Sep 21, 2010

Imtihan~

Selamat menghadapi Imtihan buat semua sahabat-sahabat dan adik-adik Multimedia Univ. yang akan bermula pada 20 September 2010 nanti (ops..dah start dah kan~).


Imtihan Trimester 1 10/11: (doakan saya najah ye teman2 :) )

20/9/2010 : 9-11am n 2.30-4.30pm
23/9/2010 : 2.30-4.30pm
28/9/2010 : 2.30-4.30pm
2/10/2010 : 9-11am

Bila mana manusia tahu waktu dan tarikh peperiksaan, maka berlumba-lumbalah kita sibuk untuk mengulangkaji, menghafal dan sebagainya sedangkan tarikh itu tidak mustahil boleh berubah dan juga boleh jadi dibatalkan. Dalam masa yang sama kita tahu bahawa imtihan akhirat (kematian) itu suatu perkara yang pasti. Cuma masanya kita tidak ketahui… apa pula persediaan kita untuk menghadapinya?


Imtihan dunia kita berbekalkan dengan hafalan, kefahaman dan alat-alat tulis kita, imtihan akhirat pula berbekalkan amalan yang ikhlas lagi bertepatan dengan syariat Allah s.w.t. Persediaan untuk menghadapi imtihan dunia mungkin di kalangan kita telah pun ada yang sempurna kelengkapannya, namun bagaimana dengan keperluan berhadapan dengan imtihan akhirat?


Kita fikir-fikirkan…


Natijah daripada imtihan dunia kita akan dapat menilai dan melihat melalui persepsi sebagai manusia bahawa, mereka yang memiliki keputusan yang baik adalah mereka yang lebih baik usahanya dalam belajar dan manakala yang kurang baik adalah mereka yang kurang belajarnya. Begitu jugalah natijah imtihan akhirat. Siapa yang Berjaya melaluinya dengan baik merekalah golongan yang lebih baik amalannya, makanya baginya ganjaran syurga Allah dan manakala mereka yang terkandas pasti bakal terheret ke neraka adalah mereka yang bermain-main dengan kehidupannya. Na’uzubillah…



من حسنت بدايته حسنت نهايته

“Sesiapa yang elok pada permulaannya lazimnya akan elok juga kesudahannya.”



Salam Imtihan buat semua~


p/s : Usaha, doa dan tawakal dalam segala amal perbuatan insyaAllah mudah-mudahan kita semua dipermudahkan segala urusan… Ameen~

Sep 7, 2010

Kekasih hati Allah


"Wahai ALLAH, yang telah Meninggikan langit tanpa tiang, Menghamparkan bumi tanpa alas, Menghidupkan bumi setelah sebelumnya mati, Sadarkan hati kami dari kelalaian, Karunialah kami inabah yang baik, Hiasilah kami dengan ketaatan kepadaMU, Jagalah kami dari maksiat, Terimalah taubat kami, sehingga ketika berjumpa denganMU nanti, Engkau Redha kepada kami, wahai yang Memiliki Keagungan dan Kemuliaan, yang Maha Pengasih dari semua yang berjiwa kasih...


Wahai ALLAH, Pusatkanlah perhatianku kepadaMU, Jadikanlah semua tawajjuhku hanya kepadaMU, Bahagiakanlah aku dengan memperoleh kedekatan dan kedudukan tinggi disisiMU, Jadikanlah kesibukanku terpusat pada usaha untuk meraih Kecintaan dan KeredhaanMU yang sempurna. Jagalah lahir dan batinku dengan keteguhan tawakal kepadaMU hingga dengan (Pertolongan)MU yang (kuperolehi) dariMU, aku dapat berjalan menujuMU dan senantiasa bersikap sebagai hamba di hadapanMU...


