May 11, 2008

(berehat) Ibu~



"adik, hari ni hari ibu~"

"hari-hari...hari ibu (everyday is mother's day)"

"tapi hari ni 'special' sikit.."

perbualan ringkas dengan akak melalui sistem pesanan ringkasnya. ingatan kembali terpaut membayangkan ibu dan ayah di rumah; hidup berdua seolah-olah bagai baru mendirikan rumah tangga..tiada gelak ketawa anak-anak menghiasi tirai kehidupan..maafkan kami ibu..maafkan kami ayah..

si sulung..sibuk melayari bahtera rumahtangganya; juga cita-cita yang tidak pernah padam untuk terus mencari seberapa banyak ilmu...
si akak..nun jauh di kota, meneruskan kehidupan mencari pengalaman di negeri orang..
si adik..dekat tapi jauh, mengalahkan orang yang berlajar kat oversea (maafkan adik ibu)

terimbas kembali panggilan telefon bersama ibu tadi..

"adik, macam mana muet tadi?maaflah ibu busy sikit hari ni"

"hehe tu lah..kalah doktor. alhamdulillah..ok lah~"

"insya-Allah..yang pasti dah jawab kan..tawakal"(seperti biasa..ibu cuba memberi perangsang)

"bila start exam?"

"rabu ni..."

"buat elok-elok ya..belajar rajin-rajin"

"...........insya-Allah, ibu doakan adik ya.."

"insya-Allah.."

jauh pandanganku..terlalu banyak yang difikirkan..banggakah ibu dan ayah memilikiku sebagai anak mereka? apa sumbanganku kepada mereka? keprihatinanku? kasih sayangku? pelajaranku? dakwahku?

Dakwah?? otakku sepi, akalku kaku, hatiku sebak, bebola air bergenang di iris tanpa diminta.. soalan yang diaju oleh encik akal tidak mampu dijawab dengan sempurna..

innaka laatahdii man ahbabta walakinnallaha yahdi mai-yashaa-u wahuwa a'lamu bilmuhtadin
sungguh, engkau tidak dapat memberi petunjuk kepada orang yang engkau kasihi, tetapi Allah memberi petunjuk kepada orang yang Dia kehendaki, dan Dia lebih mengetahui orang yang mahu menerima petunjuk [28:56]


Ya Allah,
Rendahkanlah suaraku bagi mereka
Perindahlah ucapanku di depan mereka
Lunakkanlah watakku terhadap mereka dan
Lembutkan hatiku untuk mereka

Ya Allah,
Berilah mereka balasan yang sebaik-baiknya, atas didikan mereka
padaku dan Pahala yang besar atas kesayangan yang mereka limpahkan
padaku, peliharalah mereka sebagaimana mereka memeliharaku.

Ya Allah,
Apa saja gangguan yang telah mereka rasakan atau kesusahan yang
mereka deritakan kerana aku, atau hilangnya sesuatu hak mereka kerana
perbuatanku, jadikanlah itu semua penyebab hilangnya dosa-dosa mereka
dan bertambahnya pahala kebaikan mereka dengan perkenan-Mu ya Allah,
hanya Engkaulah yang berhak membalas kejahatan dengan kebaikan
berlipat ganda.

Ya Allah,
Bila magfirah-Mu telah mencapai mereka sebelumku, Izinkanlah mereka
memberi syafa'at untukku. Tetapi jika sebaliknya, maka izinkanlah aku
memberi syafa'at untuk mereka, sehingga kami semua berkumpul bersama
dengan santunan-Mu di tempat kediaman yang dinaungi kemulian-
Mu,ampunan-Mu serta rahmat-Mu

Sesungguhnya Engkaulah yang memiliki Kurnia Maha Agung, serta
anugerah yang tak berakhir dan Engkaulah yang Maha Pengasih diantara
semua pengasih.



 
namamu..
menyerlakan seri di wajahmu..
kelembutanmu tiada bandingannya..
antara insan yang sangat aku sayang..
kehadiranku kerna pengorbananmu..
dan harapanku agar engkau merestui..
perjuanganku ke arah kebenaran..
kerana engkau laksana langit..
ibarat memayungi setiap insan..



awish(Muhammad Darwish Haikal) dan wannye~

May 9, 2008

(Berehat sebentar)

Seorang yang jauh di mata dekat di hati kirimkan hadiah ini:


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini

terus lirik-lirik ini ligat berputar di ingatan:

Manis wajahmu kulihat di sana
Apa rahasia yang tersirat
Tapi zahirnya dapat kulihat
Mesra wajahmu dengan senyuman

Senyuman...
Senyum tanda mesra
Senyum tanda sayang
Senyumlah sedekah yang paling mudah
Senyum di waktu susah tanda ketabahan
Senyuman itu tanda keimanan

Senyumlah... ...
Hati yang gundah terasa tenang
Bila melihat senyum diri kan tenang
Tapi senyumlah seikhlas hati
Senyuman dari hati jatuh ke hati

Senyumlah seperti Rasulullah
Senyumnya bersinar dengan cahaya
Senyumlah kita hanya kerana Allah
Itulah senyuman bersedekah

Itulah sedekah paling mudah
Tiada terasa terhutang budi
Ikat persahabatan antara kita
Tapi senyum jangan disalah guna

Senyum... ...
Senyumlah kita

Senyumlah... ...
Senyumlah penawar duka
Senyumlah penyejuk hati


Sesuatu yang sukar dilaksanakan selepas tragedi itu. Tapi adakalanya dek kerana keletah sahabat-sahabat, membantu memudahkannya terukir jua di wajah.

Senyumlah~

Inni tawakkaltu 'alal hayyilladzi layamutu walahaula wala quwwata illa billahil 'aliyyil 'adzim
Sesungguhnya aku berserah diri kepada Yang Maha Hidup dan tiada pernah mati. Tiada upaya dan kekuatan kecuali dengan Allah Yang Maha Tinggi & Maha Agung.

