Aug 13, 2009

Mujahid Mujahidah Kecil

Hari-hari yang berlalu semalam cukup bermakna. Saya dikelilingi oleh mujahid-mujahidah kecil. Hilai tawa mereka masih terngiang-ngiang kat telinga. Suara kecil mereka yang comel bak upin ipin cukup menghiburkan. Dari anak buah, sepupu-sepupu, anak cikgu, hinggalah ke kanak-kanak setaman permainan (adik-adik kecil yang menceriakan taman permainan di kawasan perumahan setiap petang).. berlari-lari keseronokan..

Ceria rasanya ..

Mujahid Mujahidah Kecil

Si kecil ini adalah anugerah dan amanah Allah swt. Mereka adalah jantung hati dan penyejuk mata kita. 


“Harta benda dan anak pinak itu, ialah perhiasan hidup di dunia.”
(Surah al-Kahf: 46)


Seorang penyair berkata:


Anak-anak adalah jantung hati kita yang berjalan di atas permukaan bumi.
Jika angin kencang bertiup ke arah mereka, aku sudah tidak dapat melelapkan mata.


Merekalah penerus zuriat keturunan kita selepas kematian kita. Mereka penenang hati, kerehatan minda dan ketenangan jiwa kita. Mereka; dengan pertolongan Allah, adalah penyandar yang sentiasa menyokong dan memberikan kekuatan kepada kita. Mereka juga menjadikan dada kita lapang dan merealisasikan cita-cita agama dan dunia.

Oleh itu, si kecil ini hendaklah sentiasa dididik sebagaimana dikatakan orang “hendaklah kamu mendidik anak-anak kamu sebaiknya kerana mereka dijadikan untuk suatu zaman yang berlainan dengan zaman kamu.”

Fasihah Huda

Puteri Nur Zarith Sofia

Suatu Manhaj yang Baik

Sayyidina Ali menyarankan:


“Hendaklah engkau bermain dengan anak engkau pada 7 tahun pertama. Ajarkanlah adab sopan kepadanya pada 7 tahun kedua. Bersahabatlah dengannya pada 7 tahun ketiga. Kemudian engkau boleh membiarkannya selepas itu.”


Ia adalah satu manhaj yang tidak memerlukan kepada manhaj lain yang diimport dari luar atau diambil daripada seseorang yang sebenarnya meletakkan racun di dalam madu. Islam telah menetapkan suatu cara yang paling ideal untuk mendidik anak-anak semenjak awal kedatangan seseorang anak ke dunia, iaitu dengan kita disuruh untuk mengalunkan suara azan pada telinga kanannya dan iqamat pada telinga kirinya, kemudian memilih nama yang paling baik baginya.

Kemudian si ayah dituntut untuk melakukan aqiqah untuk anaknya yang baru dilahirkan sebagai menunjukkan rasa syukur kepada Allah swt. Di samping itu, ia juga sebagai mengisytiharkan dan merayakan kedatangan seorang muslim yang baru dan kehadiran seorang pemuda atau pemudi yang akan menjulang panji masa depan lalu ia berhak untuk disambut oleh semua orang dengan mengatakan:

“Semoga anak anda diberkati, kerana anda mensyukuri Allah Tuhan Pemberi dan semoga anda dikurniakan kebaikannya sehingga ia meningkat remaja.”

Kemudian kita sempurnakan perjalanan pendidikan anak-anak dengan mengajarkannya adab sopan dalam masa 7 tahun, dan seterusnya menjadikannya sebagai kawan 7 tahun selepas itu.

Muhammad Darwish Haikal

Muhammad Zarif Irfan



Cinta Semulajadi

Cinta paling indah yang diciptakan oleh Allah pada diri manusia ialah cintakan anak-anak, kerana mereka adalah sebahagian daripada diri seseorang ayah, bukti kasih sayang yang terdapat di dalam hati si ayah dan lainnya.

Saksikanlah pemandangan indah berikut:

Rasulullah SAW pernah mengucup Sayyidina Hasan bin Ali sedang al-Aqra‘ bin Habis duduk di sisi baginda. al-Aqra‘ berkata: “Aku mempunyai 10 orang anak. Tidak pernah aku mengucup seorang pun daripada mereka.” Lalu Rasulullah SAW memandang kepadanya seraya bersabda yang bermaksud:



“Sesiapa yang tidak mengasihi, tidak akan dikasihi.”