Aku memohon ampun kepada ALLAH atas semua dosa yang kulakukan baik secara rahasia maupun terang-terangan, sengaja maupun tidak, siang dan malam, sendiri maupun di tengah keramaian, besar maupun kecil, terangan-terangan maupun sembunyi-sembunyi, lahir maupun batin. Wahai yang PemberianNYA luas, dan yang KebaikanNYA serba Mulia, aku adalah hamba yang hina, berhenti di ambang PintuMU, memohon ampunan dan meminta maaf atas dosa-dosa yang membebani diriku. Wahai yang Maha Dekat dan Maha Mengabulkan doa, wahai yang Maha Pemurah dan tidak bakhil dalam PemberianNYA...


Wahai ALLAH, Limpahkanlah Shalawat, Salam dan Keberkahan kepada Sayyidina Muhammad dan Keluarganya, Shalawat yang paling utama, Salam yang Paling suci, Berkah yang paling berlipat-ganda, sebanyak yang Engkau Ketahui, sepenuh timbangan `ArasyMU, dan sebanyak KalimatMU, selama pedzikir menyebutMU dan menyebut beliau, dan selama orang yang lalai melupakanMU dan melupakan beliau. (Wahai ALLAH), Berilah beliau Wasilah, Keutamaan dan Kedudukan yang tinggi. Dan Berilah beliau Kedudukan yang Terpuji yang telah Engkau Janjikan kepadanya, karena sesungguhnya Engkau tidak pernah memungkiri janji..."


p/s: taqabal Allah minna wa minkum ..

Aug 11, 2010

Ramadhan Kareem :)







يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُتِبَ عَلَيۡڪُمُ ٱلصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِڪُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ

Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa


Selamat Berpuasa semua :)

Bulan Ramadhan, bulan yang dalamnya diturunkan al-Quran, yg menjadi petunjuk kepada seluruh umat manusia , sebagai panduan, yang menjelaskan perbezaan antara perkara yang benar dan salah




p/s: kembara mencari nilai diri ..

Jun 17, 2010

Masalah sebagai Batu Loncatan



Bismillah wa alhamdulillah..

Setiap manusia yang bernyawa pasti berhadapan dengan pelbagai masalah. Tidak kira sama ada dia kaya atau pun miskin, tua atau pun muda, bodoh atau pun bijak, baik atau pun jahat, cantik atau pun hodoh, semuanya akan berhadapan dengan masalah. Sebenarnya masalah itu sendiri adalah paksaan yang Allah kenakan kepada manusia bagi memajukan diri. Kemajuan bermula daripada masalah. Yang membezakan kita adalah cara mana kita mengatasi masalah tersebut.

Bijaknya Allah kerana dia tahu sifat sebenar makhluk ciptaanNya. Apabila senang, manusia mudah berasa senang lenang dan malas berusaha. Apabila mendapat kesusahan dengan masalah, barulah mahu bergerak mencari jalan keluar. Inilah punca kenapa Allah beri masalah kepada manusia.


Dahulu, kalau bergerak beramai-ramai sejauh perjalanan kita malam ini mungkin mengambil masa sehingga dua tiga bulan berjalan kaki. Jadi, ini semua masalah kepada orang zaman dahulu. Bagi orang zaman dahulu yang terlalu mudah berpuas hati, malas berusaha dan cuba buat tidak tahu dengan masalah yang dihadapi bagi perjalanan sebegini, mereka tidak dapat apa-apa melainkan terus mendapat susah dan menyusahkan orang lain.

Dengan bertafakur dan melupakan masalah, masalah itu tetap ada dan tidak hilang. Bagi yang mahu bangun menghadapi masalah, dia berusaha memperbaiki dan membina sesuatu bagi mempermudahkan dirinya dan orang di sekelilingnya. Hasilnya, tercipta kereta, kereta api, kapal terbang dan pelbagai kenderaan lain bagi menyelesaikan masalah untuk bergerak. Masalah tadi memudahkan jutaan manusia lain.

-Imran Haaz-


Makanya, masalah yang diberikan kepada manusia adalah paksaan supaya manusia memajukan diri, keluar daripada kesusahan menuju kesenangan.

