Jul 9, 2009

I & U - Ilmu dan Usaha


Ilmu

Setiap ilmu yang kita pelajari perlu diamalkan sehingga sebati dan menjadi kebiasaan dalam kehidupan seharian.

Analoginya mudah.

Siapa yang ada lesen memandu? Pasti ramai yang mengangguk dan angkat tangan, kan? Ingat tak masa mula-mula kita belajar memandu. Masuk kereta, terkial-kial betulkan tempat duduk, betulkan cermin sisi dan cermin pandang belakang, pakai tali pinggang keselamatan. Kemudian terjenguk-jenguk mencari lubang kunci untuk hidupkan enjin, tekan clutch, pandang kiri, tengok mana gear 1, tolak depan.. gear 2 tarik ke belakang, nak masuk gear 3 plak, kene tengok lagi, takut-takut termasuk gear 1 semula. Dah tengah memandu pun, terkial-kial lagi tengok bawah, mencari-cari mana pedal brek. Takut silap pijak, melonjak laju ke depan langgar lembu Pak Mail (bukan nama sebenar). Sekarang ni buat lagi tak macam tu? Terkial-kial lagi tak? Mestilah tidak kan. Kadang-kadang, belum pun pakai tali pinggang keselamatan, atau betulkan cermin, tayar kereta dah berputar laju. Haa yang ni jangan ikut ye. Pandu cermat jiwa selamat. Ingatkan diri amanah yang tak tertunai lagi.. takut menyesal di kemudian hari.

Sama juga masa mula-mula kendalikan alat oscilloscope, semasa pertama kali masuk lab dulu. Terkial - kial pusing sana, pusing sini nak dapatkan waveform. Kesudahannya ‘Sir, we can’t get the waveform’. Ayat biasa pelajar-pelajar semasa lab berlangsung. Cepat sangat cakap tak tahu, tak dapat dan sebagainya. Tapi bila dah 2 3 kali masuk lab tu, insya-Allah dah mantap lah kan kendalikan alatan yang ada. Sampai adakalanya, buat eksperimen sebelum arahan diberikan. Memang bijak sangat.. tau tau dah keluar result.

tadaa~

Begitulah ilmu, jika diamalkan, pasti melekat dalam diri. Lama-lama dah jadi kebiasaan.

So, sebagai muslim, apa ilmu yang kita perlu ada?

Tentulah semua ilmu, kan. Agama, fizik, matematik, memasak, menjahit, sejarah dan banyak lagi. Hatta ilmu yang tidak benar juga perlu kita ketahui. Bukan nak suruh buat jahat, tetapi ilmu ini dipelajari untuk dijauhi, supaya kita tidak terjebak atau melakukannya. Semua ilmu ini perlu dikuasai dengan betul-betul. Jika tidak mampu semua, sekurang-kurangnya kita ‘ahli’ dalam bidang ilmu yang kita pelajari, kita ‘alim’ dalam kerjaya yang diceburi.

Kenapa kita nak berjaya dalam kehidupan?

Siapa antara kamu yang tidak ada kelebihan langsung dalam dirinya?

Siapa antara kamu yang tiada langsung kekurangan dalam dirinya?


Kita kena tahu setiap kelebihan yang kita ada, dan semua kekurangan yang kita pendam. Supaya bila dah tahu, kita dapat FOKUS pada KELEBIHAN, dan kena BAIKI mana yang KURANG. Kita perlu gunakan sebaiknya kelebihan yang ada untuk berjaya. Cari sesuatu dalam diri (potensi), agar daripadanya kita dapat bina diri untuk menjadi cemerlang.

Sekiranya kita gagal dalam kehidupan, adakah itu penentu takdir kita akan gagal selama-lamanya? Sepatutnya, bila kita jatuh, kita perlu cuba untuk bangkit, lagi, lagi, lagi, dan lagi .. 


If I fell, and I give up, do you think that I maybe can get up?
If I fell, and I try again and again, and again, ..But I just want you to know this is not the end
It matters how you going to finish ..
Are you going to finish strong?
And you will find that strength to get back up ..

Usaha


Jika ada dua orang sahabat, seorang Sheila (bukan nama sebenar) dan seorang lagi Yasmin (bukan nama sebenar). Mereka bakal menduduki peperiksaan tidak lama lagi. Sheila selalu keluar lepak dengan kawan-kawan yang bukan mahramnya, berjoli sakan di luar. Sementara Yasmin pula banyak habiskan masanya mengulangkaji pelajaran dan membuat latih tubi sehari-harian. Apabila selesai peperiksaan, Sheila mendapat keputusan A, sementara Yasmin hanya sekadar lulus cukup-cukup makan. 