Lihatlah kepada hikmat nabawi ini. Baginda SAW menjadikan kucupan sebagai bukti kasih sayang dan tidak melakukannya sebagai tanda kekerasan dan ketiadaan kasih sayang. Perkara yang sama juga turut diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari: Seorang Arab Badwi berkata kepada Nabi SAW: “Adakah engkau mengucup dan mencium anak-anak kecilmu? Kami tidak pernah mengucup atau mencium anak-anak kecil kami.” 


Lalu Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Aku tidak mempunyai apa-apa bagi engkau, kerana Allah swt telah mencabut perasaan kasih sayang daripada hati engkau.”


Ini perlu dilakukan agar hati si anak kecil terbuka untuk menerima adab sopan dan pengajaran selepas itu dengan penuh perasaan kasih sayang.

Bermain dan Bersenda Gurau

Pada suatu hari, Jabir r.a. masuk menemui Nabi SAW dalam keadaan baginda SAW merangkak di atas kedua tangan dan kaki baginda, sementara Hasan dan Husain berada di atas belakang baginda SAW seraya baginda bersabda yang bermaksud:


“Sebaik-baik unta ialah unta kamu ini, dan sebaik-baik penunggang ialah kamu berdua.”


Alangkah indahnya pemandangan tersebut. Alangkah baiknya jika kita dapat mempelajarinya. Keadaan ini tidaklah merendahkan kedudukan dan martabat seseorang bahkan sebaliknya ia meninggikan kedudukan dan martabatnya. Apabila anak-anak membesar dalam keadaan tersebut, mereka menjadi seperti sahabat dan rakan baik kepada ibubapa mereka. Mereka akan sentiasa berterus terang kepada ibubapa mereka tentang segala permasalahan yang mereka hadapi, lalu memudahkan ibubapa untuk menyelesaikan masalah tersebut. Manakala ibubapa yang meletakkan batu penghalang di antara mereka dengan anak-anak, sudah pasti tidak munasabah jika mereka ingin agar anak-anak mereka berterus terang dengan mereka tentang permasalahan yang dihadapi.

Ambillah pengajaran daripada hakikat kebenaran ini.

Umar Memecat Pegawai Yang Keras Hatinya

Adakah seseorang yang tidak berjaya mendidik anaknya akan berjaya mendidik orang lain? Begitu juga, jika seseorang tidak berjaya memandu rumahtangganya, bagaimana dia akan berjaya memandu orang lain, bahkan bagaimana mungkin dia boleh menjadi orang yang dipertanggungjawabkan dengan sesuatu tanggungjawab sedangkan dia telah cuai terhadap tanggungjawab pertama yang diamanahkan oleh Allah kepadanya? Hakikat ini dapat dilihat dengan jelas melalui satu peristiwa yang berlaku kepada Sayyidina ‘Umar r.a.:

Pada suatu hari, seorang gabenor beliau masuk berjumpa dengan beliau. Pada ketika itu, Umar sedang bermain-main dengan beberapa orang anaknya. Keadaan tersebut seolah-olah diingkari oleh gabenornya itu, lalu Umar berkata: “Apakah yang engkau lakukan dengan ahli keluarga engkau?” Gabenor itu menjawab: “Apabila aku masuk, semua orang akan diam.” Umar berkata kepadanya: “Hendaklah engkau meletakkan jawatan. Jika engkau tidak berlemah lembut terhadap keluarga dan anak-anak engkau, sudah pasti engkau tidak akan berlemah lembut terhadap umat Muhammad SAW.”

Subhanallah! Hanya kerana dia tidak berlemah lembut terhadap anak-anaknya?!

Alangkah ramainya daripada kalangan kita yang patut dipecat daripada jawatannya?

Pisahkan Antara Mereka di Tempat Tidur

Kaedah ini merupakan antara kaedah pendidikan Nabi SAW yang paling indah. Ia bermaksud bahawa anak-anak lelaki dan anak-anak perempuan masing-masing mesti dididik dengan cara yang tersendiri yang mesti diambil kira oleh ibubapa.

