demikian, bagaimana untuk pupuk sikap khauf di kala kita diselubungi masyarakat yang rosak..? tepuklah dada tanya iman. Semuanya bergantung kepada diri sendiri. Adakah kita ingin menjadi orang yang menguasai keadaan ataupun orang yang dikuasai oleh keadaan?
Dalam keadaan masyarakat yang rosak , tidak bermakna kita harus ikut rosak sama, malah kita yang bertanggungjawab untuk mengubah keadaan itu. Namun bagaimana caranya?
Fikir-fikirkan~

Labels:

Saya sungguh tertarik dengan gambar ni. Terima kasih kepada ukht kamilah atas perkongsian di laman sawangnya [klik sini]

Bersama kita muhasabah diri. Sesungguhnya hidayah itu milik Allah, dicampakkan ke dalam hati hamba-hambaNya atas kehendakNya. Jika tiba-tiba terdetik di hati kita untuk melakukan sebarang perubahan atau anjakan paradigma (paradigm shift) ke arah yang lebih baik, ayuh, lakukannya, jangan bertangguh! Kerana kita tidak tahu, bila pula Allah akan memberi anugerah (hidayah) yang serupa itu lagi. Fikir-fikirkan..

Mutiara kata buat renungan semua:

* Jadilah serikandi yang tidak gentar dengan dugaan dan cabaran. Bangkitlah dengan ketabahan yang jitu untuk meraih sejuta kecemerlangan. Aduhai serikandi mujahidah, aduhai serikandi solehah...

* Rendahkanlah dirimu seperti mutiara di lautan, tinggikanlah cita-citamu setinggi bintang di langit bergemerlapan...

* Dunia tempat untuk kita menyemai, akhirat tempat untuk kita menuai. Beribadatlah seolah-olah kita akan mati esok hari, itulah matlamat kita di dunia dan di akhirat...

* Jadikanlah dunia sebagai tunggangan untuk kita menuju akhirat...

* Dakwah itu seni dan bersabar untuk dakwah merupakan satu jihad...

* Kecemerlangan bukanlah berada kepada orang yang tidak pernah jatuh tetapi kepada orang yang bangun setelah jatuh..

Labels:

Dengan kalam Allah saya mulai untuk perkongsian kali ini.. (saya perlu 'kekuatan' untuk kongsikannya di sini)

Setiap apa yang kita lalui atas muka bumi ini, apa yang telah terjadi, apa yang sedang terjadi, dan apa yang akan terjadi semuanya telah ditentukan oleh Allah.

Tidak ada sesuatu bencana yang terjadi di bumi dan tidak ada pula yang terjadi pada diri kamu melainkan itu ada dalam kitab sebelum Kami laksanakan berlakunya. Bahawasanya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. Yang dimaksudkan dengan kitab di sini ialah lohmahfuz.

-surah al-Hadid: 2-

Lebih jelas dikatakan di sini bahawa setiap sesuatu itu telah ditakdirkan oleh Allah terlebih dahulu. Suratannya telah tercatat di Lohmahfuz. Itulah yang dinamakan sebagai qadak dan qadar Allah. Allah jualah yang menentukan jalan hidup seorang hamba.

Dan kalau Allah menghukum manusia kerana kezaliman mereka, nescaya tidak ditinggalkan di muka bumi makhluk yang hidup, tetapi Allah memberi mereka janji hingga waktu yang ditetapkan. Maka apabila tiba ajalnya, maka tidak ada seorang pun yang dapat mengundurkannya dan juga tidak ada yang dapat mendahulukannya.

-surah an-Nahl: 61-

Katakanlah (wahai Muhammad): Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah Pelindung yang menyelamatkan kami dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakal. 