Siapa yang antum rasakan telah berjaya? 

Dari kacamata manusia, tentulah Sheila, benar? Sebab dia dapat keputusan cemerlang. Namun, yang sebenar-benarnya telah berjaya adalah Yasmin. Kenapa? Kerana dia telah berusaha sebaik mungkin bagi menghadapi imtihan tersebut. Allah tidak melihat hambaNya berdasarkan kejayaan yang kita miliki. Tetapi pada USAHA. Allah nak lihat cara mana kita berusaha. Kejayaan yang diiringi usaha yang bersungguh-sungguh, itu adalah lebih baik dan barakah di sisi Allah.

Orang Islam mendapatkan ilmu dengan 2 cara, sementara orang bukan Islam hanya ada 1 cara sahaja untuk mendapatkan ilmu. Bagaimana cara kita mendapatkan ilmu?
1. Berusaha
2. Bertakwa pada Allah (berbuat baik, menyebarkan agama Allah dll.)

Sementara orang bukan Islam hanya ada 1 cara sahaja untuk peroleh ilmu, iaitu dengan USAHA. Tapi orang bukan Islam lebih menguasai ilmu daripada orang melayu. Orang bukan Islam yang mempunyai 1 jalan sahaja untuk dapatkan ilmu, berusaha bersungguh-sungguh, sehingga dapat menandingi orang Islam yang diberikan 2 jalan untuk kuasai ilmu. Orang bukan Islam, jika berusaha betul-betul, tidak dapat apa-apa. Tapi Maha Suci Allah, jika orang Islam berusaha, pasti diganjari kebaikan/pahala.

Namun, apa punca orang Melayu lebih ketinggalan daripada orang bukan Islam?

Kerana adanya sikap MALAS, CEPAT PUTUS ASA ..


So, saya nak ajak antum untuk sama-sama perbetulkan niat, kembali kepada matlamat. Kaji semula tujuan kita mahu berjaya. Ketahui setiap kekurangan dan kelebihan agar dapat adakan pengislahan.

إنما الاعمال بالنيات وإنما لكل امرئ ما نوى فمن كانت هجرته إلى الله ورسوله فهجرته إلى الله ورسوله ومن كانت هجرته لدنيا يصيبهااو امر اة ينكحها. فهجرته إلى ما هاجر

إليه

Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu.


Orang berakal ..
Apabila diam, ia berfikir
Apabila berkata, ia mengingatkan
Apabila melihat, ia jadikan pengajaran.


Mengubah kekalahan menjadi kemenangan

Kita dapat mengubah kemunduran menjadi kemenangan. Cari pelajarannya, terapkan, kemudian ingat kembali kekalahan itu dan tersenyumlah. Kekalahan hanyalah keadaan fikiran, tidak lebih daripada itu.

Yang penting, katakan pada diri , “Pasti ada jalan”. Kalau kita berfikir positif, maka fikiran positif akan dengan rancak menyerbu masuk ke dalam benak kita untuk membantu memecahkan masalah yang kita hadapi..

Usaha selagi mampu!


Friendship Camp 
11/7/2009 ~ 18 Rejab 1430H 
anjuran Institusi Usrah MMU Melaka 
di Taman Botanikal Ayer Keroh. 

Jom kita~ 




p/s: excellent practical!

Jun 24, 2009

Merekalah segala-galanya ..

بسم الله الرحمن الرحيم



Segala puji-pujian milik Allah Tuhan Pencipta, dan Pentadbir 'Alam. Maha Suci Allah Yang Maha Berkuasa, Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang. Maha Suci Allah yang bersifat Pentadbir dan Penguasa mentadbir dan menguasai 'alam tanpa ada sekutu bagi-Nya. Tiada Tuhan yang layak disembah kecuali Allah. Selawat dan salam buat Nabi Junjungan semulia-mulia makhlukNya penutup segala Nabi yakni Nabi Muhammad Sollallaahu 'alaihi wa sallam, ahli keluarga baginda, para sahabat baginda, para tabi'en, para 'ulama yang haq, para syuhada' dan para solehin, dan sekalian orang yang beriman yang ikhlas hingga hari kiamat.