Anak-anak lelaki tidak sepatutnya dibiasakan masuk atau bertemu dengan tetamu perempuan. Mereka hendaklah sentiasa berdamping dengan si ayah terutamanya untuk pergi ke masjid bagi mendirikan sembahyang fardu berjamaah. Mereka juga hendaklah ditanam semenjak kecil lagi bahawa sifat-sifat lelaki dan tanggungjawabnya adalah berbeza dengan perempuan. Si ayah hendaklah mengambil kira tentang perkara ini terutamanya ketika zaman remaja dengan menyediakan pakaian dan wangian yang sesuai dengan mereka. Si ayah juga hendaklah sentiasa mendekatkan dirinya dengan anak-anak lelaki, banyak keluar dengan mereka dan sentiasa menemani mereka.

Begitu juga dengan anak perempuan. Mereka tidak dibenarkan untuk biasa keluar menemui para tetamu lelaki bahkan hendaklah ditanam di dalam minda mereka bahawa perbuatan tersebut adalah suatu keaiban. Mereka juga hendaklah dilatih untuk tidak menanggalkan pakaian mereka di hadapan adik beradik lelaki atau di hadapan ayah mereka sendiri. Mereka juga hendaklah diajar dengan adab-adab sopan yang baik dan perasaan malu semenjak kecil lagi. Si ayah atau ibu janganlah membelikan pakaian yang singkat atau pendek untuk anak-anak perempuan mereka. Mereka juga hendaklah menyediakan segala keperluan anak-anak perempuan mereka terutamanya ketika mereka menghampiri umur baligh. Anak-anak perempuan hendaklah lebih dekat dengan ibu mereka, kerana ibu merekalah yang sepatutnya menerangkan segala perkara berkaitan dengan kewanitaan dan membelai mereka sehingga mereka berjaya sampai ke daratan keamanan dan keselamatan.

Kewajipan Praktikal

  • Sentiasa memperbaharui niat dan tekad untuk memberikan pendidikan yang baik kepada anak-anak agar proses tersebut dikira sebagai sebahagian daripada amalan kebaikan anda.
  • Panggillah anak-anak anda dengan panggilan yang paling mereka sukai dan manjakan mereka semasa kecil tetapi tidak melampaui batas.
  • Seronokkanlah mereka dengan bercerita kepada mereka tentang kisah-kisah yang menarik dengan memberikan penumpuan kepada pengajaran dan iktibar yang boleh diambil.
  • Sentiasa membawa anak-anak anda berkelah dan keluar rumah begitu juga untuk ke masjid.
  • Selalulah mengucapkan kata-kata yang memberikan perangsang kepada mereka.
  • Jawab segala soalan dan permasalahan yang mereka kemukakan dan hadapi.
  • Sentiasalah berbincang dengan mereka dan ajarkanlah mereka untuk selalu berbincang dengan orang lain dan untuk tidak bersifat diktator.
  • Akhirnya, anda hendaklah sentiasa berdoa untuk kebaikan mereka.

Membesarlah duhai mujahid mujahidah, moga kelak dikau akan dapat mewarisi rantaian perjuangan ini ..

Aug 12, 2009

Mereka kembali lagi

Rindukan mereka? Saksikan persembahan mereka di:


Ekspo Makanan Halal
Lokasi : Kompleks Melaka Mall, Lebuh Ayer Keroh, Melaka
Masa : 8.45 malam (14/8/2009)


anggota lama .. 




Muzika yang dibawa terkandung mesej tersendiri
nilai saintifik, artistik dan autentik bercampur dalam satu irama
Kreatif bertunjangkan syariat
Inovatif beradab
Rasa hati segar dan murni
Benar-benar sejati untuk memberi
Jika tulus, nescaya jalan kan lurus.

Hedonisme ditolak
Jati diri sebagai da'ie dan murabbi digenggam kukuh
Bermisikan dakwah mendidik masyarakat.