-surah at-Taubah: 51-

Allah perintahkan nabi-Nya, Muhammad supaya memberitahu kepada orang fakir yang tidak percaya kepada takdir Allah bahawa sesuatu nasib yang menimpa manusia itu telah ditakdirkan oleh Allah sebelumnya, tidak akan dapat dielak lagi. Kerana itu, setiap orang perlu berserah kepada Allah sepenuhnya dan menerima dengan rela di atas takdir yang telah ditentukan.

Dan tiadalah sesuatupun dari makhluk-makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat dia disimpan. Semuanya itu tersurat di dalam Kitab (Luh Mahfuz) yang nyata (kepada malaikat-malaikat yang berkenaan).

-surah Hud: 6-

Allah yang memberi rezeki manusia, memberi makanannya dan menetapkan berapa lama mereka akan hidup di dunia. Manusia hanya menjalani takdir itu. Kepandaian manusia hanya menanam, memasukkan benih dalam tanah hingga tumbuhan hidup subur dan boleh dimakan. Namun hakikat yang menghidupkan tumbuh-tumbuhan yang sebenar adalah Allah jua, manusia tidak mempunyai keupayaan untuk menghidupkannya.

Bahawasanya setiap kita dihimpunkan kejadiannya dalam perut ibunya selama 40 hari berupa nutfah (air mani), kemudian bertukar menjadi segumpal darah, lalu menjadi segumpal daging. Lalu dikirimkan kepadanya malaikat dan ditiupkan padanya roh. Diperintahkan malaikat itu supaya mencatatkan empat perkara, iaitu rezekinya, ajalnya, pekerjaannya dan untung buruk atau untung baik.

-Daripada Abdullah bin Masud, sabda Rasulullah s.a.w.-

Demi Allah yang tidak ada Tuhan selain-Nya, sesungguhnya seseorang daripada kamu boleh beramal serupa amalan penduduk syurga, sehingga jarak antaranya dan syurga hanya sehasta lagi, tetapi suratan takdirnya mendahuluinya, lalu dia melakukan perbuatan penghuni neraka menyebabkan dia masuk ke sana. Dan sesungguhnya salah seorang daripada kamu ada yang beramal dengan amalan ahli neraka, sehingga jarak antaranya dan neraka hanya sehesta tetapi, suratan takdirnya mendahului dia, lalu dia beramal seperti amalan penduduk syurga dan dia akhirnya dimasukkan ke syurga.

-Riwayat Bukhari dan Muslim-

Percayalah kepada takdir kamu, kerana ia membolehkan kita menerima qadak dan qadar yang telah ditetapkan dengan rela hati dan selaut kesabaran. Tidak ada yang boleh menyanggah ketetapan Allah yang sememangnya mahukan setiap hamba itu reda dengan ketentuan-Nya. Perlunya  reda tatkala menerima ketetapan Allah itu bertujuan supaya manusia jangan bersedih hati atas sesuatu yang hilang dan jangan pula terlalu gembira dan sombong diri dengan apa yang diperoleh. Ia anugerah Allah. Allah tidak suka orang yang sombong dan membanggakan diri.

(Kamu diberitahu tentang itu) supaya kamu tidak bersedih hati akan apa yang telah luput daripada kamu dan tidak pula bergembira (secara sombong dan bangga) dengan apa yang diberikan kepada kamu dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri.

-Surah al-Hadid: 23-

Menyelusurinya lagi, takdir terbahagi kepada beberapa bahagian, di antaranya ialah takdir yang ada dalam pengetahuan Allah, di mana Allah telah mengetahui apa akan terjadi sama ada di dunia atau akhirat tidak ada yang tersembunyi, biarpun ia belum berlaku. Allah Maha Mengetahui atas segala sesuatu.

Dialah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi, kemudian Dia menuju dengan kehendakNya ke arah (bahan-bahan) langit, lalu dijadikannya tujuh langit dengan sempurna dan Dia Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. 

-Surah al-Baqarah: 29-

Takdir seperti ini tidak akan berubah yang diistilahkan sebagai qadak mubram ataupun takdir yang pasti.