Ya Allah, curahkanlah kesabaran ke atas kami dan teguhkanlah pendirian kami serta bantulah kami terhadap golongan fakir. Ya tuhan kami, janganlah Engkau memalingkan hati kami dari rahmatMu kerana Engkau adalah Yang Maha Pemberi. Ya Allah, aku bermohon kepadaMu jiwa yang tenang lagi tenteram, yang yakin terhadap pertemuan denganMu dan reda atas ketetapanMu serta merasa cukup dengan pemberianMu.


p/s: maafkan saya yang sungguh tidak pandai bermanis muka.. saya perlu segera kepadaNya......

al-haqir wal faqir ila Rabbihi~

May 3, 2008

Habis semua kena tutup..panaslah~

ayat biasa kedengaran dari gadis-gadis remaja yang mengaku beragama islam.

ana kongsi semula apa yang pernah dibincangkan oleh uzar dalam laman sawangnya melalui tajuk "Aurat Wanita Lebih : Adilkah?" pada 4 Safar 1428H = 22 Feruari 2007

Oleh : Ust Hj Zaharuddin Abd Rahman

 
"Ustaz mengapa kami kaum wanita kena tutup aurat banyak dan sukar, tapi lelaki sikit aja. Adil ke begitu ustaz?" Tanya seorang wanita yang bertitle PhD dalam bidang ekonomi kepada saya.

"Dr tahu tak berapa jarak matahari ke bumi? " Tanya saya membalas.

"Emm, tak ingat la ustaz, kenapa pulak? Bagaimana soalan saya tadi?" Pakar ekonomi ini cuba mengingatkan saya.

"Cuba Dr bayangkan, kalau jarak antara matahari dan bumi ini tiba-tiba berubah jadi seinchi rapat, apa agaknya akan jadi kat kita?" Soal saya mengajaknya berfikir.

"Rasanya jika ikut teorinya, mesti hancur lebur dan cair penduduk bumi kot, ustaz" katanya.

"Jadinya, Dr setuju tak kalau saya kata bahawa Allah SWT begitu mahir dan amat tepat dalam seluruh urusannya, jika tidak..sudah tentu kita tak boleh hidup di dunia ni, bumi asyik berlaga, siang malam tak tentu hala dan tumbuhan semuanya kelam kabut tumbuhnya" Jelas saya sedikit panjang.

"Benar ustaz, saya amat bersetuju tentang Allah maha mengetahui dan berkuasa" katanya sambil mengangguk.

"Jika demikian, mengapa Dr boleh timbul rasa sangsi tentang keadilan dan kebijaksanaan Allah dalam mengarahkan wanita menutup aurat begini, dan lelaki begitu?" Saya cuba membawa semula kepada topik awalnya.

"Hmmm, ye tak ye jugak ustaz kan, betul-betul tak patut saya rasa begitu, astahgfirullahah azim " sambil menggeleng kepalanya perlahan.

Bagi sesetengah orang yang bijak, mungkin fakta ringkas saya tadi sudah cukup untuk memberi faham kepada jiwa dan hati. Walau bagaimanapun, ia mungkin sekali tidak berkesan buat setengah yang lain. Jawapan lazim yang kerap digunakan oleh rakan-rakan saya apabila ditanya soalan sebegini adalah kembali kepada pengertian adil dalam Islam. Iaitu meletakkan sesuatu pada tempatnya. Contohnya ‘favorite'nya pula, menyebut "adil tak meletakkan kopiah di atas kepala lutut?."

Benar dan saya bersetuju itulah takrif adil tersebut, iaitu "meletakkan seseuatu pada tempatnya", lalu tak semua benda patut kita letakkan pada tahap yang sama, seperti kita mengharapkan anak kita berumur 14 bulan untuk mengerti bahayanya memakan semua benda kecil yang dijumpainya di atas lantai.

"EEee, budak ni tak reti ke benda-benda ni kotor? " tempik seorang ibu kepada anaknya kerana memasukkan dalam mulutnya kotoran di lantai dapur rumahnya.

Saya yakin, kita semua faham bahawa tidak adil untuk kita memarahinya kerana ia baru berusia 14 bulan. Berbeza jika ia berusia 14 tahun dan cergas aqalnya tetapi masih memungut dan makan semua yang dijumpainya di atas lantai. Itu sememangnya patut dikesali.

Dari sudut Islam, kita harus memahami bahawa Allah SWT maha bijak dalam mengatur hukum di atas dunia ini. Apa yang memudaratkan manusia secara tersurat dan tersirat akan diletakkan had dan batasan untuk dikurangi atau dijauhi. Apa yang bermanfaat dan baik sahaja yang akan digalakkan dan dibenarkan.
Firman Allah SWT :
"Mereka menanyakan kepadamu: ""Apakah yang dihalalkan bagi mereka?"" Katakanlah: ""Dihalalkan bagimu yang baik-baik"
( Al-Maidah : 4)

Justeru, apa yang ‘neutral' atau ‘harus' hukumnya akan dibiarkan terbuka (tanpa sebarang larangan) sebagai rahmat dan kemudahan kepada umat manusia. Fakta ini datang dari sabda Nabi SAW :
"Sesungguhnya Allah telah memfardhukan pelbagai perkaar wajib, maka janganlah kamu mengabaikannya, dan telah menetapkan had bagi beberapa keharusan, maka janganlah kamu melewatinya, dan juga telah mengharamkan beberapa perkara, maka janganlah kamu mencerobihinya, dan juga telah mendiamkan hukum bagi sesuatu perkara, sebagai rahmat kemudahan buat kamu dan bukan kerana terlupa, maka janganlah kamu menyusahkan dirimu dengan mencari hukumannya"
( Riwayat Ad-Dar Qutni, ; Ad-Dar Qutni : Sohih, An-Nawawi : Hasan )

Perempuan Lebih Sukar?

Pernah sekali di Brunei, selepas tamat kursus yang saya kendalikan, datang seorang peserta wanita lalu berkata :
"Tapi ustaz, orang lelaki mudah le dapat tutup aurat dengan sempurna, sebab depa senang, sikir benor auratnya". Tegasnya.

"Jika puan rasa susah, tapi buat juga kerana Allah, lagi banyak pahala puan dapat, untung orang perempuan, tutup je aurat terus dapat pahala setiap saat, berganda dari pahala orang lelaki kerana mereka tidak berapa sukar" jawap saya menarik minatnya.

"eh, betul ke ni ustaz" sambil tersenyum luas.

Berminat betul nampaknya dia kali ini sehingga nampak jelas raut wajahnya ingin penjelasan lanjut.

"Benar, InshaAllah.. " Kata saya.