Islam bukan tiada hiburan
Islam bukan sebagai sekatan
Islam atas sifatnya yang sederhana
Tidak pernah menyekat kreativiti hamba
Malah mendorong kreativiti dan inovasi tidak keterlaluan
Tidak terbabas ke arah kelalaian dan kehancuran

Syaitan terlalu bijak dalam menipu
Putih tidak terus ditukar menjadi hitam
Perlahan-lahan diganti kepada 'grey' berdikit-dikit
Akhirnya hitam tanpa sedar!



Firman Allah:

“Dan penyair-penyair itu diikuti oleh orang-orang yang sesat. Tidakkah kamu melihat bahawasanya mereka mengembara di tiap-tiap lembah dan bahawasanya mereka suka mengatakan apa yang mereka sendiri tidak mengerjakannya kecuali penyair-penyair yang beriman dan beramal soleh dan banyak menyebut nama Allah dan mendapat kemenangan sesudah menderita kezaliman. Dan orang-orang yang zalim itu kelak akan mengetahui mana mereka akan kembali.”

As Syu’araa’ (224-227)



Inilah garis perilaku kita
Hakikat ini perlu ditegakkan
Walaupun ia ideal untuk dimiliki
Hakikat tetap hakikat
Lambat atau cepat 
Ia tetap diusahakan
Agar tidak wujud hipokrit pada Tuhan.

Soal ‘nawaitu’ mereka serahkan kepada Allah. Apa yang kita doakan ialah berlakunya proses ‘give and take’ yang begitu harmoni, yang melibatkan bukan sahaja kepentingan komersil tetapi juga kepentingan rohani (dakwah dan pendidikan). Semoga cahaya kebenaran daripada nasyid akan membersihkan dunia muzik “mereka yang hijrah ini”. Jangan pula, dicampur adukkan. Sekejap terang, sekejap gelap dicemari prinsip lapuk – minyak dan air tak kan pernah bercampur!

Atas dasar sayang kita mengingat, atas dasar kasih kita bimbangkan ..

Ayuh Afwan.. kesani mereka!



p/s: penaklukan bersiri mungkin..

Jul 9, 2009

I & U - Ilmu dan Usaha


Ilmu

Setiap ilmu yang kita pelajari perlu diamalkan sehingga sebati dan menjadi kebiasaan dalam kehidupan seharian.

Analoginya mudah.

Siapa yang ada lesen memandu? Pasti ramai yang mengangguk dan angkat tangan, kan? Ingat tak masa mula-mula kita belajar memandu. Masuk kereta, terkial-kial betulkan tempat duduk, betulkan cermin sisi dan cermin pandang belakang, pakai tali pinggang keselamatan. Kemudian terjenguk-jenguk mencari lubang kunci untuk hidupkan enjin, tekan clutch, pandang kiri, tengok mana gear 1, tolak depan.. gear 2 tarik ke belakang, nak masuk gear 3 plak, kene tengok lagi, takut-takut termasuk gear 1 semula. Dah tengah memandu pun, terkial-kial lagi tengok bawah, mencari-cari mana pedal brek. Takut silap pijak, melonjak laju ke depan langgar lembu Pak Mail (bukan nama sebenar). Sekarang ni buat lagi tak macam tu? Terkial-kial lagi tak? Mestilah tidak kan. Kadang-kadang, belum pun pakai tali pinggang keselamatan, atau betulkan cermin, tayar kereta dah berputar laju. Haa yang ni jangan ikut ye. Pandu cermat jiwa selamat. Ingatkan diri amanah yang tak tertunai lagi.. takut menyesal di kemudian hari.

Sama juga masa mula-mula kendalikan alat oscilloscope, semasa pertama kali masuk lab dulu. Terkial - kial pusing sana, pusing sini nak dapatkan waveform. Kesudahannya ‘Sir, we can’t get the waveform’. Ayat biasa pelajar-pelajar semasa lab berlangsung. Cepat sangat cakap tak tahu, tak dapat dan sebagainya. Tapi bila dah 2 3 kali masuk lab tu, insya-Allah dah mantap lah kan kendalikan alatan yang ada. Sampai adakalanya, buat eksperimen sebelum arahan diberikan. Memang bijak sangat.. tau tau dah keluar result.

tadaa~

Begitulah ilmu, jika diamalkan, pasti melekat dalam diri. Lama-lama dah jadi kebiasaan.