KeputusanKu itu tidak dapat diubah atau ditukar ganti dan Aku tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hambaKu.

-Surah Qaf: 29-

Namun suatu perkara yang perlu diingat, walaupun takdir atau ketentuan untuk makhluk itu telah dituliskan pada lohmahfuz, ini tidak bermakna kita tidak perlu berusaha. Hanya goyang kaki menunggu ketetapan. Jangan malas duhai sahabat. Kerana takdir ini masih menerima perubahan, kerana ada takdir yang tertulis di situ yang sudah tetap dan ada takdir yang belum diputuskan (takdir muallaq).

Dalam sebuah hadis daripada Sayyidina Ali, beliau ada berkata, pada satu hari baginda duduk. Di tangannya ada satu batang kayu yang digunakan untuk menggores-gores. Baginda mengangkat kepalanya lalu berkata: Setiap daripada kamu yang bernyawa telah ditetapkan tempatnya di syurga atau neraka. Lalu bertanya para sahabat: Kalau demikian, apa perlunya kita beramal ya Rasulullah. Adakah lebih baik kita bertawakal sahaja.

Mendengarkan kata-kata sedemikian rupa baginda bersabda: Jangan! Beramallah, setiap orang akan dipermudahkan oleh Allah kepada jalan yang telah ditetapkan oleh-Nya.

Sebagai contoh, seseorang itu menurut takdir akan mati ketika berumur 69 tahun, tetapi kalau ia sentiasa menjaga kesihatan dan berubat apabila sakit, umurnya ditambah menjadi 10 tahun lagi.

Allah menghapuskan apa jua yang dikehendakiNya dan Dia juga menetapkan apa jua yang dikehendakinya dan (ingatlah) pada sisiNya ada "Ibu segala suratan".

-Surah ar-Ra'd: 39-

Dalam tafsir al-Qurtubi, semua takdir Tuhan yang telah tertulis di lohmahfuz boleh dihapus oleh Allah dengan kehendakNya. Bagaimana? Melalui doa dan perbuatan baik.

Tidak boleh diubah takdir kecuali doa, dan tidak ada yang boleh menambah umur kecuali perbuatan baik.

-Hadith Tarmizi-

Sayyidina Omar al-Khattab ketika tawaf di Kaabah menangis sambil berdoa: Ya Allah, andainya Engkau takdirkan daku termasuk dalam lingkungan orang yang berbahagia, maka tetapkan daku di situ, tetapi andainya Engkau telah mentakdirkan daku termasuk dalam golongan orang yang celaka juga orang yang berdosa, maka hapuskanlah takdir itu dan masukkanlah daku dalam golongan orang yang berbahagia dan memperoleh keampunan. Engkau menghapus apa yang Engkau kehendaki dan menetapkan apa yang telah Engkau kehendaki dan pada sisi-Mu Ummul Kitab.

Dalam membicarakan usaha dan takdir ketentuan Allah, setiap orang mempunyai tugas masing-masing. Takdir itu adalah masalah iktikad atau kepercayaan. Allah memerintahkan kita supaya percaya kepada takdir. Manusia tidak tahu apa yang telah dan akan ditakdirkan untuk kita. Allah sendiri pun tidak pernah memberitahu apakah kita termasuk dalam golongan orang baik-baik, orang kaya atau miskin selalu, biarpun puas berusaha di sepanjang hari termasuk ketika bulan Ramadan.

Apa yang kita ketahui ialah adanya perintah daripada Allah dan rasulnya supaya kita beriman kepada Allah dan beramal saleh sambil berdoa supaya dijauhkan daripada seksa. Beramal dan berusaha bukan bererti melawan takdir, tetapi termasuk juga dalam takdir.

Manusia yang rajin bekerja senang hidupnya. Itu adalah takdir Allah. Dan apabila manusia yang banyak wang hasil daripada ketekunan bekerja itu menghabiskan semua wangnya ia menyebabkannya miskin. Itu pun tetap takdir Tuhan.

Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa apa yang pada diri mereka.

-Surah Ar Ra’d: 11-

Oleh itu, jangan berhenti berusaha!

-------------------------------------------------------------

Sejambak tahniah buat naqibah saya atas konvokasinya baru-baru ini. Mabruk ya ukhti habibati~


p/s: merasai perasaannya walaupun tiada di sana. Anyway, syukran jiddan to kak aina a.k.a. miss pooh~ kerana mengabadikannya.

Labels:

aku mencintai SAHABATku dengan segenap jiwaku

sahabat yang baik adalah seiring denganku

menjaga nama baikku ketika aku hidup atau selepas aku mati

kuhulurkan tangan kepada sahabatku untuk berkenalan

kerana aku akan merasa senang

semakin ramai sahabat

semakin aku percaya diri

aku selalu mengharap mendapat sahabat sejati

yang tidak luntur baiknya dalam suka dan duka

jika aku dapat

aku ingin setia padanya

-imam shafie-

p/s: kerana dirimu begitu berharga. syukran jiddan!

Labels:


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah dan Penyayang  
  
Assalammualaikum wbt, Ukhti, Daie Rabbani…..  

Semoga warkah ini menemui ukhti dalam kondisi iman dan amal yang dipelihara Allah. Dipanjatkan setinggi-tinggi syukur kepadai Allah, lantaran masih mengizinkan pertemuan kita, tidak kira bagaimanapun kita bermula..dengan pelbagai kisah dan cerita, masih kita terus setia bersama.  
  
Jazakillah khair ukhti, atas warkah yg diutuskan kepada ana. Sungguh ana hargai perkongsian yg manis itu. Segala luahan rasa, ana yakin datang dari sekeping hati yang ikhlas ingin hidup dan mati dalam redha Allah jua. 

Ukhti, 

Ingin ana kongsikan pula perasaan ana sepanjang kebersamaan kita.Betapa ana hargai tiap detik kita bersama. Dahulu, ana terasa sgt jauh dari ukhti. Terasa tiada tempat diri ini dlm kehidupan ukhti yg penuh dgn kesibukan kuliah dan aktiviti-aktiviti harian ukhti. Ukhti seorang yang bercita-cita tinggi, hidup dipenuhi impian berwarna warni. Di waktu itu, ana sangat asing dalam kehidupan ukhti, tidak pernah terlintas kita akan seintim ini.  

Dengan takdir Allah, Bumi Melben ini telah menemukan kita. Awal-awal dulu, teragak-agak juga ana untuk mendekati ukhti. Bukan mudah untuk memenangi keyakinan ukhti. Silap langkah, ukhti pasti akan terus lari. Dengan orang lain, sudah beberapa kali ana menemui kegagalan. Memang tidak mudah ingin membersihkan nama ana, yang dilabel dgn pelbagai label dan fahaman. Sedih, apabila manusia menilai ana dgn syubahat yg tidak mampu ana betulkan. Namun ana tekad, ukhti tak boleh ana lepaskan. Berapa ramai lagi yang sanggup ana biarkan untuk terus menjadi mangsa keadaan. Akhirnya ana tekad jua untuk melangkah masuk dalam diri ukhti walaupun terpaksa menongkah arus. Walau terpaksa bersabar dengan reaksi dingin ukhti pada awal pertemuan kita. Sedikit demi sedikit ana susun langkah, memperkenalkan ukhti akan diri ana yang sebenar.  