Lama benar tak mencoret di sini. Terlalu rindu untuk berkongsi.. teramat sangat. Banyak cerita nak dikongsi tapi lets put it aside first. Saya share dulu mana yang paling terkini. 

Sabtu lepas diizinkan Allah bermusafir ke Muar. Aunty buat kenduri doa selamat sempena housewarming dan juga untuk along yang dapat tawaran ke MSU.. Wah~ adik muhammad haziq bin hamid ni, dah besar dah dia.. Cantik rumah aunty.. tapi mengapakah pink! Terkesima saya semasa mula-mula melangkah masuk ke ruang tamu. Paling menarik plaster ceiling bermotif bunga-bungaan juga dicat pink. Agak comel kerana ianya seolah-olah seperti aisin kek! Macam rumah kek :) Moga terus dilimpahi rezeki yang barakah untuk aunty sekeluarga.

Esoknya kami sekeluarga menyambut ulang tahun kelahiran ibu dan juga hari bapa. 

kad yang dipilih sendiri sesuai dengan kami yang tinggal bertiga kini ..

ia sangat istimewa

kerana sangat panjang .. :-*

dan ini pula untuk ayah ..  :-*


Alhamdulillah saat ini ibu dan ayah masih lagi diberikan kesihatan yang sempurna. Cuma ayah, adakalanya mengeluh sakit-sakit dibahagian lututnya. Moga Allah lindungi keselamatan, kesihatan dan keimanan mereka sepanjang ketiadaan saya di sisi mereka.

Banyak jasa orang tua kita, tidak terhitung banyaknya. Ibu kita mengandung selama 9 bulan kemudian melahirkan kita dengan risiko nyawa melayang. Ketika kita masih bayi tak berdaya, mereka beri kita minum dan makanan. Ketika kita buang air, tanpa jijik mereka membersihkan kita dengan penuh cinta. Kita diberi pakaian dan juga pendidikan.

Mereka sabar menghadapi kemarahan , rengekan, kenakalan, dan kebuasan kita. Mereka tetap mencintai kita. Jadi jika kita merasa kesal dengan mereka, apalagi jika mereka begitu tua sehingga kelakuannya kembali seperti anak-anak, ingatlah kesabaran mereka dulu ketika menghadapi kita. Bagi yang sudah memiliki anak tentu faham tentang ‘kecerewetan’ anak-anak yang memerlukan kesabaran yang tinggi dari ibu bapa.

Adakah kita mampu membalasnya? Bahkan seandainya orang tua kita tak berdaya sehingga untuk buang air kita yang membersihkannya, itu tidak akan sama. Orang tua membersihkan kita dengan penuh cinta dan harapan agar kita selamat dan panjang umur. Sementara si anak ketika melakukan hal yang sama mungkin akan merungut dan bertanya bila “ujian” itu akan berakhir.

Begitulah. Seperti kata pepatah, “Kasih anak sepanjang badan, kasih ibu sepanjang jalan”. Tidak boleh dibandingkan.

Oleh kerana itulah kita perlu berbakti pada ibu dan ayah. Minimal kita mendoakan mereka:

Apabila anak Adam wafat putuslah amalnya kecuali tiga yaitu sadaqah jariah, pengajaran dan penyebaran ilmu yang dimanfaatkannya untuk orang lain, dan anak yang mendoakannya. (HR. Muslim)

رب ارحمهما كما ربيانى صغيرا

Robbirhamhumaa kamaa robbayaanii shoghiiroo

“Wahai Tuhanku, kasihilah mereka keduanya, sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku waktu kecil.” [Al Israa’:24]

ربنا اغفرى ولولدى وللموءمنين يوم يقوم الحساب

Robbanaghfir lii wa lii waalidayya wa lilmu’miniina yawma yaquumul hisaab

“Ya Tuhan kami, beri ampunlah aku dan kedua ibu bapaku dan sekalian orang-orang mukmin pada hari terjadinya hisab (hari kiamat).” [Ibrahim:14]

رب اغفر لى ولولدى ولمن دخل بيتى موءمنا وللموءمنين والموءمنت ولا تزد الظلمين الا تبرا

Robbighfir lii wa li waalidayya wa li man dakhola baytiya mu’minan wa lilmu’miniina wal mu’minaati wa laa tazidizh zhoolimiina illa tabaaro