So, sebagai muslim, apa ilmu yang kita perlu ada?

Tentulah semua ilmu, kan. Agama, fizik, matematik, memasak, menjahit, sejarah dan banyak lagi. Hatta ilmu yang tidak benar juga perlu kita ketahui. Bukan nak suruh buat jahat, tetapi ilmu ini dipelajari untuk dijauhi, supaya kita tidak terjebak atau melakukannya. Semua ilmu ini perlu dikuasai dengan betul-betul. Jika tidak mampu semua, sekurang-kurangnya kita ‘ahli’ dalam bidang ilmu yang kita pelajari, kita ‘alim’ dalam kerjaya yang diceburi.

Kenapa kita nak berjaya dalam kehidupan?

Siapa antara kamu yang tidak ada kelebihan langsung dalam dirinya?

Siapa antara kamu yang tiada langsung kekurangan dalam dirinya?


Kita kena tahu setiap kelebihan yang kita ada, dan semua kekurangan yang kita pendam. Supaya bila dah tahu, kita dapat FOKUS pada KELEBIHAN, dan kena BAIKI mana yang KURANG. Kita perlu gunakan sebaiknya kelebihan yang ada untuk berjaya. Cari sesuatu dalam diri (potensi), agar daripadanya kita dapat bina diri untuk menjadi cemerlang.

Sekiranya kita gagal dalam kehidupan, adakah itu penentu takdir kita akan gagal selama-lamanya? Sepatutnya, bila kita jatuh, kita perlu cuba untuk bangkit, lagi, lagi, lagi, dan lagi .. 


If I fell, and I give up, do you think that I maybe can get up?
If I fell, and I try again and again, and again, ..But I just want you to know this is not the end
It matters how you going to finish ..
Are you going to finish strong?
And you will find that strength to get back up ..

Usaha


Jika ada dua orang sahabat, seorang Sheila (bukan nama sebenar) dan seorang lagi Yasmin (bukan nama sebenar). Mereka bakal menduduki peperiksaan tidak lama lagi. Sheila selalu keluar lepak dengan kawan-kawan yang bukan mahramnya, berjoli sakan di luar. Sementara Yasmin pula banyak habiskan masanya mengulangkaji pelajaran dan membuat latih tubi sehari-harian. Apabila selesai peperiksaan, Sheila mendapat keputusan A, sementara Yasmin hanya sekadar lulus cukup-cukup makan. 




Siapa yang antum rasakan telah berjaya? 

Dari kacamata manusia, tentulah Sheila, benar? Sebab dia dapat keputusan cemerlang. Namun, yang sebenar-benarnya telah berjaya adalah Yasmin. Kenapa? Kerana dia telah berusaha sebaik mungkin bagi menghadapi imtihan tersebut. Allah tidak melihat hambaNya berdasarkan kejayaan yang kita miliki. Tetapi pada USAHA. Allah nak lihat cara mana kita berusaha. Kejayaan yang diiringi usaha yang bersungguh-sungguh, itu adalah lebih baik dan barakah di sisi Allah.

Orang Islam mendapatkan ilmu dengan 2 cara, sementara orang bukan Islam hanya ada 1 cara sahaja untuk mendapatkan ilmu. Bagaimana cara kita mendapatkan ilmu?
1. Berusaha
2. Bertakwa pada Allah (berbuat baik, menyebarkan agama Allah dll.)

Sementara orang bukan Islam hanya ada 1 cara sahaja untuk peroleh ilmu, iaitu dengan USAHA. Tapi orang bukan Islam lebih menguasai ilmu daripada orang melayu. Orang bukan Islam yang mempunyai 1 jalan sahaja untuk dapatkan ilmu, berusaha bersungguh-sungguh, sehingga dapat menandingi orang Islam yang diberikan 2 jalan untuk kuasai ilmu. Orang bukan Islam, jika berusaha betul-betul, tidak dapat apa-apa. Tapi Maha Suci Allah, jika orang Islam berusaha, pasti diganjari kebaikan/pahala.

Namun, apa punca orang Melayu lebih ketinggalan daripada orang bukan Islam?