Alhamdulillah, Allah sebaik-baik Perancang. Sesungguhnya, hati-hati manusia ini Dialah jua yang memegangnya. Akhirnya, benteng antara kita runtuh jua. Jarak antara kita semakin dekat, hubungan kita semakin rapat. Kefahaman yg semakin meningkat, membuatkan jalinan kita semakin erat. Ukhti mula komited, untuk terus mengenali, memahami dan akhirnya bersama ana menyusuri jalan ini. Demi bersama ana, ukhti tinggalkan kehidupan ukhti yg dahulu. Tiada lagi lagu-lagu lagha halwa telinga, tiada lagi aktiviti-aktiviti membuang masa, tiada lagi hubungan di luar batasan agama, tiada lagi ikatan selain ikatan yang membawa ke syurga. Dari seorang yang pendiam, ukhti bertatih untuk berbicara ttg kebenaran, dari seorang yang berkira, ukhti belajar untuk berlapang dada, dari seorang yang terlalu sensitif, ukhti mujahadah untuk tabah, dari seorang yg tinggi sifat fardhiyah, ukhti suburkan sifat jamieyah.  
  
Satu hakikat, siapa sahaja yang ingin menjadikan ana sebagai sahabat, pasti akan diuji dgn hebat. Ada ketika, ana sgt bimbang ukhti tidak akan sanggup untuk melalui detik-detik yang sukar itu. Ukhti mula diuji. Ujian dalam diri, ujian dari pihak luar, ujian melawan nafsu dan syaitan, segalanya seolah-olah tidak senang melihat kebersamaan kita. Ada masa ukhti berasa jauh hati dengan ana, ada masa ukhti berasa jemu, ada juga masa ukhti terasa ana ini adalah beban yang berat. Namun, satu yang ana kagumi, kesabaran dan kesetiaan ukhti. 

Apa jua mehnah, tidak sama sekali ukhti berniat untuk meninggalkan ana. Ukhti masih cuba bermujahadah, melakukan yg terbaik demi kebaikan ana. Tidak cukup dgn itu, perasaan dan emosi ukhti juga seringkali diuji dgn pelbagai peristiwa. Bukan sedikit air mata yang ukhti gugurkan kerana ana. Ukhti cuba sembunyikan dalam senyum, namun kadang kala terzahir jua. Ukhti cuba memendam rasa dan berdiam, namun tingkah laku terus berbicara. Jangan begitu ukhti, takut di saat hatimu dlm kekalutan, syaitan bijak mengambil kesempatan. Bersegeralah mencari jalan keluar, membina kembali kekuatan dan dan segera mencari rawatan.  

Ukhti, 

Hanya Allah sebaik-baik pemberi Ganjaran atas segala pengorbanan. Memang tidak mudah bersahabat dengan ana. Fitrah diri ana, menuntut jiwa yang sanggup berkorban dan dilenturkan. Menuntut hati-hati yang sedia untuk dibetulkan, dengan nasihat yg lembut mahupun teguran yang tegas. Demi ana, Ukhti perlu berhadapan dgn manusia yang pelbagai karenah dan ragam. Ukhti perlu berhadapan dgn pandangan manusia yang penuh syubahat dan salah faham. Ukhti perlu tinggalkan rumah yang selesa dan kehidupan yg rutin. Ukhti perlu korbankan wang ringgit, tenaga dan masa. Semua itu ukhti lakukan agar manusia mengenali, memahami dan menghadirkan diri ana dalam hidup mereka, seperti ukhti juga. 

Ukhti, maafkan ana sekiranya terlalu banyak yang perlu ukhti korbankan untuk diri ana. Ana berdoa, semoga Allah akan membalas ukhti dgn pulangan yang jauh lebih baik dari apa yang telah dilepaskan. Mungkin ana sendiri tidak mampu memberikan kemudahan dan kesenangan, namun yakinlah kebersamaan kita bukanlah suatu yang sia-sia.  

Harapan ana.... 

Yakinlah ukhti untuk terus melangkah bersama ana, sungguh manusia memandang penuh prasangka.. 

Sabarlah meniti tangga tarbiyyah, lantaran itulah kekuatan untuk kita kekal bersama..Ikhlaslah dalam niat dan amal, agar ukhti tidak bersempit dada dgn ana.. 