Kata saya ini berdasarkan satu hadith yang menyebut
"Sesungguhnya bagi kamu ganjaran pahala berdasarkan kepada kadar keletihan dan belanja ikhlas kamu"
(Riwayat Ad-Dar Qutni dan Al-Hakim)

Menurut Imam Ibn Hajar di dalam Fath al-bari menjelaskan bahawa hadith ini pernah disebutkan oleh Nabi SAW kepada Aisyah r.a berkenaan umrah yang dilakukan oleh Aisyah. Dimana Nabi SAW diriwayatkan menyebut :
"Sesungguhnya ganjaran pahalamu (wahai Aisyah) ketika umrahmu ini adalah berdasarkan kadar kesukaran dan wang yang dibelanjakan"

Imam An-Nawawi pula berkata :-
"Zahir hadith ini menunjukkan ganjaran dan pahala dalam ibadah akan bertambah dengan bertambahnya keletihan dan belanja yang dikeluarkan"

Bagaimanapun ulama sepakat menyatakan bahawa konsep pahala lebih besar apabila amalan lebih sukar dan letih ini, tidaklah terpakai di dalam semua keadaan, kerana terdapat beberapa jenis ibadat yang ringan tetapi mempunyai pahala yang amat besar, seperti ucapan zikir tertentu yang disebut oleh Nabi SAW, demikian juga berbezanya solat tahajjud di bulan biasa dan di bulan Ramadhan. Kelebihan solat sunat Witr atas solat sunat tasbih yang jauh lebih sukar dan lain-lain. Demikian juga yan ditegaskan oleh Imam Izzudin Abd Salam ( Qawaid al-Ahkam fi Masalihil Anam)


Hukum Asal & Fitrah

Hasilnya, yakinilah bahawa Allah SWT maha adil dalam menentukan tanggungjawab kepada lelaki dan wanita. Sememangnya Allah SWT memerintahkan kaum Hawa untuk menutup auratnya dengan begitu luas; Malah ini kerana menurut hukum Islam yang asal, kerja mencari nafqah adalah merupakan tanggungjawab utama kaum lelaki. Bertepatan dengan tugasan asalnya itu, secara umumnya kaum lelaki diberikan lebih kemampuan fizikal, mental dan kemudahan dalam menutup aurat agar mudah ia ke hulu dan ke hilir mencari nafqah buat keluarganya. (Fatawa Az-Zarqa, hlm 290, cet Dar Al-Qalam)

"Habis ustaz nak orang perempuan duk rumah je la ni?" desak seorang wanita, sambil menjeling saya dengan jelingan kurang puas hati.

Saya tidak menafikan keperluan wanita untuk bekerja hari ini, ia adalah satu fenomena yang sudah terlewat dan amat sukar untuk dielakkan. Namun, pandangan bebas saya menyatakan, keperluan wanita untuk bekerja timbul hari ini adalah apabila timbul masalah kekurangan kaum lelaki yang berkemampuan untuk menjalankan semua tugasan yang sepatutnya dijalankan oleh mereka di luar rumah.

Adakah kita sedar bahawa punca kelemahan anak-anak lelaki dalam hal ini kemungkinan berpunca dari rumahnya?.Pernahkah anda mempunyai anak lelaki ? Bagi yang pernah, saya kira perbezaan dalam menumpukan perhatian dan penjagaan anak lelaki sejak kecil adalah ketara berbanding kanak-kanak wanita.

Hasilnya, keagresifan anak-anak lelaki memerlukan lebih didikan dan tumpuan, jika tidak, ia berpeluang untuk menjadi kaki buli di sekolah, malas belajar, bermain lebih dari belajar dan akhirnya mendapat ijazah rempitan di atas jalan raya. Nauzubillah.


Kerana itu, rumah dan pendidik di rumah terbaik adalah seorang ibu. Pendidikan di rumah teramat penting bagi mencorakkan sikap dan sifat anak-anak di hari kemudian, terutamanya kemampuan si anak lelaki. Iaitu samada ia mampu menggunakan tenaga fitrahnya yang gagah untuk mentadbir dunia dengan adil dan baik atau sebaliknya. Jika tidak, akan berterusanlah kekurangan tenaga lelaki yang mahir dan rajin di dalam industri pekerjaan, dalam masa yang sama pula peranan wanita yang lebih mudah dibentuk sejak kecil dan rajin, pasti terkehadapan. Lalu berbondong-bondonglah kaum wanita di tawar bekerja.

Di ketika itulah timbulnya isu, sukarnya wanita untuk menjaga auratnya semasa ia bekerja, ke sana ke sini, bermesyuarat di sana sini. Walhal, Allah SWT sememangnya tidak memperuntukannya untuk kaum wanita terlalu sibuk dan terbuka sedemikian. Malah juga tidak begitu tepat menurut fizikal dan mentalnya. Kemantapan mental, ketabahan sabarnya, kelembutannya pada hakikatnya adalah khas untuk anak-anaknya demi melahirkan keluarga, masyarakat dan Negara yang dipimpin oleh individu yang cukup kasih saying ibunya. Malangnya, sifat lembut, taat, sabar dan kehebatan pshcologi itu telah dihabiskan dan digunakan kepada kerjaya, ‘boss' dan kakitangan yang lain. Tinggallah yang hampas dan sisa buat anak-anaknya.

Kaum lelaki secara purata sememangnya agak kurang mampu untuk bersabar dengan tangisan anak dan karenah mereka. Lalu dihantarlah anak-anak ini ke pusat penjagaan kanak-kanak. Kesan jangkan panjangnya, akan lahir anak-anak lelaki yang tidak ‘menjadi' akibat dididik oleh individu yang tidak professional lagi melepas batuk di tangga. Iaitu di kebanyakan TASKA yang menghimpunkan berpuluh kanak-kanak sekaligus dengan 3-4 orang wanita muda bujang sebagai pendidiknya. Mampukah anak-anak dididik dengan berkesan dalam suasana begini.?

"Begini, saya kata ikut hukum asal yang Allah letak memang begitu, cuba bayangkan betapa sukarnya wanita bekerja hari ini untuk melaksanakan tugasnya dalam keadaan ‘senggugut', sakit perut, mengandung dan bersalin. Sekiranya ia telah menapous pula, sukarnya tiba-tiba perlu ke sana sini seorang diri, bermesyuarat bersama lelaki berdua-duaan dan sebagainya"

"Mereka sepatutnya lebih dimuliakan dengan diberi kerehatan cukup di rumah sambil membina pimpinan dan generasi soleh masa depan, iaitu anaknya dan keluarganya" Ulas saya, walaupun saya tahu, isu ini amat panjang untuk dibincang serta amat sukar untuk memuaskan hati kaum wanita moden zaman ini.