Kerana adanya sikap MALAS, CEPAT PUTUS ASA ..


So, saya nak ajak antum untuk sama-sama perbetulkan niat, kembali kepada matlamat. Kaji semula tujuan kita mahu berjaya. Ketahui setiap kekurangan dan kelebihan agar dapat adakan pengislahan.

إنما الاعمال بالنيات وإنما لكل امرئ ما نوى فمن كانت هجرته إلى الله ورسوله فهجرته إلى الله ورسوله ومن كانت هجرته لدنيا يصيبهااو امر اة ينكحها. فهجرته إلى ما هاجر

إليه

Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu.


Orang berakal ..
Apabila diam, ia berfikir
Apabila berkata, ia mengingatkan
Apabila melihat, ia jadikan pengajaran.


Mengubah kekalahan menjadi kemenangan

Kita dapat mengubah kemunduran menjadi kemenangan. Cari pelajarannya, terapkan, kemudian ingat kembali kekalahan itu dan tersenyumlah. Kekalahan hanyalah keadaan fikiran, tidak lebih daripada itu.

Yang penting, katakan pada diri , “Pasti ada jalan”. Kalau kita berfikir positif, maka fikiran positif akan dengan rancak menyerbu masuk ke dalam benak kita untuk membantu memecahkan masalah yang kita hadapi..

Usaha selagi mampu!


Friendship Camp 
11/7/2009 ~ 18 Rejab 1430H 
anjuran Institusi Usrah MMU Melaka 
di Taman Botanikal Ayer Keroh. 

Jom kita~ 




p/s: excellent practical!

Jun 24, 2009

Merekalah segala-galanya ..

بسم الله الرحمن الرحيم



Segala puji-pujian milik Allah Tuhan Pencipta, dan Pentadbir 'Alam. Maha Suci Allah Yang Maha Berkuasa, Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang. Maha Suci Allah yang bersifat Pentadbir dan Penguasa mentadbir dan menguasai 'alam tanpa ada sekutu bagi-Nya. Tiada Tuhan yang layak disembah kecuali Allah. Selawat dan salam buat Nabi Junjungan semulia-mulia makhlukNya penutup segala Nabi yakni Nabi Muhammad Sollallaahu 'alaihi wa sallam, ahli keluarga baginda, para sahabat baginda, para tabi'en, para 'ulama yang haq, para syuhada' dan para solehin, dan sekalian orang yang beriman yang ikhlas hingga hari kiamat.



Lama benar tak mencoret di sini. Terlalu rindu untuk berkongsi.. teramat sangat. Banyak cerita nak dikongsi tapi lets put it aside first. Saya share dulu mana yang paling terkini. 

Sabtu lepas diizinkan Allah bermusafir ke Muar. Aunty buat kenduri doa selamat sempena housewarming dan juga untuk along yang dapat tawaran ke MSU.. Wah~ adik muhammad haziq bin hamid ni, dah besar dah dia.. Cantik rumah aunty.. tapi mengapakah pink! Terkesima saya semasa mula-mula melangkah masuk ke ruang tamu. Paling menarik plaster ceiling bermotif bunga-bungaan juga dicat pink. Agak comel kerana ianya seolah-olah seperti aisin kek! Macam rumah kek :) Moga terus dilimpahi rezeki yang barakah untuk aunty sekeluarga.

Esoknya kami sekeluarga menyambut ulang tahun kelahiran ibu dan juga hari bapa. 

kad yang dipilih sendiri sesuai dengan kami yang tinggal bertiga kini ..

ia sangat istimewa

kerana sangat panjang .. :-*

dan ini pula untuk ayah ..  :-*


Alhamdulillah saat ini ibu dan ayah masih lagi diberikan kesihatan yang sempurna. Cuma ayah, adakalanya mengeluh sakit-sakit dibahagian lututnya. Moga Allah lindungi keselamatan, kesihatan dan keimanan mereka sepanjang ketiadaan saya di sisi mereka.

Banyak jasa orang tua kita, tidak terhitung banyaknya. Ibu kita mengandung selama 9 bulan kemudian melahirkan kita dengan risiko nyawa melayang. Ketika kita masih bayi tak berdaya, mereka beri kita minum dan makanan. Ketika kita buang air, tanpa jijik mereka membersihkan kita dengan penuh cinta. Kita diberi pakaian dan juga pendidikan.