Andai kita mengaku kita Muslim, berpegang pada sistem Islam sebagai ad-Deen, apabila datang MASALAH, kita perlu HADAPInya tidak kira seberat mana masalah itu. Kita perlu hadapi masalah dengan HATI yang TABAH dan TENANG serta berSYUKUR atas ujian Allah, kemudian kita akan berUSAHA untuk BANGKIT dan SELESAIkan masalah itu.

Bukan cara Islam apabila kita mencari jalan lari daripada masalah (escapism) apabila sedang menghadapi masalah.



وَٱسۡتَعِينُواْ بِٱلصَّبۡرِ وَٱلصَّلَوٰةِ‌ۚ وَإِنَّہَا لَكَبِيرَةٌ إِلَّا عَلَى ٱلۡخَـٰشِعِينَ

"Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan solat, dan sesungguhnya solat itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk"

Surah al-Baqarah: 45



p/s: hanya kamu yang mengenali tempat kamu sendiri ..

Jun 10, 2010

Vitamin pagi ini

Demi Allah, engkau tidak melihat melihat seorang Muslim melainkan dia sentiasa mencela dan mengkritikkan dirinya sendiri. Mengapa aku berkata begitu? Mengapa aku makan ini? Mengapa aku bercita-cita begini? Tetapi sebaliknya, seseorang yang berdosa itu akan terus melakukan maksiatnya tanpa mencela dan mengkritikkan dirinya.
-al-Imam Hassan al-Basri-

Muslimkah kita?


Agama Allah PASTI akan terus berjalan dan terbina
kerana Allah akan menggantikan kita dengan orang yang lebih MAHU
orang yang lebih berkehendakkan kepada kebaikan ..

janji Allah itu pasti!

bukanlah Islam yang memerlukan kita
namun kitalah yang memerlukan Islam

bukanlah tarbiyyah yang memerlukan kita
tapi kitalah yang perlu memerlukan tarbiyyah

tanpa kita pun tarbiyyah dan Islam akan terus berjalan.

Itu sudah pasti.

Komitmen kita yang belum tentu
Bermain tarik tali dengan peluang yang Allah bentangkan luas di depan mata
Bermunajatlah pada Allah
Agar ditetapkan kita di atas jalan yang diredhai-Nya
Dapat istiqamah terus tanpa rasa sesal, gusar dan takut
Dijauhkan sejauh-jauhnya daripada keFUTURan.


p/s: semahu-mahunya melarikan diri.. biar semuanya nampak seperti biasa cuma

May 5, 2010

Mood: Sebiru Hari Ini


Bismillah wa alhamdulillah..


Tak terlambat lagi rasanya nak ucapkan maan najah fil imtihan buat para usrati.. ada lagi kan yang belum mula pun lagi ^_^

"...Exam season ni sebenarnya cuma musim yang Allah sediakan untuk mengutip pahala tawakkal & pahala bermujahadah berusaha sebab result kita sebenarnya dah lama dah Allah tetapkan..."

"...Tapi sebab kita tak tahu keputusan kita, maka kita takut, nervous & berharap. So, yang kita takut tu, risau-risaukan tu, tak boleh tidur malam nak exam tu.... semoga semua itu hanya akan menambahkan perasaan tawakal kita yang melangit tinggi kepada Allah..."
(quote)


lets fighting~


اللهُمَّ لا سَهْلَ إلا مَا جَعَلتَهُ سَهْلا وَ أنتَ تَجْعَلُ الحزْنَ إذا شِئْتَ سَهْلا
Ya Allah, Nothing is easy except what You have made easy. If You wish, You can make the difficult easy.

No worries! It will soon be over! Very soon. Remember the temporary nature of this life on Earth. Prepare more for your eternal hereafter, ok?


p/s: rasa itu makin menerjah.. Ya Allahu Ya Rabb, permudahkanlah segalanya~

Apr 10, 2010

Thiqah pada si lemah


Sepetang saya habiskan masa berfikir tentang thiqah (kepercayaan). Bagaimana ia terwujud? Apa implikasi dengan perlaksanaannya? Apa natijahnya sekiranya dikhianati?