Nabi SAW bersabda :
"Bagi seorang wanita untuk menunaikan solat di tempat tidurnya adalah lebih baik dari menunaikannya di biliknya, dan menunaikannya di biliknya lebih baik dari menunaikannya di rumahnya, dan menunaikannya di rumahnya lebih baik dari menunaikannya di masjid"
( Riwayat Abu Daud, Ahmad, 6/371 ; Ibn Athir : Hasan 11/200 )



Hadith di atas jelas membuktikan betapa tempat yang sebaiknya bagi wanita untuk mendapatkan pahala terbesar adalah di rumahnya. Manakala, bidang institusi keluarga, pendidikan anak dan menjaga keamanan rumah tangga WAJIB TIDAK DIPANDANG REMEH, malah ia sebenarnya amat sukar, malah ia menyamai kepimpinan sebuah negara. Pandangan remeh terhadapnya adalah kesilapan utama wanita moden zaman kini hingga terlalu berhasrat menjaga syarikat dan berbakti kepada negara sedangkan; mendidik anak-anak dengan cemerlang adalah sumbangan terhebat kaum wanita buat Negara yang tidak mampu disaingi sama sekali oleh kaum lelaki.

Akibatnya berbondong wanita bekerja, kemudiannya apabila kaum wanita hari ini didedahkan dengan pelbagai hadith Nabi berkenaan adab Islam yang perlu dituruti olehnya. Ramai yang merasakan ia seolah-olah mustahil dan tidak ‘up to date' sehinggakan dirasakan Nabi SAW tidak tepat dalam kata-katanya. Lebih buruk, adalah dituduhnya Nabi SAW bersikap ‘bias' atau berat kepada kaum lelaki, kerana baginda sendiri adalah lelaki. Lebih serius dari itu, yang menuduh Islam sudah ‘out dated'. La hawala wal quwwata Illa Billah.


Wanita dan Wangian


Antara kesilapan kerap yang dilakukan oleh kaum wanita apabila sudah keluar bekerja hari ini adalah berwangian dengan pelbagai jenis ‘perfume' sewaktu keluar dari rumahnya.
" Ala ustaz, takkan ustaz nak kami busuk ustaz" Tanya seorang wanita kepada saya.

Busuk atau tidak itu adalah bergantung kepada sikap kebersihan seseorang. Diharuskan wanita memakai sabun ketika mandi, dan bauannya yang sedikit juga harus. Bagaimanapun, yang menjadi masalah kini adalah yang bergeluman dengan wangian, sehinggakan 30 meter jarak darinya pun sudah dapat dihidu baunya.

Nabi SAW mengingatkan kaum wanita dengan sabdanya :
"Mana-mana wanita yang berwangian dan kemudian lalu dikhalayak lelaki bagi menarik lelaki dengan wangiannya, maka ia adalah seperti wanita penzina, dan setiap mata (lelaki) yang (tertarik lalu) memandangkan adalah mata yang berzina"
( Riwayat Abu Daud, At-Tirmidzi dan Albani : Hasan Sohih)

Tahukah kaum wanita bahawa lelaki normal mudah terangsang dan naik syahwatnya apabila menghidu bauan wangi si wanita?
"Tapi memang itu tujuan sebahagian mereka pakai wangian" Kata seorang wanita.

Jika itulah tujuannya, ia harus berdepan dengan seghala masalah dan bahaya dari kaum lelaki yang buas, tika itu...janganlah ia marahkan si lelaki tersebut. Apabila sudah bekerja juga, banyak aurat yang terbuka di sana sini dengan hujjah ‘panas', sukar nak jaga, sukar nak bergerak, permintaan boss dan syarikat, ‘untuk nampak elegan' , supaya tak nampak macam mayat berjalan dan lain-lain lagi. Akhirnya dikorbanan hukum dan akhiratnya UNTUK DUNIANYA. Amat simpati saya terhadap kaum hawa sebegini. Allahul Musta'an.

Nabi SAW pernah bersabda :
“Tiada seorang wanita pun yang membuka auratnya (pakaiannya) di rumah atau tempat selain rumah suaminya (atau ayahnya tanpa kewujudan orang luar) kecuali dia telah merempuh tabir (sempadan yang digariskan) di antaranya dan tuhannya"
(Riwayat Ahmad, 6/301 ; Albani : Sohih)

Akhir kata, Wanita yang terbaik adalah Maryam, Fatimah dan Khadijah...pelajari lah tentang mereka bagaimana untuk mendapatkan hidup indah di akhirat yang kekal buat selamanya.

May 1, 2008

Keliru dengan konsep busana muslimah?

Busana muslimah? Apa tu? Jubah ke?

Sebelum itu, mari kita lihat beberapa keratan gambar untuk uji sejauh mana kefahaman kita mengenai tema busana muslimah.

Ok kah gambar ni? Pakaian dah labuh..tapi tudungnya..sesuai ke?


Bagaimana pula dengan gambar ini? Susuk tubuh badan boleh diskaun tak?


Alamak..banyak sahaja kain digunakan untuk membuat pakaian mewah ini tapi jarang sana-sini!


Lihat gambar ini? Cuba perhatikan tudung, seluar dan kakinya? katanya fesyen muslimah kontemporari ~



Yang ni pula..ok tak? tutup dah semua? boleh tarik perhatian tak?



Pening kepala? Keliru dengan konsep busana muslimah?

Itu hanyalah sekadar nama sahaja atau pun konsep. Busana atau pakaian bagi seorang muslimah atau perempuan muslim adalah pakaian yang menepati syari'at.

Bagaimana pemakaian yang mengikut syari'at?

Pakaian sopan dan menutup aurat adalah cermin seseorang itu Muslim sebenar.ISLAM tidak menetapkan bentuk atau warna pakaian untuk dipakai, baik ketika beribadah atau di luar ibadat. Islam hanya menetapkan bahawa pakaian itu mestilah bersih, menutup aurat, sopan dan sesuai dengan akhlak seorang Muslim.