Mereka sabar menghadapi kemarahan , rengekan, kenakalan, dan kebuasan kita. Mereka tetap mencintai kita. Jadi jika kita merasa kesal dengan mereka, apalagi jika mereka begitu tua sehingga kelakuannya kembali seperti anak-anak, ingatlah kesabaran mereka dulu ketika menghadapi kita. Bagi yang sudah memiliki anak tentu faham tentang ‘kecerewetan’ anak-anak yang memerlukan kesabaran yang tinggi dari ibu bapa.

Adakah kita mampu membalasnya? Bahkan seandainya orang tua kita tak berdaya sehingga untuk buang air kita yang membersihkannya, itu tidak akan sama. Orang tua membersihkan kita dengan penuh cinta dan harapan agar kita selamat dan panjang umur. Sementara si anak ketika melakukan hal yang sama mungkin akan merungut dan bertanya bila “ujian” itu akan berakhir.

Begitulah. Seperti kata pepatah, “Kasih anak sepanjang badan, kasih ibu sepanjang jalan”. Tidak boleh dibandingkan.

Oleh kerana itulah kita perlu berbakti pada ibu dan ayah. Minimal kita mendoakan mereka:

Apabila anak Adam wafat putuslah amalnya kecuali tiga yaitu sadaqah jariah, pengajaran dan penyebaran ilmu yang dimanfaatkannya untuk orang lain, dan anak yang mendoakannya. (HR. Muslim)

رب ارحمهما كما ربيانى صغيرا

Robbirhamhumaa kamaa robbayaanii shoghiiroo

“Wahai Tuhanku, kasihilah mereka keduanya, sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku waktu kecil.” [Al Israa’:24]

ربنا اغفرى ولولدى وللموءمنين يوم يقوم الحساب

Robbanaghfir lii wa lii waalidayya wa lilmu’miniina yawma yaquumul hisaab

“Ya Tuhan kami, beri ampunlah aku dan kedua ibu bapaku dan sekalian orang-orang mukmin pada hari terjadinya hisab (hari kiamat).” [Ibrahim:14]

رب اغفر لى ولولدى ولمن دخل بيتى موءمنا وللموءمنين والموءمنت ولا تزد الظلمين الا تبرا

Robbighfir lii wa li waalidayya wa li man dakhola baytiya mu’minan wa lilmu’miniina wal mu’minaati wa laa tazidizh zhoolimiina illa tabaaro

“Ya Tuhanku! Ampunilah aku, ibu bapaku, orang yang masuk ke rumahku dengan beriman dan semua orang yang beriman laki-laki dan perempuan. Dan janganlah Engkau tambahkan bagi orang-orang yang zalim itu selain kebinasaan.” [Nuh:28]

رب اغفرلى ولولدى وارحمهما كما ربيانى صغيرا

Robbighfir lii wa li waalidayya warhamhumaa kamaa robbayaanii shoghiiroo

“Ya Tuhanku! Ampunilah aku, ibu bapakku dan kasihilah mereka keduanya, sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku waktu kecil.”



p/s: Seronok dapat berkumpul dengan sanak saudara meskipun ianya berlaku cuma sekali sekala.. tapi ianya cukup bermakna. Perancangan yang terbaik daripadaNya.




Kad ni sangat comel kerana ia mempamerkan kami - ibu, adik dan akak :-*

May 7, 2009

Thanks to Allah for what we have now


"When somebody has a disfigurement and don't look as pretty as you do, don't judge them, because you never know what happened to them," 

"Don't judge people who don't look the same as you do. Because you never know. One day it might be all taken away."


Face transplant recipient: 'I'm not a monster'

Apr 29, 2009

Langkahan Celik

Kita boleh melangkah jauh!


yang penting sedar kenapa kita perlu melangkah ..
ke mana hendak melangkah ..
dan bagaimana hendak melangkah. 


Mulakan dengan langkah yang pertama hari ini~ :)



"Selangkah kita menghampiriNya, seribu langkah Dia akan dekat pada kita."

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...