Bersedialah untuk dinasihati dan diperbetulkan, kerana ana menuntut pengislahan berterusan.. 

Teguhlah hatimu untuk terus setia..hingga akhirnya kita disemadikan bersama..
 

  
“ Jika kamu tidak berangkat untuk berperang, nescaya Allah menyiksa kamu dengan siksa yang pedih dan diganti-Nya kamu dengan kaum yang lain “ At Taubah : 39 

  

Salam perjuangan.... 
Yang Benar,  

DAKWAH 
4.11am, 26 July 2008.

Labels:


mari berdoa~

Allah SWT berfirman yang bermaksud:

"Sesungguhnya bilangan bulan pada sisi Allah adalah dua belas bulan, dalam ketetapan Allah di waktu dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan haram (Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam, Rejab). Itulah (ketetapan) agama yang lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang empat itu dan perangilah kaum Musyrikin itu semuanya sebagaimana mereka pun memerangi kamu semuanya, dan ketahuilah bahawasanya Allah beserta orang-orang yang bertakwa." (at-Taubah : 36)


Lanjutan: [klik sini]
Rajab mengundurkan diri, Sya'aban mula menyinsing, kelak Ramadhan pula menyusul tiba. Sya'aban lazimnya menjadi bulan persiapan untuk menyambut ketibaan Ramadhan al-Kareem. 
Syaaban bererti pecahan yang banyak, di mana pada zaman Arab sebelum Islam mereka keluar pada bulan setelah duduk lama di rumah pada bulan Rajab. Mereka juga keluar beramai-ramai mencari air dan makanan. Beberapa hadith sahih berkaitan bulan sya'aban:
Antaranya: Aisyah r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW berpuasa hingga kami menganggap ia tidak berbuka, dan ia berbuka sehingga kami menganggap ia tidak berpuasa dan aku tidak pernah melihat baginda menyempurnakan puasa sebulan melainkan pada bulan Ramadan dan aku juga tidak pernah melihat baginda memperbanyakkan puasa melainkan pada bulan Syaaban. (riwayat Bukhari dan Muslim)

Aisyah r.a. juga berkata: Sesungguhnya ia (Nabi Muhammad) berpuasa pada bulan Syaaban keseluruhannya dan baginda bersabda: Laksanakanlah amalan sedaya yang kamu mampu, sesungguhnya Allah SWT tidak jemu sehinggalah kamu jemu. Dan sebaik-baik solat (sunat) pada sisi Rasulullah SAW ialah yang berterusan meskipun sedikit, kerana baginda apabila solat (sunat) baginda akan sentiasa terus melakukannya. (riwayat Bukhari dan Muslim)
Bila berkata mengenai bulan sya'aban, ia diibaratkan sebagai lampu kuning buat mereka bergelar 'ukhti'. Laksanakanlah hutangmu duhai muslimah, jika ada yang perlu diganti, gantilah; jika ada yang perlu dibayar, maka bayarlah(fidyah). Pelihara ibadahmu sebaiknya.
Rukun-rukun Puasa
Rukun puasa ada 2:
  • Berniat puasa
  • Menjaga dari perkara-perkara yang membatalkan puasa

Niat

Setiap ibadah perlu dimulai dengan niat.

إنما الأعمال بالنيات وإنما لكل امرئ ما نوى فمن كانت هجرته إلى الله ورسوله فهجرته إلى الله ورسوله ومن كانت هجرته لدنيا يصيبها أو امرأة ينكحها فهجرته إلى ما هاجر إليه
“Segala amalan adalah berdasarkan niat. Setiap orang hanya mendapat apa yang diniatkan. Justeru, sesiapa yang penghijrahannya adalah menuju kepada Allah dan RasulNya, maka penghijrahannya adalah penghijrahan kepada Allah dan RasulNya. Sesiapa yang penghijrahannya kerana dunia yang bakal diperolehi atau kerana wanita yang bakal dikahwini maka penghijrahannya adalah penghijrahan menuju kepada apa yang dingininya”.Hadis Sahih Bukhari dan Muslim

Niat puasa bermaksud mengqasadkan puasa iaitu berazam di dalam hati untuk melakukan puasa. Waktu untuk berniat puasa antara puasa wajib dengan puasa sunat adalah berbeza. Bagi puasa wajib (kaffarah, nazar, ramadhan, qadha'), disyaratkan niatnya dilakukan pada waktu malam sebelum terbitnya fajar.