“Ya Tuhanku! Ampunilah aku, ibu bapaku, orang yang masuk ke rumahku dengan beriman dan semua orang yang beriman laki-laki dan perempuan. Dan janganlah Engkau tambahkan bagi orang-orang yang zalim itu selain kebinasaan.” [Nuh:28]

رب اغفرلى ولولدى وارحمهما كما ربيانى صغيرا

Robbighfir lii wa li waalidayya warhamhumaa kamaa robbayaanii shoghiiroo

“Ya Tuhanku! Ampunilah aku, ibu bapakku dan kasihilah mereka keduanya, sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku waktu kecil.”



p/s: Seronok dapat berkumpul dengan sanak saudara meskipun ianya berlaku cuma sekali sekala.. tapi ianya cukup bermakna. Perancangan yang terbaik daripadaNya.




Kad ni sangat comel kerana ia mempamerkan kami - ibu, adik dan akak :-*

May 7, 2009

Thanks to Allah for what we have now


"When somebody has a disfigurement and don't look as pretty as you do, don't judge them, because you never know what happened to them," 

"Don't judge people who don't look the same as you do. Because you never know. One day it might be all taken away."


Face transplant recipient: 'I'm not a monster'

Apr 29, 2009

Langkahan Celik

Kita boleh melangkah jauh!


yang penting sedar kenapa kita perlu melangkah ..
ke mana hendak melangkah ..
dan bagaimana hendak melangkah. 


Mulakan dengan langkah yang pertama hari ini~ :)



"Selangkah kita menghampiriNya, seribu langkah Dia akan dekat pada kita."

Apr 20, 2009

Perpisahan yang membawa 1001 hikmah

Jumaat itu, jam di dinding menunjukkan pukul 2.30 petang.
  
Usai solat tadi, saya menyambung semula kerja-kerja akhir 'editing' lab report sebelum dihantar ke lab staff. Barang-barang yang siap dibungkus untuk dihantar kepada pelanggan, dah siap menanti di atas katil untuk dibawa ke pejabat pos. Beg pakaian pula masih lesu di tepi almari tanpa muatan di dalamnya. Satu pakaian pun saya tak kemas lagi. Sms pada da tadi, nak gerak pukul 4. Ya Allah, permudahkanlah urusanku agar perancanganku minggu ini berlangsung dengan kehendakMu. 

Lab report siap..alhamdulillah. Bingkas saya bangun masukkan bungkusan-bungkusan ke dalam beg kertas untuk dibawa ke pejabat pos. Poslaju tutup pukul 3.30 petang. Sekarang pukul 3, insya-Allah sempat..

Bismillahi tawakal tu ‘ala Allah, la hau la wala quwwata illa billahil 'aliyyil 'adzim


Lab report dah hantar. Barang-barang pelanggan juga begitu. Syukur lillah.. 2 perkara beres. Allah.. dah pukul 4 dan saya masih tak kemas apa-apa lagi. Zup3~ Baju bersih, telekung, planner, alat tulis, beg duit, tafsir, kasut dan baju untuk ke IU Dinner. Satu-satu disumbat dalam beg galas n beg pakaian. Selesai. Barang da dan wani pun dah masuk dalam beg. 

Selesai solat ‘asar, saya angkut semua barang masuk dalam viva yang menjadi pemudah cara bermusafir sepanjang 3 hari ni.

Wah, dah pukul 5.15 petang. 

Saya hidupkan enjin, bergerak untuk jemput kamilah di EP dan isi minyak. Sedar tak sedar, pukul 5.45 petang baru kami bertolak ke cyberjaya. Mudah-mudahan perjalanan kami dilindungi. Syukur kenderaan di lebuhraya tak semeriah mana. 6.30 petang sampai cyberjaya.

Sampai di surau al-hidayah, suasana masih sepi lagi. Da kata kumpul kat sini tapi sorang pun tak nampak. Barangkali mereka tengah berkemas-kemas lagi. Rindunya nak ketemu mereka. Selesai maghrib, masing-masing sudah sedia menunggu di luar. Bersalaman dan berpelukan melepaskan kerinduan. Sementara tunggu van, sempatlah kami bersembang-sembang, bertanya khabar dan update kisah-kisah terkini. Perancangannya kami akan gerak ke lokasi perkhemahan pada pukul 8 malam. Namun, seperti biasa, flight delay lagi :) Hampir pukul 10 malam, barulah kami bertolak. 2 van dan 2 kereta.

6.45 pagi ..