ISLAM tidak menetapkan fesyen pakaian tetapi perlu mematuhi garis panduan dan menutup aurat.Di dalam Islam ada garis panduan tersendiri mengenai adab berpakaian (untuk lelaki dan wanita) iaitu:

1. Menutup aurat
AURAT lelaki menurut ahli hukum ialah daripada pusat hingga ke lutut. Aurat wanita pula ialah seluruh anggota badannya, kecuali wajah, dan tapak tangan.
Rasulullah SAW bersabda bermaksud:
“Paha itu adalah aurat.”
(Bukhari)


2. Tidak menampakkan tubuh
PAKAIAN yang jarang sehingga menampakkan aurat tidak memenuhi syarat menutup aurat. Pakaian jarang bukan saja menampak warna kulit, malah boleh merangsang nafsu orang yang melihatnya.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Dua golongan ahli neraka yang belum pernah aku lihat ialah, satu golongan memegang cemeti seperti ekor lembu yang digunakan bagi memukul manusia dan satu golongan lagi wanita yang memakai pakaian tetapi telanjang dan meliuk-liukkan badan juga kepalanya seperti bonggol unta yang tunduk.Mereka tidak masuk syurga dan tidak dapat mencium baunya walaupun bau syurga itu dapat dicium daripada jarak yang jauh.”
(Muslim)

3. Pakaian tidak ketat
TUJUANNYA adalah supaya tidak kelihatan bentuk tubuh badan

4. Tidak menimbulkan riak
RASULULLAH SAW bersabda bermaksud:
“Sesiapa yang melabuhkan pakaiannya kerana perasaan sombong, Allah SWT tidak akan memandangnya pada hari kiamat.”

Dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda bermaksud:
“Sesiapa yang memakai pakaian yang berlebih-lebihan, maka Allah akan memberikan pakaian kehinaan pada hari akhirat nanti.”
(Ahmad, Abu Daud, an-Nasa’iy dan Ibnu Majah)


5. Tidak menyerupai lelaki
MAKSUDNYA pakaian yang khusus untuk lelaki tidak boleh dipakai oleh wanita, begitu juga sebaliknya.
Rasulullah SAW mengingatkan hal ini dengan tegas menerusi sabdanya yang bermaksud:
“Allah mengutuk wanita yang meniru pakaian dan sikap lelaki, dan lelaki yang meniru pakaian dan sikap perempuan.”
(Bukhari dan Muslim)


6. Melabuhkan pakaian
CONTOHNYA seperti tudung yang seharusnya dipakai sesuai kehendak syarak iaitu bagi menutupi kepala dan rambut, tengkuk atau leher dan juga dada.
Allah berfirman bermaksud:
“Wahai Nabi, katakanlah (suruhlah) isteri-isteri dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan beriman, supaya mereka melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun dan Maha Penyayang.”
(al-Ahzab:59)





Apr 29, 2008

Dunia bagai wanita tua terbaring nazak menunggu ajal

oleh: H Fansuri

Kalau tidak salah saya, Buletin Utama pada Khamis lalu (24 April) telah menyiarkan satu laporan mengenai keadaan cuaca dan perubahan iklim di Semenanjung Tanah Melayu. Ia memberi laporan bahawa seluruh kawasan Pantai Timur akan terkena tempias perubahan cuaca dan ketidakstabilan iklim baru-baru ini.

Ada laporan akhbar yang menuliskan bahawa sekarang ini, hampir semua lautan di dunia kini berhadapan dengan masalah yang akan menjejaskan kehidupan manusia pada masa depan jika usaha tidak dilakukan untuk menanganinya mulai sekarang.

Menurut suatu kajian, antara kawasan laut yang paling teruk terjejas termasuklah Laut Utara, Laut China Selatan, Laut China Timur, Laut Caribbean, Pantai Timur Amerika Utara, Laut Mediterranean, Laut Merah, Teluk Parsi, Laut Bering dan Lautan Pasifik Barat. Bagaimanapun, kawasan yang paling kurang terjejas adalah berhampiran kutub.

Tahun lalu, ada laporan menyebut bahawa ibu kota Thailand , Bangkok bakal tenggelam dalam tempoh 15 tahun bermula sekarang. Dalam kalangan insan yang arif, 'terus mata' dan menurut sahibul riwayat, kota yang banyak mengundang padah dan masalah terhadap penduduk Melayu Muslim di Selatan Thai itu akan tenggelam dalam 15 bulan saja lagi!

Sudah tentu lautan yang akan menenggelamkan Bangkok . Hal yang sama berlaku dengan lagenda tenggelamnya bandar Atlantis, kerajaan di Tasik Chini, Pahang, kaum Nabi Nuh yang ditenggelamkan banjir besar, bangsa yang tenggelam di bawah Laut Mati serta lain-lain kerajaan yang pernah ditenggelamkan Tuhan.

GAMBARAN ibu kota Atlantis yang dibina di tengah pulau seperti
diceritakan Plato.

Pun begitu, ada juga lagenda yang menyebut Gunung Keriang pada asalnya sebuah pulau. Paras laut kemudiannya menurun sehingga wujud pendudukan manusia baru di situ. Dan, apabila paras laut surut dalam tempoh yang lama, pulau Keriang digelar sebagai gunung.

Laut amat penting kepada manusia. 70% isi bumi adalah lautan dan 30% adalah daratan. Ertinya, laut ada kemampuan untuk surut membentuk kerajaan, negara baru dan ada masa pula paras laut akan naik meningkat lalu menenggelamkan kedaulatan kerajaan lama.

Tubuh kita berasal daripada dunia ini. Ertinya, peratus air dalam tubuh lebih banyak dari daging di tubuh kita. Air di bumi yang diminum bertukar menjadi darah dalam tubuh lalu, makanan yang dicerna tercerna menjadi zat-zat protein yang bergabung menjadi bahagian daripada daging yang membalut tulang rangka kita. Demikianlah proses kehidupan.

Sakit di kulit tubuh kita adalah sakit di kulit bumi. Kulit dunia yang cedera, disiat pembangunan adalah seperti yang kita rasakan. Air sungai yang kotor bagaikan darah kita yang dicemari toksin yang dimakan daripada makanan segera atau makanan yang disembur racun buatan manusia.

Makanan pada zaman dulu, tiada unsur-unsur perubahan ini di mana segala isi kandungan genetiknya sekali pun telah pun diubah.