Nabi s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang tidak meniatkan puasa pada malam hari sebelum terbit fajar, maka tiadalah puasa baginya” (HR Imam Daruqutni dan Baihaqi dari Aisyah r.a.)

Bagi puasa sunat pula, tidak disyaratkan melakukan niat pada waktu malam. Harus berniat pada siang hari asalkan sebelum tergelincir matahari dari tengah langit (sebelum masuk waktu solat zohor) dan tidak melakukan sebarang perkara yang boleh membatalkan puasa seperti makan, bersetubuh dan sebagainya.

Rasulullah s.a.w. sendiri pernah berniat puasa sunat di siang hari sebagaimana diceritakan oleh Aishah r.a.: suatu hari Nabi s.a.w. bertanya kepadanya, “Apakah ada pada kamu makanan untuk pagi ini?”. Jawab Aishah; “Tidak ada”. Lantas Nabi berkata; “Jika begitu, aku berpuasa hari ini” (HR Imam ad-Daruqutni)

Keperluan untuk ditentukan

Bagi puasa wajib, wajib ditentukan (dita’yinkan) di dalam hati jenis puasa yang akan dilakukan keesokan hari sama ada puasa Ramadhan, Qadha', Nazar atau Kaffarah. Jika diniatkan semata-mata puasa (tanpa menentukan jenisnya), maka tidak sah niat puasa itu.

Bagi puasa sunat pula, tidak diwajibkan menentukan jenis puasa di dalam niat untuk mensahkan puasa, namun untuk kesempurnaan puasa disyaratkan menentukannya khusus bagi bagi puasa-puasa sunat yang berwaktu (seperti puasa Isnin dan Khamis, puasa ‘Asyura, puasa enam hari dalam bulan Syawal dan sebagai) dan juga bersebab (seperti puasa minta hujan). Oleh yang demikian, untuk mendapat pahala yang sempurna, puasa-puasa yang berwaktu dan bersebab itu hendaklah ditentukan jenis puasa di dalam niat. Adapun puasa-puasa sunat yang mutlak (tidak berwaktu dan bersebab), memadai berniat puasa sahaja tanpa perlu menentukan jenisnya.

Sya'aban terbahagi kepada dua: Nisfu pertama dan nisfu kedua. Nisfu pertama adalah daripada 1 Sya'aban sehingga 15 Sya'aban. Sementara Nisfu kedua adalah daripada 16 Sya'aban hingga 30 Sya'aban. Bagi yang ingin berpuasa sunat pada 17, 18, (atau mana-mana hari pada nisfu kedua), perlulah berpuasa pada 15 dan 16 Sya'aban terlebih dahulu. Hal ini bertujuan untuk menghubungkan ('mengahwinkan') antara nisfu pertama dengan nisfu kedua. Perkara ini termasuk dalam syarat-syarat sah puasa. Sekiranya tidak dihubungkan, maka tiadalah pahala bagi ibadah puasa yang dilakukannya.

Nisfu Sya'aban

Nisfu bermaksud setengah. Nisfu Sya'aban bererti setengah bulan Sya'aban. Malam Nisfu Sya'aban adalah malam 15 Sya'aban. Malam Nisfu Sya'aban merupakan malam yang penuh berkat dan rahmat selepas malam Lailatul Qadr.