 

Apa itu Thiqah?

Thiqah adalah sifat yang diberikan kepada seseorang atas keperibadian mulia yang dimilikinya dan kemampuannya untuk menjalankan tugas dakwahnya. Thiqah dalam amal dakwah mengakibatkan seseorang itu dipercayai untuk melakukan tugas, diterima pendapat dan kata-katanya, serta dihormati keperibadiannya.

 

Bagaimana Terwujudnya Thiqah?

Thiqah wujud apabila terpancar dari keperibadian seseorang itu segala nilai-nilai murni hasil dari penghayatannya terhadap Islam dan perjuangannya. Di antara nilai-nilai ini, yang paling penting ialah keikhlasan, amanah dan jujur dalam semua hal.

Jika sedikit sahaja orang tahu bahawa kita ini tidak ikhlas, amanah atau jujur, orang tidak akan lagi mempercayai kata-kata kita, mentaati perintah kita, menghormati keperibadian kita. Akibat paling buruk dari situasi ini ialah berleluasanya fitnah, tohmah dan hilangnya hak ukhuwwah.

Perlu difahami bahawa thiqah juga adalah natijah dari ikatan hati antara manusia. Membina keikhlasan, amanah dan kejujuran bukan satu perkara yang mudah bagi kita. Ia menuntut satu mujahadah yang panjang dan sukar. Mengikat hati-hati manusia juga bukan satu perkara yang mudah.

 

Fahami Perlaksanaannya yang Tidak Menunggu Sempurna

Thiqah, tiada wujudnya sekiranya tiada yang mahu mempercayai, yang juga tiada perlaksanaannya andai tiada yang mahu dirinya dipercayai. 

Tidak kiralah siapa jua kamu, antara sedar mahupun tidak, kita memang terikat dengan persoalan thiqah. Thiqah adalah status yang perlu dmiliki oleh semua orang. Tidak kira samada dia adalah pemimpin atau pengikut. Kewujudan thiqah membolehkan pemimpin dihormati dan ditaati oleh pengikutnya sementara pengikut pula akan diberi kepercayaan untuk menjalankan tanggungjawab dakwahnya. Thiqah jugalah yang memastikan kemesraan antara seorang sahabat dengan sahabat yang lain.

 

SINI:

Kadang-kadang kita mahu orang percayakan kita. Yakin dengan kemampuan yang kita ada. Tapi bila mereka enggan, kita kecewa dan mengatakan mereka ini teruk.

 

SANA:

Kadang-kadang kita susah nak percaya kat orang. Khuatir andai dikhianati. Kerana bila kita dah mula percaya, sekali mereka khianat, sampai bila-bila kita tak mahu lagi percaya.

 

Eh kamu marah pada siapa tu? Bukankah dia itu manusia, sama seperti kamu? Kalau kamu kata kamu lemah, yang seringkali melakukan kesalahan, dia juga begitu. Dia juga lemah seperti kamu kerana dia itu manusia. Sama seperti kamu.

Apabila bertembung kedua belah pihak ini, saya buntu untuk membantu. Mana yang perlu saya sokong, mana yang perlu saya raikan? Di sebelah sini, saya nampak di mana salahnya, tapi di mana maruahnya andai saya raikan pihak sebelah sana dengan menyokong apa yang digeramkan? Di sebelah sana, kamu perlu faham mereka juga manusia lemah seperti kamu. Tidak langsung terlepas daripada mencipta kekurangan.

 

Untuk pihak yang di sebelah SINI:

Jangan kamu pandang mereka itu lemah. Mereka sangat kuat. Mereka gagah melawan nafsu untuk meletak thiqah pada dirimu. Mereka nampak kamu lemah, tapi mereka masih percaya kepada kamu. Mereka meletakkan kepercayaan dengan harapan dan keyakinan bahawa kamu boleh dan mahu berubah menjadi yang lebih baik. Mereka juga mengharapkan dirimu dapat menjadi sahabat yang memahami, kakak/abang yang prihatin, suami yang melengkapi, ibubapa yang penyayang, pemimpin yang membimbing, guru yang mendidik, majikan yang berwibawa; pokoknya, yang bijak bertoleransi. 