Dunia yang dihuni pada hari ini sebenarnya tidak wujud seperti yang dilihat pada hari ini. Perubahan iklim cuaca yang menyebabkan manusia, kerajaan berpindah randah mencari penempatan baru. Kemarau yang melanda menyebabkan sesuatu puak akan bergerak bagi mencari penempatan baru bagi meneruskan penghidupan.



Dunia bagaikan 'wanita tua' dalam peristiwa Isra' Mikraj

Dalam peristiwa Isra' Mikraj, Rasulullah telah melihat gambaran dunia seperti wanita tua yang sedang memakai perhiasan. Wanita tua ini masih cantik dengan solekan, dandanan dan perhiasannya. Tetapi, dalam tubuhnya sudah bersarang pelbagai penyakit sejak lama.

Gejala tanah runtuh di Malaysia baru-baru ini, jalan retak di Johor akibat banjir besar, pemanasan global adalah gejala yang lahir daripada kesakitan yang dialami 'wanita tua' ini sejak puluhan ribu tahun dulu ketika manusia berperang dan nazaknya makin kuat saat 'anak-anaknya' bersengketa, berlumba meletupkan nuklear, C4, water Canon, molotov.

Mungkin di bawah perut 'wanita tua' (bumi yang kerap digelar 'ibu pertiwi') di Johor itu telah ada batu-batuan yang telah mula retak, patah disimbah asid kilang yang sudah mendap, meresap jauh dalam tanah, merosakkan nadi-nadi, sendi-sendi, saraf, tulang belakang dan saraf tunjang di tubuhnya.

Dunia ini bagaikan ibu tunggal, wanita tua yang pernah jelita digilai pemuda ketika masa muda-muda dahulu. Dia mungkin sedang terbaring nazak, sambil memerhatikan gelagat insan yang masih gila berperang di hujung nyawanya. Dunia atau wanita jelita ini menjadi semakin tua lantaran karenah anak-anaknya yang sentiasa bersengketa!

Apakah proses penuaan? Menurut satu tafsiran penuaan ertinya suatu proses pengurangan air dalam tubuh badan. Makin meningkat usia, makin berkurangan air dalam tubuh kita.

Dunia kita begitu juga. Ia sudah tua dan peratus air laut berjumlah 70% itu berkurangan. Ia mungkin bukan berkurangan. Maksudnya, air yang berkualiti sejumlah 70% berkurang daripada peratus yang asalnya. Mungkin, kini cuma 30% air bersih. Dan baki 40% adalah air yang tidak berkualiti, tidak dirawat dengan sempurna, air keruh di Sungai Kelang dan Sungai Gombak dan lain-lain limpahan kekotoran di sungai-sungai lain di dunia!

Ben Halpern, saintis di Pusat Analisis Ekologi dan Sentisis Kebangsaan di Universiti California , Santa Barbara telah menyebut dalam satu kajian bersama pasukannya tentang lautan. Menurutnya, ada dua hal yang tak terduga mutakhir ini mengenai lautan kita.

"Pertama, setiap sudut lautan di dunia sedah terjejas akibat sekurang-kurangnya satu kegiatan manusia. Kedua, lebih 40 peratus lagi terjejas akibat pelbagai kegiatan yang mereka lakukan. Lautan kita tidak berada dalam keadaan yang baik," katanya.

Sementara itu, seorang penyelidik lain pula mendedahkan bahawa kadar oksigen di dalam air cetek di sepanjang pantai Oregon menurun hingga ke paras kosong untuk kali pertama pada 2006. Bagaimana hidupan laut ini akan bernafas di dalamnya? Jikalau tiada hidupan laut yang berzikir kepada Tuhan, nescaya dunia ini akan kiamat.



Dunia ini diwariskan kepada manusia untuk menjaganya. Disebutkan di dalam al-Qur'an:

"Aku (Allah) ingin menciptakan atas bumi ini seorang Khalifah."

Lihat bagaimana Allah meletak diriNya sebagai pihak pertama, dunia pihak kedua dan manusia pihak ketiga.

Jadi, siapa yang paling hampir dan rapat kepada Allah antara bumi dan manusia? Kita dapat merumuskan pendirian bahawa bumi itulah yang paling dekat kepadaNya berbanding manusia itu sendiri. Sejauh manakah kita memelihara dunia yang dilihat Rasulullah sebagai wanita tua ini?

Adakah kita memeliharanya sebagai isteri tercinta, atau wanita pelacur, wanita simpanan dan wanita jalang
? Prof Dr Syed Hossein Nasr dalam sebuah karyanya yang pernah saya baca menyebutkan manusia hari ini menggunakan dunia serta sumbernya seperti melayan seorang pelacur dan bukannya isteri.

Seorang suami akan menjaganya setelah menikmati isterinya. Tapi, dunia hari ini telah dinilai sebagai wanita lacur di mana khazanahnya dipunggah untuk dinikmati dan hampas kekotoran telah disepahkan tanpa tanggungjawab.

Tidak mustahil bahawa suatu masa nanti wanita pelacur ini akan bangkit memberontak dengan caranya yang tersendiri. Siapa yang jatuhkan menteri kesihatan Chua Soi Lek? Siapakah Altantuya dari Monggolia? Siapa Sufiah pelajar Oxford yang pernah meniti laluan sejarah gemilang?

Mereka pada asalnya kaum baik, tetapi telah dibentuk oleh keadaan yang pincang, sistem yang musnah dan memusnahkan dan akhirnya mereka bangkit dan keluar memberontak dengan cara yang tersendiri. Jangan salahkan mereka. Mereka tak bersalah. Bukan salah ibu mengandung. Salahkan bapanya (penguasa) yang tidak memakai 'sarung'!

Pemberontakan perempuan ini sama seperti pemberontakan dunia sebagai wanita tua kita, iaitu bumi atau dunia atau alam buana yang pernah kita zaliminya sejak sekian lama. Bencana besar bakal melanda!

Kata sahibul riwayat, negara kita akan tertimpa bencana besar. Apabila saya sambungkan sanad riwayat ini kepada teman-teman, saya diketawakan. Apabila diajukan kepada orang tua di Bukit Tembaga, jawapannya, "Kena sedia dengan amalan, jangan hebahkan."

Kata sahibul riwayat lain, adapun amalan itu adalah 44 kali bacaan al-Fatihah 3 kali Jumaat, (selepas solat Jumaat) secara berjemaah. Demikian kaifiatnya guna merawat roh alam yang sakit in secara alternatif. Wallahu 'Alam. Oleh kerana kita berasal daripada tanah, dunia kita menderita penyakit yang sama dengan kita. Dunia tidak ditimpa penyakit ketika dunia dihuni dinosaur dan haiwan-haiwan purba yang tidak banyak menggunakan senjata kimia.