Saiyidatina Aisyah r.a. meriwayatkan bahawa Nabi saw tidak tidur pada malam itu sebagaimana yg tersebut dalam sebuah hadis yg diriwayatkan oleh Iman Al-Baihaqi r.a:

Rasulullah saw telah bangun pada malam (Nisfu Syaaban) dan bersembahyang, dan sungguh lama sujudnya sehingga aku fikir beliau telah wafat. Apabila aku melihat demikian aku mencuit ibu jari kaki Baginda saw dan bergerak. Kemudian aku kembali dan aku dengar Baginda saw berkata dalam sujudnya,
"Ya Allah aku pohonkan kemaafanMu daripada apa yang akan diturunkan dan aku pohonkan keredhaanMu daripada kemurkaanMu dan aku berlindung kepadaMu daripadaMu. Aku tidak dapat menghitung pujian terhadapMu seperti kamu memuji diriMu sendiri."

Setelah Baginda saw selesai sembahyang, Baginda berkata kepada Saiyidatina Aisyah r.a. "Malam ini adalan malam Nisfu syaaban. Sesunguhnya Allah Azzawajjal telah datang kepada hambanya pada malam Nisfu sya'aban dan memberi keampunan kepada mereka yang beristighfar, memberi rahmat ke atas mereka yang memberi rahmat dan melambatkan rahmat dan keampunan terhadap orang yang dengki." 

Hari nisfu sya'aban adalah hari dimana buku catatan amalan kita selama setahun diangkat ke langit dan diganti dengan buku catatan yang baru. Catatan pertama yang akan dicatatkan dibuku yang baru akan bermula sebaik sahaja masuk waktu maghrib, (15 Sya'aban bermula pada 14 hb sya'aban sebaik sahaja masuk maghrib)

Usamah bin Zaid berkata: Aku bertanya kepada Rasulullah SAW: Wahai Rasulullah aku tidak pernah melihat engkau berpuasa sebulan seperti mana kamu berpuasa pada bulan Syaaban. Jawab Nabi SAW: Itulah bulan di mana manusia mengabaikannya iaitu bulan antara Rejab dan Ramadan (Syaaban). Ia adalah bulan di mana segala amalan akan diangkat kepada Tuhan sekelian alam dan aku suka amalanku diangkat dalam keadaan aku berpuasa. (riwayat Nasai dan Ahmad)

15 Sya'aban pula adalah hari raya bagi para malaikat. Pada hari tersebut, malaikat berkumpul di bait al-ma'mur. Bait al-ma'mur terletak dilangit setentang dengan ka'abah. Di situ, malaikat bertawaf sebanyak sekali sahaja (disebabkan oleh jumlah malaikat yang terlalu banyak).

Amalan Sunat

Berikut adalah beberapa amalan sunat yang boleh dilakukan pada hari Nisfu Sya'aban:

  • Solat sunat nisfu sya'aban
  • Membaca Yasin sebanyak 3 kali selepas solat Maghrib
    i) Yasin pertama : mohon dipanjangkan umur untuk ta'at kepada perintah Allah
    ii) Yasin kedua : mohon rezeki yang halal yang tidak putus untuk beribadat kepada Allah
    iii) Yasin ketiga : mohon diteguhkan iman dan Islam serta mati dalam keadaan beriman
  • Berpuasa pada siangnya (mulai pagi esoknya-15 Syaaban)
  • Banyakkan beristighfar dan berzikir
  • Banyakkan berdo'a

"Cara mendapatkan pahala adalah luas"

"Sesiapa yang Allah hendakkannya baik, maka Allah akan beri kefahaman yang mendalam mengenai agama"

Labels:


Labels:

Pautan ringan buat kunyahan minda di petang hari..

Do we walk the talk..

Firman Allah s.w.t.:


Ertinya: “Dan sesungguhnya Kami benar-benar akan menguji kamu agar kami mengetahui orang-orang yang berjihad dan bersabar di antara kamu, dan agar kami menguji hal ehwal kamu.”
(Muhammad: 31)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...