7.15 pagi

7.45 pagi ..

hujan lebat menyelubungi suasana majlis ilmu ketika ini ..

Subhanallah, tak sangka rupa-rupanya perkhemahan kali ini nun di puncak bukit. Perjalanan yang sangat mencabar. Tak sangka kereta ain boleh sampai ke atas. Kecil-kecil cili padi. Mujur cuaca malam tu elok-elok sahaja. Jika hujan, alamatnya kami perlu mendaki bukit dengan berjalan kaki. Tanah yang licin pasti membahayakan laluan kenderaan ke atas. Kesejukan menggigit hingga ke tulang! Tiba-tiba terbayang baju sejuk yang tergantung-gantung di pintu bilik .. rasionalkan diri kerana ini juga merupakan suatu bentuk tarbiyyah.

3 hari kami berprogram di atas bukit itu. 

laluan ke kolam ikan ..

kolam yang memuatkan 60 000 ekor ikan keli ..

yang bertanggungjawab menangkap ikan ..

muslimat 'mengerjakan' ikan ..

tuan amir belajar siang ikan keli .. katanya nak tunjuk pada emaknya ..

dan hasilnya ..

Pengalaman menghadiri Mukhayyam Tarbawi 2009 IU Cyberjaya merupakan pengalaman yang sangat bermakna. Buat julung-julung kalinya mukhayyam iu diadakan secara berasingan. Kesudian mereka menerima kehadiran saya ke sana teramat sangat dihargai. Berpeluang mengenali adik-adik peserta: athirah, adila, ieda, nasuha, adibah, nurul, nazirah, suhaida, azim, azhar, arif, faiz, hazwan dan sorang lagi (sorry akak tak sempat nak ingat nama awak, tapi insya-Allah wajah masih jelas dalam ingatan). Masing-masing ada karakter tersendiri. 

Pengalaman 3 hari di sana telah membuktikan mereka mampu untuk menganjurkan sendiri program seperti mukhayyam. Susunan tentatif dengan pengisian dan ldk juga teratur. Modul – modul ldk yang menarik. Mungkin ada sedikit kekurangan sana sini tapi melihatkan ini sebagai langkah permulaan, saya kira anda sedang bermula dengan baik.

Keputusan yang dicadangkan di muzakarah awal semester dulu menimbulkan banyak rasa tidak puas hati. Mengertilah saya cukup memahami situasi pada ketika itu. Keputusan yang sangat berat sebenarnya. Namun saya mengharapkan agar keputusan tersebut adalah yang terbaik untuk semua. Keputusan yang dibuat tampak seperti kejam dan zalim seolah-olah mahu membiarkan antum terkontang-kanting kesusahan sendirian. Sedarilah bahawa kesusahan itulah tarbiyah. Kesusahan yang akan mencelikkan kita untuk lebih bertanggungjawab, lebih berdisiplin. Kesusahan yang akan menyerlahkan potensi diri. 

Kesusahan adalah jambatan kejayaan


Sabda nabi yang diriwayatkan oleh Imam Tirmizi yang bermaksud:

“Sesungguhnya kejayaan bersama-sama dengan kesabaran, kelapangan bersama-sama dengan kesusahan & sesungguhnya berserta dengan kepayahan ialah kesenangan.”


Allah adalah sebaik perancang, Dia tahu apa yang terbaik untuk hambaNya. Kini, dengan kehendak Allah, semuanya terbukti. Antum dah buktikan yang antum juga mampu menganjurkannya sendiri.

Sesungguhnya Allah mengganjari mereka yang bersabar dengan ganjaran yang banyak yang tidak dapat dihitung. [Az-Zumar: 10]



Teruslah berusaha untuk menjadi yang terbaik. Insya-Allah saya yakin antum ada kekuatan tersendiri. Insya-Allah kelak pasti tiada wujud lagi perbezaan antara kita. Saya berjanji pada diri (dengan bantuan Allah dan antum semua), saya nak hapuskan pemikiran dan tanggapan itu. Kita tiada bezanya. Islam juga yang ingin kita bawa. Walaupun waqi’ (realiti) kita berbeza, tapi jangan jadikan ia sebagai suatu alasan untuk gadaikan prinsip yang kita pegang (Allahu ghayatuna, ar-rasul qudwatuna, al-Qur'an dusturuna, al-jihad sabiluna, al-mautu fi sabilillah, asma'amanina). 