Setiap haiwan ada satu senjata. Tapi, manusia berbekalkan satu senjata, iaitu akalnya, dia boleh mencipta scud, tomahawk, kapal selam perang daripada Perancis dan ribuan senjata lagi. Dalam perang antara Habil dan Qabil itulah darah pertama jatuh atas nama dendam, sakit dan iri hati. Darah tertumpah atas niat jahat ini membuatkan dunia mula bergetar.

Darah yang tumpah kerana kecelakaan jalan raya, penyembelihan haiwan untuk makanan tak termasuk dalam sebab yang boleh menyebabkan dunia bergetar. Lafaz talak misalnya, menurut satu riwayat boleh menggoncangkan tiang Arasy.

Demikian 'hebatnya' manusia! Setiap perlakuan manusia yang buruk dapat menyebabkan porak-poranda di dunia ini. Kali terakhir nazaknya berakhir dengan kiamat di mana dunia tidak lagi dapat menanggung segala kebejatan akhlak yang timbul akibat perang manusia.

Sungai-sungai di negara seperti pembuluh darah, urat-urat berselirat di dalam tubuh yang menjadi laluan darah selama ini. Tuhan mencipta sistem peredaran darah yang mengalir, mengaut sampah-sarap, mengangkut toksin di seluruh tubuh dan kemudian dihembuskan keluar sebagai karbon dioksida. (Bilakah sungai kota yang coklat akan jernih kembali?)

Merah darah yang semakin pudar itu akan kembali cerah dan segar warna merahnya saat ia bergabung dengan oksigen. Ini kitaran sungai darah di mana putaran itu menyebabkan darah sentiasa mengalir lancar dan tidak tersekat pula oleh sekatan-sekatan di liang-liang urat yang kerap tersumbat dengan semak-samun lemak dan lain-lain unsur.

Jika manusia sakit, maka doktor, tabib, pawang dan dukun itulah yang dirujukkan sebagai sandaran penawarnya. Tetapi, jika alam buana ini menderita kesakitan, kepada siapa yang kita majukan pertolongan, bantuan dan pengharapan?

Siapakah doktor, tabib, dukun dan pawang yang dapat menyembuhkan derita sekali gus merawar 'kesihatan dunia kini?

'Rawatan alternatif' kepada dunia?

Akhir-akhir ini timbul istilah 'rawatan alternatif' yang mana cara merawat bersandarkan kepada getaran, aura, cakra dan lain-lain unsur yang tidak dapat dicerap penglihatan mata kasar. Alam kita mungkin dapat dirawat dengan kaedah itu di samping kaedah yang boleh dicapai pancaindera seperti hubungan kerjasama sejagat menangani 'global warming'.

Di Bali, beberapa bulan lalu telah diadakan Sidang Kemuncak tentang Pemanasan Global dan Al-Gore yang pernah berlawan dengan Bush di Amerika telah menjadi juara di dalam sidang kemuncak tersebut. Beberapa resolusi telah pun dicapai. Itu kerja manusia Barat.

Mungkin usaha manusia Barat ini boleh dianggap sebagai doktor atau tabib yang mencari penawar untuk tubuh, raga, alam kasar. Tapi, rawatan ini bukan untuk penyembuhan roh, jiwa. Jika tubuh terluka, maka penawarnya bersifat zat yang boleh dipegang. Tetapi, jiwa, roh yang terluka, terkoyak, penawarnya bersifat ghaib yang tidak dapat dicapai indera.

Di mana usaha manusia Timur yang mana nenek moyang mereka dahulu terkenal dengan sifat mesra alam? Penyembuhan mereka ini dapat menumpukan kepada roh, jiwa. Di sini kita melihat peninggalan kesan jejak warisan terdahulu untuk menyembuhkan bumi ini.

Islam misalnya mendidik kita bagaimana cara meminta hujan guna merawat kegersangan bumi yang tidak subur. Akal tidak dapat memikirkan bagaimana hubungan solat sunat ini dapat menyeru awan dan hujan kemudiannya akan turun.

Inilah rawatan alternatif kepada alam ini. Al-Gore dan ahli-ahli dalam Sidang Kemuncak Pemanasan Global tak akan pernah terfikir dan terjangkau akan kaedah rawatan alternatif seumpama ini. Pada Barat, bumi ini kering dan tiada roh yang hidup menaungi bumi ini.

Tapi, kita percaya bahawa alam ini punya roh tersendiri yang menghidupkan dan apabila ia pergi, maka kering dan gersanglah di sesebuah bumi itu dan apabila ia meninggalkan keseluruhan bumi, maka tamatlah usia bumi ini. Peristiwa ini dikenali sebagai kiamat.

Setiap pokok ada roh sendiri yang mana pada malam-malam mereka akan pergi beramai-ramai menuju ke suatu tempat. Nenek moyang kita menyedari akan hal ini. Sebab itulah mereka tersasar memuja semangat padi, kononnya agar semangat itu tidak melarikan diri.

Sehinggalah Islam tiba dan mengasuh mereka supaya sujud kepada Allah; tuan punya roh tumbuh-tumbuhan dan tanam-tanaman ruji dan sebagainya, maka nenek moyang kita pun terlepas bebas daripada amalan khurafat tersebut.

Dalam tubuh kita begitulah juga. Ada beberapa anggota yang lumpuh menjelang hari tua seperti kaki, tangan. Ada beberapa tempat di bumi ini telah kering, gersang, lumpuh atau 'mogok', enggan bekerja seperti biasa untuk menumbuhkan pohonan hijau merendang.

Jadi jangan kita fikir manusia sahaja yang pandai mogok dan berpiket. Bumi kita ini akan mogok (tidak mahu bekerja seperti biasa) dan pandai berpiket juga. Dan ia tidak perlukan permit polis untuk berpiket. Ketika itu, segala macam kekuasaan di dunia ini akan hancur melebur, malah PBB pun tidak mampu berbuat apa-apa. Hanya tinggal berputih mata.

Ada bumi yang mogok kerana perbuatan insan seperti operasi 'bumi hangus' yang dibuat oleh tentera Jepun dalam serangan mereka dahulu. Ada belahan bumi yang mogok hingga menyebabkan penduduknya terpaksa berpindah ke tempat lain.