 

Untuk pihak sebelah SANA:

Jangan kamu pandang mereka itu kuat. Mereka berada di SINI kerana sokongan dan thiqah yang kamu berikan. Mereka menerima tanggungjawab itu kerana tahu kamu ada bersama-sama untuk membantu. Bantulah mereka untuk melaksanakan amanah THIQAH yang kamu berikan. Jangan kamu letakkan pengharapan tinggi menggunung kerana belum tentu dia mampu untuk mendakinya. Selagi mana dia itu bergelar manusia, selagi itulah dia terdedah untuk melakukan kesilapan. Dia tidak akan sempurna sampai bila-bila. Dia mengharapkan kamu dapat menjadi sahabat yang setia, adik-adik yang mengambil berat, isteri yang menerima seadanya, anak-anak yang pengasih, anak buah yang membantu, pelajar yang menghormati, pekerja yang berdedikasi; yang juga bijak bermu’amalah.

 

Formula Membunuh Thiqah

Membina dan memperolehi thiqah bukan satu usaha yang mudah. Thiqah menuntut satu pembayaran harga yang tinggi untuk memperolehinya. Ia begitu mudah untuk hilang dari kita. Ia hanya memerlukan:

sedikit kesilapan dari kita + sedikit buruk sangka dari orang lain + fitnah ke atas kita

maka hilanglah apa yang telah dibina selama ini dengan harga yang mahal.

Sekali thiqah hilang, sukar untuk diperolehi semula dan jika ini berlaku, yang pertama sekali perlu disalahkan ialah diri kita sendiri.

 

Maka bertolak ansurlah.. yang SANA jangan hanya memandang langit, yang SINI jangan hanya menunduk ke bumi. Kamu berdua perlu bekerjasama untuk mencipta sinergi, yang saling lengkap melengkapi. Barulah kena adab hidup bermasyarakat.


يَـٰٓأَيُّہَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَـٰكُم مِّن ذَكَرٍ۬ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَـٰكُمۡ شُعُوبً۬ا وَقَبَآٮِٕلَ لِتَعَارَفُوٓاْ‌ۚ إِنَّ أَڪۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَٮٰكُمۡ‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ۬

Wahai manusia sesungguhnya Kami telah menjadikan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan.Lalu Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan berpuak-puak supaya kamu berkenal-kenalan, bersaudara mara.Sesungguhnya orang yang paling mulia dikalangan kamu disisi Allah ialah orang yang bertaqwa.Sesungguhnya Allah itu maha mengetahui lagi maha bijaksana. 

- surah al hujuraat: 13 - 


Bagi pejuang dakwah, thiqah adalah sesuatu yang terlalu bernilai untuk dikorbankan kerana tanpanya bagaimana orang akan menerima ajakannya kepada Islam dan bagaimana organisasinya akan diterima oleh umum.

Peliharalah thiqah orang terhadap kita, berilah thiqah kepada mereka yang berhak dan layak. Jauhilah dari mencabuli kehormatan orang yang kita rasa sukar untuk meletakkan thiqah padanya lagi. Kembalikan thiqah itu pada tempatnya. Jangan kamu perlecehkan haknya. Thiqah itu diberi bersama-sama tanggungjawab untuk mentaati. Thiqah itu diterima bersama-sama amanah untuk memberi.

Jika ia adalah suatu yang remeh yang tidak mahu kamu pedulikan, pindah saja ke planet lain, hidup sendirian kamu di sana. Kerana Allah ciptakan hambaNya berjama’ah.

"Islah Nafsak, Wad'u Ghairak"

Perbaikilah (iman, taqwa serta pengetahuan) dirimu, dan (pada masa yang sama jangan kau lupa) berdakwahlah kepada selainmu...

 

p/s: beruzlah dalam keriuhan .. 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...