Matlamat tidak menghalalkan cara

Insya-Allah sama-sama kita wujudkan suasana solehah di ‘sini’. Mari bergerak selari dengan kekuatan tersendiri. Perbaiki aqal, roh, hati dan nafsu kita sebelum kita menyentuh aqal, roh, hati dan nafsu mereka. Moga Allah permudahkan cita-cita yang satu ini.. 

Perpisahan yang membawa Rahmat tidak ternilai

Mukhayyam berakhir.. kami pulang ke cyberjaya menghilangkan lelah seketika. Cadangnya nak gerak pulang ke melaka pukul 6 petang. Seronok berkongsi cerita sehingga tak sedar jam dah pun pukul 6.15 petang. Masya-Allah flight delay lagilah nampaknya :)


serangga yang 'terikut' pulang dari puncak bukit .. (alhamdulillah, ia hidup lagi)


Selesai bersolat di surau al-hidayah, barulah kami berangkat pulang. Sempat menyapa mesra anfal dan ibunya yang baru tiba. Jam dah menghampiri pukul 8. ‘Izzati sms tadi katanya majlis malam tu start pukul 8.30 malam. Hmm..

Alhamdulillah pukul 9 kami selamat sampai di lokasi majlis. Walaupun letih tapi alhamdulillah, Allah permudahkan segala-galanya.

Mission accomplished!

Ya Allah, aku tinggalkan mereka dalam jagaanMu. Peliharalah kesihatan iman dan jasad sahabat-sahabatku. 

____________________________________________________

Marilah beramal
Beramal kerana Allah
Beramal kerana Allahu Akbar

Beramal kerana Allah
Pemuda melangkah gagah
Menjana kuasa rakyat
Bersiap menghadapi cabaran

Semarakkan semangat perjuangan
Usahlah kita terus terleka
Menegak kema'arufan menentang kemungkaran
Allah pasti bersama

Bentukkan ukhuwah hidupkan jamaah
Susunlah barisan usahlah terleka
Bersatu teguh mara bersama
Moga Islamkan subur

Kerahkan tenaga jua fikiranmu
Korbankan harta sekalipun jiwamu
Menentang musuh Allah laungkan takbir
Allahu Akbar

Bersatulah kita bergerak melangkah
Tegakkan Islam agama yang tercinta
Ayuh kita julang kembali
Islam pasti gemilang


p/s: selamat berangkat abi.. 

p/s/s: iqa n cik su ajak ke klibf hujung minggu ni, tapi isnin ada presentation :( saya nak beli buku yang dah lama saya idam-idamkan (tiada rezeki lagi menjejakkan kaki ke sana) ..

Apr 15, 2009

Tasbih Fatimah


Saidina Ali r.a berkata kepada murid-muridnya:

“Patutkah daku menceritakan kepada kalian kisah mengenai Fatimah r.a yang paling dicintai & dikasihi di antara anak perempuan Rasulullah s.a.w?”

Murid-murid memberi jawapan tanda persetujuan..beliau pun berkata:

Fatimah biasa menggunakan pengisar untuk mengisar biji-bijian yang menyebabkan tangannya ditumbuhi ditumbuhi ketul-ketulan, beliau mengangkut air ke rumahnya di dalam sebuah beg kulit yang telah menyebabkan timbul parut-parut di atas dadanya, beliau mencuci rumahnya seorang diri menyebakan pakaiannya kotor.

Daku berkata kepadanya, “Pergilah dikau kepada Rasulullah s.a.w dan memohon kepada baginda untuk mendapatkan seorang pembantu supaya dapat membantumu membuat kerja di rumah”.

Beliau pergi berjumpa dengan Rasulullah tetapi pada ketika itu ramai orang berjumpa dengan Rasulullah s.a.w. Oleh kerana beliau seorang yang bersopan santun, beliau tidak berani untuk memohon permintaan di hadapan khalayak ramai.

Pada keesokan harinya, Rasulullah s.a.w telah datang ke rumah kami dan bersabda; “Fatimah, apakah yang menyebabkan dikau datang kepadaku kelmarin?”

Beliau berasa malu dan mendiamkan dirinya. Daku pun berkata; “Wahai Rasulullah s.a.w, Fatimah telah ditumbuhi ketulan di atas tangannya dan parut-parut di atas dadanya disebabkan oleh beliau mengisar dan mengangkat air bersendirian. Beliau juga sibuk mencuci rumah dan lain-lain sehingga menyebabkan pakaiannya menjadi kotor.Daku menasihatinya untuk pergi menemuimu dan memohon seorang pembantu”.