Insan jahat (penghuni neraka) bagaikan virus dan bakteria yang akan berperang bersama insan kamil (ahli syurga) seumpama antibiotik dalam tubuh kita. Maka, bumi telah bersedia untuk mogok dan berpiket menantikan saat itu.

Adapun punca kenapa dunia ini bergolak adalah kerana penghuni neraka dan syurga telah berkongsi hidup yang sama di dunia ini. Sebab itu di akhirat nanti mereka akan dipisahkan antara syurga dan neraka sekali gus akan menghalang mereka daripada bertembung.

Dunia oh dunia! Dunia ini akan selamat dan berjaya diselamatkan oleh mereka yang kuat dan ikhlas bernafas, jujur menjalani kehidupannya sebagai insan kami manusia sempurna. Dunia bergolak bukan kerana ia didiami oleh haiwan, tapi ia hancur kerana perutnya telah melahirkan manusia berperangai haiwan. Bukan salah ibu mengandung!

Apr 21, 2008

rapuhnya nilai akhlak manusia kini

oleh : Ustaz Zainudin Hashim

Islam satu-satunya agama (cara hidup) yang diperakui oleh Allah SWT yang diperuntukkan sesuai dengan fitrah semula jadi manusia serta makhluk yang lain.

Islam yang menjadi mercu tanda kegemilangan di zaman Rasulullah s.a.w, kemudian disambung oleh para sahabat nabi, setelah itu diperpanjangkan oleh sistem pemerintahan Islam seperti pemerintahan Bani Umaiyah, 'Abbasiyyah sehinggalah ke era pemerintahan Islam 'Othmaniyyah di Turki.

Matlamat utama penubuhan negara Islam tersebut adalah untuk merealisasikan tuntutan agama menerusi al-Quran dan Sunnah Nabi Muhammad s.a.w.

Tetapi matlamat tersebut lenyap dengan berakhirnya negara Islam di Turki yang jatuh ke tangan British menerusi pengkhianat Islam iaitu Mustafa Kamal Atarturk. Di mana beliau menjadi dalang untuk melihat Islam dikikis dari bumi Turki.

Ini bermakna umat Islam hari ini di seluruh dunia kehilangan kepimpinan Islam dan mereka amat dahagakan kepimpinan tersebut, kerana teori barat ataupun isme ciptaan manusia yang sudah lama bertapak sejak puluhan malah ratusan tahun tidak mampu menjadikan manusia sebagai insan yang bertamaddun dalam segenap tindak-tanduk mereka.

Ini dapat dilihat kerakusan manusia dalam pentas dunia, meragut ribuan nyawa yang tidak berdosa, seolah-olah menggambarkan pihak yang kuat dan lantang menguasai yang lemah.



Kekuatan teknologi dan senjata nuklear menentukan segala-galanya, pengguguran bom di bumi Hiroshima dan Nagasaki membuktikan tindakan yang kejam.

Pencabulan Israel pada awal 80an di Sabra dan Shatila yang mengorbankan banyak nyawa, serangan Soviet Union (sekarang Russia) dan yang terkini serangan kuasa besar Amerika Syarikat ke atas bumi Afghanistan kononnya memerangi pengganas, sehingga ke hari ini Amerika tidak mampu mengemukakan sebarang bukti yang nyata bahawa Osama Bin Laden bertanggung-jawab memusnahkan bangunan Pusat Dagangan Dunia (WTC) dan Pentagon yang dikenali dengan peristiwa 11 september.

Peristiwa 11 September itu, seolah-olah dilihat sebagai batu loncatan buat Amerika untuk bertindak atas slogan hak asasi manusia. Akibatnya orang tua, wanita, kanak-kanak serta harta benda awam musnah hasil bedilan bom tercanggih Amerika. Ini juga menggambarkan seolah-olah bumi Afghanistan medan raptai segala ciptaan nuklearnya.

Amerika yang dianggap dunia sebagai sebuah negara maju dalam segenap bidang hidup, antaranya pencapaian teknologi maklumat, ekonomi,hiburan dan lain-lain, namun tidak mampu membendung jenayah di wilayah Amerika yang berlaku setiap detik seperti yang dilaporkan oleh Polis Antarabangsa (Interpol).

Hollywood yang mengaut keuntungan luar biasa hasil penjualan filem, dilihat sebagai salah satu faktor yang menyumbang kepada terhakisnya nilai akhlak di kalangan manusia sama ada Islam dan bukan Islam. Sumbangannya itu tidak terbatas hanya kepada negara barat sahaja, malah menembusi pasaran Asia termasuklah Malaysia yang tidak terkecuali kerana Malaysia dianggap salah sebuah negara yang berpotensi dalam segala hal.

Kita tidak lupa rosaknya akhlak remaja di negara kita khasnya, adalah hasil hiburan yang mudah diperolehi, bermula di pawagam, pub-pub, internet, video-video lucah dan sebagainya yang memberi saham ke arah keruntuhan moral.

Fenomena ini merisaukan semua pihak, lebih-lebih lagi para ibu-bapa yang telah banyak mengeluarkan wang semata-mata untuk melihat agar anak mereka menjadi insan yang berguna pada satu hari nanti.

Tetapi dalam masa yang sama, mereka lupa persekitaran yang ada tidak mampu menjamin suasana yang baik. Kerana persekitaran itu dicipta oleh penguasa, pemerintah atau pemimpin. Sehubungan dengan itu, Islam telah menyatakan sikapnya iaitu "Rakyat bergantung kepada agama/pegangan pemimpin mereka".

Justeru, umat Islam khasnya di segenap pelusuk dunia, mesti bersedia untuk kembali kepada ajaran Islam tulen, iaitu mendalami ilmu Islam seperti Usuluddin dan Syari'ah, sejarah Islam seperti sejarah hidup Rasulullah s.a.w, para nabi, para sahabat, para 'ulamak serta tokoh-tokoh Islam.

Ini kerana semua maklumat tersebut dapat membantu daya tahan dalaman seseorang muslim, malah dapat menghilangkan krisis keyakian umat Islam terhadap agama mereka sendiri.

Mar 25, 2008

Dapatan d arena




iklan ni comel sungguh.. sambil-sambil itu, cuba fikirkan apa nilai yang boleh kita dapat darinya..renung-renungkanlah~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...