Kemudian Rasulullah s.a.w pun bersabda; “Takutilah Allah wahai Fatimah. Perolehilah taqwa dan teruslah melakukan tugasmu terhadap Allah dan kerja-kerja mengenai urusan rumahtanggamu. Sewaktu dikau hendak tidur ucaplah Subhanallah 33 kali, Alhamdulillah 33 kali, dan Allahuakbar 34 kali. Dengan ini dikau akan dapati, ianya lebih berguna daripada seorang pembantu”.

Fatimah r.a berkata: “Daku berpuas hati dengan Allah dan RasulNya”. 

Lihatlah kehidupan puteri Nabi yang dikasihi itu. Keadaan keluarga yang sederhana kehidupannya dimana para wanita menganggap adalah suatu yang mulia untuk melakukan kerja-kerja urusan rumahtangga. Betapa jauh bezanya wanita zaman millennium ini dengan keadaan Fatimah r.a. 

Menurut hadith ini, zikir tersebut hendaklah diamalkan sebelum tidur. Ada juga dalam hadith-hadith yang lain, diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. telah menasihatkan Fatimah supaya membaca Subhhanallah 33 kali, Alhamdulillah 33 kali, Allahu Akbar 33 kali, dan La ilaha illallahu wahdahu lasyarikalah, lahul mulku walahulhamdu wahuwa 'ala kulli syai 'in qadir 1 kali setiap kali selepas solat.

Perkongsian sebagai tingkatan amalan:

Antara Sunnah-sunnah Nabi saw sebelum, ketika dan selepas tidur.

  • Sebelum dan selepas tidur baca doa tidur. Ramai orang memperlekehkan doa 
    Masnun (doa harian) tapi hakikatnya harga yang Allah swt janjikan adalah syurga.
  • Jangan tidur menghadap kaki ke arah Qiblat. Ini adalah kedudukan tidur orang yang telah mati.
  • Membaca tasbih fatimah: Subhanallah 33x, Alhamdulillah 33x, Allahuakbar 33x

    “Barangsiapa yang membaca Tasbih Fatimah, sekiranya dia mati malam itu,dia akan dikira sebagai mati syahid.”
  • Baca 4 Qul tiup ke tapak tangan dan sapu keseluruh badan untuk menghindarkan sihir dan niat jahat manusia.
  • Niat untuk bangun Tahajjud. Sekiranya tidak terjaga, Allah swt akan mengira seolah-olah dia bertahajjud sepanjang malam. Tahajjud adalah sebaik-baik pelindung daripada sihir dan buatan orang.
  • Ambil wudhu sebelum tidur dan Solat Sunat Taubat 2 rakaat.
  • Maafkan semua kesalahan manusia pada kita dan halalkan semua hutang piutang sebelum tidur.Bangun tidur boleh buka fail semula kalau mahu.
  • Tidur cara Rasulullah s.a.w dengan mengiring badan ke kanan dan tapak tangan di bawah pipi.

Peringatan: Pesan Nabi s.a.w, dilarang tidur meniarap terutama lelaki. 

  • Tutup aurat ketika tidur. Lelaki yang tidur meniarap, dibawahnya syaitan/ jin betina.Tidur tidak berpakaian atau tidak menutup aurat akan menghindarkan Malaikat Rahmat dan mengundang makhluk lain. Sekiranya bersetubuh tanpa membaca doa, syaitan/jin akan bersama-sama menjamah isteri kita. Kemungkinan besar benih yang masuk bercampur dengan benih-benih syaitan/jin. 



Banyak lagi Sunnah Nabi s.a.w yang boleh diamalkan, semuanya mudah untuk dilakukan. Lebih mudah daripada bersolek atau pakai night cream sebelum tidur kan. Lebih mudah daripada buat senaman ringan sebelum tidur. Hanya perlu ditambahkan dengan sedikit keikhlasan diri.

Selamat beramal~


“Ya Allah, ikhlaskan hatiku dalam beramal semata-mata keranaMu, istiqamahkan daku dalam mencari keredhaanMu, bantulah kami dalam mengekalkan kualiti ibadah, bantulah kami ya Allah, bantulah kami ya Allah..”

p/s: Qiyamullail setiap malam dan bacaan Quran secara tartil beserta maknanya..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...